BAB 85

Drama Completed 919566

Kereta yang dipandu oleh Mikael tiba di perkarangan rumah Puan Sri Normah. Haura yang sedang duduk di kerusi penumpang kelihatan sedikit resah.


"Kau ni dah kenapa, gugup semacam je aku tengok." Soal Mikael. Dia sengaja menyakat tunangnya itu. Haura diam tanpa suara. Dia sekadar melemparkan jelingan yang tajam buat lelaki itu.


"Alah macam tak biasa pula kau ni. Bukannya first time kau jumpa family aku kan." Tambah Mikael lagi.


"Memanglah bukan first time tapi kali ni rasa dia lain sikit. Saya pun tak tahu kenapa jantung saya ni rasa berdebar semacam. Rasa berat sangat hati ni nak join dinner family awak malam ni." Ujar Haura perlahan. Wajahnya tertunduk melihat jari jemari yang menguis sesama sendiri.


"Kau jangan buat kacau. Nenek panggil semua orang berkumpul sebab kita tau takkan kau taknak datang pula. Lagipun kita dah sampai ni. Kau juga yang beria nak datang awal tadi. Cakap nak tolong buat preparation la." Balas Mikael sedikit tegas. Haura terdiam setelah mendengar jawapan dari lelaki itu.

Dia tahu tidak manis jika secara mengejut dia tidak menyertai jamuan makan malam bersama keluarga Mikael itu. Lebih-lebih lagi apabila Puan Sri Normah sendiri yang telah menelefon serta menjemputnya untuk hadir pada malam itu. Tidak sampai hati untuk dia menghampakan perasaan wanita itu.

Setelah beberapa minit berbincang dengan Mikael di dalam kereta Haura mula melangkah keluar. Dia mengekori tunangnya itu untuk masuk ke dalam kediaman tersebut.


"Assalamualaikum." Laung Mikael. Dia sengaja meninggikan suaranya setelah melihat dia sesiapa di ruang tamu.


"Waalaikumussalam. Kamu ni dah kenapa Mika terpekik-pekik macam tu. Ingat mama ni tak ada telinga ke?" Balas Datin Norlie yang tergesa-gesa berjalan keluar dari arah dapur. Mikael tersengih memandang wajah ibunya itu.


"Eh, Haura pun ada." Ujar Datin Norlie setelah melihat Haura yang sedang berdiri di samping anak lelakinya itu.

Tanpa menbuang masa Haura segera menghampiri wanita itu lalu menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Datin Norlie menyambut mesra tangan Haura. Dia kemudian memeluk erat tubuh bakal menantunya itu.


"Awalnya kamu datang. Nenek jemput untuk datang makan malam kan? Sekarang ni baru pukul berapa. Kamu pun satu Mika, kenapa tak hantar Haura balik dulu. Bolehlah dia berehat dulu sementara nak bersiap untuk datang ke sini." Bebel Datin Norlie panjang lebar. Mikael terkedu apabila namanya dipetik. Sempat dia menjeling ke arah Haura yang sedang tersengih ke arahnya. Puas hati apabila melihat lelaki itu 'diceramahkan' oleh ibunya sendiri.


"Tak aunty, sebenarnya saya yang minta Mika bawa saya datang ke sini terus. Bolehlah saya bantu mana yang patut." Balas Haura. Dengan laju Mikael menganggukkan kepalanya mengiakan kenyataan wanita itu. Pada mulanya Datin Norlie berkerut memandang anaknya namun setelah itu perlahan-lahan wajahnya mula mengukirkan sebuah senyuman.


"Kalau macam tu jomlah kita ke dapur. Sambil-sambil tu boleh kita berborak lama sikit." Pelawa Datin Norlie. Haura menganggukkan kepalanya. Mikael turut mengekori mereka dari belakang. Namun tindakan Mikael itu dapat dihidu oleh Datin Norlie.


"Eh kamu ni nak ke mana?" Tanya Datin Norlie seraya menghentikan langkahnya.


"Nak pergi ke dapurlah. Mama cakap nak berbual dekat sana." Balas Mikael selamba.


"Jangan nak perasan ye. Mama cakap nak berbual dengan bakal menantu mama ni, bukannya dengan kamu. Lagipun ini hal orang perempuan orang lelaki tak boleh tahu." Bahu Haura dirangkul. Datin Norlie kemudian membuat isyarat tangan supaya Mikael beredar dari situ.


"Oh macam ni mama layan Mika. Dah ada menantu anak sendiri dipinggirkan. Tak apa nanti Mika mengadu dengan nenek." Balas Mikael berpura-pura merajuk. Datin Norlie mengiakan sahaja apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Haura tertawa kecil. Geli hati melihat telatah manja Mikael yang tidak pernah dilihatnya.

*****

Dato' Zubir dan Datin Noreen telah tiba bersama dengan Dazrin di kediaman tersebut. Sementara menunggu semua orang tiba mereka berkumpul di ruang tamu terlebih dahulu. Tidak lama kemudian Syahmi dan Soraya pula tiba. Senyuman yang terukir di wajah Soraya segera hilang apabila melihat sosok Datin Noreen yang turut berada di situ.


"Sayang, depan nenek kalau boleh jangan tunjuk yang awak ada masalah dengan mummy. Saya taknak nenek susah hati nanti." Bisik Syahmi perlahan. Soraya menganggukkan kepalanya. Setelah itu dia segera menyertai mereka semua di ruang tamu.


"Kenapa tiba-tiba je nenek ajak kami semua berkumpul malam ni? Nenek ada nak umumkan sesuatu ke?" Tanya Soraya manja. Kebiasaannya jika Puan Sri Normah memanggil mereka semua berkumpul seperti ini mesti ada sesuatu berita yang ingin disampaikan olehnya. Wanita tua itu tersenyum simpul. Dia tidak segera menjawab pertanyaan cucu perempuannya itu.


"Puan Sri makanan semua dah tersedia." Ujar Mak Wan yang keluar dari arah dapur. Puan Sri Normah menganggukkan kepalanya.


"Jomlah kita pergi makan dulu. Nanti sejuk pula makanan tu." Pelawa Puan Sri Normah. Mereka semua bingkas bangun untuk ke ruangan makan.

Di ruangan makan semua orang sudah duduk di kerusi masing-masing namun kelibat Mikael masih belum kelihatan. Datin Norlie berkerut. Matanya melilau mencari kelibat anak lelakinya itu.


"Mana pula budak berdua tu pergi? Tadi elok je ada dekat depan mata ni." Bisik Datin Norlie di dalam hati. Puan Sri Normah yang perasan akan kelakuan anaknya itu segera membuka suara.


"Apa yang kamu terjenguk-jenguk tu? Sampai naik panjang leher kamu mak tengok." Tanya Puan Sri Normah kepada Datin Norlie. Wanita itu terkesiap.


"Huh? T-tak ada apa-apa pun mak." Balas Datin Norlie sambil tersenyum kelat.

Beberapa ketika kemudian Mikael tiba bersama dengan Haura. Kesemua mata yang ada tertumpu kepadanya. Haura menelan air liur yang bagai tersekat dikerongkongnya. Hatinya kian berdebar. Wajahnya juga mula berubah menjadi pucat. Lengan baju Mikael digenggam kuat.

Dazrin yang turut berada di situ sempat bertukar pandang dengan Haura. Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata yang dilemparkan oleh wanita itu kepadanya. Namun Dazrin tidak dapat mengusir rasa bimbang dihatinya kerana dia tahu ibunya pasti sedang merencanakan sesuatu untuk pisahkan mereka berdua. Dia tidak mahu Haura menjadi mangsa ibunya itu.


"Maaf semua, Mika terlambat ke?"


"Tak adalah. Kami semua belum jamah apa-apa makanan pun lagi." Balas Dato' Zubir. Mikael tersenyum. Datin Norlie segera mengarahkan mereka berdua untuk duduk di kerusi yang telah tersedia.

"Tak sangka pula mak ada tetamu istimewa dekat sini malam ni." Tutur Datin Noreen sinis. Dato' Zubir menjeling dengan ekor mata. Keluh pendek dihela. Haura diam seribu bahasa. Datin Norlie masam mencuka melihat ke arah kakaknya itu.


"Jomlah kita makan. Lauk ni dah lama terhidang nanti sejuk tak sedap pula." Azrael yang berasa tidak enak dengan suasana itu segera menukar topik. Datin Noreen mengerling ke arah anak saudaranya itu. Azrael faham ibu saudaranya itu berang dengannya namun dia tidak menghiraukan perkara itu. Sebagai balasan sebuah senyuman lebar dilemparkan semula kepada Datin Noreen.

Selesai makan malam mereka sekeluarga berkumpul pula di ruang tamu. Setelah itu Mak Wan membawa keluar dulang yang berisi pencuci mulut untuk dihidangkan di ruang tamu.


"Mikael, nenek rasa sekarang masa yang sesuai untuk kamu bagitahu pada semua orang tentang perkara tu." Ujar Puan Sri Normah tanpa memandang ke arah cucunya yang sedang menghirup teh panas itu. Haura menarik nafas yang dalam sebelum menoleh ke arah Mikael.

Perlahan-lahan MIkael bangkit dari tempat duduknya diikuti oleh Haura yang berada di sisinya. Datin Noreen yang sudah tahu mengenai perkara itu sekadar menjeling. Sesekali dia melirik pada jam di tangannya seolah-olah sedang menghitung detik.


"Seperti yang semua orang dah sedia maklum, Mika dan Haura akan nikah tidak lama lagi. Tetapi atas beberapa perkara yang tak dapat dielak kami telah mengambil kata sepakat untuk mempercepatkan tarikh nikah kami." Tutur Mikael satu persatu.


"Cepatkan tarikh nikah? Bila?" Tanya Azrael yang masih tidak tahu akan berita tersebut. Begitu juga dengan Dato' Zubir serta Soraya.


"InshaAllah kalau tiada aral hari Jumaat ni kami akan bernikah."


"Jumaat? Esok lusa ni?" Tanya Dato' Zubir yang sedikit terkejut dengan berita tersebut. Mikael menganggukkan kepalanya. Datin Noreen berasa panas hati melihat reaksi yang beria dari suaminya itu. Jelingan maut dilemparkan kepada Haura.


"Habis tu persiapan macam mana? Sempat ke nak settlekan sebelum majlis tu nanti?" Tanya Soraya pula. Dia sememangnya terkejut dengan keputusan yang di ambil oleh Mikael itu namun pada masa yang sama dia berasa sangat gembira.


"Pasal persiapan tu kamu semua tak perlu risau aunty dah uruskan semuanya. Aunty cuma berharap kamu semua boleh hadir masa majlis tu nanti." Balas Datin Norlie menjawab pertanyaan dari Soraya itu. Wanita itu mengangguk tanda faham.


"Betul-betul menghitung hari ni. Tahniah Haura. I'm happy for both of you." Ucap Soraya sambil memeluk tubuh wanita itu. Dalam keadaan separa terkejut Haura membalas pelukan tersebut. Matanya kemudian beralih kepada Syahmi yang sedang tersenyum kepadanya. Haura membalas kembali senyuman tersebut.


"Nanti dulu!"

Tiba-tiba ada satu suara yang menjerit dari arah pintu utama kediaman tersebut. Semua mata mula beralih ke arah suara tersebut. Sosok Rissa Arianna yang berjalan menghampiri mereka sekeluarga mula kelihatan. Hampir kesemua orang di ruang tamu itu terkejut dengan kehadiran wanita itu kecuali Datin Noreen. Dazrin segera menoleh ke arah ibunya itu yang sedaya upaya cuba menyembunyikan senyumannya.


"Hello everyone." Sapa Rissa Arianna mesra sambil mengukirkan sebuah senyuman yang lebar buat semua yang ada di situ. Pandangan matanya kemudian terkunci pada Mikael yang turut memandangnya pada ketika itu. Haura memandang mereka berdua silih berganti. Puan Sri Normah yang sedar akan perkara itu melirik ke arah cucunya itu.


"You buat apa dekat sini Rissa?" Tanya Mikael sambil bingkas bangun dari kerusinya. Haura diam tanpa suara.


"I nak minta maaf kalau kehadiran I pada malam ni dah mengganggu waktu puan sri bersama keluarga."

Tanpa menghiraukan pertanyaan dari Mikael wanita itu terus petah melontarkan bicara. Mikael mula naik angin. Tanpa membuang masa dia segera menarik tangan wanita itu untuk keluar dari rumah tersebut. Rissa tertarik sedikit kebelakang sebelum dia menarik kembali tangannya. Datin Norlie membuntangkan matanya. Siapakah gerangan wanita itu? Dia bingung, wajah Haura segera ditatap.


"You buat apa ni Mika, lepaskan I." Ujar Rissa kasar sambil merentap kembali tangannya.


"I nak you keluar dari rumah I sekarang juga." Suara Mikael mula meninggi. Tiada secalit senyuman diwajahnya.


"Siapa dia ni Mika? Apa hubungan kamu dengan dia?" Tanya Datin Norlie yang menginginkan kepastian. Datin Noreen tersenyum puas melihat suasana yang semakin huru-hara itu.


"Buat apa nak bertekak macam ni tanya ajelah apa tujuan dia datang ke sini." Datin Noreen memberikan pendapat. Semua mata tertumpu kepadanya. Soraya berkerut. Dia berasa agak pelik dengan kelakuan ibunya itu. Dari tadi dia perhatikan ibunya itu langsung tidak tersenyum namun kini wajahnya kelihatan agak 'hidup' dari sebelumnya. Adakah ini salah satu agenda tersembunyi Datin Noreen?


"Mikael, tolong kembali ke tempat duduk kamu semula." Puan Sri Normah akhirnya bersuara. Dia mengarahkan cucunya itu untuk menjauhkan diri dari wanita itu. Dengan lemah Mikael mengundurkan diri.

Puan Sri Normah telah lama tahu tentang status hubungan Rissa dengan Mikael. Dari awal mereka berdua menjalinkan hubungan dia sudah tahu namun ada sesuatu yang membuatkan dia tidak senang dengan wanita yang berdiri di hadapannya itu. Dia juga tahu betapa kerap wanita itu membuat onar demi meruntuhkan hubungan yang terbina diantara Haura dan juga Mikael.


"Ada apa kamu datang ke rumah saya tanpa undangan?" Tanya Puan Sri Normah kepada Rissa Arianna. Wanita itu tersengih. Dia kemudian mengeluarkan satu sampul surat berwarna putih dari beg tangannya.


"I nak bagi benda ni pada puan sri. I harap masih belum terlewat." Ujar Rissa selamba. Dia kemudian berjalan menghampiri Puan Sri Normah lalu menyerahkan sampul tersebut.

Sampul surat itu kini telah bertukar tangan. Perlahan-lahan wanita itu membuka sampul surat tersebut. Terdapat beberapa keping gambar di dalamnya. Matanya terbeliak setelah melihat gambar-gambar tersebut. Wajah Haura dipandang silih berganti dengan Mikael. Dia kemudian mengalihkan pula pandangannya kepada Datin Noreen dan juga Dato' Zubir.


"Dari mana kamu dapat semua gambar-gambar ni? Apa niat kamu yang sebenarnya?" Tanya Puan Sri Normah lagi. Dia cuba untuk kekal bertenang mengendalikan hal tersebut.


"Semuanya sangat jelas puan sri. I datang hari ni untuk halang perkahwinan yang bakal berlangsung di antara Mikael dan juga Haura." Balas Rissa lagi tanpa berselindung. Datin Norlie menekup mulutnya yang ternganga dek rasa terkejut.


"Rissa you jangan nak buat gila dekat sini! You dengan I dah tak ada apa-apa hubungan lagi! Sementara I masih boleh bertolak ansur dengan you baik you keluar sekarang." Tengking Mikael kuat. Haura yang duduk disebelahnya sangat terkejut. Dia segera mencapai tangan Mikael yang mula menggigil itu lalu digenggamnya erat.


"No, I taknak balik. I datang sini bukan nak tagih cinta you kembali tapi I nak selamatkan you dari penipuan perempuan ni."


"Penipuan? Apa yang you cakap ni? I tak pernah tipu sesiapa pun." Haura mula bersuara apabila namanya dipetik oleh Rissa. Dia cuba untuk megawal emosinya namun egonya benar-benar rasa tercabar apabila wanita itu melabelkan dirinya sebagai seorang penipu.


"Bukti semua dah ada you tak payah nak berdalih lagi. Puan sri pun dah tengok dengan mata kepala puan sri sendiri kan? Takkan masih nak jadikan perempaun macam dia ni jadi menantu dalam keluarga ni." Balas Rissa lagi sambil memandang ke arah Puan Sri Normah. Tiada jawapan yang keluar dari mulut wanita tua itu.

Soraya segera mengambil kepingan gambar yang berada di tangan Puan Sri Normah lalu ditatapnya bersama dengan Syahmi. Hampir terkeluar biji mata Soraya apabila melihat gambar tersebut. Dia benar-benar tidak percaya begitu juga dengan Syahmi. Pandangan mereka terkunci pada Haura.


"B-betul ke apa yang saya tengok ni Haura?" Soal Syahmi inginkan kepastian. Haura bingung. Gambar apa yang Rissa telah berikan kepada mereka itu.

Syahmi menghulurkan gambar tersebut kepadanya. Haura mati kata di saat dia melihat gambar tersebut. Rasa amarahnya mula membuak-buak. Dia menjeling ke arah Rissa yang sedang berdiri di hadapannya.


"Apa yang puan sri tengok ni semuanya tak betul. Dia sengaja reka cerita untuk jatuhkan saya." Haura mula membela dirinya.


"Jadi awak memang tak ada apa-apa hubungan dengan bapa mertua saya?" Tanya Syahmi lagi. Dengan laju Haura menganggukkan kepalanya. Lelaki itu berasa sangat lega kerana dia tahu Haura bukanlah seseorang yang seperti itu.


"Kau cakap apa? Perempuan ni ada hubungan dengan suami aku?" Datin Noreen mula meninggikan suaranya. Dia mula masuk ke dalam wataknya untuk berpura-pura tidak tahu akan berita tersebut. Padahal dia sudah tahu mengenainya ketika Rissa Arianna pergi ke pusat kecantikkannya pada petang tadi.

Pang!

Satu tamparan hebat mendarat dipipi kiri Haura. Dia terpempan. Tangan kiri diletakkan pada pipi yang mula terasa hangat itu. Secara tidak langsung matanya juga mula berkaca dek tamparan tersebut. Dazrin segera menarik ibunya yang sedang 'naik hantu' itu. Sempat wanita itu merampas kepingan gambar dari tangan Haura. Mikael diam tidak berkutik.


"Kamu jangan cuba nak halang mummy Dazrin. Dah lama mummy pendam rasa marah mummy ni."


"You dah gila ke Reen? Bila masa I ada hubungan dengan Haura. You sendiri tahu I jarang ada dekat sini kan."


"You jarang ada dekat rumah dengan I tapi you keluar dengan perempuan sundal ni. Hey perempuan kau ni memang tak ada maruah diri ke? Lelaki yang kau goda tu suami aku tau." Herdik Datin Noreen ke muka Haura. Mikael menarik Haura berlindung di belakangnya. Dia tidak mahu ibu saudaranya itu mengasari wanita itu sekali lagi. Renungan tajam dilemparkan kepada Datin Noreen.


"Kamu ni memang bodoh atau buat-buat bodoh Mikael? Tak nampak ke bukti yang dah terang-terang menunjukkan dia curang dengan kamu?" Ujar Datin Noreen sambil menghulurkan kepingan gambar tersebut kepada Mikael. Lelaki itu mengambilnya lalu membalingnya ke udara. Habis jatuh bertebaran gambar tersebut.

Dato' Zubir mula mengutip kepingan gambar tersebut lalu ditatapnya lama. Tidak semena-mena satu tawa yang besar keluar dari mulutnya. Semua mata kini tertumpu kepadanya.


"Siapa yang tangkap gambar ni? Kenapa hanya ambil dari satu sudut je?" Dato' Zubir mengajukan soalan tersebut kepada Rissa Arianna. Wanita itu mula tergagap-gagap.


"Kamu ingat dengan gambar ni boleh buktikan yang kami benar-benar jalinkan hubungan?" Rissa mati kata. Melihat reaksi dari wanita itu Datin Noreen menghela keluh pendek.


"You pun satu Reen, you ingat I ni dah hilang akal ke nak musnahkan hubungan anak saudara I sendiri." marah Dato' Zubir kepada Datin Noreen. Namun wanita itu tidak menghiraukannya.

Merasakan rancangannya itu hampir gagal Datin Noreen bergegas ke arah beg tangannya lalu mengeluarkan pula sampul surat yang lain. Isinya masih sama iaitu kepingan gambar namun wajah orang di dalamnya yang berbeza. Dazrin mula menggelengkan kepalanya. Dia kini sedar semua kekacauan yang berlaku ini adalah sebahagian dari rancangan ibunya itu. Dia cuba untuk menghalang ibunya itu namun ditepis kuat oleh wanita itu.


"Aunty nak kamu jelaskan pada kami apa hubungan kamu dengan perempuan ni. Dan siapa budak yang ada bersama kamu di dalam gambar tersebut." Ujar Datin Noreen sambil menghulurkan sampul surat tersebut kepada Mikael.

Share this novel

husmafiq enterprise
2022-12-24 21:12:21 

habislah rahsia Dato' Zubir pecah...nak rosakkan hubungan Haura dan Mika...tapi datin Noreen yg meroyan...uuuu xsabar next chapter...


NovelPlus Premium

The best ads free experience