BAB 76

Drama Completed 919664

Satu pasang mata sedang memerhati Haura dari jauh di saat wanita itu sedang membeli-belah. Haura yang merasakan dirinya bagai diperhatikan memberhentikan langkahnya. Dia cuba melihat sekeliling namun tiada apa yang berjaya ditangkap oleh matanya. Dia beranggapan itu mungkin perasaannya sahaja.

Setelah itu dia kembali melangkah meneruskan perjalanannya. Tiba di hadapan kedai pakaian kanak-kanak sekali lagi dia berhenti. Bibirnya mengukirkan senyuman sebelum melangkah masuk ke dalam kedai tersebut. Sedang dia asyik memilih pakaian yang ingin dibeli tiba-tiba ada satu suara lelaki yang datang menyapa dari arah belakang.


"Seorang je ke? Mana bakal suami?" tanya lelaki itu.

Sepantas kilat Haura terus berpaling ke arah suara tersebut. Matanya membulat luas. Baju yang berada ditangannya terus terlucut jatuh ke lantai. Tangan Haura mula menggigil di saat melihat Badrul yang sedang menatapnya sambil tersenyum.

Dengan sedikit cemas Haura tunduk untuk mengambil baju yang jatuh tadi. Dia meletakkan semula baju itu di rak yang berhampiran. Setelah itu barulah dia memberanikan diri untuk bertegur sapa dengan lelaki tersebut.


"Encik Badrul... Encik buat apa dekat sini?" tanya Haura sedikit gagap. Namun dia cuba untuk kekal tenang meskipun jantungnya sudah mula berdegup kencang. Badrul sekadar menjengketkan sedikit bahunya.

Tanpa berfikir panjang Haura segera bergegas keluar dari kedai tersebut. Laju kakinya menapak pergi. Benarlah gerak hatinya tadi yang merasakan ada seseorang yang sedang memerhatikan dirinya. Haura cuba untuk berpaling melihat jika Badrul masih mengekorinya lagi.

Ya, benar sekali. Lelaki itu sedang berdiri di depan kedai tadi sambil memandang tepat ke arahnya. Senyuman yang terukir dibibir Badrul membuatkan seluruh tubuhnya rasa meremang. Dengan rasa cemas di dada Haura segera berlari anak apabila lelaki itu mula mengorak langkah menuju ke arahnya.


"Dalam banyak-banyak orang kenapa aku mesti terserempak dengan dia tu." bisik Haura di dalam hati.

Tangga eskalator di panjat laju. Haura berdengus apabila beg kertas yang dibimbitnya sedikit menganggu pergerakkannya. Hati Haura berasa sungguh tidak tenang. Dalam keadaan yang tergesa-gesa dia memanjat satu persatu anak tangga tersebut.

Tanpa diduga ketika dia cuba melangkah dari eskalator tersebut kakinya telah tersepak lantai dan telah menyebabkan dia tertumus ke depan. Namun nasibnya sungguh baik apabila dirinya sempat di sambut oleh seseorang yang secara kebetulan berada di situ. Waktu bagai terhenti buat seketika.


"Cik tak apa-apa ke?" tanya lelaki tersebut.


"O-okay. Saya okay. Terima kasih." ujar Haura sambil meleraikan 'pelukannya'. Dia kemudian melepaskan tangannya yang berpegang erat pada bahu serta lengan lelaki itu. Kedudukannya juga diperbetulkan.

Namun pada saat dia mengangkat wajahnya melihat lelaki yang telah menyelamatkannya itu Haura membeku. Lidahnya juga menjadi kelu. Matanya terbuntang menatap lelaki di hadapannya itu. Seolah-olah hilang sekejap rasa cemas yang menyelubungi dirinya sebentar tadi.


"H-Haura...." ujar Syahmi perlahan. Secara spontan dia melangkah setapak ke belakang. Dia turut terkedu.

Tanpa mereka sedar kejadian tadi telah dirakam oleh Rissa yang secara kebetulan telah menyaksikan 'adegan berpelukan' itu. Senyuman sinis terukir di wajah wanita itu. Berpuas hati dengan video yang dirakamnya itu dia segera berlalu pergi.

Haura masih lagi berdiri kaku di situ. Bagi menghapuskan kejanggalan yang ada Syahmi mengutip beberapa barang yang telah jatuh bertaburan di lantai. Dia cuba mencari topik yang sesuai untuk dibualkan.


"Tahniah atas pertunangan awak." ujar Syahmi mendatar tanpa memandang wajah Haura.


"T-terima kasih." balas Haura pendek.

Di saat Syahmi menghulurkan beg kertas kepada Haura, Soraya datang menghampiri mereka. Dia tertanya-tanya dengan siapa suaminya sedang berbual.


"Sayang!" panggil Soraya. Haura dan Syahmi berpaling secara serentak. Soraya terkesiap. Langkah


"Haura. Tak sangka pula kita boleh jumpa dekat sini." sapa Soraya. Haura sekadar tersenyum. Dia masih lagi tidak dapat membiasakan diri untuk beramah mesra dengan pasangan itu.


"You buat apa dekat sini?" tanya Soraya lagi.

Serentak dengan pertanyaan itu Haura mula kelihatan sangat gelisah. Dia melihat di sekelilingnya dalam keadaan cemas. Syahmi dan isterinya saling berbalas pandang. Soraya cuba meminta penjelasan dari Syahmi namun lelaki itu hanya menggelengkan kepalanya.


"I tak rasa you okay sekarang ni Haura. Apa kata kita pergi minum dulu untuk tenangkan diri you." saran Soraya setelah melihat wanita itu seperti sedang dalam ketakutan.

*****

Rissa yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya duduk bersandar pada kerusi kereta. Matanya dipejamkan buat seketika untuk menghilangkan lelah. Beberapa ketika kemudian matanya tiba-tiba terbuka luas seolah-olah teringatkan sesuatu. Telefon bimbit segera digagau di dalam beg tangan.

Dia membuka folder yang berisi video lalu memainkan video terbaru yang dirakamkan beberapa minit yang lalu. Berkali-kali dia menonton video tersebut. Matanya terbuntang luas apabila mengenalpasti lelaki yang 'dipeluk' oleh Haura di dalam video tersebut.


"Haura dan Syed Syahmi, menantu Encik Zubir dari Khazzan Group. Menarik juga permainan perempuan ni." ujarnya perlahan. Senyuman terukir dibibirnya. Dia segera menghubungi seseorang untuk berjumpa.


"I nak jumpa you sekarang. Nanti I bagi you location." arah Rissa. Setelah itu dia terus mematikan panggilan tersebut.


"Hantar I ke tempat biasa." ujar Rissa kepada pemandunya. Tanpa membantah lelaki itu mengangguk.

*****

Kereta Dazrin memasuki ruangan kediaman rumahnya. Beberapa ketika kemudian kereta Datin Noreen pula tiba. Dazrin yang pada ketika itu baru sahaja keluar dari keretanya terus berjalan masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan ibunya yang baru tiba itu.

Pon!

Datin Noreen menekan hon keretanya setelah melihat anaknya itu seperti ingin melarikan diri dari bertemu dengannya. Sejak pulang dari majlis pertunangan Mikael dan Haura semakin sukar untuk dia melihat wajah anak lelakinya itu.

Dazrin berhenti seketika di saat hon kereta dibunyikan kerana terperanjat. Namun setelah itu dia kembali melangkah meninggalkan Datin Noreen sendirian di belakang. Riak marah jelas kelihatan di wajah wanita itu.


"Yanti!” panggil Datin Noreen sambil merebahkan tubuhnya pada sofa. Pembantu rumahnya itu keluar dengan membawa dulang kecil yang berisi segelas air.


"Nanti ambil barang dekat kereta bawa naik ke atas." arahnya selepas minum beberapa teguk air bagi melegakan tekaknya.


"Baik datin." balas Yanti ringkas.

Datin Noreen berjalan menuju ke bilik Dazrin. Tanpa mengetuk dia terus membuka pintu bilik anak lelakinya itu. Dazrin yang ketika itu baru sahaja ingin membuka baju membatalkan niatnya.


"Mummy buat apa dekat sini?" tanya Dazrin malas.


"Kenapa kamu mengelak dari mummy? Sebab perempuan tu ke?" soalnya Datin Noreen kembali. Dazrin mengerling ke arah ibunya itu.


"Tolonglah mummy, Dazrin penat. Kita borak pasal ni lain kali ye." jawab Dazrin sambil mengambil tuala di dalam almari.


"Kamu marahkan mummy sebab Mikael dapat perempuan kan? Kamu salahkan mummy sebab halang kamu jalinkan hubungan dengan dia." ujar Datin Noreen di saat anaknya itu ingin berlalu meninggalkannya.

Langkah Dazrin terhenti. Dia tidak segera menoleh ke arah ibunya itu. Jauh di sudut hatinya memang menyalahkan wanita itu kerana telah menyebabkan Haura menjauhkan diri darinya. Namun siapa dia untuk menolak takdir.


"Dah puas hati mummy sekarang kan. Apa yang mummy nak dah pun tercapai. Dazrin harap dengan pertunangan mereka tu dapat bagi ketenangan pada mummy." balas Dazrin sedikit kasar. Datin Noreen terkesiap. Dia terdiam buat seketika.


"Mummy minta maaf. Mummy tak sangka akan jadi macam ni. Jadi mummy nak tebus segala kesalahan mummy dengan kembalikan dia kepada kamu semula."


"What?" soal Dazrin dengan nada yang sangat terkejut.

Datin Noreen menghampiri Dazrin yang sudah berdiri kaku. Dia memeluk tubuh anaknya itu dengan erat. Pipi Dazrin diusap lembut sebelum menggenggam rapi jari-jemari runcing milik anaknya itu.


"Mummy akan buat apa sahaja untuk kebahagiaan kamu. Mummy tak sanggup tengok kamu sedih macam ni. Selama ni mummy buta, tak nampak betapa kamu cintakan dia. Jadi mummy janji mummy akan buat apa sahaja asalkan Haura kembali ke pangkuan kamu. Tempat dia yang sewajarnya di sisi kamu bukannya Mikael." ujar Datin Noreen panjang lebar.


"Mummy dah gila ke? Mereka tu dah bertunang tau mummy."


"So what? Sedangkan yang dah berkahwin pun boleh berpisah inikan pula bertunang. Kalau kamu betul-betul cintakan perempuan tu mummy akan bagi restu tapi ada syaratnya." balas Datin Noreen angkuh.


"Apa yang mummy tengah rancang sebenarnya ni?" tanya Dazrin yang mula meragui tingkah laku ibunya itu. Datin Noreen tersenyum sinis.


"Mummy akan restui hubungan kamu dengan perempuan tu kalau kamu bantu mummy untuk musnahkan perancangan kahwin mereka. Mudah je kan."

*****

Soraya dan Syahmi saling berpandangan. Sejak mereka tiba di restoran itu Haura langsung tidak bersuara. Dari pandangan matanya itu mereka tahu ada sesuatu yang tidak kena.


"Nak I call abang Mika ke untuk ambil you dekat sini?" tanya Soraya memecahkan sunyi. Haura segera mengangkat mukanya memandang Soraya. Kepalanya digeleng laju.


"T-tak payah. Saya boleh balik sendiri." balas Haura yang cuba menahan getar suaranya.


"Cuba you bagitahu I apa yang dah jadi sebenarnya? I tengok muka you tu dah pucat sangat." tambah Soraya lagi. Dia benar-benar risau keadaan wanita itu. Namun Haura tidak membalasnya.


"Haura saya tahu saya tak layak untuk masuk campur dalam urusan awak. Tapi tengok pada keadaan awak ni saya pasti ada sesuatu yang dah berlaku. Kalau tak awak tak akan bersikap macam ni." ujar Syahmi pula.

Haura menggenggam kuat gelas yang berada di depannya. Wajah Badrul benar-benar mengingatkan dia tentang kejadian yang menimpanya beberapa bulan yang lalu. Di mana lelaki itu cuba untuk mengambil kesempatan ke atas dirinya. Disebabkan perkara itu dia menjadi trauma.,


"S-saya rasa ada orang yang mengekori saya." tutur Haura perlahan. Dia seolah-olah menelan suaranya sendiri.

Syahmi dan Soraya sungguh terperanjat dengan perkara itu. Mata mereka berdua terbuntang luas. Syahmi mula memerhatikan keadaan di sekeliling mereka. Mana tahu jika dapat mengesan orang yang mengekorinya bekas tunangnya itu. Namun tiada seorang pun yang berkelakuan mencurigakan di pandangan matanya pada ketika itu.


"Apa maksud you diekori? Ada orang yang berniat tak baik sedang perhatikan you ke?" soal Soraya inginkan kepastian. Haura menggelengkan kepala tanda tidak pasti.


"Saya rasa awak memang kena panggil seseorang untuk teman awak. Bahaya kalau awak sendirian macam ni." tambah Syahmi lagi. Soraya mengangguk laju. Haura menghela keluh pendek.

Telefon bimbit dikeluarkan dari beg tangannya. Melihat tangan wanita itu yang masih menggigil Soraya segera merampas telefon itu dari tangan Haura. Dia sedikit tersentak.


"Nak call siapa? Biar I yang call." ujar Soraya. Wajah Haura ditatap. Setelah berfikir sejenak nama Mona keluar dari mulutnya. Tanpa berfikir panjang Soraya segera mendail nombor Mona yang tertera di skrin telefon.

Soraya melambaikan tangan kepada Mona setelah melihat kelibat wanita itu tiba di restoran. Mona segera menghampiri mereka. Dia sedikit tercengang apabila melihat Syahmi turut berada di situ bersama Haura. Wajah mereka berdua ditatap silih berganti. Tidak mahu mengeruhkan keadaan dia mengambil keputusan untuk tidak bertindak terburu-buru.


"Ada apa ni? Haura kau okay ke tak?" tanya Mona. Setelah mendapat panggilan dari Soraya dia segera bergegas ke situ.


"Aku rasa Haura sangat perlukan seseorang sekarang ni." ujar Syahmi menjawab pertanyaan rakan lamanya itu. Mona sekadar memandang dengan ekor mata. Rasa marahnya pada lelaki itu masih belum pudar meskipun sudah bertahun berlalu.


"Haura rasa macam ada orang yang tengah ikut dia secara diam-diam. Nasib baik dia terserempak dengan kami." tambah Syahmi lagi. Mona menoleh ke arah Soraya. Wanita itu menganggukkan kepalanya.


"I nak call Mikael untuk ambil dia dekat sini tapi Haura tak bagi. Dengan keadaan dia sekarang ni memang kami tak boleh nak tinggalkan dia sendirian sebab tu I call you. Sorrylah kalau I dah menyusahkan you." ujar Soraya pula. Haura masih lagi mengunci mulutnya.


"No, it's okay. By the way thanks sebab dah tolong Haura." balas Mona.


"Memandangkan kau pun dah ada dekat sini, aku nak minta diri dulu lah." Syahmi mula mengundurkan diri.


"Kalau ada apa-apa boleh je call I atau Syahmi." tambah Soraya. Mona sekadar mengangguk. Setelah itu Syahmi dan Soraya berlalu pergi meninggalkan mereka berdua di restoran tersebut.

*****

Syahmi berdiri di pinggir kolam renang di kediaman Puan Sri Normah setelah selesai menjamu makan malam bersama keluarganya itu. Jauh dia termenung seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya.

Mikael yang ingin menghirup udara malam turut keluar ke laman tersebut. Melihat sosok Syahmi yang sedang sendirian membuatkan Mikael membatalkan niatnya. Namun Syahmi yang sedar kehadiran lelaki itu segera memanggilnya untuk duduk bersama.


"Jauh termenung, fikir masalah negara ke?" sapa Mikael bernada gurauan. Syahmi sekadar tersenyum ke arahnya.


"By the way, tahniah bro atas pertunangan kau dengan Haura. Sorry sebab tak datang hari tu." ucap Syahmi.


"Tak ada hal lah. Aku kahwin nanti jangan tak datang pula." balas Mikael bersahaja.


"Mesti. Kalau boleh aku nak jadi 'dulang boy' kau nanti." ujar Syahmi berseloroh. Hal itu telah mengundang tawa Mikael.


"Sorry kalau soalan aku ni agak peribadi, tapi macam mana kau boleh kenal dengan Haura?" soal Syahmi secara tiba-tiba.

Sudah lama dia ingin bertanyakan soalan tersebut namun tidak pernah kesampaian. Mikael tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Soalan tersebut langsung tidak mengganggunya.

Apabila mengimbau kembali detik pertemuannya dengan Haura, Mikael tersenyum sendirian. Tidak sangka dari perselisihan faham kecil antara mereka boleh membenihkan bibit-bibit cinta antara mereka berdua.


"Kemalangan kecil mungkin." balas Mikael sambil tersenyum. Syahmi turut tersenyum mendengar jawapan itu namun sedikit kelat.


"Oh, tadi aku jumpa Haura dekat mall." Syahmi memaklumkan perkara itu kepada Mikael. Namun nada suaranya sedikit berubah. Kedengaran seperti sedikit risau.

Mikael yang sedang menghirup air teh panas berhenti di sekerat jalan. Dia melirik ke arah lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya itu.


"Dia ada call kau tak? Bagitahu apa-apa ke pada kau?" tanya Syahmi lagi. Mikael sekadar menggelengkan kepala. Dia mula berasa tidak sedap hati.


"Lain macam je soalan kau ni. Ada apa-apa yang aku tak tahu ke? Atau ada sesuatu yang dah jadi?" balas Mikael. Rasa ingin tahunya mula membenih.


"Aku rasa kau patut call dia. Mungkin dia perlukan kau sekarang ni. Itu je yang aku boleh bagitahu kau." ujar Syahmi sebelum berlalu pergi meninggalkan Mikael sendirian di pinggir kolam.

*****

Haura merenung ke arah Mona yang sedang ralit menonton televisyen di ruang tamu. Mona kalau sudah bertemu dengan drama Korea memang dah tak pandang kiri kanan.


"Tak perlu pun kau teman aku malam ni." ujar Haura selamba kepada Mona. Dia sebenarnya rasa bersalah kerana sering menyusahkan sahabatnya itu.


"Eh mengada-ngada lah kau ni. Tak pasal-pasal kena cepuk dengan aku karang." balas Mona. Mulutnya tidak berhenti mengunyah popcorn caramel yang dibuat sendiri oleh Haura.

Dia tahu tak banyak yang boleh dia tolong kerana Haura tak mahu membuka mulut langsung mengenai kejadian tadi. Tapi dia juga tahu wanita itu perlukan seseorang untuk jadi peneman. Meskipun tidak tahu apakah punca sebenar, Mona tidak mahu peristiwa lama berulang lagi.


"Thanks Mona sebab selalu ada untuk aku. Aku tak tahu macam mana nak balas jasa kau." ujar Haura tiba-tiba. Mona menoleh ke arah sahabatnya itu.


"Walaupun kau taknak bagitahu aku apa yang sebenarnya dah terjadi pada kau, aku terima. Aku tahu tak semua benda kita boleh kongsi, kan. Tapi satu je aku nak kau tahu, bila-bila masa kau perlukan aku, aku akan sentiasa ada di situ untuk kau." balas Mona sedikit panjang. Dia kemudian menyambung kembali menonton drama kegemarannya.

Kata-kata yang keluar dari mulut Mona itu benar-benar menjentik hati Haura. Dia segera memeluk erat sahabatnya itu. Matanya mula menakungkan air yang sedaya upaya cuba ditahan supaya tidak jatuh mengalir dipipinya.

Mona yang dipeluk secara tiba-tiba sedikit terperanjat. Namun kemudian dia mengukirkan senyuman sambil mengusap lembut belakang Haura. Dia tahu wanita itu sedang berperang dengan perasaannya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience