BAB 92

Drama Completed 919597

Puan Sri Normah duduk bersantai di halaman rumahnya sambil menghirup air teh panas. Mukanya sedikit berkerut seolah-olah ada sesuatu yang sedang mengganggu dibenak fikirannya. Wajahnya segera berubah apabila terdengar suara tangisan kanak-kanak yang kian jelas kedengaran dicuping telinganya. Tidak lama selepas itu Datin Norlie muncul disebalik sliding door.


"Kenapa tu Nor?"


"Entahlah mak celik je mata tiba-tiba je menangis. Dari semalam tak henti-henti meragam." Balas Datin Norlie. Puan Sri Normah menghulurkan tangannya untuk mengambil cicitnya itu dari dukungan Datin Norlie.


"Tinggi suhu badannya ni patutlah asyik merengek je." Ujar Puan Sri Normah berbaur risau. Datin Norlie menganggukkan kepalanya mengiakan apa yang diberitahu oleh ibunya itu.


"Demam rindu agaknya. Maklumlah pertama kali berjauhan dengan mummy dan daddy dia."

Bermacam-macam gaya Puan Sri Normah lakukan untuk memujuk supaya cicitnya itu berhenti menangis namun sia-sia belaka. Begitu juga dengan Datin Norlie yang sudah 3 hari bersengkang mata menjaga anak kepada Soraya dah Syahmi itu memandangkan mereka berdua ada urusan di luar negara.


"Dah tiga hari budak ni ada dekat sini, sekali pun nenek dia tak ada datang jenguk. Padahal dialah orang yang paling beria suruh bawa Shafiy ke sini." Omel Datin Norlie. Suaranya tenggelam timbul.


"Jangan katakan jenguk, tanya khabar pun tak ada. Mak tak faham betul dengan perangai kakak kamu tu Nor." Luah Puan Sri Normah pula. Datin Norlie sekadar tersenyum ke arah ibunya itu.

Tidak semena-mena fikirannya mengimbau kembali detik di mana Datin Noreen dengan tergesa-gesa datang ke kediaman tersebut meminta supaya Puan Sri Normah memujuk Soraya untuk tidak menghantar anaknya ke pusat asuhan buat sementara waktu.


"Mak oh mak!" Laung Datin Noreen dari muka pintu memanggil Puan Sri Normah. Datin Norlie yang kebetulan sedang berbual dengan Mak Wan di laman segera bergegas mendapatkan kakaknya itu.


"Mak mana Nor? Aku nak jumpa dengan mak." Ujar Datin Noreen setelah melihat kelibat Datin Norlie yang muncul di hadapannya.


"Kenapa kalut sangat ni kak? Cuba bawa bertenang." Balas Datin Norlie apabila melihat wanita itu yang tidak ubah bagai cacing kepanasan. Dia kemudian menarik tangan kakaknya itu lalu duduk di sofa yang tersedia di ruang tamu rumah tersebut.


"Mak ada dekat dalam bilik dia, tengah solat. Sekejap lagi keluarlah tu." Tutur Datin Norlie. Datin Noreen tidak mengeluarkan sebarang patah bicara. Air mukanya kelihatan sangat kusut. Riak bimbang sangat jelas kelihatan diwajahnya. Datin Norlie sedikit pelik melihat keadaan kakaknya itu.

Beberapa minit kemudian Puan Sri Normah melangkah keluar dari kamarnya lalu menuju ke ruang tamu. Datin Noreen yang sedari tadi menunggu kehadiran ibunya itu segera berlari mendapatkan mendapatkannya apabila kelibat wanita itu muncul di kaca pandangannya.


"Mak, Reen nak minta tolong dengan mak sikit. Reen harap sangat mak boleh bantu." Ujar Datin Noreen seraya menggenggam tangan ibunya itu. Puan Sri Normah sedikit terperanjat dengan kelakuan pelik anak sulungnya itu. Dia segera memandang ke arah Datin Norlie yang sedang berdiri tidak jauh dari situ. Datin Norlie menjongketkan bahunya sedikit tanda tidak tahu.


"Kot ye pun bagilah mak duduk dulu." Balas Puan Sri Normah dengan nada bergurau.

Dia kemudian mengambil tempat di salah satu sofa yang ada di ruang tamu kediamannya itu. Serentak dengan itu, Mak Wan keluar membawa dulang air lalu dihidangkan. Setelah pembantu rumahnya itu berlalu pergi barulah Puan Sri Normah membuka bicaranya.


"Masalah apa lagi yang kamu dah buat kali ni Noreen?" Tanya Puan Sri Normah selamba.


"M-mana ada mak." Balas Datin Noreen gagap. Puan Sri Normah tidak memberikan sebarang respon. Dia sekadar merenung anaknya itu.


"Boleh tak kalau mak jaga anak Soraya buat sementara waktu. Jangan bagi dia hantar anak dia ke pusat asuhan." Ujar Datin Noreen meluahkan isi hatinya. Puan Sri Normah dan Datin Norlie saling berbalas pandang.


"Kenapa tiba-tiba je akak nak mak jaga cucu akak tu? Pusat asuhan tu bermasalah ke?" Tanya Datin Norlie sambil meletakkan cawan ke atas meja.


"Semua tu tak penting, sekarang ni boleh atau tak kalau budak tu tinggal dekat sini buat sementara waktu?"


"Yang kamu beria sangat nak suruh budak tu tinggal dekat sini kenapa? Kalau kamu rasa dia memang tak boleh duduk dekat pusat asuhan tu apa kata kamu je yang jaga dia. Lagipun kamu tu bukan orang lain nenek dia juga, kan." Balas Puan Sri Normah. Datin Norlie sekadar mengangguk. Namun sepantas kilat Datin Noreen menggelengkan kepalanya.


"Tak boleh! Reen tak akan bawa budak tu balik ke rumah Reen." Balas Datin Noreen sedikit lantang. Terbit riak kecewa di wajah Puan Sri Normah.


"Kalau mak tak nak jaga dia mak bagitahu ajelah. Tak payah nak sindir macam tu." Tambahnya lagi.


"Nor tak ada masalah untuk jaga Shafiy tu tapi kenapa akak nak dia tinggal dekat sini?" Datin Norlie yang sedari tadi hanya mendiamkan diri mula menyampuk.


"Yang tu kau tak perlu tahu. Yang penting sekarang, lepas ni Soraya tak akan hantar anak dia ke pusat jagaan tu lagi." Ujar Datin Noreen serius.


"Nor tak fahamlah dengan akak ni. Sekejap benci sekejap caring. Nor harap akak tak simpan lama lah ego akak tu takut menyesal di kemudian hari." Balas Datin Norlie berbaur sindiran.


"Kau tak payah nak ajar aku. Aku tahu apa yang aku buat. Memandangkan mak pun dah setuju nak jaga budak tu, jadi Reen balik dulu lah." Ujar Datin Noreen sebelum berlalu pergi meninggalkan ibu serta adiknya itu.


"Nor kejap lagi kamu call doktor untuk datang ke sini." Ujar Puan Sri Normah kepada Datin Norlie namun tiada sebarang respon dari anaknya itu. Dia cuba memanggil anaknya itu beberapa kali namun masih tidak berhasil. Wanita itu masih leka dalam lamunannya.


"Norlie!" Panggil Puan Sri Normah untuk kesekian kalinya. Kali ini nadanya lebih lantang dan meninggi. Tersentak dengan panggilan tersebut Datin Norlie segera mengambil Shafiy dari ibunya itu.


"Mak cakap apa tadi Nor tak berapa jelaslah."


"Macam mana nak dengar kalau fikiran tu dah melayang jauh entah ke mana." Balas Puan Sri Normah. Datin Norlie tersengih apabila diperli oleh ibunya itu.


"Sekejap lagi kamu call doktor dan suruh dia datang ke sini secepat yang mungkin. Mak risau juga kalau keadaan Shafiy jadi makin teruk nanti." Ujar Puan Sri Normah sekali lagi. Datin Norlie sekadar menganggukkan kepalanya.

*****


"Kenapa pula Norlie tiba-tiba nak jumpa dengan aku?" Bisik Datin Noreen di dalam hati. Dia yang sedang beristirehat di rumahnya mula berasa hairan setelah usai menjawab panggilan dari adiknya itu. Tidak mahu perkara itu mengganggu waktu rehatnya, dia segera menyingkirkan segala anasir yang negatif dari mindanya.

Lebih kurang setengah jam kemudian Datin Norlie tiba di kediaman kakaknya itu. Dia kemudian menekan hon keretanya beberapa kali. Datin Noreen yang kebetulan baru sahaja bersiap untuk keluar segera mendapatkan wanita itu. Hatinya sedikit panas dengan kelakuan adiknya yang membunyikan hon berkali-kali itu.

Dia sebenarnya telah menolak pelawaan Datin Norlie untuk berjumpa. Tapi dia tidak menyangka adiknya akan sampai di rumahnya secepat itu.

Apabila melihat kelibat Datin Noreen yang mula muncul di muka pintu barulah Datin Norlie keluar dari keretanya. Dia segera mendapatkan kakaknya yang sudah menunjukkan riak yang bengis kepadanya.


"Apa masalah kau? Datang ke rumah aku lepas tu buat bising dekat sini." Ujar Datin Noreen dengan nada yang sedikit marah.


"Sekejap lagi Nor ada appointment penting."


"So, apa kena mengena dengan aku?"


"Shafiy tengah tak sihat jadi nak kena bawa dia ke hospital untuk dapatkan rawatan. Yang jadi masalah sekarang ni Nor ada urusan lain. Boleh tak akak tolong bawa dia ke hospital." Datin Norlie meminta pertolongan dari kakaknya itu.

Datin Noreen membuntangkan kedua biji matanya akibat terkejut. Mereka sekeluarga sudah sedia maklum akan hubungan Datin Noreen dan juga anak perempuannya, Soraya. Dia juga tidak pernah walau sekali bermain dengan cucu sulungnya itu.


"Kau merepek apa ni Nor. Kau tahu aku tak akan ..."


"Kalau Nor tak ada urusan lain Nor tak akan datang ke sini untuk minta tolong dengan akak." Belum sempat Datin Noreen menghabiskan kata-katanya, Datin Norlie dengan pantas memotong.


"Nor tak fahamlah kenapa akak benci sangat dengan Shafiy ni padahal budak ni tak bersalah pun. Walau setebal mana pun rasa marah dan benci akak pada mak bapak dia, tolong jangan libatkan anak kecil ni. Dia tak berdosa." Lantang Datin Norlie memberi teguran kepada kakaknya itu. Datin Noreen diam seribu bahasa.


"Sampai bila akak nak layan ego akak tu? Sampai bila nak bermusuh dengan anak menantu sendiri?"


"Kau tak payah nak ajar akulah." Cantas Datin Noreen laju.

Tanpa menghiraukan kata-kata kakaknya itu Datin Norlie bergegas pergi ke keretanya lalu membawa Shafiy keluar lalu diserahkan kepada Datin Noreen.


"Sekarang ni akak bawa Shafiy pergi ke hospital sebab dah 3 hari dia demam. Nor dah buat appointment dengan doktor akak cuma perlu bawa dia ke sana je."

Tanpa sempat Datin Noreen membantah adiknya itu telah berlalu pergi meninggalkan Shafiy di dalam jagaannya. Wajah Shafiy ditatapnya lama. Tanpa dia sedar mutiara jernih mula bertakung di kelopak matanya.

*****

Mikael berjalan keluar dari sebuah cafe untuk ke keretanya yang terletak tidak jauh dari situ. Sebenarnya dia baru sahaja usai berjumpa dengan Luqman di cafe tersebut. Memang sudah menjadi rutinnya setiap hujung minggu untuk keluar lepak dengan sahabatnya itu.

Apabila kereta miliknya yang diparkir di jalan yang bertentangan muncul di kaca pandangan, Mikael segera menyeluk ke dalam kocek baju jaketnya sambil berjalan merentasi jalan. Malang tidak berbau, tanpa diduga dia telah berlaga dengan seseorang yang sedang berlari laju menuju ke arah tersebut. Dek perlanggaran tersebut Mikael tertolak kembali ke pinggir jalan. Kunci keretanya pula terlepas dari genggamannya.


"Maaf encik saya tak sengaja." Ucap seorang wanita dengan nafas yang tercungap-cungap. Namun belum sempat Mikael membalasnya wanita tersebut telah berlalu pergi meninggalkannya. Mikael hilang kata.


"Macam tu je kau minta maaf?" Bisik Mikael berbaur marah.

Dengan hati yang sedikit panas matanya mula melilau mencari kunci kereta miliknya yang terjatuh sebentar tadi. Entah apa yang singgah difikirannya, tiba-tiba dia memeriksa dompet serta telefon bimbit miliknya jika barangan tersebut masih ada bersamanya.


"Fuh, nasib baik ada. Orang macam tu bukan boleh percaya sangat. Entah-entah sindiket nak merompak atau ragut orang." Bebel Mikael lagi tanpa henti sebelum matanya menangkap kunci kereta yang berada di sebalik tayar. Dia kunci kereta miliknya.

Tiba-tiba datang pula seorang wanita yang hampir sebaya dengan ibunya sambil berlari anak. Jelas terpancar diwajah wanita itu riak cemas serta bimbang. Nafasnya juga turun naik dengan laju. Mikael memasukkan semula kunci keretanya ke dalam kocek jaket lalu menghampiri wanita tersebut.


"Mak cik okay?" Soal Mikael pendek seraya menahan wanita itu. Tanpa sebarang suara wanita tersebut menuding tangannya ke arah depan.


"Orang tu bawa lari beg tangan mak cik." Balasnya sedikit semput.


"Aku dah agak dah! Patutlah lari lintang pukang rupanya dah bawa lari beg orang." Desis hati Mikael geram.


"Mak cik tunggu dekat sini, jangan pergi mana-mana tau." Balas Mikael sebelum berlari meninggalkan wanita tersebut.

Matanya mula fokus mencari susuk seorang wanita yang memakai baju kemeja denim, berseluar denim serta sepasang kasut sneakers berwarna putih. Setelah beberapa minit berlari akhirnya dia berjaya menemui wanita tersebut.

Wanita itu dilihat seperti sedang berbual dengan seorang lelaki di sebuah lorong kecil. Mikael mula menghampiri mereka secara diam-diam. Namun lelaki itu segera melarikan dirinya apabila menyedari akan kehadirannya di situ.

Dengan wajah yang hairan wanita itu menoleh ke belakang. Apabila melihat Mikael yang semakin hampir dengannya dia segera menyorokkan wajahnya dengan membetulkan topi yang tersarung dikepalanya.


"Kau ingat kau pakai topi macam tu aku tak dapat cam kau? Aku ada penglihatan dan daya ingatan yang tajam tau." Laung Mikael sarkastik. Wanita itu tidak bersuara. Dia hanya keras membatu di situ. Sebuah beg tangan berwarna hitam yang berada di tangannya hampir terlepas dari genggaman.


"Bak sini beg tangan..."

Belum sempat Mikael menghabiskan kata-kata, kepalanya tiba-tiba sahaja berdenyut. Langkahnya terhenti buat seketika. Dia berkerut kesakitan. Beberapa imej yang samar bermain di mindanya. Selepas beberapa ketika sakit tersebut beransur hilang. Mikael kembali memberikan perhatiannya kepada wanita tersebut.


"Eh, dah bisu ke perempuan ni? Rasanya tadi elok je dia bercakap. Orang kalau dah kantoi busuk macam ni memang terus jadi bisu." Bisik Mikael di dalam hati.

Oleh kerana wanita itu tidak memberikan sebarang respon, tanpa berfikir panjang Mikael segera ingin merampas beg tangan tersebut dari genggaman wanita itu. Namun di saat tangannya ingin merentap beg tersebut, wanita itu lebih pantas bertindak.

Sap!

Pegelangan tangan Mikael digenggam kuat lalu tangannya dikilas ke belakang. Satu tekanan yang kuat terasa dibahunya. Dek serangan yang mengejut itu Mikael jatuh melutut ke lantai. Serentak dengan itu juga dia mula mengaduh kesakitan.


"Aduh! Kau ni dah kenapa?" Ujar Mikael sambil menahan sakit.

Wanita itu sedikit terperanjat. Matanya terbuntang luas. Dia tidak berniat untuk melakukan perkara yang sedemikian. Perlahan-lahan dia mula meleraikan genggaman tersebut namun apabila mendengar Mikael seperti memperlekehkannya dia membatalkan niatnya itu. Malah semakin kuat tekanan yang diberikan kepada lelaki itu.


"Aku bukan orang yang macam kau fikirkan tu." Bisik wanita itu kasar.


"Pencuri mana yang nak mengaku diri dia tu pencuri, kan. Kau ingat bila kau bagitahu aku macam tu aku akan percaya kata-kata yang keluar dari mulut kau tu? Jangan harap!" Balas Mikael sambil tertawa sinis. Pada masa yang sama dia cuba untuk meloloskan dirinya tetapi tidak berdaya. Tubuhnya bagai sudah dikunci oleh wanita tersebut.


"Inilah sebabnya aku malas nak bercakap dengan orang yang berlagak bagus. Memang dia jelah yang betul. Perangai dari dulu tak berubah." Bisik wanita itu perlahan. Namun bait-bait kata itu telah berjaya ditangkap oleh telinga lintah Mikael. Dahinya berkeruh.


"Dari dulu tak berubah? Dia kenal aku ke? Siapa minah ni?" Mikael mula tertanya-tanya. Dia cuba untuk menoleh ke belakang bagi melihat wajah wanita tersebut tetapi segera ditepis.

Merasakan identiti dirinya sudah hampir terdedah dia segera memberikan beg tangan berwarna hitam itu kepada Mikael.

Buk!


"Nah, kau nak sangat beg ni kan, ambillah. Lepas tu tolong pulangkan kepada makcik tu ye." Ujar wanita tersebut. Beg tangan dilepaskan di hadapan Mikael. Setelah itu wanita tersebut terus meleraikan genggamannya lalu berlari pergi meninggalkan Mikael dalam kebingungan. Dia segera memegang serta meregangkan tangannya yang masih terasa sakit itu.


"Boleh tahan ganas juga minah ni." Ujarnya perlahan. Mukanya yang merah kerana menahan sakit mula beransur hilang.

Mikael benar-benar ingin tahu siapakah gerangan wanita itu. Hatinya kuat mengatakan mereka berdua saling mengenali. Tetapi kenapa wanita itu berpura-pura tidak mengenali dirinya. Bermacam-macam persoalan mula berlegar-legar difikirannya.


"Ya Allah, kamu tak apa-apa ke?"

Seorang wanita datang ke arahnya yang masih melutut di lantai. Mikael bingkas bangun sambil memegang beg tangan berwarna hitam yang diberikan oleh wanita misteri sebentar tadi.


"Ni beg tangan makcik ke?" Tanya Mikael pendek. Wanita itu menganggukkan kepalanya seraya mengambil beg tersebut dari tangan Mikael.


"Alhamdulillah, terima kasih sebab dah tolong makcik. Banyak dokumen penting ada dalam beg ni." Ucapnya penuh syukur. Mikael sekadar tersenyum.


"Itu dia bang!"

Tiba-tiba ada satu suara yang datang dari arah belakang, Mikael segera berpaling. Sekumpulan lelaki sudah berdiri tidak jauh darinya. Setelah memerhati matanya terkunci pada seorang lelaki yang memakai sweater berwarna hitam. Ya, lelaki itu yang dia lihat berbual dengan perempuan misteri tadi.

"Eh kau yang lari lintang pukang lepas nampak aku tadi, kan? Ya, kau yang pakai sweater hitam tu." Tanya Mikael sarkastik sambil menuding ke arah lelaki tersebut. Dia kembali menikus di belakang seorang lelaki yang tubuhnya sedikit sasa. Mungkin itu adalah ketuanya.

Wajah bengis lelaki berkumpulan itu membuatkan wanita separuh abad itu sedikit takut. Wajahnya juga mula kelihatan agak pucat. Mikael yang menyedari akan perkara itu segera menghampirinya.


"Makcik jangan risau, semua ni salah faham je." Bisik Mikael perlahan bagi menyedapkan hati wanita tersebut. Mereka kemudian mula membuka langkah untuk berlalu dari situ. Namun langkah mereka mati apabila beberapa orang lelaki menghalangnya.

Mikael menarik nafas dalam sebelum menghembuskannya perlahan-lahan. Setelah itu dia kembali semula kepada sekumpulan samseng jalanan tersebut.


"Aku tak kenal siapa kau dan aku tak ada apa-apa masalah pun jadi aku gerak dulu." Ujar Mikael selamba.


"Siapa cakap? Kau dah bantai anak buah aku, kau nak blah macam tu je?" Laung lelaki itu garang. Mikael membuntangkan matanya sebelum tertawa sinis.


"Bila masa pula aku bantai kau? Aku cuit kau pun tak tiba-tiba cakap aku yang pukul. Teruk sangat ke kau kena belasah dengan perempuan tu sampai otak kau tak berapa betul ni? Lelaki dengan perempuan dah tak reti nak bezakan ke?" Balas Mikael sarkastik. Lelaki bersweater hitam itu menelan air liur apabila lelaki sado cerlung memandang ke arahnya.


"Jom makcik ..."

Sekali lagi, belum sempat Mikael menghabiskan kata-kata, kepalanya tiba-tiba terasa sakit sehingga dia mengaduh kesakitan. Memori yang berlegar di kotak fikirannya kali ini sangat terang dan jelas. Wajah Haura muncul beberapa kali. Mikael memegang kepalanya. Wanita yang ada bersamanya sangat cemas melihat keadaan Mikael ketika itu.

Namun bagi sekumpulan samseng jalanan tersebut, itulah waktu yang tepat untuk mereka memulakan serangan. Sang ketua mengarahkan anak buahnya untuk memisahkan wanita tua itu dari Mikael sebelum mereka membaham lelaki itu.


"Seriuslah korang yang sedozen ni nak serang seorang mamat yang lemah tu. Tak gentle langsung, kata samseng." Ringkas tapi pedas. Semua mata mula beralih ke arah suara tersebut termasuk Mikael.


"H-Haura ..." Laju nama itu meluncur keluar dari mulut Mikael.

hai semua. I'm back! maaf sgt sbb dah lama tak update dekat sini. jom kita sambung balik kisah Mika & Haura ni.

Share this novel

Hashim
2023-03-04 02:07:00 

tq. lega lepas rindu akak pada Haura dan Mika...

norsila
2023-03-02 16:09:40 

lamo cuti...saya tk sabar tggu tamat cirta ni...bilo haura nk jumpo kbhagiaannya tu..Allah tk kejamlah...anda yg kejam..hahahahaha..


NovelPlus Premium

The best ads free experience