BAB 51

Drama Completed 919581

Mikael berkali-kali cuba untuk menghubungi Haura namun panggilannya itu tidak di jawab. Dia kemudian memecut laju keretanya menuju ke rumah Haura.


"Assalamualaikum..." dengan lantang Mikael memberi salam.


"Suara siapa pulak yang bagi salam tu. Haura tak ada pesan apa-apa pun pada aku. Mungkin rumah jiran kot." fikir Mona sendirian.

Mona yang sedang khusyuk menonton drama di televisyen tidak menghiraukan perkara itu. Dia beranggapan suara tersebut datang dari rumah jirannya. Namun apabila beberapa kali panggilan itu lagi masih belum dijawab, akhirnya Mona mengambil keputusan untuk menjenguk ke luar tingkap.


"Ishhh... Siapa pulak yang tak reti nak buka pintu tu. Bukan main lama lagi kawan tu bagi salam." ujarnya lagi sambil bingkas bangun dan mengintai dari sebalik tingkap.


"Mak aih.. Rumah aku ke? Patutlah dia tak berhenti bagi salam dari tadi." tutur Mona selamba.


"Tapi..... lelaki mana pula yang datang rumah Haura ni? Takkan dia ada boyfriend tapi tak bagitahu aku kot." Mona mula tertanya-tanya.

Dia sendiri agak terkejut apabila melihat seorang lelaki sedang berdiri di depan rumahnya itu. Mona dengan tergopoh-gapah terus membuka pintu dan berjalan ke arah lelaki itu. Ternyata lelaki yang sedang memanggil serta memberi salam di luar pintu pagar itu adalah Mikael.


"Waalaikumussalam. Encik cari siapa ye?" soal Mona pendek.


"Haura ada tak?" tanya Mikael tanpa melengahkan masa yang ada.


"Eh kejap. Awak Mikael kan? Cucu Puan Sri Normah." tanya Mona kembali. Mikael menganggukkan kepalanya. Mona tidak percaya yang lelaki itu tahu di mana Haura tinggal.


"Haura mana? Dia ada ke?" tanya Mikael lagi.


"Macam mana awak tahu yang rumah ni rumah Haura? Awak stalk dia ke?" soal Mona tegas.


"What? Stalk? Mana ada? Aku pernah hantar dia balik masa kereta dia rosak hari tu. Sebab itulah aku tahu rumah dia ni." balas Mikael.

"Oh yeke. Ada apa datang sini cari Haura?" tanya Mona lagi.


"Haura ada ke tak? Aku ada benda penting nak bincang dengan dia ni." Panjang leher Mikael menjenguk ke dalam rumah mencari kelibat Haura.


"Encik, hari minggu macam ni pun nak bincang pasal kerja? Agak-agaklah. Saya tahu Haura tu PA awak tapi tak payah la sampai nak ganggu dia hari cuti macam ni. Dia pun ada hidup dia sendiri." bebel Mona. Mikael mula rasa serabut dengan bebelan Mona itu. Lain yang di tanya lain pulak yang dia jawab.

"Aku tahulah. Sekarang ni aku tanya kau, Haura ada dekat rumah ke tak? Aku call dia banyak kali tapi tak berjawab." soal Mikael lagi untuk kesekian kalinya.

Mona mengerutkan dahinya. Dia segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan cuba menghubungi Haura. Riak wajahnya tiba-tiba sahaja berubah. Ternyata benar apa yang diberitahu oleh Mikael itu kerana Haura juga tidak menjawab panggilan darinya.


"Ishh... Mana Haura ni. Apasal tak angkat call pulak?" bisik Mona perlahan. Dia mula rasa risau.


"Dia ada bagitahu kau ke dia pergi ke mana?" tanya Mikael kepada Mona.


"Haura tak ada dekat rumah. Dia balik rumah parents dia." balas Mona.


"Kau tahu alamat rumah parents dia tu?" tanya Mikael lagi. Mona agak terkejut dengan soalan dari Mikael itu.


"Awak nak pergi ke sana ke? Biar betul!" tanya Mona. Dia agak pelik dengan kelakuan Mikael itu.


"Cepatlah. Aku dah tak ada masa ni." balas Mikael sambil melihat jam di tangannya.

Pada mulanya Mona agak keberatan untuk memberikan alamat tersebut kepada Mikael. Namun setelah berkali-kali di desak oleh Mikael akhirnya dia akur dan memberikan alamat tersebut kepada Mikael. Tanpa membuang masa Mikael terus memecut keretanya dengan laju.


"Apahal dengan mamat ni. Kerja apa yang penting sangat hari minggu ni sampai macam tu sekali cari Haura. Yang si Haura ni pun satu, dah tak reti nak angkat call ke?" bebel Mona sendirian sambil kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.

*****


"Dah kenapa minah ni tak angkat call. Memang sengaja tak nak jawab ke macam mana. Dah berpuluh kali aku call ni, sekali pun tak angkat. Mesej yang aku hantar tu lagi la. Entah bila dia nak balas pun tak tahu." bebel Mikael sendirian sambil memandu laju keretanya.


"Harap-harap dia tak bagitahu lagi la family dia pasal aku. Kalau tak sia-sia jelah aku drive jauh-jauh ni." ujarnya lagi.

Tidak lama kemudian Mikael tiba di lokasi yang diberikan oleh Mona. Dia memperlahankan kereta sambil matanya meliar mencari rumah keluarga Haura. Dari jauh dia melihat kereta milik Haura diletakkan di hadapan rumah. Perlahan-lahan Mikael mula memandu ke arah rumah tersebut.

Mikael keluar dari keretanya dan menghampiri kereta tersebut. Setelah dia yakin bahawa kereta itu benar milik Haura barulah dia berjalan ke arah pintu utama rumah tersebut. Tetapi semakin dekat dia dengan tempat yang ditujuinya itu semakin berat terasa langkah kakinya. Jantungnya juga berdegup dengan kencang sekali.

Entah kenapa tiba-tiba sahaja dia diselubungi rasa gemuruh. Bunyi riuh dan hilai tawa dari dalam rumah itu menambahkan lagi rasa gugupnya itu. Namun Mikael tetap menggagahkan dirinya. Dia tidak mahu peluang ini disia-siakan dengan begitu sahaja. Sempat Mikael menghela nafas yang panjang sebelum memberi salam.


"Assalamualaikum....."


"Waalaikumussalam..." kelibat Haura mula muncul di muka pintu. Wajahnya kelihatan sangat terkejut dengan kehadiran Mikael secara tiba-tiba itu.


"Mi-Mikael?" dengan spontan nama itu keluar dari mulut Haura. Mikael tersenyum kepadanya. Haura segera berlari mendapatkan Mikael lalu menarik lelaki itu ke suatu sudut.


"Apa yang awak buat dekat sini?" bisik Haura perlahan. Mata meliar melihat sekeliling.


"Eh, bukan ke kau yang suruh aku datang sini untuk jumpa dengan family kau, siap merayu-rayu lagi. Takkan dah lupa kot." balas Mikael nakal.


"Tapi awak dah reject offer tu kan? So buat apa awak datang ke sini? Dah pergi balik sekarang." Haura menolak tubuh Mikael supaya pulang segera.


"Kenapa? Kau dah berterus terang dengan family kau ke?" soal Mikael sambil menepis tolakan tersebut.


"Be-belum lagi.... Tapi kejap lagi saya memang nak bagitahu dia orang. Jadi awak boleh balik sekarang." tolak Haura sekali lagi.


"Kalau aku tak nak balik kau nak buat apa?" Mikael cuba menguji.


"Awak, tolonglah balik. Jangan nak buat kecoh dekat sini boleh tak." rayu Haura. Dia tidak mahu kehadiran Mikael itu disedari oleh ahli keluarganya.


"Aku penat-penat drive datang sini, macam tu je kau halau aku balik? Kau tak kasihankan aku ke?" balas Mikael nakal.

Sedang mereka berdua bertikam lidah di luar rumah, Puan Hafizah mula keluar mencari Haura yang tiba-tiba sahaja menghilangkan diri.


"Haura, siapa yang datang tu?" panggil Puan Hafizah. Haura dan Mikael tersentak.

"Eh, Mikael." ujar Puan Hafizah sambil matanya melirik ke arah Haura. Mikael segera menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

"Kamu ni Haura kenapa biarkan dia berdiri dekat luar rumah ni. Kot ye pun nak berborak, ajaklah dia masuk ke dalam rumah dulu." tambah Puan Hafizah lagi. Haura tersenyum tawar.


"Tak, bukan macam tu ibu. Sebenarnya....." belum sempat Haura menghabiskan bicaranya, sepantas kilat Mikael memintas.


"Sebenarnya Haura dah ajak saya masuk auntie tapi saya pulak yang rasa segan." pintas Mikael.


"Ish.. kamu tak payah nak segan sangatlah. Buat aje macam rumah sendiri. Dah mari masuk." Puan Hafizah mempelawa Mikael untuk masuk ke dalam rumah dan berlalu pergi.

Mikael tersenyum nakal memandang ke arah Haura namun dibalas dengan jelingan yang tajam oleh wanita itu. Haura berjalan masuk ke dalam rumah kemudian diikuti rapat oleh Mikael.


"Bukan ke kamu kata ada hal penting hari ni? Kenapa tiba-tiba je sampai dekat rumah ni?" tanya Datin Safiah kepada Mikael.


"Oh, rupanya minah ni bagitahu aku tak boleh datang sebab ada hal penting." bisik hati Mikael. Matanya melirik ke arah Haura yang turut memandang ke arahnya dengan wajah yang masam mencuka.


"Ha'ah. Sepatutnya saya memang ada hal sikit hari ni tapi cancel last minit. Sebab tu saya datang terus ke sini." balas Mikael.


"Opah tengok Haura macam tak happy je Mikael datang. Kamu berdua ni bergaduh ke?" tanya Datin Safiah lagi. Haura sangat terkejut apabila opahnya berkata sebegitu. Dia mati kata untuk menjawabnya.


"Tak, kami tak gaduh pun opah cuma ada salah faham sikit je. Lagipun Haura sendiri tak tahu yang saya akan datang hari ni. " ujar Mikael panjang lebar menjawab pertanyaan Datin Safiah itu.


"Patutlah dari tadi opah tengok Haura ni asyik monyok je. Tak ada mood sebab kamu rupanya." sakat Datin Safiah.


"Mana ada opah. Kalau dia tak datang hari ni pun Haura tak kesah." balas Haura seolah-olah merajuk.


"Eleh, merajuk konon. Datuk cepuk karang baru tahu. Dato Malik berseloroh. Ruang tamu rumah tersebut riuh dengan hilai tawa mereka sekeluarga.

Mikael tidak putus-putus di interview oleh Datin Safiah dan Puan Hafizah. Dato Malik dan Encik Zamzuri juga tidak ketinggalan. Namun Haura hanya mendiamkan diri dan jadi pemerhati sahaja. Sesekali dia akan bersuara jika soalan itu ditujukan kepadanya.


"Dah buang tabiat ke mamat ni tiba-tiba je datang sini. Macam mana dia boleh tahu alamat rumah ibu aku? Dia stalk aku ke?" bisik Haura di dalam hati. Matanya melirik ke arah Mikael yang sedang rancak berbual.


"Kau tak payah nak mengarutlah Haura. Tak mungkinlah si Mikael tu nak stalk kau." tambahnya lagi. Haura hanyut di dalam lamunannya.


"Apa yang jauh sangat kamu termenungkan tu Haura?" pertanyaan dari Encik Zamzuri itu mematikan lamunannya. Semua mata tertumpu pada Haura.


"Errr... ma-mana ada." balas Haura. Mukanya bertukar menjadi merah padam. Serentak dengan itu Hanna dan Zaquan berjalan masuk menyertai mereka.


"Ha... tu Hanna dengan Zaquan dah sampai. Jomlah kita makan." ujar Haura menukar topik. Dia segera bangkit dari tempat duduknya dah berjalan menuju ke ruang makan.

*****

Datin Noreen bersama beberapa orang rakan baiknya dilihat sedang menjamu selera. Dia telah menjemput mereka untuk makan tengah hari di rumahnya. Sekali sekala dia memang sering mengadakan jamuan kecil-kecilan seperti itu. Sebab itu jugalah Dazrin pergi ke rumah Puan Sri Normah.


"Mary tak datang ke hari ni Reen?" tanya Datin Nora.


"I dah bagitahu dia untuk lunch dekat rumah I hari ni. Tapi tulah lambat pulak dia datang." balas Datin Noreen.

Ding dong!


"Ha, itupun dia dah sampai." ujar Datin Noreen setelah mendengar loceng rumahnya dibunyikan. Datin Mary berjalan masuk menyertai mereka di meja makan.


"You pergi mana Mary? Lama tau kami semua tunggu you." tanya Datin Rossa kepada Mary.


"Sorrylah, I hantar husband I pergi airport dulu. Dia pergi outstation sebulan dekat Dubai 2 minggu." balas Datin Mary.


"Eh, bukan ke kelmarin husband you baru balik dari Filipina, takkan dah pergi Dubai pulak." tanya Datin Nora.


"Nak buat macam mana dah kerja dia." balas Datin Mary pendek.


"Wah, ada nasi daging hari ni." ujarnya lagi penuh teruja. Dia sudah lama tidak menjamah nasi daging. Maklumlah tengah jaga badan la katakan.


"I dah bagitahu yang menu hari ni agak heavy sikit. So anggaplah hari ni cheat day you all." balas Datin Noreen sambil mempelawa rakannya itu untuk menjamu selera.

Sedang mereka menikmati juadah tersebut, mata Datin Mary meliar melihat sekeliling rumah.


"Reen, mana husband dengan anak-anak you? I tak nampak pun kelibat dia orang?" tanya Datin Mary. Mood wartawan gosipnya sudah mula diaktifkan.


"Husband I pergi outstation ke Sabah. Dazrin pulak awal pagi lagi dah keluar pergi ke rumah nenek dia." balas Datin Noreen sebelum menyuapkan nasi je dalam mulutnya.


"Oh yeke. Anak perempuan you pulak?" tanya Mary lagi. Datin Noreen tersentak. Mulutnya juga terhenti mengunyah. Begitu juga dengan Datin Nora dan Datin Rossa.


"You ni kan Mary, kalau tak tanya soalan yang menyakitkan hati I memang tak sah kan." balas Datin Noreen dingin.

Datin Rossa mencuit peha datin Mary perlahan seolah-olah memberi amaran supaya tidak bertanyakan soalan yang boleh membuatkan Datin Noreen naik angin.


"Sorrylah Reen I tak sengaja. Mulut celupar I ni memang tak boleh nak control. Kita lupakan jelah soalan yang I tanya tu ye." balas Datin Mary sambil tersenyum.

Sejak Soraya dan Syahmi berpindah keluar dari rumah tersebut, tidak pernah sekali pun mereka menjejakkan kaki ke rumah itu lagi. Bukan kerana mereka tidak mahu tetapi sudah diberi amaran oleh Datin Noreen sendiri.

*****


"Bila kamu nak masuk meminang Haura?" tanya Encik Zamzuri tanpa berselindung. Hampir terkeluar biji mata Haura apabila ayahnya itu menujukan soalan keramat tersebut kepada Mikael.

Mereka berdua yang sedang mengunyah makanan pada ketika itu secara serentak hampir tersedak setelah mendengar pertanyaan dari Encik Zamzuri itu. Haura segera mencapai segelas air putih lalu diteguknya perlahan. Hanna pula menghulurkan segelas air putih kepada Mikael.

Setelah perit di tekaknya sudah berasa lega, barulah Haura mula bersuara.


"Ayah.... kenapa tiba-tiba tanya soalan macam tu." tanya Haura kembali kepada ayahnya.


"Salah ke soalan yang ayah tanya tu? Bukan ke kamu bagitahu yang kamu berdua ni bakal berkahwin tak lama lagi? Jadi ayah nak tahulah bila kamu berdua ni nak bertunang?" balas Encik Zamzuri panjang lebar.

Mikael dan Haura saling berpandangan. Mereka berdua mati kata untuk menjawab pertanyaan tersebut. Tidak pernah terlintas di fikiran Mikael yang dia akan di asak dengan soalan yang sebegitu. Haura pula mula mencari akal. Alasan apa lagi yang dia akan berikan kepada ayahnya itu.


"Alamak! Apa lagi alasan yang aku boleh goreng supaya mereka percayakan aku. Skrip yang patut aku cakap hari ni semua aku dah tukar. Mamat ni pun satu hal, nak datang sini tak bagitahu sepatah haram pun. Tup tup dah terpacak depan rumah. Semua ni berpunca daripada dia la." omel Haura di dalam hati.


"Kenapa diam je? Jawablah soalan yang ayah kamu tanya tu " Datin Safiah mencelah.


"Ha'ah, hari tu bukan main beria lagi akak cakap yang Abang Mika ni bakal suami akak. Takkan bila ayah tanya pasal bertunang akak tak boleh jawab kot." tambah Hanna yang dari tadi yang sekadar memerhati.


"Tak, bukan macam tu. Haura dan Mika sebenarnya......" tersekat-sekat suara Haura untuk menjawab.


"Kami sebenarnya dah sepakat untuk bertunang pada hari yang sama kami akan bernikah nanti." dengan laju Mikael menjawab. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh terdetik untuk memberikan kenyataan tersebut.

Mata Haura terbuntang luas. Dia memandang tepat ke mata Mikael. Bukan setakat Haura sahaja yang terkejut tetapi kesemua ahli keluarga yang lain turut terkejut dengan kenyataan dari Mikael itu.

Share this novel

Ayunie Che Wahab
2022-08-14 12:37:14 

tq


NovelPlus Premium

The best ads free experience