BAB 34

Drama Completed 919597

Datin Mary dilihat sedang berjalan menuju Mademoiselle Spa & Salon iaitu pusat kecantikan milik Datin Noreen. Dia memang kerap berkunjung ke situ untuk mendapatkan rawatan kecantikan.

Selesai mendapatkan rawatan, Datin Mary tidak akan terus pulang. Dia selalunya akan meluangkan masa berbual dengan Datin Noreen buat seketika.


“Reen, I dengar anak perempuan you dah balik Malaysia. Betul ke?” Tanya Datin Mary dengan tiba-tiba. Jus epal yang ada di ditangannya disedut perlahan.


“Cepat je cerita sampai dekat telinga you, kan. Siapa yang bagitahu?” Datin Noreen sedikit terkejut. Dia tertanya-tanya macam mana pulak berita tersebut boleh tersebar dengan begitu pantas.


“Adalah orang yang bagitahu I pasal ni. By the way, menantu you pun balik sekali ke?” tanya Datin Mary lagi. Datin Noreen sekadar menjeling mendengar jawapan itu.


“Ha’ah.” Balas Datin Noreen pendek. Dia seperti tidak berminat untuk menjawab pertanyaan tersebut.


“Berani betul budak tu tunjuk muka dia pada you lagi. Kalau I jadi you dah lama I halau dia keluar dari rumah. Yelah, lepas apa yang dia dah buat pada you, kan.” Datin Mary cuba untuk menuang minyak ke dalam api. Dia tersenyum sinis. Darah Datin Noreen mula mendidih apabila kata-kata itu keluar dari mulut Mary.


“Boleh tak kalau you jangan cuba bangkitkan lagi pasal benda tu. Serabutlah kepala otak I ni.” Datin Noreen cukup menyampah untuk berbicara tentang anak dan menantunya itu. Bagi Datin Noreen, mereka berdua telah mencontengkan arang pada mukanya.

Beep! Beep!

Tiba-tiba notifikasi telefon bimbit milik Datin Noreen berbunyi. Dia segera membaca pesanan yang diterimanya melalui aplikasi Whatsapp.

Datin! Saya rasa rancangan saya semalam dah gagal. Perempuan tu elok je datang office tadi. – Suri

Usai membaca pesanan tersebut Datin Noreen mengeluh kuat. Dia berasa sungguh geram lalu dihempasnya kuat telefon bimbitnya itu ke atas meja. Datin Mary yang berada di depannya itu sangat terkejut sehingga badannya sedikit bergetar.


“Reen, you okay ke tak ni?” tanya Datin Mary. Tangannya mengusap dadanya yang sedang berdegup dengan kencang sekali.


“I okay je.”

Perasaan marah dan geram Datin Noreen mula bercampuar aduk. Ingin sahaja dia menelefon Suri pada saat itu juga. Namun dia membatalkan niatnya itu kerana Mary ada bersama. Dia tidak ingin Mary yang bermulut murai itu mengetahui akan rancangannya untuk menyingkirkan Haura dari syarikatnya itu. Habis dicanangnya satu Kuala Lumpur nanti.

*****

Selesai sahaja menyiapkan kerja yang tertangguh di pejabat, Haura segera bersiap untuk pergi ke rumah Puan Sri Normah untuk melihat perkembangan persiapan majlis yang akan berlangsung beberapa hari lagi. Dia tidak mahu ada sebarang kekurangan yang akan memberi kesan pada majlis tersebut. Dia juga telah meminjam kereta milik Mona untuk memudahkan urusan pergi dan baliknya.

Kereta yang dipandu Haura memasuki perkarangan rumah Puan Sri Normah. Dia melihat beberapa kumpulan pekerja sedang bertungkus lumus melakukan kerja masing-masing. Ternyata masih banyak lagi persiapan yang belum siap. Dia sungguh risau kerana majlis sudah makin hampir. Haura kemudian menghampiri ketua mereka untuk bertanyakan status terkini.


“Assalamualaikum bang.” Sapa Haura.


“Waalaikumussalam, Haura.” balas lelaki tersebut.


“Banyak lagi ke yang tak siap? tanya Haura.


“Banyak lagi. Semalam lepas loading barang, kami tak dapat nak teruskan sebab hujan lebat. Jadi kami sambung hari ni.”

Tidak lama kemudian Mak Wan keluar dengan membawa minuman serta kuih muih untuk dijamu pada pekerja yang ada.


“Jemput la minum dulu.” Laung Mak Wan. Haura segera berpaling. Dia mula berjalan mendapatkan Mak Wan yang sedang berdiri di sisi meja di laman rumah tersebut.


“Assalamualaikum mak cik.” Sapa Haura sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan wanita itu.


“Waalaikumussalam. Kamu ni siapa?” soal Mak Wan hairan.


“Saya Haura, pekerja Puan Sri Normah. Saya datang untuk pantau kerja-kerja dekat sini. Untuk majlis hujung minggu ni” balas Haura sopan.


“Oh patutlah. Mak Wan ingat perempuan cantik mana pulak yang datang tadi.” Gurau Mak Wan.

“Eh, mana ada Mak Wan. Saya biasa-biasa je.” Balas Haura tersipu malu. Mak Wan melepaskan tawa kecil.


“Mak Wan gurau je. Puan sri ada bagitahu Mak Wan pagi tadi yang ada pekerja dia yang akan datang.” Mak Wan memberitahu Haura.


“Eh, jemputlah makan. Panggil yang lain tu sekali.” pelawa Mak Wan. Senyuman terukir di bibir Mak Wan.

Haura segera memanggil semua pekerja yang ada di situ untuk menjamah juadah yang dihidangkan oleh Mak Wan sebentar tadi. Sementara menunggu yang lain sampai Haura menjengah ke meja melihat makanan apa yang dihidang oleh Mak Wan.


“Wah, ada sardin gulung. Kuih kegemaran saya ni.” Ujar Haura apabila melihat kuih tersebut di atas meja.


“Cubalah, Mak Wan buat sendiri tau.” Pelawa Mak Wan sekali lagi apabila melihat Haura begitu teruja untuk mencuba kuih tersebut.

Tanpa membuang masa Haura terus menarik kerusi untuk duduk. Dia menyambar kuih tersebut lalu digigitnya perlahan. Matanya terbuntang. Pandangannya beralih kepada Mak Wan yang berdiri di sisinya.


“Mak Wan! Sedapnya kuih ni. Dah lama tau Haura cari kuih sardin gulung yang sedap macam ni.” Tutur Haura dengan penuh teruja.


“Alhamdulillah. Kalau kamu suka makanlah lagi. Mak Wan ada kerja sikit dekat dalam. Mak Wan masuk dulu ya.” balas Mak Wan kemudian meminta diri untuk masuk ke dalam rumah.

Seorang demi seorang pekerja datang ke meja untuk menjamu selera. Mata Haura leka memerhati sekeling laman.


“Barang untuk decoration semua dah ada ke? Letak dekat mana?” tanya Haura pada salah seorang pekerja tersebut. Dia ingin memeriksa barang tersebut sebelum proses pemasangan dilakukan.


“Ada dekat tepi sana. Dekat dengan bilik stor.” Balas lelaki tersebut. Dia kemudian menyambung makan sebelum meneruskan kerja pemasangan khemah.

*****

Mikael menaiki lif seorang diri. Dia sedang dalam perjalanan menuju ke keretanya untuk pulang ke rumah. Ketika dia berjalan melepasi petak tempat Haura meletakkan keretanya semalam, dia telah ternampak sesuatu pada lantai tersebut. Mikael menghampirinya lalu duduk bercangkung untuk melihat benda itu dengan lebih jelas lagi. Dia mencalitkan jarinya pada cecair yang hampir kering itu lalu dihidunya. Mukanya berkerut.


“Minyak apa pulak ni?” soal Mikael sendiri. Dia mula rasa tidak sedap hati.

Mikael bingkas bangun lalu dia mengeluarkan sapu tangan dari kocek baju kotnya. Dia segera mengelap kesan minyak yang ada pada jarinya itu. Mikael kemudiannya telah mengeluarkan telefon bimbitnya lalu membuat panggilan keluar.


“Hello, Man. Kereta semalam macam mana?” tanya Mikael.


“Aku baru nak call kau. Nak bagitahu pasal kereta tulah.” Balas Luqman disebalik telefon.


“Kenapa dengan kereta tu?” tanya Mikael ingin tahu.


“Aku rasa ada masalah sikit la Mika. Tapi susah untuk aku bagitahu kau melalui telefon macam ni. Kau datang tempat aku boleh?” ujar Luqman panjang lebar. Mikael dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena pada kereta milik Haura itu.


“Kau text aku alamat. Nanti kejap lagi aku sampai.” Balas Mikael sebelum mematikan panggilan tersebut.

Beberapa ketika kemudian Mikael tiba di perkarangan bengkel. Luqman berjalan keluar untuk bertemu dengan rakannya itu.


“Apa yang kau nak bagitahu aku tu?” tanya Mikael penuh tanda tanya.


“Jom kita masuk dulu. Kita borak dekat dalam.” Balas Luqman. Mikael mengekorinya dari belakang.


“Cuba kau tengok tayar ni. Apa yang kau nampak?” Luqman bertanya kepada Mikael setelah pekerja di bengkel tersebut mengangkat kedua tayar kereta Haura lalu diletakkan di depan mereka.


“Aku rasa ada orang sengaja pancitkan tayar kereta ni.” Ujar Luqman lagi.


“Apa maksud kau?” soal Mikael.


“Kau tengoklah ni, dua-dua tayar ni ada kesan macam kena tusuk dengan benda tajam.” Balas Luqman sambil menunjukkan kesan tusukan pada tayar tersebut.


“Kalau kau tanya aku memang aku akan cakap, ada orang yang dengki atau cuba untuk melakukan perkara yang tak baik pada perempuan ni.” Tambah Luqman lagi. Dia memberikan pendapatnya. Mikael berfikir sejenak.


“Selain dari tayar ni, lain-lain kerosakkan ada tak?” tiba-tiba Mikael bersuara setelah mendiamkan diri buat seketika.

“Maksud kau?” tanya Luqman kembali. Dia sedikit pelik dengan pertanyaan tersebut.


“Tadi aku ada nampak kesan minyak tumpah dekat tapak parking dia semalam. Aku syak ada benda yang bocor. Nanti kau tolong check sekali.” Ujar Mikael yang kedengaran sedikit risau. Luqman mengangguk faham.


“Nanti apa-apa hal kau terus je call aku.” Tambah Mikael lagi sebelum dia mengundur diri untuk pulang.

*****

Jam ditangannya sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Haura mula mempersiapkan diri untuk pulang setelah hampir 4 jam dia berada di situ. Haura masuk ke dapur untuk menyapa Mak Wan sebelum dia berangkat pulang.


“Mak Wan, Haura balik dulu ya. InshaAllah esok saya datang lagi.” Sapa Haura.


“Tunggu sekejap!” balas Mak Wan yang sedang menyiapkan perkakas untuk memasak makan malam itu. Dengan cepat dia membasuh tangannya.


“Kenapa Mak Wan?” tanya Haura pelik. Mak Wan mengambil satu beg plastik yang berada di atas kabinet dapur.


“Nah, ambil ni.” Balas Mak Wan sambil menghulur beg plastik tersebut.


“Apa ni Mak Wan?”


“Sardin gulung. Mak Wan ada buat lebih tadi. Yang ini kamu ambil la.” Balas wanita itu. Haura tersenyum simpul.


“Alah Mak Wan ni, buat susah-susah je.” Balas Haura sambil mengintai dalam beg tersebut.


“Tak ada apa yang susah pun. Kuih ni belum goreng lagi tau. Bolehlah simpan dalam peti ais. Nak makan nanti kamu goreng la sendiri.” Ujar Mak Wan lagi.


“Baik Mak Wan. Terima kasih tau.” Tutur Haura kemudian memeluk wanita itu. Haura kemudian berlalu pergi.

Para pekerja dilihat sedang bersiap-siap untuk pulang. Haura kemudian berjalan keluar menuju ke keretanya. Namun tingal beberapa langkah sahaja lagi untuk dia sampai di kereta, sebuah kereta Vellfire berwarna hitam bergerak masuk. Haura berhenti berjalan memberi laluan pada kereta itu untuk masuk ke bawah garaj. Dari jauh Haura melihat kelibat satu pasangan yang keluar dari kereta tersebut.

PUKKK!

Beg plastik yang dipegang oleh Haura terlepas dari genggamannya. Tangannya mula menggigil. Dia sungguh terkejut melihat pasangan tersebut. Sesungguhnya dia sangat mengenali mereka berdua.


“Sy-Syahmi….” tutur Haura perlahan. Jantungnya mula berdegup kencang.

Entah kenapa hatinya kembali terasa sakit apabila melihat Syahmi dah Soraya yang kelihatan sungguh bahagia bersama. Haura memerhatikan mereka untuk beberapa ketika. Tanpa diduga Syahmi telah terpandang ke arah Haura yang tegak berdiri di pinggir laman. Air muka Syahmi juga mula berubah. Soraya turut memandang sama. Mereka berdua berbalas pandang.


“Haura!” panggil Syahmi yang sudah mula mara ke hadapan.

Haura tersentak dengan panggilan tersebut. Dia sedar bahawa Syahmi dan Soraya sudah perasan akan dirinya itu. Haura segera mengambil semula beg plastik berisi sardin gulung yang berada di lantai lalu berjalan pantas menuju ke keretanya.


“Haura, tunggu dulu!” Panggil Syahmi lagi apabila melihat Haura yang ingin menghindarkan diri darinya itu. Langkah Haura terhenti.


“Awak apa khabar?” tanya Syahmi perlahan. Namun Haura hanya mendiamkan dirinya.


“Banyak kali saya cuba contact awak, tapi tak dapat.” Tambahnya lagi.

Haura menggenggam kuat kedua belah tangannya. Berbekalkan segala kekuatan yang ada dia berpaling memandang wajah Syahmi.


“Alhamdulillah, saya okay je.” Balas Haura. Sebuah senyuman palsu diukirnya. Mata Haura beralih melihat Soraya yang sedang mendukung seorang anak kecil.


“Anak awak ke tu?” tanya Haura dengan penuh kesabaran di dada. Syahmi berpaling melihat isterinya yang berada tidak jauh di belakangnya. Syahmi kemudian menganggukkan kepalanya. Setelah itu keadaan menjadi senyap seketika.

Di saat itu tanpa Haura sedari kereta Mikael sudah pun tiba di perkarangan kediaman Puan Sri Normah. Dari jauh Mikael melihat Haura dan Syahmi yang kelihatan seperti sedang berbual-bual. Dia kemudian keluar dari keretanya lalu berjalan untuk masuk ke dalam rumah.


“Saya sebenarnya nak minta maaf dengan awak.” Tutur Syahmi sedikit sebak. Dia benar-benar rasa bersalah dengan apa yang telah dia lakukan kepada Haura.

Haura hanya mendiamkan diri. Dia sudah tidak mampu untuk bersuara. Dadanya terasa sungguh sesak. Mukanya pula sudah merah padam kerana terlalu menahan perasaannya. Ingin saja dia berlari meninggalkan Syahmi sendirian. Melihat dari riak wajah Haura dan Syahmi ketika itu, Mikael dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena antara mereka berdua.


“Haura! Kau buat apa dekat sini?” sampuk Mikael dari belakang. Mendengarkan suara yang sangat dikenaliya itu, sepantas kilat Haura berpaling.


“Encik Mikael…” balas Haura perlahan sambil menahan sebak. Matanya memandang tepat ke mata Mikael. Sedaya upaya Haura cuba mengawal airmatanya daripada menitik ke bumi.

Bagai terpanah dengan pandangan tersebut. Hati mikael terasa ngilu melihat keadaan Haura yang sedemikian rupa. Matanya beralih ke arah Syahmi yang sedang berdiri di belakang Haura. Soraya berjalan menghampiri mereka. Nafas Haura sudah semakin laju. Dia menekap dadanya yang terasa sesak itu.


“Saya balik dulu.” Ujar Haura lalu bergegas menuju ke keretanya. Wajah Mikael langsung tidak dipandangnya. Mikael terpinga-pinga. Terbit sedikit rasa bimbang dihatinya melihat Haura dalam keadaan seperti itu.

*****

Haura memecut laju keretanya. Airmata sudah tidak dapat dibendung lagi. Dengan laju ia bercucuran jatuh dipipinya. Haura menyangkakan dirinya sudah melupakan Syahmi. Namun dia tewas apabila kembali bersua muka dengan bekas tunangnya itu. Rupa-rupanya nama lelaki itu masih lagi tersemat di dalam lubuk hatinya dan tidak pernah terpadam.

Oleh kerana tidak dapat menahan rasa dihatinya itu, Haura menghentikan kereta dipinggir jalan. Dia cuba untuk menenangkan dirinya agar tidak mengenangkan lagi kisah silamnya dengan Syahmi. Tidak lama kemudian dia menyambung kembali perjalanannya lalu pulang ke rumah.

Haura telah mengurungkan dirinya di dalam kamar mandi buat seketika. Dia melepaskan tangis sepuas hatinya. Apabila keadaan sudah kembali tenang barulah dia keluar dari kamar mandi tersebut. Usai solat maghrib, Haura merebahkan dirinya di katil dengan telekung masih terpasang ditubuhnya.

Kringgg! Kringgg! Kringgg!

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dengan malas Haura mengambil telefon tersebut lalu melihat nama si pemanggil. Dia segera bangkit dan membetulkan posisi duduknya sebelum menjawab panggilan tersebut.


“Assalamualaikum, Haura.” sapa Datin Safiah di sebalik telefon.


“Waalaikumussalam opah.” Balas Haura. Dia cuba membalas dengan nada yang ceria namun tetap kedengaran sedikit hambar.

Datin Safiah dapat menghidu perkara tersebut. Dia segera meminta Haura pulang ke rumah ibu bapanya pada malam itu. Pada awalnya Haura menolak namun setelah dipujuk oleh opahnya Haura mengalah.

harap korang enjoy baca chapter kali ni. maaf kalau ada kesalahan tatabahasa @ typo yg tak pernah sudah. heee~

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience