BAB 11

Drama Completed 919664

Perkhabaran gembira dari Kuala Lumpur telah sampai kepada Haura. Adik kesayangannya bakal disunting sang kumbang tidak lama lagi. Hanna sendiri yang telah menghubungi Haura untuk memaklumkan berita gembira itu. Jelas kedengaran suaranya yang begitu teruja ketika menyampaikan berita tersebut.


“Wah, betul ke ni? Tahniah Hanna. Tak sangka adik akak yang comot dan mengada-ngada ni dah nak bertunang.”


“Nanti akak balik la sini, teman Hanna pergi shopping. Lagipun dah dua bulan lebih akak dekat sana.” Hanna mencuba nasib memujuk kakaknya itu pulang ke KL.


“Mestilah akak balik, Hanna nak tunang kot. Mana boleh akak takde, tak jalan majlis Hanna nanti.” Gurau Haura.


“Bila kak Haura nak balik? Hari apa?” pantas Hanna bertanya selepas Haura memaklumkan hal tersebut.


“Amboi, tak sempat apa-apa lagi dah bertubi-tubi soalan dia bagi.” balas Haura. Hanna tersengih bak kerang busuk mendengar jawapan kakaknya itu.


“Nanti akak bagitahu Hanna bila akak balik sana. Kalau takde aral, inshaAllah dua atau tiga hari lagi akak balik.” Balas Haura. Hanna sudah mula teruja dan tak sabar menunggu kepulangan kakak kesayangan itu. Berita itu disampaikan pula kepada Puan Hafizah dan Encik Zamzuri.

*****

Puan Sri Normah yang baru tiba kelihatan sedang berjalan mengambil angin sendirian di sekitar resort. Namun tanpa diduga dia telah dilanggar oleh beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain berlari-lari sehingga dia jatuh terjelepok ke lantai. Haura yang kebetulan sedang dalam perjalanan pulang ke bilik selepas bersiar-siar sekitar resort sambil menghirup udara pagi ternampak akan insiden itu. Haura bergegas mendapatkan Puan Sri Normah lantas membantunya untuk bangun. Haura kemudian memimpin wanita itu untuk duduk di bangku yang berhampiran.


“Nenek tak apa-apa ke?”tanya Haura dengan penuh sopan santun.


“Alhamdulillah takde apa-apa. Terima kasih sebab dah bantu nenek tadi.” Puan Sri Normah membalas sambil mengusap lutut dan tangannya yang mula terasa berdenyut.


“Nenek sorang aje ke dekat sini? Atau datang bercuti dengan family?” tanya Haura lagi untuk kepastian.

Sudah sebati dalam diri seorang insan yang bernama Haura dengan sikap ringan tulang untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Mungkin dia sudah terbiasa kerana sejak kecil lagi dia sering ke pusat kebajikan milik Puan Hafizah dan Encik Zamzuri.


“Kamu pekerja dekat resort ni ke?”


“Eh bukan, saya sebenarnya….” Belum sempat Haura menghabiskan kata tiba-tiba dia ternampak tompokan darah pada seluar Puan Sri Normah.


“Darah! Kaki nenek luka ni.” Balas Haura sedikit cuak. Puan Sri Normah turut memandang ke arah lututnya yang luka itu.


“Sikit aje ni, lepas sapu ubat eloklah nanti.” Balas Puan Sri Normah tenang.

“Nenek stay bilik yang mana? Jom saya hantarkan. Kalau dibiar lama nanti kena jangkitan kuman pulak.”

Haura memimpin tangan Puan Sri Normah untuk membantunya berjalan pulang ke biliknya.

Puan Sri Normah yang sedang duduk dibirai katil mengeluarkan sekeping gambar dari begnya. Senyuman terukir dibibirnya apabila dia menatap gambar tersebut. Mikael yang baru tiba di bilik Puan Sri Normah bertanya akan gerangan wanita yang keluar dari bilik neneknya sebentar tadi. terkejut dengan kehadiran Mikael, Puan Sri Normah cepat-cepat menyembunyikan gambar tersebut dari dilihat oleh Mikael. Puan Sri Normah kemudian menceritakan kejadian yang telah menimpa dirinya sebentar tadi. Dengan cemas Mikael memeriksa keadaan neneknya itu dan mendapati semua luka yang terdapat pada lutut serta lengan neneknya telahpun dirawat. Mikael menghela nafas lega.


“Dah banyak kali Mika pesan pada nenek, kalau nak pergi mana-mana bagitahu Mika atau Dazrin. Nanti kita orang akan bawa nenek. Ni tak, degil lagi kan dah cedera. Nasib baik tak teruk.” Bebel Mikael panjang. Puan Sri Normah melepaskan tawa kecil melihat telatah cucunya itu. Sudah lama dia tidak mendengar Mikael membebel seperti itu.


“Nenek tak apa-apa, luka sikit aje ni. Haura pun dah tolong sapukan ubat pada luka ni, sekejap lagi baiklah.” Balas Puan Sri Normah sambil tangannya mengusap rambut Mikael yang sedang duduk melutut di depannya. Mikael mendongakkan kepalanya apabila terdengar nama Haura keluar dari mulut neneknya. Seribu tanda tanya muncul dibenak fikirannya.


“Perempuan yang tolong nenek tadi nama dia Haura.” jelas Puan Sri Normah, menjawab persoalan yang bermain di kepala cucunya itu.


“Sebab ni la Mika tak suka nenek keluar sorang-sorang. Lepas ni kalau nenek nak pergi mana-mana tolong bagitahu Mika. Mika tak nak kejadian macam ni berulang lagi.”

*****

Mikael berjalan menyusuri gigi air sambil memimpin tangan Puan Sri Normah. Senyuman tak lekang terukir di bibirnya. Sesekali dia memejamkan matanya sambil menghirup udara petang yang segar itu. Puan Sri Normah memandang wajah Mikael dengan penuh kasih sayang.


“Nenek suka tengok keadaan Mika macam ni. Nampak gembira je.” Tutur Puan Sri Normah lembut.


“Kenapa? Selama ni Mika tak cukup gembira ke? Kenyataan neneknya itu telah menghentikan lamunan Mikael. Puan Sri Normah kemudian menggenggam kedua belah tangan Mikael lalu menghela nafas panjang sebelum menyambung perbualannya dengan Mikael.


“Mika tahu kan, tak pernah sekalipun nenek paksa Mika untuk berubah. Nenek cuma nak Mika bagi ruang dan peluang untuk diri Mika sendiri. Sayang diri sendiri seperti mana kami semua sayang kamu. Jangan terlalu memaksa diri untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan sehingga melukakan diri kamu sendiri.” Luah Puan Sri Normah lagi sambil menahan sebak dihatinya. Mikael tidak berkedip memandang wajah neneknya itu.


“Nenek terlalu rindukan Mikael yang dulu. Nenek nak kamu tahu yang nenek dan ahli keluarga yang lain sentiasa ada di belakang, support kamu.”

Mikael terdiam mendengar kata-kata Puan Sri Normah itu. Riak wajahnya sedikit berubah namun dia cuba untuk sembunyikannya dari pandangan Puan Sri Normah. Entah mengapa kata-kata neneknya itu terasa sungguh tajam sehingga menusuk ke dalam kalbunya. Dia menyangkakan luka dihati sudah kering rupanya masih ada tersisa bahagian yang belum sembuh sepenuhnya.

Dazrin yang sedang bersantai-santai di tepi pantai sambil menyedut jus tropika tersentak apabila Datin Noreen menelefonnya. Dazrin melepaskan keluhnya sebelum dia menjawab panggilan tersebut.


“Ya mommy, ada apa lagi kali ni?” tanya Dazrin malas. Berkali-kali Datin Noreen menghubunginya bertanyakan tentang mereka di sana. Dazrin sudah mula naik rimas dengan kelakuan ibunya itu.


“Soalan apa kamu tanya mommy ni? Salah ke kalau mommy telefon untuk tanya khabar anak mommy sendiri?” marah Datin Noreen apabila Dazrin mempertikaikan tindakannya itu.


“Tak salah pun mommy tapi yang jadi masalah sekarang ni mommy baru je lepas call Dazrin tengah hari tadi. Sekarang mommy call lagi.” Balas Dazrin.


“Salah kamu la, siapa suruh tak call mommy langsung. Mommy dah pesan kan untuk maklumkan pada mommy tentang segala aktiviti kamu semua dekat sana.” Datin Noreen mula mencipta alasan.


“Ya Allah mommy. Kalau dah tak ada apa yang nak diberitahu nak buat macam mana. Takkan mommy nak Dazrin reka sendiri cerita untuk bagi mommy puas hati. Macam tu ke?” Kata-kata Dazrin mula kedengaran kasar di telinga Datin Noreen.

Tiba-tiba Dazrin ternampak Puan Sri Normah yang sedang berjalan-jalan mengambil angin di sekitar pantai bersama Mikael. Di kesempatan itu dia segera memaklumkan kepada Datin Noreen lalu mematikan panggilan tersebut. Dazrin kemudian berjalan menghampiri mereka berdua.


“Dazrin! Sehari suntuk nenek tak nampak kamu. Ingatkan kamu dah lupa pada nenek.” Tegur Puan Sri Normah apabila Dazrin memanggil namanya.


“Mana ada. Lagipun nenek sendiri yang suruh Dazrin bersantai-santai sementara ada dekat sini. Dazrin hanya menurut perintah. Mula-mula ingatkan datang sini kena kerja, rupa-rupanya kena paksa holiday.” Dazrin berseloroh. Puan Sri Normah tertawa mendengar jawapan cucunya itu. Mikael hanya tersenyum tawar.


"Lepas ni nenek nak pergi mana? Dazrin boleh tolong bawakan.” soal Dazrin.


“Kaki nenek ni pun dah mula rasa lenguh. Kamu tolong bawa nenek balik ke bilik ajelah ye.” balas wanita itu sambil matanya melirik kepada Mikael yang berada di sisnya.


“Ha elok jugak tu. Dazrin kau tolong hantar nenek ye. Aku nak jalan-jalan ambil angin dulu sekejap.” Balas Mikael. Dazrin sekadar mengangguk faham.

Puan Sri Normah kemudian berjalan meninggalkan Mikael sendirian di pinggir pantai. Mikael mengalihkan pandangannya menghadap laut yang luas terbentang di depannya. Dia kemudian memejamkan kedua belah matanya lalu menghela nafas yang berat. Ada sesuatu yang tersemat dihatinya yang dia rahsiakan dari pengetahuan orang sekeliling.


“Haura, jap lagi kita ambil gambar dekat sana eh.” Ujar Mona sambil menuding jari telunjuknya ke arah batu besar di tepi pantai. Dia kemudiannya berlari menuju ke gigi air.

“Okay.” Balas Haura ringkas selepas melihat lokasi yang diberitahu kemudian menyambung kembali menangkap gambar menggunakan kamera miliknya.

Permandangan di persisiran pantai pada petang itu sungguh indah sekali. Di tambah pula dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa sememangnya telah menarik minat orang ramai untuk keluar bersiar-siar. Ada yang sedang bermandi-manda, ada juga yang sekadar berehat sambil menghirup udara petang. Sedang asyik dia mengambil gambar, tiba-tiba jari Haura terhenti dari menekan tombol kamera disaat ternampak sosok lelaki yang sedang duduk sendirian di atas batu yang sedikit jauh dari khalayak. Tanpa dia sedar dia telah menangkap beberapa keping gambar lelaki berkenaan dalam diam.

Namun lamunannya itu terhenti apabila Mona menjerit memanggil namanya. Haura terus berpaling ke arah Mona yang sedang terjingkit-jingkit sambil mukanya berkerut menahan sakit. Haura segera berlari ke arah Mona. Melihat darah yang menitik keluar dari telapak kaki Mona membuatkan dia sedikit cemas. Dengan panik Haura terus memapah Mona untuk duduk di atas sebatang kayu besar yang terletak tidak jauh dari situ. Agak dalam juga kaca itu tertusuk pada kaki wanita itu. Dia dengan penuh berhati-hati mula mengeluarkan kaca tersebut.


“Macam mana boleh terpijak kaca ni?” soal Haura.


“Tadi aku ada ternampak orang tengah kambus kaca dalam pasir. Lepas tu aku pun cepat-cepat buka selipar aku dan pijak kaca tu.” Balas Mona sarkastik.


“Dah kena macam ni pun kau nak loyar buruk lagi, kan?” Haura menggelengkan kepalanya.


“Soalan kau tu yang tak kena. Dah nama pun terpijak mestilah tak sengaja. Kalau aku nampak kaca tu dah lama aku elak. Tak pasal-pasal kaki mulusku ini dah tersakiti tau.” Jawab Mona sambil menunjukkan riak wajah yang sedih.


“Aduh! Perlahan la sikit Haura, sakit tahu tak.” Mona mengaduh kesakitan ketika Haura mengeluarkan kaca di kakinya itu.


“Eleh, sikit aje pun. Mengalahkan budak-budak la kau ni.” Seloroh Haura. Dia tahu Mona sememangnya seorang yang sangat manja lebih-lebih lagi ketika sedang sakit. Mona menjeling tajam ke arah Haura tanda protes.

Usai membuang kaca tersebut, Haura mengambil sehelai skaf yang terikat di rambutnya lalu membalut kaki Mona. Sebelum beransur pulang, Haura sempat berpaling ke belakang dan mencari sosok lelaki tadi namun lelaki itu telah pun hilang dari pandangan. Entah mengapa hatinya terasa sedikit hampa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience