BAB 71

Drama Completed 919473

Bunyi suara panggilan nombor giliran yang silih berganti memenuhi segenap ruangan menunggu. Juita dilihat sedang duduk di kerusi sambil memegang sekeping kertas kecil yang tertera nombor empat digit sementara menunggu angkanya dipanggil.

Kelihatan juga pesakit hospital yang sedang berlegar-legar di ruangan tersebut. Ada yang berkerusi roda, ada juga yang berjalan menggunakan tongkat. Juita tertunduk teringatkan ayahnya.


"2882 Kaunter 4."

Ketika nombor tersebut dipanggil Juita segera bangkit lalu menuju ke kaunter yang telah disebutkan sebentar tadi.


"Ini je yang saya mampu untuk bayar buat masa sekarang. Saya akan cuba cari lagi untuk lunaskan baki yang tertunggak." ujar Juita kepada pekerja yang bertugas di kaunter pembayaran.


"Baki selebihnya cik kena jelaskan dalam masa 3 hari lagi. Kalau tidak pihak kami terpaksa hentikan segala rawatan yang pesakit sedang terima serta mengeluarkannya dari hospital." balas pekerja tersebut sambil menghulurkan resit pembayaran serta surat amaran kepada Juita.

Setelah mengambil kedua-dua domumen tersebut Juita berjalan keluar menuju ke ruangan taman kecil yang terdapat di hospital tersebut. Dia mencari bangku yang kosong serta sedikit tersorok dari orang ramai lalu segera duduk di sana. Wajahnya kelihatan sangat kusut.


"Dekat mana aku nak cari duit sebanyak tu? Gaji aku pun lambat lagi. Kalau ada pun masih tak cukup nak bayar semua bil tu." rintih Juita di dalam hati.

Dia benar-benar menemui jalan mati. Tidak tahu ke mana harus dia tuju. Telefon bimbit ditangannya digenggam kuat. Matanya mula mengeluarkan mutiara jernih yang laju mengalir dipipinya. Juita tidak kuat memikirkan nasib yang bakal ditimpa ayahnya kelak.


"Juita minta maaf ayah. Juita tak mampu berikan keselesaan pada ayah. Juita banyak sangat menyusahkan ayah. Sampai sekarang ayah terpaksa hadapi semua ni disebabkan Juita." bisiknya di dalam hati. Airmata tidak henti-henti mengalir. Dia melepaskan tangisnya itu sepuas-puasnya.

Juita langsung tidak menyalahkan Suri apabila wanita itu tidak ingin membantunya. Dia cuma terkilan kerana Suri benar-benar telah menutup hatinya untuk dia serta bapanya. Mereka sememangnya tidak mempunyai sebarang pertalian darah. Tetapi mereka juga pernah merasa hidup bersama sebagai adik beradik walaupun hanya seketika.

*****

Puan Hafizah dilihat sedang mencuci pinggan mangkuk yang telah bertimbun di sinki. Haura memotong buah-buahan untuk dihidangkan sebagai pencuci mulut. Hanna pula sibuk mengemas ruangan makan yang baru mereka guna sebentar tadi.


"Ibu, Haura ada benda sikit nak tanya pada ibu. Kira macam tanya pendapat ibu la."

Di saat dia mengajukan pertanyaan tersebut kepada Puan Hafizah, tangannya juga terhenti dari mengupas kulit epal yang berada di tangannya pada ketika itu.


"Aiii, lain macam bunyinya tu. Nak tanya pasal apa? Perihal rumah tangga ke?" balas Puan Hafizah berseloroh.


"Amboi gurau kasar nampak. Bukan pasal tu la ibu." balas Haura kembali.

"Alah, ibu bergurau sikit je pun. Sejak ada boyfriend ni jadi makin sensitif ye." sakat ibunya lagi.


"Ibu......!" rajuk Haura sambil berkerut memandang ke arah ibunya itu. Puan Hafizah tertawa kecil.


"Yelah. Kamu nak tanya pasal apa?" tanya Puan Hafizah. Pada saat itu juga Hanna mula berjalan memasuki ruangan dapur dan menyertai mereka berdua.


"Pasal Rumah Qaseh Harmoni. Masih ada kosong tak untuk penghuni baru."

Puan Hafizah memandang Haura dengan pandangan yang serius. Dia kemudian berbalas pandang dengan Hanna. Dia berasa sedikit pelik apabila anaknya itu bertanya tentang perkara tersebut secara personal.


"Kenapa tiba-tiba je akak tanya pasal Rumah Qaseh Harmoni?" tanya Hanna mewakili ibunya yang turut mempunyai pertanyaan yang sama.


"Kalau orang tu tak mampu untuk uruskan diri sendiri dan mempunyai penyakit yang kronik, ibu terima ke untuk tinggal dekat situ?" soal Haura lagi tanpa menjawab pertanyaan dari Hanna itu.


"Siapa orang yang kamu nak masukkan dekat Rumah Qaseh Harmoni tu?" Puan Hafizah mula bersuara.


"Bukan, Haura cuma nak tahu sama ada Rumah Qaseh Harmoni terima atau pun tidak orang yang macam tu."


"Tujuan arwah datuk dan juga nenek kamu buka Rumah Qaseh Harmoni ni dulu adalah untuk memberi tempat berteduh bagi orang-orang yang kurang bernasib baik. Tak kiralah siapa diri mereka dan dari mana asal-usulnya. Kita akan berusaha untuk berikan bantuan semaksima yang mungkin demi kesejahteraan hidup mereka di sini. Sehingga kini prinsip tersebut masih utuh lagi kerana itulah tujuan utama kenapa rumah ni diwujudkan." jelas Puan Hafizah panjang lebar.

Hanna terkesima dengan penjelasan yang panjang lebar dari ibunya itu. Begitu juga dengan Haura. Mereka benar-benar memberikan perhatian pada setiap baris kata yang keluar dari bibir ibunya itu.


"Jadi ibu akan terimalah kalau ada orang yang macam tu nak daftar masuk dekat sini?" tanya Haura untuk pengesahan. Puan Hafizah menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.

*****


"Mak ada nampak Mikael tak? Nor tengok kereta dia pun tak ada dekat luar tu." Datin Norlie bertanya kepada Puan Sri Normah yang sedang duduk di ruang tamu.


"Dia keluar tapi tak tahu pula dia nak ke mana. Sebab mak tanya dia tak jawab. Nampak tergesa-gesa juga dia tadi." balas Puan Sri Normah.

Datin Norlie menganggukkan kepalanya. Dia kemudian menyertai ibunya duduk di ruang tamu tersebut.


"Mak tak rasa ke yang Mika tu macam dah lain sikit sejak kebelakangan ni?" tanya Datin Norlie. Puan Sri Normah berkerut. Dia bertanya kembali apa yang anaknya itu maksudkan.


"Sejak dia bagitahu kita yang dia nak kahwin, Nor rasa perangai dia dah lain. Nor dah mula nampak Mikael yang dulu, yang kita semua rindu-rindukan." ujar Datin Norlie sambil tersenyum.

Perubahan sikap Mikael disedari oleh hampir kesemua ahli keluarganya. Mereka semua sangat gembira dengan perubahan itu. Setelah bertahun-tahun Mikael terperangkap dalam peristiwa lama akhirnya ada juga sinar bahagia untuk dirinya.


"Mak rasa siapa perempuan yang dah berjaya tambat hati cucu mak tu?" tanya Datin Norlie lagi. Dia benar-benar ingin tahu siapakah gerangan wanita tersebut.


"Perempuan? Mikael?" Suara Datin Noreen memenuhi segenap ruang tamu kediaman Puan Sri Normah.

Datin Norlie dan ibunya sangat terkejut dengan kehadiran Datin Noreen. Mereka saling membalas pandang.


"Eh Kak Noreen. Bila akak sampai?" tegur Datin Norlie bersahaja.


"Kenapa? Kau takut aku tahu pasal rancangan kau anak beranak?" balas Datin Noreen kasar. Puan Sri Normah menggelengkan kepalanya. Keluh berat dilepaskan.


"Apa maksud akak ni? Nor tak fahamlah."


"Kau tak payah nak berdalihlah. Aku tahu kau dah terdesak sangat nak kahwinkan anak kau supaya kau dapat bolot semua harta arwah ayah kan?" ujar Datin Noreen sinis.

Mata Datin Norlie terbuntang luas. Dia tidak menyangka kakaknya itu akan berfikir sedemikian. Dia ingin membidas kata-kata kakaknya itu tetapi dihalang oleh Puan Sri Normah. Dadanya berombak menahan amarah.

Memang benar dia mahu Mikael berkahwin sebelum tamat tempoh yang telah ditetapkan dalam wasiat. Tapi tidak pernah sekalipun terfikir untuk menggadaikan kebahagiaan anaknya itu demi kepentingan dirinya sendiri.


"Kamu datang ke sini ada apa? Selalunya sibuk dengan perjumpaan kawan-kawan kelas atasan kamu tu." Puan Sri Normah bertanya kepada anak sulungnya.


"Salah ke kalau saya datang ke sini nak jenguk mak? Nanti ada pula suara jahat yang cakap Reen ni anak derhaka sebab tak datang jenguk mak dekat sini."


"Akak dah melampau. Nor tak pernah sekalipun cakap macam tu pada akak tau. Akak jangan nak fitnah Nor yang bukan-bukan." balas Datin Norlie lantang.


"Kau tak payah nak berlagak sucilah."

Datin Noreen tidak henti-henti mencari pasal dengan adiknya itu. Kerana harta hubungan mereka yang sudah renggang menjadi bertambah renggang.


"Kalau kamu datang ke sini untuk bertekak baik kamu balik sekarang. Mak tak ada apa yang nak dibualkan dengan kamu." ujar Puan Sri Normah kepada Datin Noreen. Kemudian tangannya diletakkan di dada lalu diusap perlahan.

Tanpa membantah kata-kata ibunya itu, dengan rasa marah yang membuak-buak Datin Noreen meluru keluar. Sebelum itu sempat dia melemparkan jelingan yang tajam kepada Datin Norlie.

*****


"Sesekali dapat berkumpul macam ni seronok juga. Meriah je rumah ni. Kan ibu." ujar Hanna sambil tersengih ke arah Puan Hafizah. Wanita itu sekadar tersenyum.


"Anak-anak ibu semua dah besar panjang. Jarang dah nak temankan ibu dekat sini. Tapi ibu faham masing-masing ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Hari minggu macam ni ajelah masa yang ada untuk diluangkan bersama." balas Puan Hafizah.

Hanna dan Haura berasa sedikit sebak dengan kata-kata ibunya itu. Encik Zamzuri sekadar tersenyum.


"Eh apa yang nak sedih-sedih ni. Mikael ada benda nak bagitahu pada kita."

Mikael yang tadi hanya tersenyum segera menoleh ke arah Encik Zamzuri dengan mata yang terbuntang apabila namanya disebut. Wajahnya juga berubah menjadi sedikit pucat kerana gemuruh. Encik Zamzuri menganggukkan kepalanya. Haura memandang wajah Mikael dan ayahnya silih berganti.

Tekak Mikael mula terasa kering. Air liur yang ditelan juga terasa seperti tersekat dikerongkongnya. Kesemua mata sedang memandang ke arahnya. Jantung terasa bagai mahu meledak. Haura turut gelisah melihat keadaan itu.


"Abang Mika nak bagitahu kita pasal apa ayah?" tanya Hanna sedikit teruja sambil menoleh ke arah kakaknya. Haura membalas pandangan tersebut dengan jelingan sebelum meneguk air untuk basahkan tekaknya yang mulai kering.


"Saya sebenarnya nak minta restu dari semua orang untuk izinkan saya menyunting Haura jadi isteri saya yang sah."

Bagai ada sebuah batu yang besar jatuh dari bahunya setelah dia usainya menyampaikan hajatnya itu. Encik Zamzuri tersenyum lebar.

Tersedak Haura apabila mendengar bait kata yang keluar dari mulut lelaki itu. Puan Hafizah segera mengusap lembut belakang Haura. Hanna pula bertepui tangan dengan perkhabaran tersebut.


"Hanna setuju. Hanna restu Abang Mika kahwin dengan Kk Haura." balas Hanna riang. Dialah orang yang paling gembira pada ketika itu.

Puan Hafizah menatap wajah Haura yang sedang duduk di sisinya dengan sedalam-dalamnya. Wajah anaknya itu telah pun berubah kemerah-merahan. Dia beralih pula memandang Mikael yang sedang menantikan jawapan darinya.


"Ibu tak ada apa-apa bantahan kalau itu yang mampu berikan kebahagiaan kepada anak ibu ni." ujar Puan Hafizah sambil menguntumkan senyuman. Kepala Haura diusapnya lembut.

Mikael menghela nafas yang lega. Sebuah senyuman terukir dibibirnya. Dia kemudian memandang Haura yang juga sedang menatapnya pada saat itu.

*****

Haura mencari Juita di segenap ruang pejabat namun tidak kelihatan. Laila yang melihatnya ketika itu berasa sungguh hairan.


"Apa yang kamu terjenguk-jengukkan tu?" tanya Laila.


"Kak Laila ada nampak Juita tak? Dari pagi saya cari dia tapi sampai sekarang batang hidung pun tak nampak." balas Haura. Matanya masih meliar mencari Juita.


"Oh, Juita tak masuk kerja hari ni."


"Hah? Tak masuk kerja? Kenapa dia tak sihat ke?" soal Haura bertubi-tubi.

"Eh kamu ni kenapa Haura? Tiba-tiba tanya pasal Juita."

"Cepatlah bagitahu saya kak. Kenapa dia apply cuti? Berapa hari?"


"Sebab apa dia cuti akak tak tahu. Tapi yang membuatkan akak rasa pelik dia apply cuti dua minggu. Yelah sebelum ni mana pernah dia nak cuti lama macam ni."


"Dua minggu?" soal Haura dengan nada terkejut. Laika mengangguk laju.


"Mana Juita ni pergi?" bisik hati Haura. Setelah apa yang fia lihat tempoh hari hatinya sungguh tidak tenang memikirkan keadaan wanita itu.

*****

Banyak mata yang terpesona memandang ke arah Rissa yang sedang berjalan memasuki bangunan Khazzan Group itu. Siapa yang memandang pasti akan jatuh hati melihat kecantikkan wanita itu.


"Eh jap. Siapa yang lepaskan kau masuk dekat sini?" tanya Suri kasar.


"Hello, excuse me. You siapa nak halang I?"


"Kau tak payah nak berpura-pura la dengan aku. Kau datang sini nak jumpa Mikael kan?" Suri menebak.


"Kalau betul pun apa kaitannya dengan you? I datang sini nak jumpa dengan Mikael bukannya you." balas Rissa sinis.


"Ada juga yang makan penampar tawar aku ni."

Haura yang baru tiba di situ terpinga-pinga melihat kekecohan yang telah tercetus itu. Dia mencelah di tengah orang ramai untuk melihat apa yang sedang terjadi. Matanya sedikit terbeliak apabila melihat Suri dan Rissa yang sedang berperang mulut.


"Suri, kau buat apa ni?" tegur Haura mahu meleraikan perbalahan tersebut.


"Kau tak payah nak menyibuklah. Kalau tak tahu pangkal cerita baik kau diam." marah Suri.


"Apasal kau cari pasal dengan dia? Kau tahu ke tak dia ni siapa? " bisik Haura lagi.


"Aku kenal sangat la dia minah salleh celup ni."


"Dia duta baru untuk projek perhotelan syarikat ni. Kau jangan nak tunjuk taring dekat sini boleh tak. Tak pasal-pasal kau gali kubur kau sendiri." bisik Haura kasar diringi jelingan yang tajam. Suri terkesiap. Dia diam seketika.


"Saya minta maaf Cik Rissa. Tak sangka pula akan jadi macam ni." ujar Haura sambil menundukkan sedikit kepalanya.

Rissa menjeling ke arah Haura. Pandangannya itu dialihkan pula kepada Suri yang sedang cerlung memandangnya.


"Macam ni ke sikap pekerja di Khazzan Group. Berlagak, sombong." sindir Rissa sinis. Suri yang sedari tadi menahan perasaan marahnya menjadi semakin mendidih mendengar kata-kata wanita itu.


"Mulut kau tu tolong jaga sikit ye. Siapa yang berlagak, sombong sekarang ni? Kau ke aku?"


"You la siapa lagi." balas Rissa selamba.

Terlucut sahaja ayat tersebut dari mulut Rissa, Suri terus bertindak dengan menampar wajah wanita itu. Haura sangat terkejut dengan tindakan Suri itu. Dia kaku seketika. Tidak membiarkan sahaja perkara itu Rissa pula membuka langkah dengan menyerang Suri kembali.

Keadaan di pejabat menjadi hiruk-pikuk akibat dari perbalahan tersebut. Beberapa pekerja yang lain cuba untuk meleraikannya namun Suri dan juga Rissa langsung tidak menghiraukannya.

Haura kemudian cuba untuk meleraikan pergaduhan tersebut namun dia telah ditolak kasar oleh mereka berdua sehingga terjatuh ke lantai. Hatinya mula menjadi panas.


"Main kasar ye? Aku cakap elok-elok korang taknak dengar." getus hati Haura. Dia segera bangkit dari jatuhnya itu.

Tanpa membuang masa Haura terus mencelah di antara mereka berdua. Agak teruk juga Haura kena dengan mereka. Rambutnya ditarik dengan kuat dan badannya juga dipukul. Dia sedaya upaya tidak mahu gunakan kekerasan namun keadaan sangat memaksa pada ketika itu.

Kerana sudah tidak tahan dengan perkara itu Haura terpaksa menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan Suri tertolak ke belakang. Hampir sahaja dia terjatuh tetapi sempat di tahan oleh pekerja yang lain.

Namun malang sememangnya tidak berbau. Dek tolakan yang agak kuat dari Haura itu telah membuatkan Rissa jatuh terjelepok di lantai. Haura kemudian menghulurkan tangan untuk membantunya untuk bangkit.


"Apa yang dah berlaku ni?"

Suara Dazrin bergema di segenap ruang pejabat. Mikael yang berada di sisi Dazrin terbeliak melihat keadaan tiga orang wanita yang kelihatan tidak terurus itu. Para pekerja pula mula beransur pergi ke meja masing-masing setelah kehadiran bos mereka itu.


"Mikael, you tengoklah apa yang pekerja you dah buat pada I." dengan mengada-ngada Rissa mula memanggil Mikael untuk membantunya. Suri dan Haura serentak memandang ke arah wanita itu.


"Apa yang dah jadi ni Haura?" tanya Mikael sambil melangkah menghampirinya.

Haura mati kata. Mikael melirik pula pada Suri yang kelihatan agak cuak pada ketika itu. Tangan dihulurkan kepada Rissa untuk membantunya bangun. Senyuman sinis terbit dibibir Rissa namun segera dipadamnya. Namun di saat Haura ingin membantunya dengan kasar dia menepis.


"Cik Rissa saya minta maaf. Saya betul-betul tak sengaja."

Pang!

Serentak dengan itu, satu tamparan kuat hinggap dipipi Haura. Semua mata yang memandang sangat terkejut akan perkara tersebut termasuk Suri. Dazrin segera mendapatkan Haura. Perlahan-lahan pipinya mula terasa hangat dan pedih. Apabila disentuh darah merah mula terbit dipipinya. Haura mengetap bibir menahan rasa. Matanya juga sudah mula berkaca.


"Rissa you dah gila ke!" tengking Mikael.


"What? You cakap I gila? You tak nampak ke apa yang dia dah buat pada I? Kalau I cedera atau jadi apa-apa pada I macam mana?" balas Rissa lantang. Matanya cerlung menjeling ke arah Haura.


"Jari you ada yang putus ke? Kaki you dah patah? Tak ada kan? So apa masalah you sekarang? Dia pun dah minta maaf dengan you." marah Mikael lagi.


"You masih nak menangkan staff you lepas apa yang dia dah buat pada I? Baguslah, sikit hari lagi bila semua dah pijak keoala you baru padan muka." balas Rissa bernada sinis. Sungguh sakit hatinya apabila Mikael memenangkan Haura daripada dirinya.

Tanpa menjawab sepatah kata Mikael segera menarik tangan Haura lalu meluru keluar meninggalkan ruangan tersebut. Hal itu membuatkan Rissa menjadi semakin sakut hati. Dia merasakan Mikael seperti sengaja ingin menyakitkan hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience