BAB 74

Drama Completed 919533

Juita berjalan keluar dari bilik rawatan. Haura melambai ke arahnya sambil menunjukkan beg plastik yang berisi makanan ringan. Juita tersenyum nipis.

Haura memapah Juita yang berjalan terhincut-hincut untuk duduk sementara di bangku. Rambut Juita yang jatuh menutupi wajahnya dirapikan.


"Macam mana awak boleh biarkan Suri buat awak sampai macam ni. Melampau tau dia tu." ujar Haura. Wajah lebam wanita itu ditatap. Juita sekadar tersenyum.


"Maaf saya nak tanya sikit. Betul ke awak dengan Suri adik beradik. Saya terdengar perbualan awak masa dekat parking tadi."

Juita menggeleng lemah. Keluh dihela berat. Amat berat untuk dia berbicara mengenai perkara itu. Hatinya benar-benar terkilan dengan perbuatan Suri. Terbayang wajah ayahnya.


"Kalau awak tak nak cerita tak apa, saya faham. Nah, awak makan la dulu untuk alas perut." ujar Haura lagi sambil menghulurkan sebotol jus oren yang telah dibuka penutupnya kepada Juita. Bekas sandwich juga dibuka bagi memudahkan wanita itu untuk menjamahnya.

Seteguk kecil air ditelan sekadar membasah tekak. Muka Juita berkerut dek rasa masam manis jus tersebut.


"Ayah saya kahwin dengan ibu Suri. Jadi kami ni adik beradik tiri. Pada awalnya kami memang bahagia meskipun Suri tak pernah terima saya dalam hidup dia. Tapi semua tu berubah apabila ayah kemalangan." perlahan-lahan Juita mula berkongsi cerita. Haura mendengar dengan penuh minat.


"Lepas kemalangan tu ayah dah tak boleh kerja macam biasa. Ibu terpaksa gantikan tempat ayah membanting tulang untuk sara kami sekeluarga. Malangnya ibu meninggal dunia mada balik dari kerja. Suri tak dapat terima kenyataan dan tuduh ayah punca ibu dia meninggal." ujar Juita lagi menahan sebak. Haura mengusap belakangnya perlahan.


"Sekarang apa perancangan awak?"


"Saya nak cuci tangan. Saya akan bongkarkan semua perbuatan Suri dan serahkan semua bukti yang ada dengan saya."

"T-tapi telefon awak......." Haura teragak-agak untuk berkata. Juita memandang wajah wanita itu. Senyuman nipis terukir diwajahnya.

*****

Lukman menghempaskan tubuhnya pada sofa di bilik Mikael. Dia menghela keluh yang panjang.


"Dahsyat juga awek-awek dekat sini ye. Kaki dengan tangan sama-sama naik. Aku punya rasa excited tu macam tengok MMA tau tadi." ujar Lukman. Dia ternyata masih terperanjat dengan kejadian yang disaksikannya sebentar tadi.

Mikael yang duduk di meja sekadar tersenyum. Beg kerjanya dibuka. Dikeluarkan satu 'pendrive' berwarna hitam lalu dicucuk pada komputernya. Beberapa fail video terpapar di skrin. Salah satu video dibuka. Mata Mikael terbuntang luas melihat video tersebut.


"Man, kau datang sini kejap. Cuba kau tengok ni." ujar Mikael. Matanya tertumpu pada skrin.


"Apa dia? Kau datanglah sini tunjuk dekat aku." balas Lukman malas.


"Cepatlah." panggil Mikael pendek sambil menguis tangannya di udara. Lukman menghela keluh sebelum bangkit menuju ke arah sahabatnya itu.

Di saat dia melihat video di komputer tersebut, Lukman melopong. Matanya terbuka luas seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya itu. Pandangannya kemudian dialihkan kepada Mikael yang masih duduk di kerusi.


"Jadi inilah orang yang kita cari selama ni?"


"Nampak gayanya macam tu lah." balas Mikael sambil menyimpan kembali pendrive tersebut.


"So, apa kau nak buat sekarang? Bukti semua dah ada. Takkan kau nak biar macam tu je." tanya Lukman.


"Aku perlukan penjelasan dari dia. Kenapa dia sanggup buat semua tu." balas Mikael. Lukman mengiakan sahaja.

Mikael mengeluarkan telefon bimbit miliknya lalu menelefon Haura untuk mengetahui tentang keberadaannya. Dia menyuruh wanita itu kembali semula ke pejabat bersama Juita. Ada sesuatu yang perlu dia bincangkan bersama.

Lukman memerhati bahasa tubuh yang ditunjukkan oleh lelaki itu. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Mukanya berkerut. Wajah Mikael ditatap lama.


"Korang bercinta kan?" teka Lukman tanpa berselindung. Mikael terperanjat.


"Huh?" Mikael berpura-pura dungu seolah-olah tidak faham apa yabg dimaksudkan oleh Lukman itu.


"Kau dengan PA kau tu, korang bercinta kan?"

Sekali lagi lelaki itu bertanya. Kali ini lebih jelas. Lidah Mikael kelu untuk menjawab pertanyaan tersebut. Dia sebenarnya ingin merahsiakan hubungannya dengan Haura selagi tiada apa-apa ikatan.

Namun pertanyaan yang mengejut dari Lukman itu sungguh tidak diduga. Melihat reaksi yang diberikan oleh Mikael, dia berasa sungguh geli hati. Lukman tidak dapat menahan tawanya.


"Welcome back bro. I miss you so much." ujar Lukman sambil memeluk tubuh Mikael. Tindakannya itu benar-benar tidak tidak dapat dijangka.

Rasa rimas dengan pelukan tersebut, tubuh Lukman ditolak kasar. Meskipun lolos ianya hanya untuk seketika. Lukman tetap memeluk berulang kali sehingga membuatkan Mikael mengalah.


"Aku happy untuk kau. Bila kali terakhir aku tengok kau macam ni. Masa kau dengan Sophia......"

Suara Lukman sedikit tenggelam bila menyebut nama wanita itu. Riak wajah Mikael juga berubah. Lukman memalingkan wajahnya dari lelaki itu lalu menepuk mulutnya berkali-kali.


"Aisemen, macam mana aku boleh terlepas cakap pasal benda tu." bisik Lukman di dalam hati.


"Sorry bro, aku tak patut ungkit benda yang dah lepas." ujar Lukman meminta maaf. Mikael hanya mendiamkan dirinya. Senyuman tawar diukir.

*****

Suri bersembunyi di dalam tandas. Dia kelihatan runsing. Bimbang jika Juita benar-benar melakukan apa yang diperkatakannya tadi. Tangannya mula menggigil. Dalam cemas dia menghubungi seseorang menggunakan telefon bimbitnya.

Trut! Trut!

Beberapa saat menunggu panggilan masih tidak dijawab. Suri mula tidak tentu arah. Satu persatu perkataan kesat keluar dari mulutnya. Namun dia tidak berputus asa. Dia terus menerus mendail nombor tersebut sehinggalah panggilannya itu dijawab.


"Berapa kali aku nak kena bagitahu kau, jangan sesuka hati call aku! Tak faham bahasa ke?" Datin Noreen bersuara di sebalik telefon.


"Bahaya! Rancangan kita dah terbongkar." ujar Suri. Suaranya juga kedengaran menggigil.


"Dah terbongkar? Apa maksud kau?" tanya Datin Noreen nyaring. Suri menjauhkan telefon dari telinganya dek rasa bingit.


"Juita, dia ada semua bukti yang menunjukkan kita nak singkirkan Haura dari Khazzan Group."

Datin Noreen sangat terkejut akan perkara itu. Suri dimarahi dengan kata-kata yang menyakitkan hati dan telinga. Namun wanita itu hanya mendiamkan diri. Tiada apa yang ingin dibantahnya kerana bukti telah jelas menunjukkan dirinya itu bersalah.


"Datin kena tolong saya. Juita cakap nak serahkan video pada Puan Sri Normah. Datin tolong saya ye." rayu Suri. Segala keangkuhannya selama ini hilang. Namun Datin Noreen tidak memberi apa-apa jawapan.


"Kalau datin tak tolong hapuskan bukti tu, saya bersumpah yang saya akan heret nama datin sekali. Biar kita sama-sama jatuh." ugut Suri setelah wanita itu seperti tidak mahu membantunya. Dia berasa sangat berang.


"Kau ugut aku? Dalam keadaan macam ni pun kau masih nak peras ugut aku? Kau ni memang tak sedar diri kan?"

Kata balas dari Datin Noreen sangat merunsingkan Suri. Dia sedar dalam keadaan itu dia tidak patut melintang angin wanita itu. Hanya dia sahaja yang dapat membantunya keluar dari masalah tersebut.

*****

Knock! Knock!

Pintu bilik diketuk beberapa kali sebelum dibuka. Suri menjengah serta melangkah masuk ke dalam ruangan tersebut. Puan Sri Normah dan Azrael sedang menunggunya bersama-sama dengan beberapa ahli jawatan tertinggi syarikat yang lain. Suri menelan air liur yang bagai tersekat dikerongkongnya. Jantungnya juga terasa bagai hendak meletup.

Beberapa ketika kemudian Mikael pula masuk ke dalam bilik tersebut diikuti oleh Haura, Lukman dan juga Juita. Suri menjeling ke arah adik tirinya tapi tidak dilayan oleh Juita. Setelah itu Puan Sri Normah memulakan perbicaraan. Juita dipanggil ke depan untuk memberikan keterangan.


"Betul ke apa yang diperkatakan oleh Juita tu?" tanya Puan Sri Normah kepada Suri.

Belum sempat Suri menjawab, tiba-tiba pintu bilik ditolak kasar. Datin Noreen melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Puan Sri Normah menggelengkan kepalanya.


"Reen pergi ke bilik mak tapi Naimah bagitahu mak ada dekat sini. Ada kes apa pula kali ni. Macam besar je." ujar Datin Noreen sambil mengambil tempat di salah satu kerusi yang kosong. Sempat dia mencuri pandang ke arah Suri.

Puan Sri Normah kemudian mengajukan semula pertanyaan yang sama kepada Suri. Wajah Juita ditatap dengan penuh dendam.


"Fitnah. Semua tu tak betul. Juita sengaja reka cerita sebab nak jatuhkan saya." balas Suri tegas. Juita bingkas bangun apabila mendengar jawapan balas dari Suri.


"Tak. Saya tak fitnah dia. Memang betul dia buat semua tu dan saya ada bukti." balas Juita membela diri.


"Apa yang dia ni dah buat sampai kau fitnah dia macam tu? Kalau ada bukti tunjukkan pada kmai sekarang. Aku tengok telefon dekat tangan kau tu pun dah hancur." tanya Datin Noreen kepada Juita. Wanita itu dengan laju menggelengkan kepalanya berkali-kali.


"Sebenarnya saya dan Juita adik beradik tiri. Saya mengaku yang kami memang tak sebulu. Dia dan ayahnya telah menyebabkan ibu saya hilang nyawa. Mereka kemudian cuba merampas satu-satunya rumah pusaka yang ditinggalkan oleh ibu. Saya tak setuju dan menetang habis-habisan kerana itu hak saya. Mungkin kerana itu dia sanggup taburkan fitnah terhadap saya." ujar Suri panjang lebar. Dia menyapu airmata yang mengalir dipipinya.


"Betul ke apa yang Suri cakap tu?" soalan tersebut diajukan pula kepada Juita.

Juita yang masih terkejut tidak dapat menjawab. Tangannya menggigil dan matanya juga mula berkaca. Dia benar-benar berasa sebak. Haura mengusap lembut belakang Juita menenangkannya. Suri tersenyum nipis. Meskipun dia cuba menyorokkan senyuman tersebut tetapi dapat ditangkap oleh Haura.


"Licik permainan kau ye Suri." bisik Haura sendirian.

Lukman tersenyum sinis melihat drama yang ditunjukkan oleh Suri dan juga Datin Noreen. Dia bingkas bangun sambil memberikan tepukan yang gemuruh. Semua mata tertumpu kepadanya.


"Bravo! Sangat natural lakonan tadi sampai saya hampir mengalirkan airmata. Jalan cerita sangat menyentuh hati." balas Lukman selamba. Datin Noreen cerlung memandangnya. Juita dan Haura saling berbalas pandang.


"Siapa kau? Apa kaitan kau dalam hal ni?" tanya Datin Noreen lantang.


"Saya mungkin tak ada kaitan dalam hal ni tapi dekat tangan saya ni ada rakaman yang mungkin diperlukan untuk menentukan siapa sebenarnya yang bersalah." balas Lukman sambil menunjukkan telefon bimbit serta pendrive di tangannya.

Juita sangat terkejut. Dia memandang Lukman dengan penuh tanda tanya. Lelaki itu tidak dikenalinya tapi bagaimana dia mempunyai pendrive yang telah diserahkan kepada Mikael. Gaya percakapan seolah-olah dia telah menyaksikan kesemuanya.

Sebenarnya Mikael telah menyerahkan pendrive tersebut kepada Lukman selepas mereka menonton rakaman tersebut di bilik Mikael. Itulah juga tujuan asal kenapa Mikael menyuruh Lukman datang ke pejabat. Sebagai saksi yang boleh membuktikan perbuatan khianat Suri.

Puan Sri Normah mengarahkan Lukman untuk mengemukan video tersebut kepada mereka. Datin Noreen melopong di saat video tersebut dimainkan. Dia memandang Suri yang sudah tidak senang duduk. Setelah mengamati rakaman itu, memang benar Suri telah bercakap bohong. Puan sri Normah benar-benar kecewa dengan tindakan Suri.


"Apa lagi yang awak nak cakap? Semua dah terbukti." tanya Puan Sri Normah tegas. Suri mula mati kutu. Dia sudah tidak tahu bagaimana untuk menyelamatkan dirinya. Wajah Datin Noreen dipandang.


"Datin, tolong saya datin." Suri meluru ke arah Datin Noreen. Sekali lagi semua mata memandang Datin Noreen dengan oenuh hairan.

Melihat dirinya turut diheret bersama, Datin Noreen telah menampar wajah Suri sekuat hati.


"Kau dah gila ke? Kenapa aku nak kena selamatkan kau? Dah terbukti memang kau bersalah kau tanggung la sendiri." balasnya. Suri mula naik berang.


"Apa semua ni Noreen?"


"Kalau Puan Sri nak tahu, dialah orang yang upah saya untuk buat semua ni. Saya hanya menurut arahan yang Datin Noreen berikan pada saya." Suri mula membongkarkan semuanya.

Pang!

Sekali lagi pipinya ditampar. Datin Noreen benar-benar telah naik angin. Puan Sri Normah memicit kepalanya yang mula rasa berdenyut.


"Tak cukup kau fitnah adik kau, sekarang kau nak fitnah aku pula. Mak percaya ke dengan perempuan ni?" sindir Datin Noreen.


"Kau yang minta aku hapuskan Haura supaya dia tak ganggu hidup anak kau. Kau dah lupa ke?" bidas Suri lantang.

Perbincangan yang sepatutnya berjalan dengan lancar mula menjadi tidak terkawal. Merasakan dirinya makin terdedah, Datin Noreen mengambil keputusan untuk keluar dari bilik tersebut. Panggilan dari orang tuanya juga tidak dihiraukan.

Sebulat suara keputusan diambil. Suri dipecat dengan serta merta. Namun nasibnya sangat baik apabila Haura dan juga Juita telah membuat keputusan untuk tidak melaporkan kes mereka kepada pihak polis. Mereka sekadar meminta supaya Suri tidak lagi mengganggu mereka terutama Juita dan bapanya.

*****

Puan Hafizah bersama-sama dengan beberapa orang pekerja yang lain dilihat sedang mengemaskan bilik untuk menerima kemasukan penghuni baru.

Tidak lama kemudian sebuah kereta tiba di perkarangan Rumah Qaseh Harmoni.


"Mulai hari ni Encik Zul akan tinggal dekat sini ye." ujar pemandu kereta tersebut kepada Zulkifli. Lelaki itu tidak segera menjawab.


"Juita, mana Juita." tanya Zulkifli. Meskipun tutur katanya sudah tidak sempurna tetapi masih boleh difahami.


"Nanti dia akan datang kemudian. Encik Zul boleh berehat dulu dekat sini." ujarnya lagi.

Zulkifli dibawa ke bilik khas yang telah dipersiapkan oleh Puan Hafizah.


"Adam, kamu boleh bawa masuk Encik Zul ke dalam bilik. Tolong mandikan dia sekali. Sejam lagi saya akan hantar makanan." ujar Puan Hafizah kepada pekerjanya itu. Adam sekadar mengangguk.

Di ruangan pejabat, Encik Zamzuri dilihat sibuk menelaah dokumen yang berada di atas meja. Kehadiran Puan Hafizah sedikit sebanyak mengganggu fokusnya itu.


"Kesian Izah tengok Encik Zul tu bang. Sanggup anak dia biarkan dia dengan berkerusi roda dekat tepi jalan. Saya harap Rumah Qaseh Harmoni ni dapatlah bagi keselesaan pada dia nanti."


"InshaAllah." balas suaminya pendek.

*****

Haura memandu keretanya menuju ke Rumah Qaseh Harmoni di mana ayah Juita ditempatkan. Juita yang berada di sebelahnya sedari tadi hanya mendiamkan diri. Merenung jauh ke luar tingkap.


"Awak okay ke ni Juita. Kalau tak kita boleh singgah ke klinik dulu." tanya Haura. Juita menggelengkan kepalanya.


"Terima kasih. Saya tak tahu macam mana nak balas budi baik awak ni." balas Juita.

Haura tersenyum ke arah wanita dia. Dia turut mengatakan bahawa dia hanya membantu sekadar yang dia mampu. Juita mengalirkan airmata. Dia tidak sangka dia kini telah bebas dari tawanan Suri meskipun jauh di sudut hati dia masih memikirkan tentang wanita itu.


"Lepas ni awak dah boleh kerja macam biasa tanpa sebarang tekanan. Awak kena terus kuat demi ayah awak. Saya akan sentiasa ada dengan awak."

Juita melirik ke arah Haura buat seketika. Dia rasa serba salah untuk mengungkapkannya. Tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Haura berkerut.


"Sebenarnya saya dah berhenti kerja."


"Apa? Kenapa awak berhenti? Habis tu macam mana dengan awak lepas ni?" tanya Haura dengan nada yang sangat terkejut.


"Saya rasa saya tak layak untuk terus kerja dekat situ lepas apa yang dah jadi. Saya akan cuba cari kerja untuk tampung bayar kos perubatan hospital dan juga Rumah Qaseh Harmoni. Bila dah stabil sikit saya akan cari rumah sewa untuk saya tinggal dengan ayah." balas Juita.

Haura tidak membantah malah dia memberikan sokongan atas keputusan yang telah diambil oleh Juita itu. Apa sahaja yang boleh membuatkan wanita itu genbira dia akan sentiasa menyokongnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience