BAB 7

Drama Completed 919581

Kereta yang dipandu Haura tiba diperkarangan rumah ibubapanya. Kelihatan Puan Hafizah dan Encik Zamzuri sedang menunggu di hadapan rumah untuk menyambut kepulangan anaknya, Hanna. Sejurus Haura memberhentikan keretanya Hanna segera keluar dan terus berlari ke arah Puan Hafizah dan Encik Zamzuri. Dipeluk erat kedua ibubapanya itu kerana terlalu rindukan mereka setelah 2 tahun tidak berjumpa. 

Haura sekadar tersenyum melihat gelagat tiga beranak itu. Dia kemudian membuka bonet kereta lalu mengeluarkan 2 buah beg bagasi milik Hanna untuk di bawa masuk ke dalam rumah.

          "Kenapa lambat sangat kamu berdua sampai ni. Buat ibu dengan ayah risau je."

          "Soalan ni ibu kena Tanya Kak Haura. Dia datang lambat sangat, lama tau Hanna tunggu." Adu Hanna manja sambil memeluk ibunya.

          "Sorry ibu tadi masa Haura nak pergi airport ada emergency sikit. Tapi semua dah settle and Hanna pun dah selamat sampai ke pangkuan ibu tersayang." Usik Haura sambil matanya mengerling ke arah Hanna.

          "Ibu masak apa hari ni? Hanna laparlah." Hanna menukar topik.

          "Udang masak sambal dengan kerabu pucuk paku." Balas Puan Hafizah

          "Wahhh! Feveret Hanna tu."

          "Dah anak kesayangan dia balik mestilah ibu kamu masak yang sedap-sedap. Betul tak Haura?" Encik Zamzuri berseloroh menyakat isterinya

Haura mengangkat kening dan menganggukkan kepala tanda sokong dengan kenyataan Encik Zamzuri tadi. Seraya dengan itu Puan Hafizah memukul manja bahu suami. Haura dan Hanna tersenyum melihat telatah orang tuanya itu.

          "Dahlah jom kita naik makan. Dah lewat ni. Sejuk pulak lauk tu nanti." Pelawa Encik Zamzuri sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Mereka bertiga berjalan mengekori hero hati mereka itu menuju ke ruangan makan.

***

          "Amboi jauhnya anak ayah termenung. Fikir pasal apa tu?" Encik Zamzuri menyapa Haura dari belakang.

          "Eh tak adalah ayah, Haura saja je lepak dekat luar ni. Dah lama tak hirup udara malam dekat sini."

          "Yeke ni? Ke anak ayah termenung rindukan orang jauh?" Sakat Encik Zamzuri sambil menghulurkan kopi suam kepada Haura.

          "Terima kasih ayah. Kopi suam ayah memang the best!" Haura tersenyum lantas mengambil cawan di tangan Encik Zamzuri. Dihirupnya perlahan kopi tersebut sambil menutup mata cuba melupakan memori pahitnya bersama bekas tunangnya Syed Syahmi. Walaupun sudah hampir dua tahun berlalu Haura masih lagi tidak dapat melupakan apa yang telah Syahmi lakukan terhadapnya. 

Masih segar diingatannya seolah-olah peristiwa itu baru sahaja terjadi semalam. Betapa dalam luka yang tergores dihatinya hanya tuhan saja yang tahu. Meskipun secara luaran Haura kelihatan ceria seperti sudah move on dari kisah lampau namun jauh disudut hati masih sukar untuk melupakan. Hampir setiap malam dia akan duduk sendirian mengenangkan kisah lalu.

          "Haura masih fikirkan Syahmi lagi ke?" soalan Encik Zamzuri mematikan lamunan Haura yang sedang asyik menikmati kopi. Bapanya itu seperti ahli nujum yang boleh membaca fikirannya.

Haura terdiam kaku. Dia sungguh terkejut dengan soalan itu. Dia tidak menyangka ayahnya akan bertanyakan soalan itu. Haura tidak memberikan sebarang respon. Matanya yang bundar itu mulai berkedip laju dan berkaca.

          "Ayah tahu Haura sangat cintakan Syahmi tapi semua tu dah lama berlalu. Ayah terlalu sayangkan Haura. Janganlah kamu menyiksa diri kamu lagi. Ayah dan ibu tak sanggup melihat Haura menderita. Ayah tak pernah berhenti mendoakan kebahagiaan anak-anak ayah. Ayah nak sangat tengok Haura bahagia seperti orang lain."

Mendengar satu persatu luahan rasa hati ayahnya itu Haura tidak dapat menahan sebak didadanya. Tangisan yang sedari tadi cuba ditahan kini sudah tidak terbendung lagi. Airmata mulai mengalir laju. Haura menangis sepuas-puasnya. Encik Zamzuri memeluk dan menggosok lembut bahu Haura untuk menenangkan emosi anaknya itu. Puan Hafizah yang memerhati dari jauh turut menyeka airmatanya yang mengalir dipipi kemudian berlalu pergi.

Keheningan malam itu pecah dek suara tangisan dan esakkan Haura. Beberapa ketika kemudian keadaan mula kembali tenang. Tangisan Haura juga sudah tidak kedengaran lagi.

          "Maafkan Haura ayah sebab selalu buat ayah dan ibu risau. Haura janji lepas ini Haura takkan kecewakan dan lukakan hati ayah dan ibu lagi." ucap Haura sambil cuba mengukirkan senyuman diwajahnya. Encik Zamzuri tersenyum dan mengangguk selepas mendengar kata-kata anak sulungnya itu.

          "Dah lewat malam ni, ayah masuk tidur dulu ya. Nanti jangan lupa kunci pintu." Encik Zamzuri bingkas bangun kemudian menepuk bahu Haura lalu melangkah pergi.

          "Ayah, terima kasih." Ucap Haura perlahan sambil mengalihkan semula pandangan kelangit yang dihiasi bulan dan bintang. Seperti ada beban yang terlepas dari bahunya selepas dia meluahkan segala isi hati pada ayahnya malam itu.

***

File bertimbun dimejanya. Haura yang sedang khusyuk mengadap komputer terkejut apabila rakan sepejabatnya, Suria berlari lalu menepuk mejanya dengan kuat.

          "Opocot!! Mak kau hebat! Kau dah kenapa ni Suria." Latah Haura kemudian membongkokkan badannya mengutip file dan pen yang terjatuh akibat latahnya tadi. Suria yang masih tercungap-cungap dihadapannya masih tidak mampu bersuara.

         "Hantu mana yang dah kejar kau siang siang hari ni?"

          "Bukan kejar aku tapi kau. Encik Badrul nak jumpa kau sekarang dekat office dia." Balas Suria mengah.

          "Aduh ni mesti sebab aku tak masuk office semalam." Keluh hati Haura sambil berjalan menuju ke bilik Badrul.

Knock... Knock... Pintu bilik Badrul di ketuk. Haura menguak pintu tersebut dengan penuh hemat lalu melangkah masuk. Kemudian Badrul mempelawa Haura untuk duduk di sofa sementara dia menyangkut kot yang dipakainya pada penyangkut di sudut biliknya.

          "Semalam ada staff bagitahu saya lepas waktu lunch awak tak masuk office." soal Badrul yang duduk di hadapan Haura sambil bersilang kaki.

          "Maaf Encik Badrul semalam saya betul-betul terlupa untuk maklumkan pada encik. Lepas lunch semalam saya pergi ke hospital." Balas Haura. Belum sempat Haura menjelaskan dengan lebih lanjut Badrul lebih cepat memotong ayatnya itu.

          "Hospital? Awak tak sihat ke?" tanya Badrul sedikit terkejut. Tubuhnya yang tersandar di sofa terus terangkat.

          "Bukan, saya tak sakit pun. Saya terlibat dalam kemalangan kecil semalam jadi..." sekali lagi Badrul mencelah. Kali ini dia terus bangun dan duduk di sebelah Haura lantas memegang tangan Haura untuk memeriksa sama ada Haura tercedera ataupun tidak.

          "Errr... Saya okay encik." Haura menarik tangannya dan cuba menjauhi Badrul.

          "Betul ke awak okay mari sini saya check." Badrul menyentuh bahu Haura.

Haura mula terasa rimas dengan tingkah laku tersebut lalu menepis kasar tangan Badrul. Namun, hal itu tidak mematahkan semangat Badrul untuk duduk lebih rapat dengan Haura. Kali ini peha Haura pula dipegangnya. Berkali-kali Haura menepis tetapi Badrul tetap tidak berhenti.

          "Encik Badrul tolonglah lepaskan saya." Rayu Haura. Badrul sudah mula menggunakan kekerasan.

          "Dah lama aku tunggu saat ini Haura. Selama ini kau jual mahal dengan aku."

          "Ya Allah. Encik Badrul saya merayu tolonglah lepaskan saya." Haura meninggikan suara. Tubuhnya mula jatuh terbaring di sofa yang empuk itu dek pergelutan itu. Matanya juga mula berkaca.

Haura cuba menjerit meminta tolong tetapi mulutnya segera ditekup oleh Badrul. Haura cuba untuk melawan tetapi kudratnya tidak mampu melawan kudrat seorang lelaki. Dia menjadi hilang arah mulutnya tak berhenti menjerit meminta tolong namun tindakannya itu sia-sia. Kini hanya kepada Allah sahaja dia meminta pertolongan. Kudrat Haura semakin berkurang, dia mula terasa lemah.

Melihat keadaan itu Badrul tersenyum sinis seolah-olah kemenangan telah berpihak kepadanya. Dia mula melepaskan pergelangan tangan Haura yang digenggamnya perlahan-lahan. Badrul kemudian mengusap perlahan rambut Haura. Dia kemudian tunduk merapatkan mukanya ke telinga Haura.

          "Kalau dari awal awak behave macam ni takde la saya nak berkeras dengan awak, sayang." bisik Badrul. Haura memejam rapat matanya. Jantung Haura bagai nak pecah. Hatinya tak putus-putus meminta pertolongan dari Allah.

          "Kenapa pejam mata? Awak dah tak sudi nak tatap muka saya ke?" tanya Badrul. Perlahan-lahan Haura membuka matanya. Dadanya mula bergelombang. Tangan Haura mula menggigil dek kerana perasaan yang bercampur-baur antara marah, sedih serta takut.

Badrul memerhatikan setiap inci wajah Haura dengan penuh syahwat. Sesekali dia menggigit bibir dan menelan air liurnya ketika merenung bibir mungil milik Haura. Matanya seolah-olah bercahaya seperti harimau yang sedang menunggu masa untuk menerkan mangsanya. Badrul perlahan-lahan mula menghulur tangan kanannya untuk menyentuh bibir Haura. Namun dengan sepantas kilat Haura telah menggigit tangan Badrul menyebabkan Badrul mengaduh kesakitan lalu melepaskannya.

Dia segera bangkit dari sofa kemudian mencapai dulang air yang berada di atas meja kopi berhampiran lalu dihayunnya tepat pada kepala Badrul. Badrul tertunduk lalu terjelepok ke lantai. Tubuhnya meringkuk menahan sakit sambil tangannya memegang kepala. Sakit dikepalanya itu bukan kepalang.

Di kesempatan itu Haura terus berlari keluar dari bilik tersebut dan bergegas ke mejanya. Dia terus mencapai beg tangannya yang terletak di atas meja lalu berlari keluar tanpa sebarang kata. Rupa parasnya yang kusut masai sudah tidak diendahkannya lagi.

Setibanya di tempat letak kereta, tergopoh gapah Haura mencari kunci kereta di dalam beg tangannya. Malang tidak berbau, dia telah terlanggar seseorang sehingga dirinya jatuh terduduk. Habis terburai isi terkeluar dari perut begnya.

          "So-sorry saya tak perasan." Ucap Haura tanpa memandang lelaki tersebut. Suaranya mula terketar-ketar.

          "Cik tak apa-apa? Nak saya tolong?" balas lelaki tersebut sambil menghulurkan tangannya.

          "Eh, takpe saya boleh bangun sendiri." Tolak Haura sopan.

          "Oh... kalau macam tu saya gerak dulu ye. Maaf lagi sekali ye." Balas lelaki tersebut sebelum beransur pergi.

Haura mula mengutip satu per satu barang yang terkeluar dari beg tangannya dengan lemah. Sesekali dia menyeka air mata yang mula mengalir dipipinya. Kemudian dia segera meluru ke arah kereta miliknya dan terus menghidupkan enjin. Haura menekan pedal minyak sekuat hati lalu terus memecut laju tanpa hala tuju. Airmata terus mengalir deras persis air hujan yang lebat turun membasahi bumi.

Situasi menjadi agak tegang selepas Haura meluru berlari meninggalkan pejabat dengan rupa yang agak berserabut. Badrul keluar dari biliknya dengan muka yang bengis dan telah memberi arahan kepada pekerja di situ untuk mengosongkan meja Haura.

            "Suria tolong kosongkan meja Haura sekarang juga." Arah Badrul kasar.

          "Mulai hari ini dia dah tak bekerja dekat sini lagi." Tambah badrul lagi. Api kemarahan dalam dirinya semakin marak mengenangkan kejadian sebentar tadi. Tangannya juga tak berhenti menggosok bahagian kepala yang dipukul Haura.

          "Haura dah berhenti ke?" Semua staf tertanya sesama sendiri. Mereka agak terkejut dengan apa yang diberitahu Badrul sebentar tadi. Haura adalah salah seorang pekerja yang paling senior yang masih bertahan bekerja di situ selepas pekerja yang seangkatan dengannya sudah lama berhenti.

          "Pembetulan, dia bukan berhenti kerja tetapi dia dipecat serta-merta." Ujar Badrul sebelum Kembali ke biliknya dalam keadaan yang bengis.

Inilah hantu yang dimaksudkan oleh Suria tadi. Hantu miang keladi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience