BAB 98

Drama Completed 919597

Pang!

Pipi Haura ditampar. Bukan sekali, bukan dua kali. Malah berkali-kali dia menampar wanita itu sehingga berbekas merah pipinya. Rambutnya juga ditarik kasar. Pisau ditangannya digerakkan perlahan mengikut bentuk muka Haura namun wanita itu masih terkulai tidak sedarkan diri. Mungkin kerana penangan chloroform yang diberi kepadanya semasa di dalam kereta.

"Tidurlah puas-puas sebab sekejap lagi kau akan saksikan boyfriend kau datang bersujud pada aku."

Bisik Rissa perlahan di cuping telinga Haura. Tawa kecil turut kedengaran dihujung bicaranya. Riak wajahnya sudah tidak lagi menunjukkan dia sedang siuman. Tidak cukup dengan itu dia mengarahkan orangnya untuk menyimbah air supaya Haura lekas sedarkan diri. Agak bosan apabila sedari tadi hanya bercakap sendirian seperti bercakap dengan tunggul. Tiada hiburan.

Satu baldi air dicurahkan di kepala. Wanita itu mula memberikan tindak balas. Sepantas kilat yang menyabung dilangit Rissa menyimbah segayung air tepat ke muka Haura di saat wanita itu baru ingin mencelik mata. Haura tidak dapat bernafas untuk seketika dek simbahan tersebut sekaligus telah menyedarkan dia dari lenanya. Nafasnya tercungap-cungap. Rissa mengekek kepuasan.

Menyedari dirinya terikat pada kerusi membuatkan dia meronta sekuat hati. Matanya terbeliak besar apabila melihat susuk Rissa Ariana yang sedang berdiri beberapa tapak darinya. Haura mula bersuara namun tidak difahami kerana pita pelekat masih menutup rapat mulutnya itu. Sekali lagi dia meronta-ronta untuk melepaskan diri. Rissa ketawa terbahak-bahak melihat reaksi cemas wanita itu. Perlahan-lahan dia membuka langkah menghampiri Haura.

"Kenapa, takut? Sebelum ni bukan main lagi kau berlagak dengan aku." Sindir Rissa. Terlalu banyak dendam yang terpendam.

"Bukan sekali tau tapi dah berbuih mulut aku ni bagi amaran cuma kau yang buat tak tahu. Jadi bukan salah aku kalau hari ni hari terakhir untuk kau hirup udara segar dekat dunia ni."

Haura terus meronta dan menjerit sekuat hati. Matanya sudah mula berkaca. Perasaannya juga mula goyah. Sudah terbit rasa takut dihatinya. Mana tidaknya dia kini dikelilingi beberapa orang lelaki yang tegap tubuh badan serta bengis wajahnya. Ada yang memegang kayu besbol, ada juga yang selitkan sepucuk pistol di sebalik baju yang dipakai.

Rissa berundur beberapa langkah apabila kepala mereka bertemu. Dia menjerit kesakitan. Orang suruhannya segera memegang Haura yang mula bertindak ganas. Kau memang dah puas hidup ke perempuan! Desis hati Rissa garang sambil matanya tajam merenung wanita itu. Tangan diangkat ke udara. Lantas lelaki tersebut segera berundur.

Kepala Haura diusap lembut sebelum rambutnya direntap dengan kasar. Kepalanya terdongak ke langit. Juraian rambut yang menutupi hampir sebahagian wajahnya dirapikan. Pandangan mereka bertaut. Haura cerlung memandang Rissa yang sedang tersenyum kepadanya. Senyuman seorang psikopat yang mampu membuatkan bulu romanya berdiri tegak. Sejurus selepas melepaskan pisau dari tangannya, dengan kasar pita dimulut Haura ditarik. Ark!Wanita itu menahan sensasi pedih yang terasa disekitar bibir. Mulutnya diketap seketika.

"Kau buat apa ni? Lepaskan aku!" Ujar Haura sambil berusaha untuk melepaskan diri dari ikatan tersebut namun tidak berjaya.

"Apa, lepaskan kau? Tak semudah itu. Inilah akibatnya kalau tak dengar cakap aku. Hari ni aku akan ajar kau cukup-cukup."

"Apa yang kau nak buat pada aku. Bunuh?" Tanya Haura lantang. Rissa menjengketkan bahu sambil senyum mengejek.

"Kau dah gila ke Rissa?"

"Ya, memang aku dah gila! Kaulah punca kenapa aku jadi macam ni."

Haura tertunduk. Dia menggenggam kuat jari-jemarinya. Dadanya mula terasa ketat namun dia cuba untuk terus kekal bertenang. Matanya dipejamkan buat seketika. Nafas dalam ditarik sebelum melepaskannya perlahan-lahan.

"Kau tahu apa akibatnya kalau kau bunuh aku?"

"Of course aku akan masuk penjara. Tapi kau ingat aku heran ke dengan semua tu." Balas Rissa angkuh. Namun air mukanya terus berubah apabila mendengar tawa Haura yang bergema segenap ruang gudang yang besar itu. Hatinya mula mendidih kemarahan. Dengan pandangan yang sinis Haura membalas renungan wanita itu. Kepalanya digeleng perlahan.

"Kalau aku mati sekalipun kau tetap tak akan menang. Kau adalah loser selamanya! Kau ingat Mikael akan pejam mata je ke? Kau rasa dia akan terima kau lagi ke lepas apa yang kau dah buat. Isteriku perempuan psiko. Teman wanitaku pembunuh. Hei, banduan dekat dalam penjara tu pun belum tentu lagi nakkan perempuan gila macam kau ni."

Pang!

Haba panas perlahan-lahan mengalir di pipi kirinya. Haura terkesiap namun tawa kecilnya jelas terdengar dicuping telinga. Dia kemudian membetulkan semula kepalanya yang terteleng sedikit ke kanan dek tamparan kuat dari Rissa. Wajah wanita itu dijeling sambil bibirnya mengukirkan sebuah senyuman yang mampu membakar hati wanita dihadapannya itu.

Haura terus menerus mencurah minyak ke dalam api kemarahan yang semakin marak membara. Rissa mula menggigil. Wanita itu benar-benar telah merabakkan benteng kesabarannya. Tangannya pantas mengambil pisau dilantai lalu diajukan tepat ke muka Haura. Serentak dengan itu mulut Haura terus terkunci, matanya terbeliak. Dadanya juga mula berombak kencang. Air liur pun terasa kesat untuk ditelan. Otaknya kini kian ligat memikirkan cara untuk melepaskan diri.

"Bawa dia ke sana."

Dengan tegas Rissa mengarahkan supaya wanita itu ditambat pula pada sebatang tiang. Haura cuba protes ketika lelaki berpistol itu sedang meleraikan ikatannya. Dan pada ketika itu juga matanya tertangkap kilauan pudar kepingan kaca lama yang bertaburan di lantai. Idea bernas muncul dibenaknya. Dia meronta sekuat hati sehingga dia jatuh di atas kepingam kaca tersebut. Wajahnya berkerut kesakitan. Beberapa keping kaca tertusuk di kaki serta lengannya. Tanpa menghiraukan rasa sakit tersebut dia mengambil satu kepingan kecil lalu disorok dalam genggamnya supaya tidak dapat dilihat oleh lelaki tersebut.

Kini dia sudah berdiri bertentangan dengan Rissa Ariana sambil tangannya diikat pada belakang tiang. Dalam diam Haura bersungguh-sungguh memotong tali menggunakan kaca yang diambilnya tadi. Dia perlu berhati-hati supaya tidak diketahui oleh mereka. Hal itu membuatkan gerak tangannya agak perlahan. Tiba-tiba sebilah pisau terbang lalu terpacak pada dinding kayu di belakangnya. Jantungnya bagai berhenti berdegup buat seketika. Haura kaku. Wajah wanita itu dipandang dari jauh tanpa berkedip. Sungguh, wanita itu sudah hilang akal.

Di saat lelaki yang memegang kayu besbol ingin mengambil semula pisau di dinding, ketika itu juga tali yang membelit tangan Haura putus. Tendangan padu mendarat di abdomen lelaki itu sehingga dia jatuh tergolek. Dengan laju Haura mendapatkan pisau yang terpacak di dinding tersebut lalu diaju kepada orang suruhan Rissa yang mula ingin menyerang. Sekadar mempertahankan diri. Wanita itu terkedu. Dia menikus disebalik orang suruhannya.

"Tolong jangan paksa aku bertindak lebih daripada ini." Lantang Haura bersuara sebelum melarikan diri.

"Tunggu apa lagi, kejarlah dia!" Tempik Rissa.

Kereta yang dipandu oleh Mikael tiba di lokasi sepertimana yang diberitahu oleh Rissa. Sebuah kereta MPV dan sebuah lagi kereta jenis sedan terlihat ada di situ. Agaknya inilah kereta yang aunty cakap tadi. Bisiknya sendirian.

Di luar gudang kelihatan 3 orang lelaki yang seolah-olah sedang mengawasi kawasan tersebut. Tiba-tiba notifikasi telefon bimbitnya berbunyi. 18 mesej diterima dari Dazrin.

"Aku dah dapat lokasi..."

Itu sahaja yang dapat dibaca oleh Mikael memandangkan dia langsung tidak membuka mesej tersebut. Telefon dilemparkan pada kerusi penumpang sebelum dia melangkah keluar dari kereta. Ketika itu juga dia terdengar bunyian kuat dari dalam gudang tersebut. Suara wanita juga sayup-sayup kedengaran. Dia mula berasa cuak. Tanpa lengahkan masa kakinya laju menuju ke gudang tersebut.

Dengan mudah dia dapat memasukinya apabila nama Rissa dijual. Pintu gudang dikuak, sepucuk pistol diacukan di kepalanya. Mikael terkedu dan tidak bersuara. Dia sekadar menurut sahaja kehendak lelaki itu.

"Ha, dah sampai pun. Kenapa cepat sangat."

Sapa Rissa setelah melihat susuk Mikael yang kian menghampirinya. Lelaki itu melilau sekitar gudang tersebut mencari kelibat Haura yang dikatakan telah diculik oleh wanita itu. Matanya kemudian tertancap pada kerusi yang terbaring dilantai tanpa penghuni. Ada kesan pergelutan di situ. Air liur ditelan kesat.

"Mana Haura?" Soalnya pendek.

"Lepaskan akulah!"

Belum sempat wanita itu membalas tiba-tiba terdengar suara wanita lain yang seolah-olah sedang bergelut untuk meloloskan diri. Pandangan mereka berdua bertaut. Haura yang dicekup oleh 2 orang lelaki beku melihat Mikael yang sedang berdiri kaku di hadapannya. Terbit riak lega diwajah lelaki itu. Dia ingin berlari mendapatkan Haura namun dihalang. Lelaki yang membawanya masuk tidak akan melepaskan selagi tiada arahan dari ketuanya.

Awak buat apa dekat sini?" Tanya Haura.

"You dah janji dengan I yang you tak akan apa-apakan dia. Tapi apa yang you dah buat ni?" Tanpa menjawab pertanyaan Haura, Mikael mula bertanya kepada Rissa.

"Dia yang paksa I. Kalau dia tak angkuh dan patuh dengan arahan, semua ni tak akan berlaku."

Mikael mendengus. Sungguh hatinya sakit melihat Haura diperlakukan sebegitu. Cerlung dia memandang ke arah Rissa. Dia kemudian menepis lelaki yang memegangnya lalu berlari mendapatkan Haura. Kedua belah pipi Haura dipegang. Melihat luka kecil yang tercalar diwajah serta tubuh wanita itu telah menambahkan suhu dihatinya.

"Apa yang berlaku? Apa yang dia dah buat?" Haura menggeleng ketika diasak dengan pertanyaan. Dia tidak mahu jawapannya nanti akan membangkitkan lagi kemarahan Rissa sekaligus mengeruhkan lagi keadaan. Wajah wanita itu dilirik sekilas dengan ekor mata.

"So sweet. Romeo sanggup datang demi untuk selamatkan Juliet, cinta sejatinya."

Perli Rissa sarkastik. Dua pasang mata cerlung memandangnya. Sepantas kilat lelaki berpistol mendapatkan Mikael lalu dipisahkan dari Haura. Sempat Rissa mengingatkannya tentang perbualan mereka di telefon sebelum dia ke mari. Dia ketawa kepuasan.

Buk!

Dengan ilmu mempertahankan diri yang pernah dipelajarinya, Haura berjaya melepaskan diri dari cengkaman 2 orang lelaki. Dia juga berjaya mengambil alih pistol milik lelaki itu. Dua pucuk pistol kini berada di tangannya. Satu dihalakan kepada Rissa dan sepucuk lagi pada lelaki yang bersama dengan Mikael. Rissa yang tiada tempat untuk berlindung agak ketakutan namun tidak terzahirkan.

"Lepaskan dia, kalau tak..."

"Kau nak tembak? Silakan."

"Jangan cabar aku Rissa." Ujar Haura. Suaranya bergetar.

Rissa ketawa besar melihat Haura yang teragak-agak untuk melepaskan tembakan. Dia tahu wanita itu tidak akan berani untuk berbuat demikian. Sekali lagi Haura meminta supaya Mikael dilepaskan namun tetap tidak diendahkan.

Bang!

Satu das tembakan dilepaskan. Bunyinya yang kuat bergema di segenap ruang gudang tersebut. Haura membuka matanya yang dikatup rapat. Dia terbeliak luas apabila melihat susuk Rissa yang telah jatuh terduduk dilantai.

tinggal beberapa chapter je lagi sebelum kisah ni tamat. Tazabar! Btw maaf sangat sebab lambat update & tqsm pada yg sudi dan setia menanti. Happy reading gais. xoxo

Share this novel

Rohani Hussin
2023-04-04 10:27:25 

bila nk update ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience