BAB 60

Drama Completed 919566

Mona dan Haura dilihat sedang berbual-bual di sebuah restoran makanan barat yang sering menjadi port lepak mereka berdua sejak dari zaman belajar lagi.


"What? Kau keluar dinner dengan Dazrin?" Mona sangat terkejut apabila Haura memberitahunya tentang perkara itu.


"Ha'ah." balas Haura pendek sebelum menyedut jus oren sejuk miliknya.


"Dah tu apa masalahnya? Kau keluar makan je kan. Bukannya kau balik rumah dia." balas Mona yang beranggapan tiada yang pelik mengenai perkara tersebut.


"Aku pun fikir macam tu jugak. Tapi yang jadi masalah sekarang ni satu office aku dah tahu pasal tu. Tak tahulah siapa yang bawa cerita." ujar Haura lemau. Dia juga kelihatan tidak bersemangat.


"Kenapa? Mak dia serang kau lagi ke? Yelah sebelum ni pantang nama anak dia kena sebut terus datang serang kau." Mona cuba meneka.


"Masa aku tengah makan di restoran lagi dah kantoi dengan datin. Entah macam mana tiba-tiba pula dia pun ada dekat situ. Memang huru-hara la sekejap keadaan dekat restoran masa tu."


"Dia tomoi kau lagi ke?" tanya Mona selamba.


"Tak, kali ni dia guna mulut je. Kau tahukan mulut dia macam mana. Tapi lepas Dazrin heret dia keluar terus tak masuk dah."


"Macam sesuatu je." Mona mula berasa ragu-ragu namun dia sendiri tidak pasti tentang apa.


"Mungkin Dazrin berjaya pujuk dia kot. Yelah anak kesayangan dia kan." balas Haura.

Selepas itu mereka berdua diam buat seketika. Mona khusyuk menjamah makanannya Haura pula duduk termenung sambil tangannya menguis chiken chop yang ada di dalam pinggannya.


"Ha, kuis lagi lagi makanan tu, kuis. Kenapa kau tak terbalikkan je pinggan tu terus. Kan senang macam tu." perli Mona yang sakit mata melihat keadaan Haura yang sebegitu. Haura menjeling tajam ke arah Mona.


"Benda dah settle kan. Yang kau nampak macam susah hati sangat ni kenapa?" tanya Mona. Dia sungguh risau melihat keadaan sahabatnya itu.


"Tak adalah, Mikael tu tiba-tiba mood dia swing hari ni. Layan aku nak taknak je. Sakit hati aku tau." luah Haura setelah seharian dia memendamkan rasa tidak puas hatinya itu.


"Oh pasal Mikael rupanya. Patutlah muka tu monyok je. Aku ingatkan sebab kau kena sound dengan datin semalam." Mona menyakat Haura.


"Ish, kau ni Mona. Patutnya kau support la aku yang tengah ada masalah ni. Bukannya sindir aku macam tu." balas Haura separa merajuk.


"Yelah... Kali ni apa pula masalah korang berdua ni?"


"Itu yang aku buntu sekarang ni Mona. Pagi tadi elok je dia bercakap dengan aku. Tapi lepas dia keluar dari bilik Puan Sri Normah terus berubah. Bila aku tanya nak taknak je jawab. Pandang muka aku ni apatah lagi." beritahu Haura panjang lebar.


"Hmmm, pelik. Tapi kenapa Puan Sri panggil dia? Pasal apa?" tanya Mona.


"Manalah aku tahu. Kalau aku tahu tak adanya aku stress macam ni." balas Haura selamba.

"Kau tak try tanya dia ke?" tanya Mona lagi.

"Macam mana aku nak tanya kalau bercakap dengan aku pun tak mahu. Dia siap bagi warning lagi dekat aku jangan call dia." jawab Haura berbaur kecewa.

Haura betul-betul ingin tahu kenapa sikap lelaki itu tiba-tiba sahaja berubah. Perasaan itu sungguh mengganggu dirinya.


"Macam besar je masalah korang kali ni. Aku pun tak tahu apa yang aku boleh tolong." ujar Mona. Haura mengeluh panjang.


"Ke sebab dia dapat tahu berita pasal kau keluar dinner dengan Dazrin?" tiba-tiba pertanyaan itu bermain di fikiran Mona.


"Huh? Kenapa pula?" tanya Haura sedikit pelik.


"Manalah tahu kan. Kau ada bagitahu dia tak pasal tu?"

Mona cuba mendapatkan kepastian daripada Haura. Dia beranggapan sikap Mikael berubah mungkin ada kaitannya dengan kejadian yang berlaku semalam.


"Buat apa aku nak kena bagitahu dia. Itu hal peribadi aku kot. Suka hati akulah nak keluar makan dengan sesiapa pun." jawab Haura kasar. Dia tidak faham kenapa dia perlu beritahu pada Mikael tentang aktiviti peribadi dia.


"Pendeknya akal fikiran kau ni kan." balas Mona sambil menolak pinggannya yang telah licin dihadapnnya itu.


"Apasal pulak?" Haura mula rasa sedikit panas apabila Mona berkata sebegitu kepadanya.


"Kau cakap tadi gosip kau dengan Dazrin dah tersebar satu office kau. Lepas tu pada masa yang sama tiba-tiba je Mikael kena panggil dengan Puan Sri Normah. Kau tak rasa ke yang kau tu punca dia jadi macam tu." jelas Mona panjang lebar dengan harapan Haura akan faham apa yang dia cuba sampaikan itu.

Terbeliak mata Haura apabila Mona memberitahu yang dia berkemungkinan adalah punca sebenar kenapa Mikael menjauhkan diri darinya.


"Kejap! Aku punca dia? Kau cerita apa ni Mona? Ish!!! Apahal otak aku tak boleh nak berfikir sekarang ni." bebel Haura sambil menepuk dahinya berkali-kali.

Dia betul-betul terkejut apabila namanya dipetik oleh Mona. Dirinya mula menjadi tidak tentu arah.


"Kau tak rasa pelik ke bila Datin Noreen tak buat apa-apa pada kau semalam? Tahu-tahu je berita dah tersebar satu office. Lepas tu tiba-tiba je Mikael kena panggil dengan puan sri."


"So kau nak bagitahu aku yang Datin Noreen lah orang yang dah sebarkan berita ni dah lapor pada puan sri? Lepastu Mikael kena panggil dengan puan sri sebab aku ni PA dia. Macam tu ke?" soal Haura kembali. Dia masih lagi bingung memikirkan tentang perkara itu


"Lebih kurang la. Tapi aku tak adalah nak hasut kau dan aku pun tak tuduh yang datin yang buat semua tu. Itu cuma apa yang aku agak je berdasarkan dari cerita kau tu je. Yelah sebab dia je satu-satunya orang yang tahu kau dengan Dazrin keluar dinner, kan." tambah Mona lagi.

Dia tidak mahu Haura terima bulat-bulat apa yang diperkatakannya itu. Dia tidak mahu menambahkan lagi beban yang sedang ditanggung oleh sahabatnya itu.


"Patutlah Mikael taknak layan aku. Mesti dia marah gila dekat aku sekarang ni. Disebabkan aku dia pula yang disekolahkan oleh puan sri. Mona, apa yang aku kena buat sekarang ni?"

****

Puan Sri Normah dan Luth Mikael dilihat sedang duduk bersama-sama di luar rumah sambil menghirup udara malam yang segar serta nyaman.


"Sekali sekala kita lepak dekat luar macam ni seronok juga, kan." ujar Puan Sri Normah sambil tersenyum memandang ke arah Mikael. Sesekali dia membelek helaian buku yang ada ditangannnya.


"Sekali sekala bolehlah nenek. Jangan hari-hari pulak nenek duduk dekat luar ni. Nenek tu dah la tak berapa sihat." balas Mikael prihatin.

Dia sangat mengambil berat akan kesihatan neneknya itu. Puan Sri Normah melepaskan tawa yang kecil.


"Nenek, kenapa uncle tiba-tiba je minta Mika uruskan resort tu?" tiba-tiba Mikael menukar topik dan bertanya kepada Puan Sri Normah.


"Kan uncle kamu dah bagitahu yang dia ada meeting dengan pelabur baru dekat sini." balas Puan Sri Normah tanpa mengalihkan pandangan matanya dari buku kegemarannya itu.


"Mika bukan apa cuma rasa pelik je. Yelah sebelum ni sesibuk mana pun dia tak pernah lagi uncle minta sesiapa gantikan tempat dia. Tapi kali ni macam....."

Belum sempat Mikael menghabiskan ayatnya, Puan Sri Normah terus mencelah. Sempat juga dia mencuri pandang wajah cucunya itu yang kelihatan sedikit berbeza dari kebiasaannya.


"Kamu tak payah fikir yang bukan-bukan. Uncle kamu tu kalau dia boleh klonkan diri dia kedua-dua meeting tu dia akan pergi tapi nak buat macam mana masa tak mengizinkan." balas Puan Sri Normah.

Dia tidak mahu Mikael terus memikirkan tentang perkara yang tidak perlu. Mikael sekadar menganggukkan kepalanya apabila mendengar kata-kata dari neneknya itu.


"Kamu ada masalah ke? Nenek tengok masa dekat pejabat tadi lagi kamu macam muram je."

Dengan laju Puan Sri Normah menukar topik perbualan mereka. Buku yang dibacanya dikatup perlahan lalu diletakkan di atas meja. Mikael yang pada ketika itu baru sahaja menghirup air teh hampir tersedak apabila diajukan pertanyaan itu.


"Huh? B-bila? Mana ada!" jawab Mikael sambil terbatuk kecil.


"Kamu tak payah nak tipu nenek la Mikael. Sekilas ikan di air nenek dah tahu jantan ke betina. Inikan pula kamu yang dari kecil lagi duduk berlari dekat depan mata nenek." ujar wanita tua itu lagi.

Mikael terdiam. Lidahnya juga tiba-tiba sahaja menjadi kelu. Pada masa yang sama hatinya juga terasa sesuatu. Keadaan turut jeda buat seketika.


"Tak ada apalah nek, mungkin sebab kerja banyak sangat kot." balas Mikael sedikit lemah menjawab pertanyaan dari neneknya itu.


"Bukan sebab Haura?" tanya Puan Sri Normah lagi.

Kali ini air teh baru baru dihirup oleh Mikael terus tersembur keluar dari mulutnya apabila Puan Sri Normah memetik nama Haura. Mikael benar-benar tidak menjangkakan perkara itu.


"Dah kenapa dengan kamu ni? Elok-elok la sikit minum air tu."

Puan Sri Normah menegur Luth Mikael sambil tangannya menghulurkan beberapa helai tisu kepada cucunya itu. Pada masa yang sama satu senyuman nipis terukir di bibir Puan Sri Normah.

Tingkah laku Mikael mula menjadi kelam kabut. Wajahnya juga mula menjadi merah padam. Puan Sri Normah mengetap bibirnya menahan senyum.


"H-Haura? Kenapa pula sebab dia. Tak masuk akal langsung. Apalah nenek ni mengarut je." balas Mikael tergagap-gagap.


"Nenek dengar dia keluar makan malam dengan Dazrin semalam, betul ke?"

Sekali lagi Puan Sri Normah sengaja memetik nama Haura untuk melihat reaksi yang akan diberikan oleh cucunya itu. Namun reaksi yang diberikan oleh Mikael pada kali ini sedikit berbeza dari sebentar tadi.

Apabila Puan Sri Normah bertanya mengenai makan malam tersebut wajah Mikael terus bertukar menjadi suram. Namun dia tetap cuba untuk mengawal perasaan itu di hadapan neneknya.


"Buat apa nenek tanya Mika, manalah Mika tahu. Tanyalah Dazrin." balas Mikael mendatar.

Kalau boleh dia tidak mahu untuk menjawab pertanyaan itu. Tapi dia terpaksa melakukannya demi menjagabhati neneknya itu.

"Nenek tanya je tak payahlah nak emosi sangat." ujar Puan Sri Normah lagi. Untuk kesekian kali Mikael terkejut dengan jawapan dari neneknya itu. Kaw-kaw Puan Sri Normah menyakat Mikael kali ini.

"M-mana ada!" balas Mikael yang tidak menyangka neneknya akan memberikan respon yang sedemikian.

*****


"Nak call ke tak? Kalau aku tak call gerenti sampai ke pagi aku tak dapat tidur. Tapi kalau aku call pula, tak pasal-pasal aku kena sound dengan dia nanti. Apa aku nak buat sekarang ni?" bisik Haura sendirian.

Matanya tertumpu pada telefon bimbit yang terletak di atas meja kopi di hadapannya. Sesekali tangannya gatal untuk mencapai telefon tersebut. Drama yang sedang bermain di televisyen juga sudah tidak dihiraukannya.


"Selagi aku tak berterus-terang dengan dia selagi itulah jiwa aku ni tak tenang. Yelah disebabkan gosip aku dengan Dazrin dia pula yang kena marah dengan puan sri. Kalau aku jadi dia, aku pun naik angin." bisiknya lagi.

Haura bingkas bangun lalu berjalan ke hulu ke hilir sambil menggigit kuku tangannya. Tiba-tiba langkahnya terhenti apabila dia teringat akan kata-kata Mona padanya.


"Tapi betul ke apa yang Mona cakap tadi? Betul ke Datin Noreen yang sebarkan semua ni? Tapi apa motif dia?" ujar Haura perlahan. Puas dia berfikir namun masih jua buntu. Dia kemudian duduk kembali di kerusi


"Ya Allah serabutnya kepala otak aku ni. Seorang perangai macam tu, seorang pula perangai macam ni. Dugaan betul. Macam manalah aku boleh terjebak dengan family pelik ni." bebel Haura.

Dia menekup mukanya dengan telapak tangan buat seketika. Kemudian dia meletakkan pula tangannya di kepala lalu diusap kasar rambutnya itu. Sekali pandang sudah seperti orang kurang siuman.


"Call? Tak payah call?" ucapnya berkali-kali. Dia benar-benar tidak tahu apa yang perlu dia lakukan pada saat itu.

Tiba-tiba Haura mendapat satu idea yang bernas. Dia segera bangkit dari tempat duduknya lalu berjalan menuju ke kabinet. Dia membuka satu bekas kaca yang terdapat di atas kabinet tersebut lalu mengambil sekeping duit syiling 20 sen. Kemudian dia kembali semula di kerusi yang didudukinya sebentar tadi.


"Duit syiling ni akan jadi penentu sama ada aku perlu call dia ataupun tidak. Kalau dapat kepala aku akan call dia. Kalau dapat ekor aku tak akan call dia." ujar Haura dengan penuh bersemangat.

Haura mula mengosongkan meja kopi di hadapannya. Segala benda yang ada di atas meja tersebut diketepikan buat sementara waktu. Dia kemudian duduk bersila di lantai.

Duit syiling yang dipegangnya tadi diletakkan secara menegak di atas meja tersebut. Dia memegang syiling itu dengan hujung jari telunjuk kirinya. Tangan kanannya pula bersiap sedia untuk menjentik syiling tersebut.

Haura menarik nafas yang dalam sebelum menjentik duit syiling yang akan menjadi penentu untuknya pada malam itu.


"Bismillahirrahmanirrahim....." ucap Haura perlahan lalu menjentik duit syiling itu.

Bulat matanya di saat melihat duit syiling yang dijentiknya itu berpusing dengan ligat sekali di atas meja. Jantungnya juga terasa sungguh berdebar.


"Satu, dua, tiga......"

Pap!

Dalam kiraan tiga Haura terus menekup syiling tersebut dengan telapak tangan kanannya. Debaran di dadanya semakin deras terasa.

Perlahan-lahan Haura mengangkat tangannya untuk melihat sama ada dia mendapat kepala ataupun ekor. Namun apabila bila Haura melihat duit syiling tersebut dia terus mengambil syiling itu lalu membalingnya ke belakang. Ternyata dia mendapat bahagian ekor syiling tersebut.


"Dia cakap jangan call je kan. Dia tak cakap pun yang aku tak boleh mesej dia. So rasanya tak ada masalah kalau aku mesej dia sekarang."

Tanpa membuang masa Haura terus mencapai telefon bimbitnya lalu mengirimkan satu mesej kepada Mikael.


"Assalamualaikum. Awak sibuk ke...?" tulis Haura.

Haura sangat berdebar mananti Mikael membalas mesejnya itu. Namun setelah menanti beberapa minit Mikael masih belum memberikan sebarang respon.


"Tak sampai ke mesej yang aku hantar tadi?" bisik Haura sambil membuka semula telefon bimbitnya untuk melihat mesej yang dihantar kepada Mikael sebentar tadi.

Bluetick!


"What? Dia bluetick je mesej aku?" jerit Haura.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience