BAB 47

Drama Completed 919171

Haura berjalan keluar dari kamar mandi. Sehelai tuala berwarna kelabu terbalut rapi di kepalanya. Di tangannya pula terdapat sehelai tuala kecil yang digunakan untuk mengelap sisa air di wajahnya. Dia membuka almari dan mengambil sepasang baju tidur satin yang berona maroon lalu dipakainya.

Dia kemudian berjalan ke arah meja soleknya lalu duduk di kerusi yang tersedia di situ. Satu per satu produk penjagaan wajah disapu pada wajahnya. Usai memberi makanan kepada wajahnya itu, Haura bingkas bangun dan mencapai telefon bimbitnya yang sedang dicas di atas meja sisi katil.


"Nak call ke tak?" tutur Haura sendirian. Tertera nama ICY PRINCE di kaca telefonnya.

Haura berjalan mundar mandir di sekitar ruangan bilik. Berkali-kali persoalan itu bermain di fikirannya. Sepanjang dia mengenali Mikael dia belum pernah lagi berbual dengan lelaki itu di telefon. Entah mengapa hati terasa berdebar-debar.


"Kalau aku call nak ke dia jawab? Kalau dia tak angkat macam mana?" Bertubi-tubi persoalan yang berlegar di benak fikirannya.

Nafasnya turun naik dengan laju. Haura begitu gugup untuk menelefon Mikael. Tambahan pula hari sudah larut malam. Dia risau jika panggilannya itu akan mengganggu waktu rehat Mikael.


"Nanti tak pasal-pasal mamat tu sound aku." bisik Haura lagi.


"Ah lantak la. Yang aku kesahkan sangat ni kenapa?" ujar Haura lantang. Tanpa melengahkan masa, dia segera menekan butang yang berwarna hijau di skrin telefonnya.

Trut... Trut...

Untuk beberapa ketika Haura menunggu panggilannya itu dijawab namun hampa. Terbit rasa kecewa di hati Haura apabila Mikael tidak menjawab panggilan tersebut.


"Baru pukul berapa. Tak kan dah tidur kot." bebel Haura. Nada suaranya ada berbaur kecewa. Namun dia tidak berputus asa.


"Try call lagi sekali la. Mana tahu dia tak sempat nak jawab tadi." bisik hatinya sambil mendail semula nombor tersebut.

Namun perkara yang sama juga yang terjadi. Mikael masih lagi tidak menjawab panggilan itu. Haura menghela keluh yang panjang. Dia menarik muka masam. Entah kenapa dia merasakan seperti ada sesuatu yang telah masuk ke dalam hatinya.

Akhirnya Haura mengalah. Dia pasti Mikael tidak akan menjawab panggilan telefonnya itu. Di saat Haura ingin mematikan panggilan itu, suara Mikael kedengaran di sebalik telefon. Serta merta raut wajahnya bertukar ceria.


"Assalamualaikum, awak." sapa Haura sambil tersenyum lebar. Dia cuba mengawal dirinya yang amat teruja itu.


"Waalaikumussalam. Apahal call aku malam-malam buta ni?" Balas Mikael malas. Dia kemudian bertanya pada Haura tujuan dia menelefonnya pada malam itu.

"Awak dah tidur ke?" soal Haura kembali tanpa menjawab soalan Mikael.


"Belum lagi. Aku tengah buat kerja sikit. Kau masih tak jawab soalan aku lagi. Ada hal apa kau call aku ni?" jawab Mikael sambil menantikan jawapan dari Haura.


"Petang tadi kan awak tak masuk office. Saya lupa nak inform perkara ni pada awak." balas Haura tenang.


"Pasal hujung minggu ni ke?" Mikael cuba meneka.


"Eh, macam mana awak tahu? Saya belum buka cerita pun lagi." Haura sedikit terkejut.

Tepat sekali sangkaan Mikael. Haura menelefonnya kerana ingin memaklumkan kepadanya bahawa Dazrin akan menggantikan tempatnya untuk bertemu dengan orang tua Haura. Emosi Mikael terasa sedikit terganggu.


"Aku agak je. Cepatlah bagitahu, aku tak ada masa nak layan kau lama-lama. Banyak lagi kerja yang aku nak kena siapkan ni." balas Mikael. Nada suaranya sedikit berubah.


"Oh saya ganggu awak ke? Sorry la saya tak tahu. Kalau macam tu saya bagitahu awak lain kali jelah. Awak boleh sambung buat kerja awak tu semula. Good night." tutur Haura sebelum dia mematikan panggilan tersebut.

Mikael tergamam. Dia tidak sempat untuk membalas kata-kata Haura kerana wanita itu lebih pantas bertindak. Dia terkebil-kebil memandang skrin telefonnya yang sudah gelap.


"Apa benda ni? Macam tu je dia end call? Geram pulak aku dengan dia ni." bebel Mikael. Hampir saja Mikael menghempas telefon bimbitnya itu ke lantai.


"Kalau aku cakap lebih-lebih, nanti koyak pulak. Tapi perangai dia tu memang meminta sangat. Beria-ia call aku lepas tu biarkan tergantung macam tu je. Mana aku tak bengang." bebelnya lagi panjang lebar.

Dengan penuh rasa ingin tahu di dadanya Mikael telah menelefon Haura kembali. Hatinya tidak akan tenang selagi Haura tidak memberitahu tujuan sebenar dia menelefonnya dirinya.

Trut.... Trut.....

Selepas beberapa saat deringan sahaja Haura telah menjawab panggilan tersebut.


"Apa masalah kau? Selamba badak kau je end call tu, kan." marah Mikael. Haura terdiam. Dia tidak menyangka tindakannya itu telah memberi tanggapan yang buruk pada Mikael.


"Dah awak sendiri yang cakap awak busy, nak buat kerja. So saya letak la. Saya cuma tak nak ganggu kerja awak." balas Haura.


"Ada aku cakap kau ganggu aku ke?" balas Mikael. Sekali lagi Haura terdiam.


"Apa masalah mamat ni. Sekejap cakap busy sekejap tak. Pening la kepala aku. Macam mana la aku boleh terjebak dengan dia ni." bisik Haura di dalam hati. Dia sungguh tidak faham dengan sikap lelaki itu.

"Apa benda yang kau nak bagitahu aku tu?" tanya Mikael. Hatinya sudah tidak tentu arah.


"Malas la nak bagitahu sekarang. Tak ada mood." balas Haura mendatar. Dia sudah tidak rasa teruja lagi untuk memberitahu perkara tersebut kepada Mikael. Lelaki itu telah mematikan rasa dan perasaannya untuk bercerita.


"Kau suka buat aku sakit hatikan. Ke kau memang sengaja nak pedajal aku malam-malam buta ni? Aku tahu la yang Dazrin tu dah......" Mikael tidak dapat meneruskan katanya. Dia terdiam di sebaik telefon. Hatinya terasa bagai dicucuk jarum. Mikael menghentak tangannya pada meja. Haura sangat terperanjat. Suasana jeda seketika.


"Awak okay ke tak ni? Hello?" Beberapa ketika kemudian Haura cuba memanggil Mikael yang tiba-tiba sahaja mendiamkan diri. Mikael tidak memberikan sebarang respon.


"Apa yang dah jadi pada aku ni? Kenapa aku emosi sangat? Kenapa?" Mikael menyoal dirinya sendiri. Dia tidak tahu kenapa dirinya itu berkelakuan sedemikian. Nafasnya turun naik dengan laju sekali sehingga dapat didengari oleh Haura.

Haura mulai rasa cemas. Panggilannya itu tidak disahut oleh Mikael. Dia risau jika ada sesuatu yang terjadi kepada Mikael. Dia berasa sungguh resah kerana dia tidak dapat melihat dengan matanya sendiri.


"Awak? Awak okay ke tak? Kenapa diam je? Cakap la sesuatu." panggil Haura lagi. Perasaan risau sudah menyelubungi dirinya.


"Mikael? Tolong la jawab. Jangan la buat saya macam ni." ujar Haura lagi. Bergetar suaranya.


"Sorry, dada aku rasa sesak sangat. Next time la kau bagitahu aku." ujar Mikael. Dia kemudian mematikan panggilan tersebut.

*****

Keesokkan harinya, pagi-pagi buta lagi Haura telah menunggu kehadiran Mikael dengan penuh sabar. Semalaman dia tidak dapat melelapkan matanya memikirkan tentang lelaki itu.

Sementara menunggu dia sekali lagi mengemaskan meja Mikael yang agak bersepah itu. Tiba-tiba dia teringat akan botol ubat yang dilihatnya tempoh hari. Haura segera membuka laci tersebut.

Matanya terbuntang melihat jumlah ubat yang ada di dalam laci tersebut. Terdapat berbagai jenis ubat di dalam laci itu. Salah satunya adalah SSRI.


"Ni bukan ke ubat....." bisik Haura sendirian. Dia sangat kenal dengan ubat tersebut kerana dia juga pernah menggunakan ubat itu pada suatu masa dahulu.


"Dia ni sakit ke? Ubat tidur pun ada jugak?" ujarnya lagi sambil tangannya memegang ubat-ubat tersebut.

Beberapa ketika kemudian Haura menyimpan semula ubat itu ke dalam laci. Dia berlari ke mejanya lalu mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia cuba untuk menghubungi Mikael namun panggilannya itu tidak dijawab.

Haura sangat resah menantikan kehadiran Mikael pada pagi itu. Masa terus berlalu, Mikael masih lagi tidak munculkan diri. Segala panggilan dan juga pesanan ringkasnya tidak dibalas oleh lelaki itu.

Kringggg! Kringggg!

Telefon di mejanya berdering. Dengan pantas Haura menjawab dengan harapan Mikael yang menelefonnya. Namun apabila dia mengetahui gerangan di sebalik telefon bukanlah Mikael wajahnya kembali muram.

Bertalu-talu telefonnya berbunyi pada pagi itu tetapi tiada satu panggilan pun yang datang dari Mikael. Haura berasa sungguh tidak tenang. Dia sangat risau jika ada sesuatu yang telah terjadi pada Mikael.


"Dah pukul berapa ni, tak kan tak sampai lagi kot. Ke dia tak masuk office ke hari ni? Dia tak sihat ke?" bermacam persoalan yang bermain di mindanya.

Haura berjalan mundar mandir di dalam bilik tersebut. Sesekali dia menjengah keluar untuk melihat sekiranya bosnya itu sudah tiba di pejabat. Namun semuanya sia-sia. Satu bayang Mikael pun dia tidak nampak.

Knock! Knock! Knock!

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Pintu bilik di tolak dengan perlahan. Haura terus bangkit dari kerusinya kerana menyangkakan Mikael sudah pun tiba. Naimah menjengah ke dalam ruang bilik. Sekali lagi Haura berasa hampa.


"Haura, puan sri nak jumpa awak di biliknya sekarang." ujar Naimah. Haura mengangguk lemah. Senyumannya bertukar kelat. Tanpa sepatah kata yang keluar dari mulutnya Haura mula mengekori Naimah ke bilik Puan Sri Normah.

Puan Sri Normah dilihat sedang duduk di sofa sambil membaca sesuatu di tablet miliknya. Haura melangkah masuk dengan senyuman meskipun hatinya sedikit gusar. Puan Sri Normah mempelawa Haura untuk duduk. Haura menurut perintah.


"Macam mana kerja dengan Mikael? Okay ke?" tanya wanita itu kepada Haura sambil menyerahkan tablet kepada Naimah.


"Alhamdulillah setakat ni okay je puan sri." balas Haura.


"Kamu tak payah la nak formal sangat dengan saya. Bila kita berdua macam ni panggil je macam biasa." ujar Puan Sri Normah.

Sudah lama dia tidak dengar Haura memanggilnya dengan panggilan nenek. Kali terakhir dia dengar adalah sebelum Haura memulakan kerja di syarikatnya itu. Haura agak terperanjat dengan permintaan Puan Sri Normah. Dia kemudiannya mengangguk.


"Mikael ada buli kamu ke? Saya dengar dia ada minta kamu belikan sarapan untuk dia. Betul ke?" tanya wanita tua itu.


"Dia memang ada minta Haura belikan sarapan tapi dia tak buli Haura pun nenek. Lagipun dia belanja Haura sekali." balas Haura menyembunyikan kelakuan Mikael terhadapnya dari pengetahuan wanita itu. Puan Sri Normah menganggukkan kepalanya.


"Mikael tu tak pernah ada PA. Kalau tiba-tiba dia berperangai pelik anggaplah dia juga sedang biasakan dirinya dengan suasana kerja yang baru." balas Puan Sri Normah. Haura hanya tersenyum.


"Nenek harap kamu dapat bantu Mikael. Dia tu nampak je kasar tapi sebenarnya hati dia baik. Tapi biasalah lelaki kan. Tak sah kalau ego tu tak setinghi gunung." tambah Puan Sri Normah lagi.


"Inshallah nenek. Haura akan cuba sedaya upaya untuk menjalankan tugas Haura sebagai PA Mikael sebaik yang mungkin." balas Haura sambil tersenyum.

Wanita itu kemudian bertanya kepada Haura tentang keberadaan Mikael. Dia sepatutnya berjumpa dengan neneknya itu pada pagi tersebut. Namun sehingga kini batang hidungnya masih tidak nampak.


"Mikael belum masuk office lagi nek." balas Haura ringkas.


"Dah separuh hari masih belum sampai lagi? Budak bertuah betul. Nanti kalau dia dah sampai kamu minta dia datang jumpa nenek ye." ujar Puan Sri Normah kepada Haura.

*****

Kereta Mikael bergerak masuk ke ruangan tempat letak kereta. Dia kemudian mematikan enjin keretanya. Mikael mengeluarkan telefon bimbitnya dari dashbox kereta lalu melangkah keluar. Sambil berjalan dia melihat notifikasi di telefonnya itu.

8 PANGGILAN TIDAK DI JAWAB. 13 MESEJ TIDAK DIBACA.

Kesemua mesej dan juga panggilan tersebut adalah dari Haura. Mikael mengerutkan dahinya.


"Dah kenapa minah ni spam call dan mesej awal pagi ni. Ada benda yang aku terlupa ke?" bisik hatinya.

Ping!

Pintu lif terbuka, Mikael melangkah masuk ke dalam perut lif tersebut. Dia membaca satu per satu mesej yang di hantar oleh Haura. Tanpa di sedari senyuman lebar terukir dibibirnya. Entah kenapa hatinya rasa sungguh senang membaca mesej tersebut.

Moodnya pada hari itu terus berubah. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Beberapa orang pekerja mula menyedari akan perkara itu apabila melihat Mikael tersenyum sendirian. Suri adalah salah seorang daripadanya. Dia memerhatikan Mikael dari jauh. Dia berasa pelik dengan perubahan lelaki itu.


"Dah buang tabiat ke mamat ni? Tersenyum sorang-sorang. Tak boleh jadi ni. Aku tak akan biarkan perempuan bersenang lenang." bisik Suri di dalam hati.

*****


"Macam mana bang? Haura dah call abang ke?" Puan Hafizah bertanya kepada suaminya.


"Cuba bawa bersabar sikit. Tak lari ke mana pun mereka tu. Lagipun Haura dah janji yang dia akan call bila dah dapat jawapan dari Mikael. Kita tunggu jelah." balas Encik Zamzuri.


"Saya bukannya apa bang. Risau kalau perasaan anak kita tu dipermainkan." ujar Puan Hafizah.


"Eh awak ni, macam tak kenal pulak perangai si Haura tu. Silap hari bulan dia yang mainkan perasaan orang." balas suaminya lagi.


"Ish abang ni. Dia anak kita tau. Kebahagiaan dia kebahagiaan kita jugak." Puan Hafizah dengan lembut menegur suaminya itu.


"Ya abang tahu. Dan abang kenal sangat dengan perangai anak kita tu. Kalau betul apa yang kita sangkakan tu, maknanya anak kita sekarang ni tengah bermain dengan perasaan orang. Dan benda tu bukan hal yang main-main tau." ujarnya panjang. Puan Hafizah terdiam.


"Kenapa Haura nak kena buat macam tu. Kalau betul, dia boleh je berterus terang dengan kita." soal Puan Hafizah kepada suaminya.


"Yang tu awak kena tanya anak awak tu sendiri. Abang sendiri pun tak tahu sebabnya." balas suaminya ringkas. Puan Hafizah tidak membalas. Dia sekadar memandang wajah suaminya itu. Dia terus sedia menanti panggilan dari anaknya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience