BAB 83

Drama Completed 919405

Pagi ahad yang nyaman. Puan Sri Normah bersama dengan Datin Norlie sedang berbual mesra dilaman. Mak Wan keluar dengan membawa satu dulang berisi air kopi buat mereka. Sepinggan kuih-muih disertakan sekali sebagai pemanis mulut.


"Jemput minum mak." Pelawa Datin Norlie setelah Mak Wan selesai menghidangkan minuman tersebut ke atas meja. Puan Sri Normah memandang Mak Wan sambil tersenyum sebagai tanda berterima kasih. Cawan kopi ditariknya dekat.


"Sejak dah nak kahwin ni susah betul mak nak tengok muka budak Mika tu. Dekat pejabat memang susah nak jumpa sebab mak pun dah jarang ke sana. Tapi dekat rumah waktu hujung minggu macam ni pun susah juga? Sarapan tadi pun dia tak turun." Bebel Puan Sri Normah. Datin Norlie sekadar tersenyum. Air kopi dihirup perlahan.


"Mika bukan tak nak turun mak tapi dia dah keluar lepas solat subuh tadi. Dia cakap nak balik ke kondo dia sekejap." Balas Datin Norlie sambil meletakkan cawan kopi miliknya ke atas piring di meja.

Puan Sri Normah menunjukkan riak yang sedikit terkejut. Pada pengetahuannya Mikael sudah lama tidak berkunjung ke kondominium tersebut selepas kematian Sophia. Namun kini dia sudah boleh tersenyum melihat perubahan cucunya itu.


"Buat apa dia ke sana? Bukan ke dah lama dia tak balik ke kondo tu." Tanya Puan Sri Normah lagi untuk kepastian. Datin Norlie menggelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak dapat membaca dan meneka apa yang bermain difikiran anak lelakinya itu.


"Tapi kan mak kawan Nor ada bagitahu yang dia kerap terserempak dengan Mika dekat lobi kondo tu. Dia selalu nampak Mika dengan seorang perempuan keluar masuk kondo tu." Ujar Datin Norlie. Puan Sri Normah berkerut.

Dia mula berasa tidak sedap hati. Sebelum ini dia pernah mendengar perkhabaran yang sebegitu ketika lelaki itu baru pulang ke Malaysia. Ramai kenalan yang memberitahunya tentang kelakuan Mikael yang keluar masuk hotel dengan wanita yang berlainan setiap hari. Dan perkara itu sahih dan bukan sekadar rekaan semata. Namun kini timbul sekali lagi berita yang sedemikian.


"Perempuan mana pula yang Mika duduk usung ke kondo dia tu?" Soal Puan Sri Normah. Kali ini nada suaranya sedikit keras.


"Nor sendiri tak pasti mak. Dah banyak kali Nor nak tanya Mika tapi asyik sibuk je manjang. Naik risau pula Nor, dia kan dah bertunang tak lama lagi nak nikah." Balas Datin Norlie.

Tidak lama selepas itu ada suara tetamu yang memberi salam. Azrael dan Khayla datang menghampiri mereka. Datin Norlie tersenyum lebar sambil bergegas mendapatkan cucu sulungnya dari Azrael.


"Wah cucu tokma datang hari ni." Ujar Datin Norlie riang. Puan Sri Normah turut mengukirkan senyuman yang lebar.


"Kenapa tak bagitahu yang kamu nak datang. Nasib baik nenek tak pergi mana-mana hari ni." Ujar Puan Sri Normah pula kepada Khayla. Wanita itu tersenyum sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam.


"Kami sebenarnya tak plan pun nak datang hari ni. Tapi Khayla ni tiba-tiba je tukar plan last minit sebab itulah kami sampai hari ni." Balas Azrael.

Puan Sri Normah menggelengkan kepala sambil tersenyum lebar. Dia kemudian mempelawa Khayla dan Azrael untuk masuk berbual di ruang tamu.

Menjelang waktu makan tengah hari Datin Norlie bersama menantunya sibuk di dapur bagi menyiapkan juadah buat mereka. Puan Sri Normah mengambil peluang itu untuk bertanyakan perihal Mikael kepada abangnya, Azrael.


"Nenek nak tanya kamu sikit, pasal Mikael." Tanya Puan Sri Normah pendek.


"Tanya apa tu nenek? Macam serius je." Balas Azrael pelik. Dahinya dikerutkan sedikit.


"Sejak kebelakangan ni nenek tengok Mikael kerap balik ke kondo dia tu, kenapa ye? Ada yang cakap nampak dia keluar masuk dengan perempuan. Nenek risau kalau kelakuan lama dia tu berulang kembali." Tanya Puan Sri Normah berbaur risau.

Dia tidak mahu cucunya itu kembali menjadi buah mulut orang ramai. Maklumlah keluarga mereka mempunyai kenalan yang ramai jadi perkara itu sangat memberi impak kepada mereka jika benar apa yang dikatakan itu. Namun Azrael sekadar tersenyum mendengar pertanyaan dari neneknya itu. Puan Sri Normah sedikit kebingungan melihat reaksi yang diberikan oleh Azrael itu.


"Yang kamu tersenyum tu dah kenapa? Nenek serius ni." Ujar Puan Sri Normah lagi. Azrael menggelengkan kepalanya. Tidak semena-mena riak wajahnya terus berubah menjadi serius.


"Mikael ni tak habis-habis buat orang risau. Suka sangat agaknya kalau orang bercakap pasal dia setiap masa." Bisik Azrael perlahan. Puan Sri Normah berkerut.


"Kamu cakap apa tu? Bagi jelas sikit boleh tak? Nenek ni dah tua, pendengaran pun dah tak berapa nak bagus." Balas Puan Sri Normah yang melihat cucunya itu seperti memamah kata-katanya sendiri. Azrael tersengih.


"Memang betul Mika kerap balik ke kondo tu nenek. Memang betul ada perempuan yang tinggal di kondo dia tu." Ujar Azrael bersahaja. Puan Sri Normah membuntangkan matanya.

Namun belum sempat lelaki itu menghabiskan kata-kata, sepantas kilat yang menyabung dilangit neneknya itu memotong. Kepalanya digelengkan berkali-kali. Riak kecewa juga jelas terpancar di wajah tuanya itu.


"Astaghfirullah-hal-azim, apa nak jadi dengan adik kamu tu. Dah bertunang pun masih nak berfoya-foya lagi ke? Nenek ingat dia dah ubah perangainya tu. Apa nenek nak cakap pada keluarga Haura nanti." Tutur Puan Sri Normah kecewa. Ya, dia benar-benar kecewa dengan cucunya itu.


"Kenapa dengan keluarga Haura nenek?"

Tiba-tiba ada satu suara yang sangat dikenali bertanya kepada Puan Sri Normah. Serentak dengan itu dia berpaling ke arah Mikael yang baru saja tiba di rumah. Lelaki itu memandang wajah abang serta neneknya silih berganti.


"Baru je sebut nama dah muncul. Nenek ni ada benda sikit nak bincang dengan kamu." Ujar Azrael sambil tersenyum. Puan Sri Normah masih mengunci pandangan tajamnya kepada Mikael.


"Oh yeke? Kebetulan Mika pun ada benda juga nak bagitahu pada semua orang."

Puan Sri Normah memandang Azrael dengan riak yang pelik. Lelaki itu sekadar mengangkat bahunya tanda tidak tahu. Mikael kemudian berjalan mengambil tempat bersebelahan dengan abangnya itu.


"Nenek nak bincang apa dengan Mika?" Tanya Mikael bersahaja. Puan Sri Normah menghela keluh panjang.

"Susah betul nenek nak tengok batang hidung kamu sekarang ni. Tadi kamu pergi ke mana?" Tanya Puan Sri Normah.

"Jumpa Luqman kejap tadi dekat kondo." Balas Mikael tanpa berselindung. Wajah wanita tua itu sedikit berkerut.


"Eh budak ni. Tak ada rasa bersalah langsung." Bisik hati Puan Sri Normah.


"Betul ke kamu pergi jumpa Luqman? Bukan jumpa dengan perempuan simpanan kamu?"

Tidak mahu memanjangkan lagi isu tersebut, Puan Sri Normah tanpa berselindung terus bertanya tentang hal yang sebenar kepada Mikael. Mata Mikael terbuntang luas. Dia agak terkejut dengan pertanyaan yang diajukan oleh neneknya itu.


"P-perempuan simpanan? Bila masa pula Mika simpan perempuan ni nenek? Mengarut ajelah." Balas Mikael sedikit gagap dek rasa terkejut.


"Ada orang nampak kamu keluar masuk kondo tu dengan perempuan. Kamu jangan macam-macam Mika, ingat sikit yang kamu tu dah bertunang. Tak lama lagi dah nak jadi suami orang."

Usaia sahaja neneknya itu meluahkan rasa bimbangnya Mikael ketawa terbahak-bahak. Puan Sri Normah sedikit kaget. Azrael yang berada di samping Mikael turut tersenyum lebar. Dah buang tabiat ke kedua cucunya itu?

Namun setelah melihat Mikael yang seakan-akan tidak mengambil serius tegurannya itu membuatkan Puan Sri Normah menarik muka masam. Azrael yang sedar akan perkara itu segera mencuit peha Mikael yang masih lagi tertawa.


"Mika! Serius sikit boleh tak? Nenek dah merajuk tu." Bisik Azrael. Mikael segera memalingkan wajahnya ke arah Puan Sri Normah yang sedang merenungnya tajam.


"Okay, Mika minta maaf. By the way, siapa yang sampaikan berita karut tu pada nenek? Tak pasal-pasal Mika kena tuduh ada perempuan simpanan." Tanya Mikael kepada neneknya namun Puan Sri Normah sekadar diam membisu. Bukan itu jawapan yang dia mahukan.


"Mika mengaku memang betul ada perempuan yang tinggal di kondo Mika tu. Dan perempuan tu juga adalah Haura, tunang Mika sendiri. Bukan perempuan lain nenek." Jelas Mikael sambil memandang wajah Puan Sri Normah yang kelihatan agak terkejut dengan kenyataan dari cucunya itu.


"Haura? Macam mana dia boleh ada dekat kondo kamu? Atau kamu berdua ni......"

Belum sempat Puan Sri Normah menghabiskan kata-katanya, sepantas kilat Mikael memintas. Dia tidak mahu neneknya terus salah faham dengan situasi tersebut.


"Tak, bukan macam tu nenek. Sebenarnya ada stalker yang selalu ikut Haura balik ke rumah jadi dia rasa tak selamat. Tambah pula Mona tak ada, pergi outstation. Jadi sebab itulah Mika suruh dia stay dekat kondo tu dulu buat sementara waktu." Ujar Mikael lagi.

Setelah mendengar penjelasan yang panjang dari cucunya itu barulah Puan Sri Normah menghela nafas lega.


"Alhamdulillah, lega nenek dengar. Bukan apa kamu tu ada banyak mata yang memandang. Setiap gerak geri boleh menjadi buah mulut orang. Nenek tak mahu gosip murah macam itu merosakkan majlis kamu yang akan berlangsung tak lama lagi." Ujar Puan Sri Normah panjang. Mikael berkali-kali menganggukkan kepalanya.

*****


"Gambar sampah apa yang kau bagi pada aku ni?" Tempik Datin Noreen disebalik telefon. Serentak dengan itu Suri menjauhkan telefon bimbitnya dari telinga dek rasa bingit. Mukanya berkerut sambil menyentuh telinganya.

Buat seketika dia membiarkan wanita itu mengamuk sendirian disebalik telefon. Setelah suara yang bingit tadi tidak lagi kedengaran barulah dia merapatkan kembali telefon bimbit ke telinganya.


"Dah habis dah?" Tanya Suri sarkastik. Datin Noreen berdengus marah.


"Kenapa kau sampaikan berita palsu pada aku? Kau memang nak balas dendam pada aku kan? Kau berdendam sebab aku tak backup kau masa kau kena pecat dari Khazzan Group, betul tak?" Bergetar suara Datin Noreen menahan amarahnya. Suri melepaskan tawa kecil.


"Aku dah tengok bukti yang menunjukkan kau palsukan maklumat kau tu. Apa yang kau nak sebenarnya? Sampai sanggup tabur fitnah merata-rata?" Lantang Datin Noreen bersuara.

Dia sendiri tidak menyangka yang dia akan termakan kata hasut yang disampaikan oleh Suri itu. Padahal dari awal lagi dia sudah tahu wanita itu bukan seseorang yang boleh dipercayai. Namun kerana maruah dan nama dia dengan mudah memakan hasutan tersebut.


"Palsu? Datin yakin ke hubungan mereka tu palsu?"


"Apa maksud kau?"


"Wah, nampaknya masih banyak rahsia yang dia simpan dari pengetahuan datin ye. Kalau datin nak tahu Syahmi dan Haura tu pernah bertunang. Tapi sayang hubungan mereka terkandas di tengah jalan gara-gara anak perempuan datin yang datang mengganggu dan musnahkan impian mereka. Kalau anak datin tu tak menggatal dengan Syahmi, mungkin dia dengan Haura dah hidup bahagia sekarang ni. Mak dengan anak sama je perangai." Ujar Suri panjang lebar.

Datin Noreen diam tidak berkutik. Dia benar-benar tidak tahu akan perkara tersebut. Fikirannya kosong buat seketika. Lidahnya juga kelu untuk berkata-kata.


"Kau tak payah nak reka cerita la. Aku kenal anak aku tu. Dia bukannya spesis kau yang tergila-gilakan hak orang. Kerja nak merampas je. Dah la hidung tu tak mancung pipi pula tersorong-sorong. Anak aku tu jauh lebih elok perangainya dari kau, macam langit dengan bumi. Aku yakin jantan tu sebenarnya yang terhegeh-hegehkan anak aku. Kalau bukan sebab dia anak aku dah bahagia dengan calon pilihan aku." Balas Datin Noreen beberapa ketika kemudian menafikan hal tersebut. Agak keras nada suaranya.


"Yelah, kerana anak datin tu bukan spesis sayalah yang buatkan dia lari dan nikah senyap-senyap dengan tunang orang kan. Kerana perangai dia lebih elok dari saya jugalah sampai datin tak mengaku dia sebagai anak datin kan. Jangan ingat saya tak tahu semua tu datin." Bidas Suri sinis. Tawa kecil turut kedengaran di akhir kata.

Datin Noreen makin menyirap. Dia rasa terhina dengan kata-kata yang keluar dari mulut Suri itu. Dasar mulut tak ada insuran! Busuk macam longkang!


"Lepas ni kau jangan cuba nak contact aku lagi. Aku dah taknak ada apa-apa kaitan lagi dengan kau. Kalau kau rasa nak sebarkan semua maklumat yang kau dapat tu silakan. Tapi kau kena ingat, aku takkan teragak-agak untuk ambil tindakan pada kau. Kalau sebelum ni Haura boleh lepaskan kau dari meringkuk di dalam penjara atas cubaan membunuh, kali ni aku sendiri yang akan humban kau ke dalam." Ujar Datin Noreen berbaur ugutan.

Setelah itu dia terus mematikan panggilan telefon tersebut tanpa menunggu kata balas dari wanita itu. Suri berasa sungguh panas hati. Rancangannya untuk terus menggunakan wanita itu sebagai medium untuk menghapuskan Haura sekali lagi tidak berjaya.

*****

Dikediaman Puan Sri Normah, kesemua ahli keluarga Dato' Rizal berkumpul. Setelah usai menjamu makan tengah hari mereka semua berkumpul dia ruang tamu.


"Mika tadi bukannya kamu cakap nak bagitahu sesuatu, apa dia?" Tanya Puan Sri Normah kepada Mikael yang baru melabuhkan punggung di kerusi. Lelaki itu menganggukkan kepalanya. Kesemua mata yang ada telah tertumpu kepadanya.


"Mika harap semua orang boleh bertenang lepas dengar apa yang Mika nak sampaikan ni." Tutur Mikael memberi amaran.


"Pasal apa pula ni Mika? Kamu jangan buat mama risau boleh tak." Ujar Datin Norlie resah. Suaminya yang berada di sisi kelihatan tenang menantikan pengumuman dari anaknya itu meskipun jauh di sudut hati dia berasa ahak risau.


"Mika dengan Haura dah bersetuju untuk bernikah pada hari Jumaat ni." Tutur Mikael satu persatu dengan jelas. Disusuli dengan hembusan nafas yang lega.


"Apa?" Ucap Datin Norlie kuat. Bergema di segenap ruang tamu rumahnya itu. Serentak dengan itu dia berdiri memandang wajah anak terunanya itu. Kesemua yang berada di situ berasa sangat terkejut dengan pengumuman dari Mikael itu. Mikael sekadar tersenyum.


"Hari Jumaat? Kenapa tiba-tiba nak percepatkan tarikh nikah ni? Bukan lagi dua bulan ke?" Tanya Azrael yang turut terkejut dengan berita itu.


"Kamu dah bincang dengan keluarga pihak perempuan ke Mikael? Kita tak boleh nak buat keputusan sendiri, kena ada persetujuan dari pihak sebelah sana juga. Risau ada mulut busuk yang sebarkan berita palsu nanti." Giliran Dato' Rizal bersuara. Puan Sri Normah menganggukkan kepalanya.

"Yang tu papa jangan risau Mika dah jumpa dengan keluarga Haura tadi. Mereka semua dah bersetuju. Akad nikah nanti Mika nak buat dekat masjid je, sekadar cukup syarat. Tetamu pun dari kalangan ahli keluarga terdekat je. Majlis bersanding nanti baru ikut seperti yang dirancang dengan pihak wedding planner." Jelas Mikael panjang lebar.


"Kalau macam tu maknanya berbaki empat hari je lagi untuk kita buat persiapan. Sempat ke? Kenapa tak tunggu hujung bulan." Tanya Puan Sri Normah. Mikael sekadar tersengih. Neneknya itu menggelengkan kepalanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience