BAB 88

Drama Completed 919581

Dato' Rizal dan Datin Norlie tiba di bilik doktor bersama-sama. Doktor Ibrahim selaku doktor yang merawat Luth Mikael mempelawa mereka berdua untuk duduk bagi membincangkan mengenai kondisi pesakitnya itu.


"Anak saya okay ke doktor?" Tanya Dato' Rizal berbaur bimbang. Doktor Ibrahim mula mengambil tempat di kerusinya.


"Selepas kita dah buat segala jenis check up, saya dapati tak ada sebarang kecederaan yang serius pada Mikael." Jawab doktor tersebut.


"Syukur Alhamdulillah. Tapi kenapa dia tak ingat langsung tentang kemalangan yang dah berlaku tu. Nak kata dia hilang ingatan macam tak mungkin pula sebab dia masih kenal dan ingat pada kami berdua." Balas Datin Norlie. Doktor Ibrahim terdiam buat seketika.


"Sebelum tu saya nak tanya, Mikael ada mengalami apa-apa trauma atau fobia yang serius ke sebelum ni?" Doktor Ibrahim bertanya kepada mereka berdua. Sebolehnya cuba mendapatkan lebih maklumat mengenai pesakitnya itu.

Datin Norlie dan suaminya saling berbalas pandang. Dia kemudian menganggukkan kepalanya. Dia mula membuka cerita tentang kemalangan yang pernah menimpa anaknya beberapa tahun yang lalu. Doktor Ibrahim kemudian menghela nafas yang pendek.


"Berdasarkan dari segala maklumat dan pemeriksaan saya serta simptom-simpton yang ditunjukkan oleh Mikael sendiri, saya rasa dia mengalami amnesia." Balas doktor Ibrahim memberikan pengesahan tentang status kesihatan Mikael.


"A-amnesia? Doktor nak bagitahu yang anak saya tu hilang ingatan?" Tergagap-gagap Datin Norlie menyebutnya. Matanya sudah mula berkaca. Dato' Rizal yang setia berada di sisi cuba menenangkan isterinya itu.


"Buat masa sekarang itulah kondisinya. Keadaan ni berlaku di mana pesakit tidak dapat mengingati peristiwa dalam tempoh masa yang tertentu. Tapi dia bukan hilang ingatan secara total. Ingatannya itu masih ada cuma terkubur di dasar kotak fikirannya. Mungkin kerana kesan trauma yang hebat yang pernah melanda dirinya membuatkan ingatannya itu terkubur." Balas doktor Ibrahim panjang lebar. Datin Norlie diam tidak berkutik. Begitu juga dengan Dato' Rizal.

Setelah mendengar segala penjelasan dari pihak doktor mereka berdua meminta untuk mengundurkan diri. Sejurus Datin Norlie melangkah keluar dari bilik tersebut lututnya terasa sungguh lemah. Hampir sahaja dia terjelepok ke lantai. Mujurlah Dato' Rizal sangat tangkas maka sempat dia menyambut isterinya itu dari terjatuh.


"Nor awak okay ke tak ni. Apa kata awak balik rehat dulu. Biar saya je yang explain semuanya pada Mikael." Ujar Dato' Rizal. Riak bimbang mula terbit diwajahnya. Datin Norlie menggelengkan kepalanya.


"Saya okay. Abang tak payah risau ye. Jomlah, dah lama kita tinggalkan Mikael tu seorang diri." Balas Datin Norlie sedikit lemau. Dia kemudian membetulkan kembali kedudukannya sebelum melangkah pulang ke bilik anaknya. Dato' Rizal memerhatikan sahaja gerak-geri isterinya itu.

Tiba di hadapan bilik Mikael langkah Datin Norlie terhenti. Dia memandang pintu bilik tersebut dengan pandangan yang sayu. Perlahan-lahan airmata mula mengalir di pipinya. Dato' Rizal mula mendekati isterinya itu. Dipeluk erat tubuh wanita itu.


"Awak jangan bimbang, anak kita tu kuat. InshAllah dia dapat harungi semua tu nanti dengan hati yang cekal. Yang paling penting sekarang ni, kita sebagai ibubapa pun kena kuat juga untuk terus bagi sokongan moral padanya. Jangan sesekali zahirkan rasa sedih kita di depan dia sebab semua tu akan beri kesan padanya nanti." Ujar Dato' Rizal menenangkan isterinya itu. Datin Norlie sekali lagi menganggukkan kepalanya.

Dia menyeka dan mengelap segala sisa baki air mata diwajahnya. Dia tidak mahu Mikael melihat dirinya dalam keadaan yang sebegitu. Tanpa diduga secara iba-tiba pintu di hadapannya itu dibuka dengan kasar. Haura terhenti seketika apabila melihat kelibat Datin Norlie dan Dato' Rizal yang sedang berdiri di muka pintu itu. Namun sedaya-upaya Haura cuba menyembunyikan wajahnya yang merah itu dari dilihat oleh bakal mertuanya itu.


"Haura, kenapa tergesa-gesa keluar ni? Dah jumpa dengan Mikael?" Tegur Datin Norlie kepada wanita itu namun Haura tidak membalasnya. Dia sekadar menganggukkan kepalanya beberapa kali sebelum beredar dari situ. Datin Norlie mula rasa tidak sedap hati. Dia segera melangkah masuk ke dalam bilik anaknya itu.

Datin Norlie pada mulanya ingin menyoal Mikael mengenai Haura. Tetapi selepas melihat keadaan anaknya yang terbaring lemah di atas katil itu dia segera membatalkan niatnya itu. Dia tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada Mikael. Bagi menghilangkan rasa gelisahnya itu Datin Norlie mencapai sebotol air mineral yang terdapat di atas meja kecil di sisi katil Mikael.

Namun lain pula yang terjadi apabila Dato' Rizal dengan selamba badaknya bertanya kepada anak lelakinya itu mengenai wanita yang baru keluar dari biliknya sebentar tadi.


"Kamu dah jumpa dengan Haura?" Tanya Dato' Rizal. Mikael berkerut seolah-olah tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh ayahnya itu.


"Haura? Siapa Haura?"

Hampir tersembur air mineral yang baru diteguk oleh Datin Norlie sebentar tadi. Matanya terbuntang luas mendengar jawapan dari Mikael itu. Dia segera memandang ke arah suaminya.


"Kamu jangan melawak dengan mama Mika. Tunang kamu sendiri takkan kamu tak kenal." Balas Datin Norlie.


"Hah? Tunang Mika?" Soal Mikael kembali. Hampir serentak Datin Norlie dan Dato' Rizal menganggukkan kepala mereka. Mikael tiba-tiba melepaskan tawa yang kecil.


"Mama tunang Mika ada seorang je, Sophia."

*****


"You sebenarnya punca semua ni berlaku. Apa yang terjadi pada Mikael semuanya disebabkan kedegilan you. You memang tak berguna Haura. You hanya pembawa nasib malang dalam hidup Mikael."

Kata-kata yang dilemparkan oleh Rissa terhadap dirinya sentiasa bermain di fikiran Haura. Kata-kata itu bagai menghantui hidupnya kini. Sejak pertemuannya di dalam bilik Mikael dua hari yang lalu Haura tidak lagi menjejakkan kakinya ke sana. Dia hanya memencilkan dirinya di dalam biliknya itu. Datin Norlie pernah datang untuk bertemu dengannya tetapi dia menolak.


"Betul ke kamu tak nak pergi jumpa Mikael dulu." Tanya Puan Hafizah untuk kesekian kalinya. Namun jawapan Haura masih sama. Wanita itu menggelengkan kepalanya.


"Haura dah jumpa dengan dia jadi rasanya tak perlu nak jumpa dia lagi buat masa ni. Haura tak nak ganggu emosi Mikael." Balas Haura lemah. Puan Hafizah sekadar mengeluh pendek.

Beberapa ketika kemudian Encik Zamzuri muncul di muka pintu. Haura kini telah dibenarkan untuk pulang. Segala urusan untuk keluar dari wad sudah diselesaikan oleh Encik Zamzuri. Mereka bertiga kemudian berlalu pergi meninggalkan bilik wad tersebut.

Sejak berita tentang kemalangan yang menimpa Haura, Datin Safiah dan suaminya turun ke Kuala Lumpur dari Terengganu. Apabila wanita itu dibenarkan untuk pulang dia berkeras untuk membawa cucunya itu pulang ke kediaman anak dan menantunya itu.

Pada awalnya Haura menolak. Dia tidak mahu menyusahkan orang tuanya itu. Tambahan pula Mona akan tinggal bersama-sama dengannya di rumah sewa tersebut. Jadi tiada masalah untuk dia terus tinggal di sana. Namun Datin Safiah tetap berkeras dan menyuruh Haura balik ke rumah ibu dan bapanya.

Oleh kerana tahap kesihatan Datin Safiah yang semakin merosot Haura tidak mahu wanita itu bertambah sakit disebabkan kedegilannya. Jadi dia terpaksa akur dan bersetuju demi menjaga hati opahnya itu.

*****

Puan Hafizah dan Datin Safiah dilihat sedang berbual-bual di ruang tamu setelah usai bersarapan pagi bersama-sama. Mereka saling mengungkapkan kerisauan masing-masing terhadap Haura yang langsung tidak mahu keluar dari biliknya itu. Makan minum juga jarang dijamahnya.


"Macam mana keadaan anak kamu tu? Ada apa-apa perubahan tak?" Tanya Datin Safiah kepada menantunya itu. Puan Hafizah menggelengkan kepalanya. Keluh berat dihela.


"Macam tu la umi, tak ada perubahan pun. Asyik terperuk je dekat dalam bilik dia tu. Makanan yang Izah hantar pun jarang dia jamah. Risau betul Izah tengok perubahan sikap Haura tu." Balas Puan Hafizah yang amat risau akan keadaan anak sulungnya itu.


"Umi dengar Mikael dah sedar. Kamu tak bawa Haura dah pergi jenguk dia ke?" Tanya Datin Safiah secara tiba-tiba.


"Itulah masalah dia umi. Dah puas Izah pujuk dia untuk pergi jumpa dengan Mikael tapi dia tetap berdegil. Izah sendiri tak tahu apa yang dah berlaku antara mereka berdua tu. Ke Haura tak nak jumpa dengan Mikael sebab memori dia hilang?" Panjang kata-kata yang keluar dari mulut Puan Hafizah itu.

Kringgg! Kringgg!

Sedang mereka rancak berbual tiba-tiba telefon bimbit Puan Hafizah berdering. Dia segera bangun dari kerusinya lalu mengambil telefon yang berada di atas meja tidak jauh dari situ. Nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin. Tanpa membuang masa dia segera menjawab panggilan tersebut.

Beberapa minit kemudian dia kembali kepada Datin Safiah di ruang tamu. Sepertinya ada berita gembira yang ingin disampaikan.


"Pihak polis dah berjaya tangkap si pelaku. Dia sekarang ada dekat balai." Ujar Puan Hafizah lega. Akhirnya orang yang melanggar lari Mikael dan Haura pada malam itu telah berjaya diberkas oleh pihak polis.


"Alhamdulillah." Hanya kata syukur yang mampu keluar dari mulut Datin Safiah.


"Balai mana ibu?" Tiba-tiba perlahan suara Haura kedengaran bertanyakan tentang hal tersebut. Datin Safiah dan Puan Hafizah terperangah. Mata mereka mula beralih kepada Haura yang sedang berdiri tidak jauh dari situ.

Puan Hafizah segera mendapatkan anaknya itu. Dia mengajak Haura untuk duduk bersamanya di ruang tamu. Haura hanya menurut perintah.


"Macam mana keadaan kamu hari ni?" Datin Safiah cuba untuk mengubah topik.


"Haura okay, opah dengan ibu jangan risau ye. Yang Haura risau sekarang ni kesihatan opah tu." Balas Haura yang cuba untuk mengusir kebimbangan ibu dan opahnya itu. Datin Safiah tertawa kecil.


"Dia ada dekat balai mana ibu? Haura nak pergi jumpa dengan dia." Giliran Haura pula mengubah topik perbualan. Puan Hafizah mengerutkan wajahnya. Dia tidak menyangka anaknya itu terdengar perbualan tersebut.


"Eh tak apa biar ibu dengan ayah je yang pergi. Kamu tu tak sihat lagi kena banyakkan berehat." Balas Puan Hafizah. Namun Haura menggelengkan kepalanya.

Sebolehnya Puan Hafizah tidak mahu anaknya itu terlalu memikirkan hal tersebut namun setelah ditanya berkali-kali tanpa henti akhirnya dia akur. Puan Hafizah akhirnya memberitahu Haura tentang keberadaan si pelaku tersebut.

*****

Kereta yang dipandu oleh Mona mula bergerak masuk ke perkarangan balai polis. Dia memarkir keretanya di kotak yang telah tersedia. Haura yang berada di sebelahnya hanya diam tanpa bicara.


"Betul ke kau nak jumpa dengan orang yang dah langgar kau dan Mikael tu? Dengan keadaan kau yang sekarang ni aku tak rasa itu satu keputusan yang tepat." Tanya Mona kepada sahabatnya itu. Dia risau jika wanita itu tidak dapat mengawal perasaannya setelah apa yang terjadi pada Mikael.


"Aku kena jumpa dia Mona. Aku nak kenal muka orang yang dah menyebabkan Mikael jadi macam tu." Balas Haura tegas sebelum keluar dari kereta tersebut. Dia kemudian mula melangkah masuk ke dalam balai tersebut.


"Dia sekarang tengah disoal siasat oleh pegawai yang bertugas." Ujar seorang pegawai polis setelah Haura bertanya tentang suspek kes langgar lari yang baru diberkas oleh pihaknya.

Haura mengambil keputusan untuk menunggu sehingga soal siasat tersebut berakhir. Lebih kurang 40 minit kemudian seorang pegawai polis mula keluar. Dibelakangnya kelihatan seorang wanita yang tangannya bergari sambil diiringi oleh dua orang pegawai polis wanita. Haura segera berlari mendapatkan mereka.


"Tuan, saya salah seorang mangsa dalam kes langgar lari tu." Ujar Haura. Serentak dengan itu wanita yang berada dalam tahanan pihak polis itu mengangkat wajahnya. Matanya terbuntang luas.


"H-Haura....?"


"Kau Suri?"

Haura benar-benar terkejut melihat wajah yang sangat dikenalinya itu. Airmata Suri mula mengalir keluar dari tubir matanya. Perlahan-lahan Haura melangkah mendekati wanita itu.


"Tolong aku Haura. Aku tak bersalah." Rayu Suri. Haura menggenggam kuat jari-jemarinya. Suri masih lagi cuba untuk menegakkan benang yang sudah basah.


"Kau memang tak serik kan Suri. Sampai hati kau buat aku macam ni. Menyesal aku lepaskan kau tempoh hari." Ujar Haura berbaur sebak.

"Aku janji aku tak akan ganggu kau lagi. Tolong aku Haura aku tak ada niat nak sakitkan kau." Balas Suri lagi memohon pertolongan dari Haura.


"Nasi dah jadi bubur Suri. Aku tak akan lepaskan kau lagi. Mereputlah kau dekat dalam penjara tu nanti. Aku harap apa yang berlaku ni akan jadi pengajaran yang besar buat kau." Tutur Haura kasar sebelum keluar meninggalkan bangunan tersebut.

Tiba di kereta Haura menangis sepuas-puasnya. Dia tidak menyangka wanita itu sanggup untuk melakukan perkara yang sedemikian. Pada masa yang sama perasaan bersalah terhadap Mikael semakin menggunung dihatinya. Haura merasakan semua itu berlaku gara-gara dendam Suri terhadapnya. Mona sedaya-upaya cuba menenangkan sahabatnya itu.


"Mona tolong hantar aku ke hospital aku nak pergi jumpa dengan Mikael." Ujar Haura setelah dirinya sudah kembali tenang. Mona sekadar mengangguk.

Tiba di perkarangan hospital berkenaan Mona memberhentikan keretanya di hadapan pintu utama.


"Betul ni kau tak nak aku temankan kau?" Tanya Mona. Haura menganggukkan kepalanya.


"Tak apa aku boleh pergi sendiri. Kau baliklah dulu." Balas Haura sambil tersenyum tawar ke arah sahabatnya itu.


"Okaylah kalau kau dah cakap macam tu. Tapi kalau ada apa-apa kau terus call aku tau." Balas Mona. Sekali lagi Haura menganggukkan kepalanya.

Haura kemudian melangkah keluar dari kereta tersebut sambil membimbit sebuah bakul yang berisi buah-buahan yang dibeli ketika dalam perjalanan ke sana. Mona melihat sahabatnya itu berlalu pergi sehingga wanita hilang dari pandangannya.

*****


"Sophia mana mama? Kenapa tak pernah sekali pun dia datang jenguk Mika dekat sini. Mika call dia pun tak dapat." Tanya Mikael secara tiba-tiba. Lelaki itu yang sedang santai menjamu makan tengah harinya di katil memandang ibunya.

Datin Norlie yang sedang mengambil air buat anaknya itu kaku seketika. Sudah beberapa kali nama Sophia dipetik oleh Mikael namun dia sedaya-upaya cuba mengelak dari bercakap mengenainya.

Melihat reaksi ibunya yang mencurigakan itu Mikael berhenti menyuap nasi ke mulutnya. Sudu diletakkan semula ke dalam pinggan. Dia kemudian cuba untuk bergerak turun dari katilnya namun agak sukar dek kakinya yang cedera itu. Datin Norlie segera berlari mendapatkan Mikael yang terkial-kial untuk menyarungkan selipar.


"Kamu nak pergi ke mana ni Mika? Doktor dah pesan jangan banyak bergerak. Kaki kamu belum sembuh lagi nanti makin teruk pula." Ujar Datin Norlie lembut. Mikael berkerut.


"Mika nak pergi jumpa Sophia." Balas Mikael pendek. Datin Norlie tergumam. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk memberitahu anaknya itu tentang Sophia. Bukan dia tidak mahu tetapi dia takut jika Mikael bakal terkejut dengan berita tersebut. Dia risau jika keadaan menjadi bertambah buruk.


"Papa tak benarkan." Sampuk Dato' Rizal secara tiba-tiba. Dia yang baru keluar di bilik air telah mencuri dengar perbualan antara anak dan isterinya itu. Sepantas kilat Datin Norlie berpaling setelah mendengar suara suaminya itu. Dia menghelakan keluh yang pendek.

Mikael agak terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh bapanya itu. Tidak pernah walaupun sekali orang tuanya itu menghalangnya dari bertemu dengan tunangnya itu. Entah kenapa kali ini Dato' Rizal berkeras untuk tidak membenarkan Mikael bertemu dengan Sophia.


"K-kenapa papa? Apa yang kami dah buat sampai papa sanggup halang Mika dari bertemu dengan Sophia." Suara Mikael mula bergetar. Airmata Datin Norlie mula bergenang.


"Tahap kesihatan kamu masih lagi lemah. Jadi buat masa sekarang papa nak kamu fokus untuk pulihkan diri kamu dulu." Balas Dato' Rizal.


"Tapi Sophia tu tunang Mika papa. Bakal isteri Mika." Mikael mula meninggikan suaranya. Dia mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Datin Norlie segera memeluk Mikael dengan erat. Digosok perlahan belakang anaknya itu. Wajah lelaki itu mula merah. Dadanya juga sudah mula berombak laju. Beberapa ketika kemudian Datin Norlie melonggarkan pelukannya. Wajah Mikael ditatapnya lama.


"Mika cuba bagitahu mama. Kamu memang tak ingat langsung apa yang dah terjadi pada kamu?" Tanya Datin Norlie dengan nada seolah-olah sedang menahan sebak. Mikael menggelengkan kepalanya. Melihat reaksi dari kedua orang tuanya itu membuatkan dia bertambah bingung.


"Kenapa mama dengan papa macam nak pisahkan Mika dan Sophia? Mika rindukan dia. Mika nak jumpa dengan dia."

Gedebuk!

Usai sahaja kata-kata itu meluncur keluar dari mulut Mikael, kedengaran ada bunyi sesuatu yang terjatuh dari arah pintu masuk. Sebuah bakul yang berisi buah-buahan terbaring di atas lantai. Beberapa jenis buah sudah mula tergolek keluar dari bakul tersebut.


"H-Haura....." Perlahan nama itu keluar dari mulut Datin Norlie. Dia melihat wanita yang kaku di muka pintu itu dengan riak yang sangat terkejut.


"Maaf mengganggu. Saya minta diri dulu." Balas Haura sebelum berlari pergi dari situ. Wajah tiga beranak itu langsung tidak ditatapnya. Dato' Rizal cuba untuk memanggilnya namun Haura telah hilang dari pandangan. Mikael menunjukkan riak yang pelik.

Dato' Rizal memandang Mikael dengan pandangan yang kosong. Dia kemudian mengambil tempat di sofa yang tersedia di dalam bilik wad tersebut. Agak lama dia mendiamkan diri. Sesekali terdengar bunyi keluh yang berat dihelakan. Datin Norlie pula meminta Mikael untuk kembali berehat di katilnya. Lelaki itu hanya menuruti sahaja kehendak ibunya itu. Nama Sophia tidak lekang dari bibirnya.

Tidak lama kemudian Dato' Rizal mula bangkit dari kerusinya. Dia berjalan mendapatkan Mikael di katil. Wajah Mikael direnungnya lama. Bermacam perkara yang sedang berlegar di mindanya ketika itu. Perlukah dia berterus terang dengan Mikael tentang Sophia? Dato' Rizal menemui jalan buntu. Meskipun dia juga seorang doktor tetapi apabila melibatkan anaknya, dia sendiri buntu memikirkan langkah yang terbaik buat anaknya itu.


"Papa ada benda yang nak bagitahu kamu dan papa harap kamu boleh terima dengan hati yang terbuka." Mikael memandang wajah serius bapanya itu.


"Perempuan yang kamu nampak tadi adalah Haura. Dia seseorang yang sangat istimewa dalam hidup kamu. Kamu berdua sepatutnya berkahwin pada hari Jumaat yang lepas tetapi disebabkan kemalangan ni perkahwinan tersebut terpaksa dibatalkan." Ujar Dato' Rizal satu persatu.

Mikael sangat terkejut. Kepalanya digelengkan berkali-kali. Dia tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya tadi. Matanya mula berkaca. Mikael turun dari katilnya lalu perlahan-lahan menghampiri bapanya itu.


"Tak, Mika tak percaya. Papa sengaja cakap macam tu untuk buat Mika lupakan Sophia, kan? Dalam hati Mika tak ada orang lain selain Sophia. Kenapa papa nak pisahkan kami." Suara Mikael kembali meninggi. Bibirnya juga turut bergetar dek menahan sebak.


"Ya, memang papa buat semua ni supaya kamu lupakan semua tentang Sophia." Balas Dato' Rizal mendatar. Wajah Mikael ditatapnya. Gelora dihati Mikael kian berombak.


"Tapi kenapa?"


"Sophia dah meninggal dalam kemalangan enam tahun yang lepas."

Mikael terdiam. Matanya terbuntang luas mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh bapanya itu. Seluruh dunianya bagai terhenti buat seketika. Fikirannya terasa amat kosong. Lidahnya juga menjadi kelu. Tiada kata yang mampu diungkapkan olehnya pada ketika itu. Tanpa dia sedar airmata mula jatuh membasahi pipinya itu.

Mikael kemudian mula membuka langkah kecil dan berundur dari situ. Namun belum sempat dia duduk di katilnya tiba-tiba dadanya terasa sangat sesak sehingga membuatkan dirinya sukar untuk bernafas. Kepalanya juga terasa sangat sakit. Mikael jatuh tertiarap pada katilnya. Dia mengerang kesakitan.

Datin Norlie dan Dato' Rizal sangat cemas melihat keadaan anaknya itu. Mereka segera berlari mendapatkan Mikael. Nama Mikael dipanggil berkali-kali namun tiada sebarang respon. Melihat keadaan anaknya yang semakin lemah itu membuatkan Datin Norlie tidak berhenti mengalirkan airmatanya. Tangisannya semakin kuat kedengaran.

Para misi dan doktor mula bergegas masuk ke dalam bilik wad tersebut untuk memeriksa serta memberi rawatan kecemasan keadaan Mikael pada ketika itu. Pandangan Mikael mula kabur. Tidak lama selepas itu dia terus tidak sedarkan diri.

Share this novel

husmafiq enterprise
2023-01-10 01:28:07 

mikael xikhlas ke bertunang Ngan Haura...asik ingat Sophea jer

husmafiq enterprise
2023-01-10 01:26:08 

kesian Haura...bila lah betul betul bertemu jodoh kan...silap haribulan kawin Ngan Dazrin...atau terus xkawin...

Nudar11
2023-01-08 22:05:35 

1 down, 2 more to go. Suri dah masuk jail. lepas ni jatuhkan Rissa & Datin Noreen pulak


NovelPlus Premium

The best ads free experience