BAB 68

Drama Completed 919566

Datin Norlie mengetuk pintu bilik Mikael namun tiada jawapan. Dia menguak pintu perlahan-lahan. Tiada kelibat anaknya di dalam. Telinganya mendengar bunyi air mengalir dari dalam kamar mandi. Kemudian dia berlalu pergi.

Datin Norlie sebenarnya amat risau apabila melihat anak lelakinya itu pulang dengan wajah yang sugul. Ketika menyapanya di ruang tamu Mikael melemparkan senyuman tawar kepadanya. Kelihatan sangat palsu. Dia tahu anaknya itu sedang dilanda masalah.

Mikael yang sedang mandi di dalam bilik air berdiri di bawah pancuran hujan. Fikirannya jauh melayang memikirkan perkara yang menimpa dirinya tadi.

Cahaya lampu kereta serta bunyi hon yang terlalu kuat membuatkan dia teringat akan kisah silamnya. Kejadian yang telah memberikan impak yang sangat besar dalam hidupnya. Sehingga kini dia masih dihantui rasa bersalah yang tidak berkesudahan.


"Sophia... I minta maaf." bisik hati Mikael.

Tanpa dia sedar air mata mengalir keluar dari kelopak matanya. Namun tidak kelihatan kerana pancuran air ysng membasahi kepalanya. Hati Mikael terasa sungguh pilu. Masih segar di ingatan kejadian tersebut. Namun kehadiran Haura benar-benar memberi satu ketenangan buat dirinya. Dia rasa sungguh tenang dan selamat apabila wanita itu ada di sisinya.

*****

Seminggu telah berlalu, hubungan Haura dan Mikael bertambah baik. Mereka sedaya upaya untuk merahsiakan hubungan mereka itu. Namun ada mata yang selalu memerhati. Suri berasa sangat iri melihat keakraban mereka serta kebahagiaan yang terpancar di wajah Haura.


"Weh korang, ada gosip baru. Aku dengar syarikat ni ada ambil model untuk jadi duta hotel dan resort kita. Khabar angin cakap dia tu ada hubungan istimewa dengan Encik Mikael." Suri mula menyebarkan gosip. Dia sengaja ingin sakitkan hati Haura.

Laila dah Haura yang berada di situ turut memasang telinga. Hati Haura mula tertanya-tanya. Mikael tidak ada memberitahu apa-apa kepadanya sehinggalah dia dengar dari mulut busuk Suri tu.


"Model? Hubungan istimewa? Mikael tak ada bagitahu aku apa-apa pun pasal ni." bisik Haura sendirian. Fokusnya mula hilang. Suri tersenyum sinis melihat reaksi yang diberikan Haura.


"Mana kau tahu semua ni Suri? Kau jangan nak memandai-mandai. Nanti naik hantu bos kita tu." tanya salah seorang pekerja di situ.


"Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri dia orang berdua berpegangan tangan secara terbuka dekat lobi. Perempuan tu bukan main manja lagi dengan Encik Mikael." ujar Suri lagi.

Dia begitu seronok melihat Haura hilang arah. Dia tidak mahu melihat wanita itu bahagia. Dia mahu Haura meninggalkan bangunan ini dengan segera tetapi wanita itu sangat kebal. Entah ilmu apa yang dia guna kerana bermacam cara dan helah yang Suri buat semuanya sia-sia. Tidak mahu mendengar dengan lebih lagi, Haura berlalu pergi ke mejanya.


"Akak saya gerak dulu ye. Nanti kita sambung semula waktu lunch nanti." ujar Haura kepada Laila. Dia memaksa dirinya untuk tersenyum kemudian pergi.

Haura menjeling ke arah pintu bilik Mikael. Dia tertanya-tanya jika benar apa yang dikatakan oleh Suri, kenapa lelaki itu tidak pernah sekalipun memberitahunya. Rasa cemburu menyelubungi hati. Namun dia cuba untuk tidak terlalu mengikut perasaannya itu memandangkan dia kini sedang berada di pejabat.

*****

Haura meluru masuk ke bilik Luth Mikael setelah diberitahu oleh Naimah bahawa Puan Sri Normah ingin bertemu dengan mereka berdua. Haura mula rasa gelisah. Adakah kerana hubungannya dengan Mikael telah terbongkar.


"Ada apa Puan Sri panggil kita ni? Awak ada tahu apa-apa tak?" tanya Haura. Mikael menggelengkan kepalanya. Lelaki itu kemudian mencapai blazer yang tergantung di kayu penyangkut.


"Awak ada bagitahu sesiapa pasal kita ke?" tanya Haura sekali lagi. Mikael tersenyum.


"Yang kau gelisah tak tentu pasal ni kenapa? Biarlah kalau nenek tahu pasal hubungan kita ni. Tak payah susah-susah aku explain pada dia nanti." balas Mikael nada bergurau. Haura mencebik.


"Orang tengah serius dia boleh main-main pulak. Awak cakap senang la, yang teruk kena kecam nanti saya bukannya awak." rajuk Haura. Dia segera meluru untuk keluar dari bilik tersebut. Namun dengan cepat Mikael mencapai tangannya.


"Aku kan dah janji dengan kau. Aku tak akan biarkan ada sesiapapun sakitkan hati kau. Cuit sikit pun tak boleh. Kau ni umpama nyawa kedua aku. Tanpa kau aku tak tahu macam mana untuk aku terus bernafas." tutur Mikael lembut. Rambut Haura diusap perlahan. Wanita itu tersenyum simpul.


"Janji yang awak tak akan sakiti saya? Janji yang awak akan sentiasa ada di sisi saya?" Mikael menganggukkan kepalanya. Haura tersenyum puas dengan jawapan dari Mikael itu.


"Okay, kalau macam tu jomlah kita gerak." ujar Haura gembira. Tersengih lebar sampai ke telinga sehingga menampakkan giginya yang rapi. Mikael turut tersenyum dengan gelagat buah hatinya itu.

Puan Sri Normah telah mengarahkan Mikael untuk menguruskan majlis pembukaan semula hotel di bawah kelolaan Dato' Zubir. Itu juga bermakna dia akan bekerja secara terus dengan Rissa Arianna kerana wanita itu adalah duta rasmi untuk Khazzan Hotel & Resort.


"Kenapa Mika pula yang nak kena handle benda ni nenek?" bantah Mikael keras.

Dia tidak mahu berurusan dengan wanita itu langsung. Dia merasakan perkara ini adalah salah satu dari rancangan Rissa untuk membalas dendam padanya.


"Kenapa dengan kamu ni? Selama ni kamu tak pernah nak menolak kalau nenek minta kamu uruskan apa-apa event. Kenapa kali ni beria sangat kamu menolak?" tanya Puan Sri Normah pelik. Haura hanya diam dan memerhati sahaja.


"Mika sanggup in charge projek lain, tapi bukan yang ni."


"Kenapa? Sebab kamu kena berurusan dengan Rissa Arianna?" tanya Puan Sri Normah tanpa berselindung. Mikael kaget. Dia memandang Haura yang duduk di sebelahnya. Haura tidak memberikan sebarang reaksi.


"A-apa maksud nenek?" soal Mikael cuak. Puan Sri Normah melirik pada Haura yang terkebil-kebil memandang ke arah mereka berdua silih berganti.


"Disebabkan kamu berdua berjaya tarik pelabur baru di Sabah, nenek nak kamu berdua juga yang uruskan pembukaan semula hotel ni." ujar Puan Sri Normah menukar topik. Mikael terdiam. Haura hanya menganggukkan kepala.


"Kamu akan berurusan dengan dia untuk event ni je, bukan selama-lamanya." tambahnya lagi. Mikael mengeluh.


"Nanti kami perlu refer pada Puan Sri atau terus pada Dato' Zubir?" soal Haura.


"Dato' Zubir. Mulai minggu depan kamu akan kerap meeting dengan dia sehinggalah event tu tamat. Begitu juga dengan Rissa Arianna. Nenek harap semua akan berjalan dengan lancar." balas Puan Sri Normah.

*****

Haura berjalan menuju ke keretanya. Tiba-tiba dia terdengar suara yang aneh di satu sudut. Berdiri bulu tengkoknya. Dia mula membuka langkah menghampiri suara tersebut yang kedengaran seperti tangisan wanita. Makin lama suara tersebut makin hampir dengannya.


"Juita......" tegur Haura perlahan.

Di sebalik dinding Haura melihat Juita yang terduduk sambil menagis teresak-esak. Mulutnya ditekup supaya tangisannya itu tidak didengari oleh sesiapa. Namun telinga lintah Haura berjaya menangkap suara tersebut.

Setelah melihat Haura tercegat di hadapannya, Juita segera berdiri sambil menyeka air mata yang masih mengalir dipipi. Tangisannya juga ditelan. Haura datang mendekat lalu menghulurkan tisu yang dikeluarkan dari tas tangannya.


"Hey kenapa ni? Awak okay tak?" tanya Haura sambil mengusap lembut belakang Juita.

Tangisan yang cuba dipendam pecah kembali. Haura membiarkan Juita melepaskan tangisnya seketika. Setelah tangisannya mula reda barulah Juita gagahkan diri untuk bersuara.


"Terima kasih. Maaf juga kalau saya dah susah awak." ujar Juita. Nadanya masih kedengaran sebak. Haura menggelengkan kepalanya.


"Awak ada masalah ke? Kongsilah dengan saya. Mana tahu kot-kot saya boleh bantu." balas Haura. Dia benar-benar risau melihat keadaan Juita yang tidak bermaya itu.


"Mungkin sebab stress dan tak cukup rehat sebab tu emosi saya terganggu sikit." ujar Juita.

Dahi Haura berkerut. Dia sedikit pelik apabila wanita itu mengatakan dirinya kurang rehat kerana setiap hari dia antara orang yang terawal yang akan melangkah keluar dari pejabat. Jarang sekali boleh nampak dia balik lewat. Namun Haura tidak mempersoalkan perkara tersebut kepadanya.


"Oh yeke. Jomlah saya hantar awak balik." pelawa Haura. Tapi telah ditolak lembut oleh Juita.

Dia tidak mahu menyusahkan Haura. Juita memberi alasan bahawa dirinya mahu singgah di banyak tempat sebelum pulang ke rumah. Tambahan pula jika Haura hantarnya pulang, wanita itu bakal tahu tentang hubungan antara dirinya dan juga Suri. Juita tidak mahu sikap Suri menjadi bertambah agresif pada Haura.


"Tak apa. Lagipun hari ni saya free, bolehlah saya teman dan hantar awak balik." pujuk Haura.

Juita menjadi serba-salah untuk menolak. Dia tidak mahu rahsianya terbongkar tapi dia juga tidak mahu Haura kecil hati dengan penolakkan tersebut. Akhirnya dia setuju namun meminta Haura menghantarnya ke hospital.

Haura merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Juita. Wanita itu seperti sedang merahsiakan sesuatu daripada pengetahuannya. Keresahan yang jelas terpamer di wajah kecil wanita itu sangat mencurigakan.


"Terima kasih. Jumpa dekat office nanti." ucap Juita setelah keluar dari kereta.


"Okay, awak jaga diri tau. Kalau ada apa-apa masalah call je saya." balas Haura. Juita mengukirkan senyuman tawar. Selepas kereta Haura berlalu pergi barulah dia melangkah masuk ke dalam hospital.

Panjang leher Haura mencari kelibat Juita. Selepas dia menurunkan Juita di lobi, dia segera memarkir keretanya. Memang dia tak ada hak untuk masuk campur urusan wanita itu tapi tangisan Juita di pejabat tadi sangat mengganggu fikirannya.


"Haura!" tiba-tiba ada satu suara menyapanya. Haura berpaling.


"Haura kan?" tanya wanita itu lagi. Mata Haura terbeliak melihat gerangan wanita di hadapannya itu.


"Kak Rosie?" balas Haura separa percaya.

Dia tidak sangka akan bertemu semula dengan Rosie selepas kejadian ragut beberapa bulan yang lalu. Namun wanita yang ditemui dahulu sedang sarat mengandung. Tetapi yang berdiri di hadapannya kini sudah hilang perutnya.

"Hari tu akak tengah pregnant kan?" tanya Haura.

Rosie menganggukkan kepala. Dia memberitahu Haura yang dia sudah pun bersalin beberapa bulan yang lepas. Kini dia baru sahaja tamat tempoh berpantang.

"Kamu buat apa dekat sini?"

"Saya hantar kawan saya tapi entah mana pula dia menghilang. Akak buat apa dekat sini?" Soal Haura kembali.

"Baby akak tak sihat. Kena warded. Dah dekat seminggu juga akak berkampung dekat sini. Ni akak baru je hantar suami akak balik." balasnya bersahaja. Haura sekadar mengangguk.

Setelah berbual untuk beberapa ketika akhirnya mereka mengucapkan salam perpisahan. Rosie tak boleh tinggal anaknya lama-lama meskipun ada pembantu yang sedang menjaganya ketika ini.

"Saya nak melawat pun dah nak habis waktu melawat. Nanti kalau saya free saya datang melawat baby ye. Jumpa lagi kak." ujar Haura seraya berpisah dengan Rosie yang kian hilang dari pandangan.

Haura menyambung kembali pencariannya yang tergendala sebentar tadi. Namun begitu dia masih juga tidak berhasil menemukan kelibat Juita.


"Mana Juita ni pergi eh? Mungkin dia dah naik ke bilik wad kot. Aku nak pergi pun tak tahu bilik yang mana satu." bisik Haura sendirian.


"Bil cik dah banyak bulan tertunggak. Kalau cik tak lunaskan dalam masa 7 hari dari sekarang, kami terpaksa discharge ayah cik."

Suara jururawat yang bertugas di kaunter pembayaran bil singgah di telinga Haura ketika dia melepasi ruangan tersebut. Di selang seli juga dengan suara rayuan meminta agar ayahnya itu terus menerima rawatan di sana. Apabila Haura mendekat dia melihat Juita sedang berurusan dengan jururawat tersebut.

Haura terdiam. Dia tidak menyangka bahawa wanita itu benar-benar dalam kesusahan. Haura juga agak terkilan kerana dia tidak cakna dengan keadaan atau masalah yang sedang dihadapi rakan sepejabatnya.


"Terima kasih." ujar Juita lemah.

Ditangannya ada sekeping kertas bil yang tertera jumlah bayaran yang perlu dia lunaskan. Wajahnya kelihatan sungguh kusut. Tanpa bersuara Haura mendekatinya. Apabila melihat ada sosok yang menghalang geraknya Juita mengangkat muka memandang orang tersebut. Mata terbeliak dan mulutnya sedikit ternganga.

*****

Mikael menguis nasi dipinggannya. Dia tidak kelihatan murung atau sakit seperti selalu. Tapi lebih kepada mengelamun. Entah ke mana fikirannya telah terbang melayang. Sekejap dia mencuka sekejap dia tersenyum.

Puan Sri Normah dan Datin Norlie agak pelik dengan kelakuan Mikael itu. Mereka saling berbalas pandang. Dato' Rizal yang turut berada di situ sekadar tersenyum.


"Abang, apa yang tak kena dengan anak kita tu? Sekejap muncung sekejap sengih. Nor risau la bang." bisik Datin Norlie kepada suaminya.


"Kenapa tanya saya pula, awak tanya la anak bujang awak tu." balas Dato' Rizal. Datin Norlie beralih pula pada ibunya. Puan Sri Normah mengangkat bahu tanda tidak tahu.


"Mika, kamu ada masalah ke? Papa tengok dari tadi kamu duduk kuis nasi tu." pertanyaan dari Dato' Rizal mematikan lamunannya. Mikael terbatuk kecil. Gelas air putih dicapai lalu togoknya laju.


"Erm.... Sebenarnya Mika ada benda nak bagitahu pada semua orang. Tapi Mika tak tahu sama ada sekarang ni waktu yang sesuai ataupun tidak." tutur Mikael. Dia menghela keluh yang berat. Perkara itu mungkin sesuatu yang sungguh besar bagi dirinya.


"Bagitahu apa?" Datin Norlie mula tidak sabar.

Namun Mikael berkeras untuk memberitahu selepas mereka usai makan malam. Tanpa menghabiskan makanannya Mikael segera bangkit lalu bergegas naik ke bilik. Terpancar riak gugup di wajahnya.

Sudah 30 minit berlalu namun kelibat Mikael masih belum kelihatan. Datin Norlie benar-benar tidak keruan menanti berita yang akan disampaikan oleh Mikael nanti.


"Ish, mana pula budak bertuah ni. Cakap lepas makan nak bagitahu. Sekarang dah lebih 30 minit tunggu batang hidung pun tak nampak lagi." omel Datin Norlie sambil mundar-mandir di ruang tamu.

Dato' Rizal yang melihat sekadar menggelengkan kepalanya. Puan Sri Normah pula dengan tenang membaca buku di sofa.


"Entah-entah dia dah tidur tak. Nor naik atas tengok Mika sekejap ye." ujar Datin Norlie.

Namun belum sempat dia membuka langkah, Mikael mula berjalan menuruni anak tangga. Datin Norlie cerlung memandang anaknya itu.


"Turun pun. Mama ingat kamu dah tidur tadi." ujar Datin Norlie perlahan. Dia berjalan mengiringi anak lelakinya itu ke sofa.

Mikael mengambil tempat berhadapan dengan Dato' Rizal. Puan Sri Normah meletakkan bukunya di sisi. Semua mata tertumpu pada Mikael. Jantungnya terasa bagai nak meletup pada ketika itu.


"Apa benda yang kamu nak bagitahu tu?" Datin Norlie bertanya kepada Mikael. Dato Rizal cerlung memandang isterinya itu. Dibalas kembali oleh isterinya. Mereka bertiga masih menanti Mikael untuk bersuara. Nafas di tarik dalam lalu dihembus panjang.


"Mika nak kahwin." ujar Mikael.

Suasana jeda. Enam pasang mata yang melihatnya pada ketika itu hampir terjegil keluar. Mana tidaknya, mereka sangat terkejut dengan pengumuman dari Mikael itu. Tidak pernah terlintas di fikiran mereka bahawa lelaki itu dengan sendirinya akan menyuarakan tentang perkahwinan setelah apa yang terjadi kepadanya dulu.


"Mika, betul ke apa yang nenek baru dengar ni?" tanya Puan Sri Normah untuk kepastian. Risau jika dia tersalah dengar. Mikael mengangguk.

Datin Norlie melompat kegembiraan. Tangannya ditepuk berkali-kali. Dato' Rizal sangat terkejut dengan kelakuan isterinya itu. Dia cuba untuk menghalang namun keterujaan Datin Norlie melepasi segalanya. Dia segera berlari mendapatkan Mikael yang tertunduk malu.


"Bila kamu nak kahwin? Dengan siapa? Bila nak bawa mama jumpa dengan dia." soal Datin Norlie penuh teruja. Tangan Mikael digenggam rapi.


"Nor, budak tu baru je bagitahu dia nak kahwin. Awak dah serang dia dengan macam-macam soalan. Kot ye pun tunggu la Mika explain semuanya pada kita dulu." tegur Dato' Rizal. Datin Norlie mengalah. Dia kembali ke tempat duduknya di sisi suaminya itu.


"Sebelum tu Mika nak bagitahu awal-awal, keputusan yang Mika ambil ni bukan disebabkan wasiat arwah datuk. Mika sikit pun tak kaitkan soal perasaan Mika ni dengan harta pusaka tu." ujar Mikael.


"Kenapa tiba-tiba je kamu nak kahwin? Padahal sebelum ni bila nenek dengan mama kamu usulkan perkara ni bukan main dahsyat lagi kamu membantah." tanya Puan Sri Normah. Mikael terdiam untuk seketika.


"Mika mengaku sehingga kini Mika masih tak dapat lupakan Sophia. Hampir setiap malam peristiwa lama tu mengganggu tidur Mika. Sangat perit untuk Mika tempuh sendirian."


"Tapi kehadiran wanita ni dalam hidup Mika dah merubah segalanya. Dia umpama penawar kepada racun yang sedang memakan diri Mika dari dalam. Sebab tu Mika ambil keputusan untuk kahwin dengan dia." ujar Mikael panjang lebar.

Puan Sri Normah tersenyum lebar. Dia berasa sungguh lega apabila Mikael telah mampu membuka pintu hatinya untuk wanita lain. Namun dia tertanya-tanya siapakah gerangan yang telah berjaya mengembalikan semula sinar di dalam hidup cucunya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience