BAB 35

Drama Completed 919161

Haura telah pun tiba di kediaman ibubapanya setelah dipujuk oleh Datin Safiah. Namun kelihatan tidak begitu ceria di mata kedua orang tuanya itu seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya. Datin Safiah juga menyedari akan hal tersebut. Haura menjadi tidak banyak cakap dan raut wajahnya juga kelihatan sungguh kusam dan muram. Hati mereka sedikit gusar melihat keadaan Haura itu.

Ketika mereka sedang menjamu selera di meja makan juga kelakuan Haura agak merunsingkan. Haura sering termenung dan menguis-nguis nasi yang ada di dalam pinggannya. Sesekali dia menyuap ke mulutnya dengan lemah. Terlalu jauh fikirannya melayang ketika itu sehinggakan Datin Safiah memanggilnya pun tidak disahut. Sehinggalah Hanna yang mencuitnya dari sisi.


“Lepas makan nanti opah nak semua berkumpul kat depan. Ada benda sikit yang opah nak bincang dengan kamu semua.” Datin Safiah bersuara lembut.

Haura terdiam dan memandang ke arah Hanna penuh dengan tanda tanya. Hanna mengangkat bahunya tanda dia tidak tahu.


“Mana anak-anak kamu Izah?” tanya Datin Safiah kepada Puan Hafizah.


“Mereka ada dekat dapur lagi umi. Kejap lagi datanglah tu.” Balas Puan Hafizah. Datin Safiah mengambil tempat di ruang tamu.


“Ke mana pulak ayah kamu pergi malam-malam buta ni.” Keluh Datin Safiah apabila suaminya itu tiada di situ.


“Biasalah umi, diaorang berdua tu kalau tak keluar melepak memang tak sah.” balas Puan Hafizah sambil tersenyum.


“Haa tu pun cucu-cucu umi dah datang.” Tambah Puan Hafizah lagi apabila melihat Haura berjalan keluar dari pintu dapur diikuti pula oleh Hanna. Haura mengambil tempat di sebelah ibunya.


“Nak bincang apa tu nek. Ada orang nak hantar rombongan meminang ke?” soal Hanna selamba sambil berjalan untuk duduk di sebelah opahnya yang tercinta. Kemudian dia mengerling ke arah Haura. Hanna sememangnya gemar menyakat kakaknya itu.

Terjegil biji mata Haura mendengar soalan yang diajukan itu. Cerlung matanya memandang Hanna. Dia berasa sungguh geram. Tangannya digenggam lalu diajukan kepada Hanna seolah-olah mengacah untuk menumbuk adiknya itu. Haura kemudian memberi isyarat kepada Hanna supaya tumpukan perhatian pada apa yang bakal diberitahu oleh opahnya itu.

Puan Hafizah menggelengkan kepala dengan keletah kedua anak daranya itu. Perangai mereka berdua tidak ubah seperti budak-budak. Padahal masing-masing sudah pun menginjak usia yang dewasa. Tambahan pula Hanna tidak lama lagi bakal menjadi isteri orang. Datin Safiah tersenyum lalu membetulkan kedudukannya. Dia kemudian memandang dua cucunya itu dengan penuh rasa kasih dan sayang.


“Ish! Apa pula yang opah nak bagitahu kali ni. Jangan minta aku kahwin sudah. Dah habis alasan dah yang aku bagi pada opah.” bisik hati Haura. Hatinya berdebar-debar kerana melihat opahnya seperti ingin membincangkan sesuatu yang agak penting dan serius.


“Hanna, macam mana dengan persiapan untuk majlis kamu dengan Zaquan nanti?” Tanya Datin Safiah kepada Hanna.


“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Opah jangan risau ya.” Balas Hanna laju sambil tersenyum lebar. Lengan opahnya itu dirangkul erat.


“Aku dah agak dah mesti pasal kahwin punya.” getus hati Haura. Dia mula hilang minat untuk meneruskan perbualan itu. Namun dia tidak mahu melukakan hati ibu serta opahnya itu.


“Kamu macam mana Haura? Masih solo lagi ke? Atau dah ada teman istimewa?” soalan Datin Safiah kini beralih kepada Haura. Tiga pasang mata tertumpu kepadanya.

“Hahh? Ermmm....” Haura tergamam seketika. Dia buntu untuk menjawab soalan tersebut. Maklumlah ni bukan kali pertama dia diajukan soalan yang sedemikian. Otaknya sudah naik tepu dan tak boleh untuk memproses alasan yang baru.


“Opah ni bukannya apa, opah cuma teringin sangat nak tengok kamu berdua berkahwin sebelum opah pejam mata untuk selamanya” ujar Datin Safiah sambil terbatuk-batuk. Puan Hafizah dengan cepat menghulurkan segelas air kepada ibunya itu.


“Ala... opah janganlah cakap macam tu. Tak bestlah” Hanna cuba memujuk. Dia tidak suka apabila opahnya itu membangkitkan perkara tersebut. Begitu juga dengan Haura.

Akan tetapi, disebabkan pertemuan antara dirinya dan juga Syahmi pada petang tadi, mood Haura ketika itu agak tunggang langgang. Dia tidak mampu untuk memberi perhatian yang cukup kepada opahnya. Perkara itu sangat mengganggu serta memberi kesan yang tidak baik kepada emosinya.


“Betul tu Haura, ibu pun teringin juga nak ada cucu, nak main dengan cucu. Kawan-kawan ibu yang anak mereka sebaya dengan kamu semua dah kahwin. Dah beranak-pinak pun. Kamu bila lagi?” tambah Puan Hafizah. Niatnya hanyalah untuk mencuba nasib sahaja. Namun tanpa disedari kata-katanya itu telah menambahkan lagi beban yang ada di dalam hati Haura ketika itu.

Haura cuba untuk mengawal perasaannya pada saat itu. Dia memandang wajah ibu dan Datin Safiah silih berganti. Dia mula menjadi serba salah. Haura bukannya tak mahu tunaikan hasrat mereka itu tetapi hatinya itu masih belum pulih sepenuhnya.

Tambahan pula, hatinya itu sudah dikunci dan dikatup rapat untuk mana-mana lelaki. Dia tak nak sejarah lama berulang kembali. Betapa sakitnya rasa apabila perasaan kasih dan sayangnya telah dinodai oleh insan yang benar-benar dia cinta.


“Haura minta maaf banyak-banyak pada ibu dan opah. Haura memang tak dapat dan mungkin juga tak akan tunaikan permintaan itu buat masa sekarang.” Balas Haura lemah tanpa memandang wajah insan kesayangan di hadapannya itu. Jari jemarinya digenggam erat. Puan Hafizah dan Datin Safiah terdiam seketika. Begitu juga denga Hanna yang terkejut mendengar jawapan yang terkeluar dari mulut Haura itu.


“Maaf kalau kata-kata Haura ni agak keterlaluan. Sebenarnya Haura dah naik rimas dan menyampah sebab asyik diajukan soalan yang sama je setiap kali kita berkumpul.” Tambahnya lagi. Kali nada suaranya sedikit meninggi dan sudah mulai sebak.


“Haura! Kenapa kamu cakap macam tu dengan opah.” Tegur Puan Hafizah. Dia merasakan kelakuan anak sulungnya itu agak keterlaluan.


“Pernah ke ibu dan opah fikirkan tentang perasaan Haura? Betapa susahnya Haura berlawan dengan emosi sendiri untuk melupakan kisah silam Haura dengan Syahmi. Dua tahun Haura pendam rasa sakit Haura dan dua tahun juga Haura tipu diri Haura sendiri. Haura tak pernah bagitahu pada sesiapa pun sebab Haura nak buktikan pada semua orang yang Haura ni kuat supaya opah dan ibu tak risaukan Haura lagi. Tapi kenyataannya Haura sakit sangat ibu… Jiwa dan raga Haura tidak kuat untuk tempuh semua tu lagi.” Ujar Haura panjang. Kali ini tangisnya sudah mulai pecah. Airmata membasahi dipipinya disaat dia meluahkan segala rasa yang terpendam dihatinya itu.

Tiga pasang mata yang berada di situ turut mengalirkan airmata. Mereka sungguh tidak sangka Haura yang sentiasa pamerkan wajah yang ceria rupa-rupanya sedang menyembunyikan seribu kedukaan di dalam hatinya. Datin Safiah berasa kesal kerana pertanyaan yang sering dia ajukan kepada Haura telah menjadi punca cucunya itu tertekan. Dia merasakan dirinya telah menjadi punca cucunya itu berada di dalam kesedihan.


“Kenapa akak tak pernah cerita pada Hanna. Akak tak percayakan Hanna ke?” soal Hanna kepada Haura. Mukanya lencun dibahasi airmata yang mengalir.


“Bukan akak tak percaya pada Hanna, tapi akak tak percaya pada diri akak sendiri. Akak takut untuk mara selangkah ke depan. Akak telah kurungkan diri akak di dalam penjara yang akak bina sendiri sebab akak tak nak perkara yang sama berulang lagi. Cukuplah sekali hati akak ni disakiti.” Ujar Haura panjang lebar sebelum dia bangkit dan terus berjalan menuju ke biliknya.

Haura melihat raut wajah mereka yang kecewa dengan tindakannya itu. Dan dia juga tahu bahawa kata-katanya itu telah sedikit sebanyak telah mengguriskan hati mereka tapi itu bukan niatnya. Haura terpaksa. Dia meluahkan isi hatinya kerana terlalu sakit untuk disimpan lagi. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat Syahmi yang sudah bahagia dengan hidupnya kita. Luka dihatinya yang disangka sudah kering sudah mula berdarah kembali.


“Maafkan Haura.” bisik hati kecil Haura.

*****

Jam di dinding menunjukkan pukul 12.15 tengah malam. Mikael menyandarkan dirinya pada kerusi. Dia merehatkan mata dan mindanya seketika dari tekanan kerja. Matanya dikatup rapat. Sesekali dia menghela keluh yang berat. Tiba-tiba dia terbayangkan wajah sugul Haura yang dilihatnya petang tadi.

Fikiran Mikael sedikit terganggu dengan perkara itu kerana tidak pernah sekali dia melihat keadaan Haura seperti itu meskipun sudah banyak kali dia menyakitkan hati Haura. Dia merasakan ada sesuatu yang telah terjadi di antara Syahmi dan juga Haura. Namun demi mengusir perkara itu dari menghantui dirinya, Mikael telah cuba untuk bertanya kepada Syahmi secara lebih terperinci. Fikirannya melayang kepada perbualannya bersama Syahmi beberapa jam yang lepas.

Selesai sahaja makan malam Mikael telah mencari kelibat Syahmi yang telah hilang dari pandangannya. Dia cuba menjengah ke luar rumah. Dia melihat Syahmi sedang duduk sendirian di bawah gazebo di pinggir kolam renang. Fikiran lelaki itu seperti telah jauh melayang. Entah apa yang sedang bermain di fikiran Syahmi ketika itu. Mikael kemudian berjalan menghampirinya.


“Ehemm..” Mikael berdehem. Dia sudah pun berdiri di sebelah Syahmi sambil kedua tangannya memegang gelas yang berisi air kopi panas yang dibancuh oleh Mak Wan. Namun tiada respon dari lelaki itu. Mikael cuba menjenguk ke wajah Syahmi yang langsung tidak menghiraukan kewujudannya di situ.


“Syahmi!” Mikael meninggikan sedikit nada suaranya. Panggilan dari Mikael itu telah membangkitkan Syahmi dari lamunannya. Syahmi terpinga-pinga memandang Mikael yang sedang berdiri hampir dengannya.


“Eh, Mika. Dah lama ke kau berdiri dekat situ. Duduklah.” Pelawa Syahmi sambil membetulkan kedudukannya.

Mikael melangkah perlahan lalu duduk di sebelah Syahmi. Dia menghulurkan segelas air kopi kepada Syahmi. Namun lelaki itu tidak terus minum air tersebut. Dia sekadar mengusap jarinya pada gelas itu. Kelakuan Syahmi itu agak mengganggu fikiran Mikael. Adakah ada kaitan dengan pertemuannya dengan Haura pada petang tadi. Mikael melepaskan keluh sebelum dia menghirup perlahan air kopi yang ada di tangannya.


“Aku ada benda sikit nak tanya kau?” Mikael membuka bicara setelah keadaan berubah menjadi sunyi untuk seketika. Hanya bunyi deruan angin malam yang menerpa. Serentak dengan itu Syahmi mengalihkan pandangannya kepada Mikael.


“Kau nak tanya apa?” balas Syahmi. Sekali lagi Mikael meneguk air kopi ditangannya. Sebenarnya dia sedikit gugup untuk bertanya.


“Pasal Haura.” balas Mikael pendek. Syahmi yang baru sahaja mengangkat gelas air untuk diminum terhenti seketika. Matanya dikerling ke arah Mikael sebelum dia menyambung menghirup air tersebut.


“Kau memang kenal dengan Haura ke?” tanya Mikael lagi.


“Kenal. Sangat kenal.” Balas Syahmi sedikit lemah. Nada suaranya kedengaran seperti orang yang sungguh kecewa dan pasrah. Namun jawapan itu masih tidak cukup buat Mikael.Tanpa mengeluarkan suara Syahmi sekadar mengangguk.


“Kau memang rapat dengan dia ke? Dah berapa lama kau kenal dia? Apa hubungan kau dengan dia?” tanpa Mikael sedar dia telah bertanyakan soalan yang bertubi-tubi kepada Syahmi. Dahi Syahmi berkerut.


“Eh kejap. Kenapa kau tanya aku soalan tu?” balas Syahmi yang sedikit bingung. Mata Mikael terbuntang. Dia sedar bahawa dia sudah terlepas cakap. Cepat-cepat dia menukar soalan.


“Tak… maksud aku, macam mana kau boleh kenal dengan dia.”


“Dulu kita orang bertiga satu sekolah dan memang sangat rapat. Tapi sejak beberapa tahun lepas hubungan kami mula renggang dan lepas tu kita orang lost contact. Tadi tu….” Syahmi cuba menjelaskan kepada Mikael namun kata-kata Syahmi tiba-tiba tersekat. Dia tidak mampu untuk meneruskan lagi ucapannya. Syahmi tertunduk lemah. Dia seakan-akan ingin mengalirkan airmata.

Mikael memberi tumpuan pada setiap baris kata yang keluar dari mulut Syahmi. Dia merasakan ada punca yang besar yang telah membuatkan hubungan antara Syahmi dan Haura mulai renggang. Soraya yang mencuri dengar perbualan itu berasa sayu melihat keadaaan suaminya itu. Dia kemudian berjalan menghampiri mereka.


“Haa! Korang borak apa ni? Dina pun nak dengar jugak.” Soraya cuba menukar suasana. Dua orang lelaki itu tersentak dengan kehadiran Soraya yang agak mengejut itu.


“Orang perempuan mana boleh masuk campur. Ni urusan orang lelaki je.” Balas Mikael sambil tersenyum kepada Soraya. Syahmi turut mengukirkan senyuman yang tawar.


“Nak berahsia pulak korang ni.” Balas Soraya sambil mengambil tempat di sebelah Syahmi lalu dirangkul lembut lengan suaminya itu. Dia menatap mata suaminya itu dengan penuh perasaan.


“Korang sambung borak la pulak. Abang nak masuk dalam dulu. Ada kerja sikit nak buat.” Mikael kemudian meminta diri lalu meninggalkan sepasang suami isteri itu di bawah gazebo.

Lamunan Mikael terhenti. Dia kemudian menghela keluh yang berat. Tangannya dibawa ke dahi lalu dipicit lembut pada sekitar dahinya itu. Entah kenapa dia sungguh sukar untuk melupakan tentang Haura pada saat itu. Meskipun dia sudah berbual dengan Syahmi dan mengetahui status hubungan mereka namun hatinya tetap juga rasa tidak tenang.

Tiba-tiba Mikael teringat bahawa Haura ada menyimpan nombor telefonnya di dalam telefon milik Mikael. Sepantas kilat di langit dia terus bangkit dari kerusinya lalu mencapai telefon bimbit yang sedang dicas di atas meja di sisi katilnya itu. Mikael meleret skrin telefonnya itu lalu mencari nama Haura di dalam senarai kenalannya. Jarinya terhenti meleret apabila melihat nama yang telah Haura simpan di telefonnya.

‘Si Cantik Haura’. Itulah nama yang telah Haura save di dalam telefon Mikael tempoh hari. Mikael sedikit terkejut dan dia juga hairan bagaimana dia boleh tidak sedar akan perkara itu.


“Apa benda yang minah tu save dalam telefon aku ni. Suka hati dia je.” Bebel Mikael perlahan. Namun tiba-tiba senyuman halus terukir di bibirnya. Dia menggelengkan kepalanya perlahan.


“Kejap! Perlu ke aku call dia sekarang? Dah lewat malam ni.” Bicara Mikael sendirian. Dia sebenarnya ingin bertanyakan khabar wanita itu. Akan tetapi dia ragu-ragu dengan kehendak hatinya itu.

Mikael mula mundar mandir di dalam biliknya. Dia sungguh tidak senang duduk pada ketika itu. Adakalanya dia duduk di birai katil kemudian kembali mundar mandir demi memikirkan sama ada di perlu ataupun tidak menghubungi Haura pada waktu itu. Sesekali dia memandang pada skrin telefon yang ada di tangannya.

Namun, akhirnya Mikael membatalkan niat itu setelah dia melihat jam di dinding sudah pun masuk pukul 1 pagi. Dengan lemau Mikael meletakkan kembali telefon itu di atas meja. Dia membuka laci meja tersebut untuk mengambil ubat tidur supaya dia boleh tidur dengan lena tanpa ada yang mengganggu fikirannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience