BAB 82

Drama Completed 919161

Encik Zamzuri baru sahaja usai menjamah juadah makan malam yang disediakan oleh isterinya. Puan Hafizah dilihat sedang mencuci pinggan mangkuk yang baru digunakan sebentar tadi.

Krang!

Tiba-tiba pinggan yang ingin diletakkan di atas rak terlepas dari tangan Puan Hafizah sehingga berkecai ke lantai.


"Astaghfirullah-hal-azim." Ucap Puan Hafizah sambil tangan diletakkan di dadanya. Dia berdiri kaku buat seketika.

Encik Zamzuri yang sedang menonton televisyen di ruang tamu terus bergegas menuju ke dapur untuk melihat apa yang telah berlaku.


"Bunyi apa yang pecah tu Zah?" Tanya Encik Zamzuri sambil berjalan. Matanya kemudian menangkap kaca yang berkecai di atas lantai.

Namun apabila dia melihat isterinya yang kaku itu dia segera memimpin wanita itu untuk duduk di kerusi yang berhampiran. Tanpa membuang masa dia segera mengambil surat khabar lama dari dalam laci kabinet lalu mengutip pinggan yang pecah itu. Satu persatu serpihan kaca diletakkan di atas surat khabar yang kemudiannya dibalut rapi sebelum dimasukkan ke dalam plastik sampah.

Puan Hafizah kemudian menghulurkan penyapu serta penyodok kepada suaminya itu. Encik Zamzuri menyapu sisa kaca yang halus sebelum mengelap lantai tersebut dengan kain basah bagi memastikan tiada kaca yang tersisa di lantai itu yang akhirnya akan memakan kaki mereka kemudian hari.


"Bang, kenapa tiba-tiba jantung Zah ni rasa berdebar semacam je." Tanya Puan Hafizah kepada suaminya. Dadanya juga mula terasa ketat. Dia mengusap lembut dadanya itu beberapa kali.


"Mungkin sebab awak terkejut pinggan ni jatuh tadi. Sebab tu awak rasa berdebar." Balas Encik Zamzuri.


"Zah risaulah bang. Hati saya ni berat duduk teringatkan anak sulung kita tu. Agaknya ada sesuatu yang dah menimpa anak kita tu bang." Ujar Puan Hafizah bernada risau. Encik Zamzuri berkerut.


"Ishh awak ni, tak payah nak mengarutlah. Haura tu bukannya budak kecil lagi. Pandailah dia jaga diri dia tu. Bukannya baru sehari dua dia duduk jauh dengan kita. Lagipun Mikael kan ada, jadi tak perlulah awak nak risau sangat." Balas suaminya itu. Puan Hafizah sekadar mengangguk. Namun jauh di sudut hatinya masih berasa gelisah memikirkan tentang anaknya itu.


"Kalau awak masih rasa tak sedap hati lagi apa kata awak call je anak awak tu terus. Daripada awak duduk fikir yang bukan-bukan macam ni." Tambahnya lagi. Encik Zamzuri yang melihat isterinya itu seperti tidak termakan dengan kata-katanya segera memberi cadangan.


"Tak naklah saya. Nanti saya ganggu dia kerja pula. Kalau betul ada sesuatu yang dah jadi pada dia mesti dia dah call kita kan. Tak pun mesti Mikael akan bagitahu kita awal-awal lagi." Balas Puan Hafizah.


"Pulak dah. Kerja apa malam-malam buta ni. Tadi bukan main lagi risau pasal anak awak tu. Tup tup sekarang ni bila saya suruh call, awak taknak pula. Rumitnya perangai orang perempuan." Ujar Encik Zamzuri nakal. Sempat juga dia menyakat isterinya itu. Dengan spontan Puan Hafizah mencubit lengan suaminya itu.

*****


"Assalamualaikum." Sapa Syahmi dan Soraya hampir serentak. Kehadiran mereka disambut mesra oleh Dato' Zubir dan juga Dazrin Ikhwan. Anaknya diserahkan kepada Dato' Zubir yang sudah rindu untuk bermain dengan cucu sulungnya itu.

Soraya segera mendapatkan ibunya yang sedang duduk di sofa. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam namun dibalas dingin oleh wanita itu. Begitu juga dengan Syahmi. Datin Noreen menjeling tajam ke arah menantunya itu.

Kehadiran mereka di rumah banglo ibubapanya itu kerana dipelawa oleh Dazrin. Lelaki itu memberitahu bahawa Dato' Zubir ingin bertemu dengan mereka berdua. Pada awalnya Soraya berasa berat hati apabila abangnya menghubunginya memberitahu tentang perkara tersebut.

Namun apabila lelaki itu memberitahu ibunya tidak membantah dia terus bersetuju. Jauh disudut hati Soraya berasa sangat gembira. Mungkin ibunya sudah mula terbuka hati untuk terima dirinya sekeluarga.

Mereka sekeluarga buat pertama kali menjamu juadah makan malam bersama-sama sejak Soraya dan Syahmi pulang ke Malaysia. Perasaan marah Datin Noreen yang selama ini menjadi penghalang untuk mereka melakukan perkara itu.


"Apa hubungan kau dengan Haura?"

Sedang mereka asyik menikmati makan malam, Datin Noreen secara tiba-tiba mengajukan soalan tersebut kepada Syahmi. Sungguh dingin nada yang digunakannya. Tiada secalit senyuman diwajahnya itu. Syahmi dan Soraya saling berpandangan. Begitu juga Dato' Zubir dan Dazrin.


"Soalan apa yang you tanya ni Reen? Tolong jangan rosakkan suasana dengan soalan mengarut you ni." Ujar Dato' Zubir tegas.


"Susah sangat ke nak jawab soalan aku ni? Atau kau ada benda yang nak sorok dari aku? Sekali lagi aku tanya, apa hubungan kau dengan perempuan tu?" Tanya Datin Noreen lagi. Pandangan Dazrin beralih kepada Syahmi yang sudah kelihatan tidak senang duduk.


"S-saya dengan dia kawan je. Tak lebih dari tu. Kenapa mummy tanya?"


"Kawan? Siap berpelukan dekat tempat awam kau cakap kawan? Kau ingat aku bodoh ke? Bini kau bolehlah kau nak perbodohkan." Balas Datin Noreen sinis. Dia segera bangkit dari kerusinya kemudian berlalu pergi ke biliknya.

Soraya segera memandang ke arah suaminya itu. Syahmi menggelengkan kepalanya berkali-kali. Dato' Zubir menghela keluh yang panjang.


"Cepat makan nanti sejuk pula lauk tu nanti. Pasal mummy kamu tu daddy minta maaf. Tak payah layan sangat dia tu." Ujar Dato' Zubir sambil matanya memandang ke arah anak menantunya itu. Dazrin memandang Syahmi dengan penuh tanda tanya.

Selesai makan malam mereka berempat duduk berbual di ruang tamu tanpa kehadiran Datin Noreen. Sejak ibu mertuanya itu bertanyakan soal hubungannya dengan Haura, Syahmi sudah mula berasa tidak selesa. Fikirannya benar-benar terganggu. Hatinya terasa sungguh berdebar.


"Apa maksud mummy aku tipu dia? Atau dia maksudkan hubungan silam aku dengan Haura. Tapi kenapa nak ungkit perihal yang dah lama berlaku." bisik Syahmi sendirian. Dia bingung memikirkan motif ibu mertuanya itu. Sesekali nafas berat dilepaskan perlahan.

Lebih kurang pukul 10.30 minit malam, Soraya dan Syahmi meminta diri untuk pulang memandangkan hari sudah semakin lewat. Setelah usai bersalaman dengan Dato' Zubir serta Dazrin mereka berdua mula ingin bergerak keluar.


"Tunggu dulu!" laung Datin Noreen dari tangga rumahnya itu. Langkah Syahmi dan Soraya serta-merta mati. Dia berpaling ke arah suara tersebut. Empat pasang mata kini tertumpu kepada Datin Noreen.

Dengan wajah yang bengis, Datin Noreen menuruni anak tangga dengan laju. Pandangan matanya terkunci pada Syahmi. Lelaki itu berasa sedikit gugup. Semakin dekat ibu mertuanya datang menghampiri semakin kuat degupan jantungnya.

Pang!

Satu tamparan hebat singgah dipipi Syahmi. Dia benar-benar tidak menjangkakam perkara itu. Semuanya berlaku dengan pantas sekali.


"Noreen! Mummy!" Ujar Dato' Zubir dan Soraya kuat. Kesemua mata yang memandang terbuntang luas menyaksikan kejadian itu. Mereka sangat terkejut dengan perbuatan Datin Noreen yang secara tiba-tiba itu. Soraya segera menarik lengan suaminya supaya jauh dari ibunya itu.


"You dah gila ke Noreen. You sedar tak apa yang you dah buat ni? Orang yang you lempang tu menantu you. Bapa kepada cucu you sendiri." Marah Dato' Zubir. Datin Noreen menjeling tajam ke arah suaminya itu.


"You diam! Tak payah nak berlagak hero dekat dalam rumah I ni." Tengking Datin Noreen kepada suaminya. Dazrin cuba untuk menenangkan ibunya itu namun tidak berjaya.

Datin Noreen kemudian melemparkan dengan kasar beberapa keping gambar ke muka anaknya, Soraya. Wanita itu berkerut apabila kepingan gambar tersebut singgah diwajahnya.


"Kau tengok sendiri apa yang suami kesayangan kau ni dah buat di belakang kau. You pun tengoklah Zubir perbuatan terkutuk menantu you tu." Ujar Datin Noreen kasar sambil tangan dilipatkan ke dada.

Soraya kemudian mengutip kepingan gambar tersebut. Matanya terbeliak melihat wajah orang yang sangat dikenalinya di dalam gambar tersebut. Dia mengamati setiap kepingan gambar tersebut. Dia melihat gambar itu serta wajah suaminya silih berganti. Mukanya perlahan-lahan berubah menjadi merah. Datin Noreen tersenyum sinis.


"Macam mana? Baru nak percaya apa yang aku cakap. Dari dulu lagi aku tak berkenan kau kahwin dengan jantan ni." Cemuh Datin Noreen. Nafas Soraya turun naik dengan laju. Dia seperti sedang menahan gelombang yang sedang melanda di hatinya.

Dato' Zubir kemudian mengambil gambar yang ada di tangan Soraya. Kini kepingan gambar tersebut telah bertukar tangan. Giliran Dato' Zubir pula menilik gambar tersebut. Dazrin turut melihat gambar itu bersama bapanya.


"Haura?" Perlahan nama itu keluar dari mulut Dazrin. Dia mengangkat wajahnya melihat Syahmi yang sedari tadi masih mengunci mulut.


"Macam mana Haura boleh ada dalam gambar ni mummy?" Tanya Dazrin ingin tahu.


"Kalau kamu nak tahu jantan tak guna ni secara diam-diam jalinkan hubungan dengan perempuan tu. Kalau dia orang tu sekadar berkawan takkan dia nak berpelukan dekat tempat awam macam tu." Jawab Datin Noreen sinis. Dato' Zubir memicit kepalanya yang mula terasa berdenyut.


"Jawablah kenapa kau diam. Sebab kau dah tak boleh nak kelentong lagi kan? Semua rahsia kau dah terbongkar sebab tu kau diam. Entah-entah budak yang dalam gambar tu anak haram mereka berdua. Aku jijiklah dengan orang macam kau ni." tambah Datin Noreen lagi.


"Stop it mummy! Dina dah tak sanggup nak dengar mummy hina suami Dina lagi." Balas Soraya lantang. Suaranya mula bergetar. Matanya juga sudah mula berkaca.


"Kau memang tak serik kan. Atau kau nak tunggu jantan ni ceraikan kau baru kau nak percaya kata-kata aku ni." Marah Datin Noreen.


"Budak yang mummy cakap anak haram Syahmi dan Haura tu anak Dina mummy. Takkan mummy tak kenal cucu mummy sendiri." Soraya meninggikan suaranya. Datin Noreen terkejut. Tidak pernah sekalipun anak perempuannya itu berani meninggikan suaranya kepadanya.

Kini airmata Soraya sudah tidak dapat dibendung lagi. Mutiara jernih mengalir laju di pipinya. Dia sungguh terkilan apabila ibunya sendiri melemparkan tomahan yang sebegitu kepada suaminya. Datin Noreen diam tidak berkutik.


"Tolong celik mata mummy tu luas-luas. Tengok balik gambar ni. Ya memang betul orang dalam gambar tu Syahmi dan Haura. Dina faham mummy marah bila tengok gambar tu sebab Dina anak mummy kan. Tapi kenapa mummy tak tanya kami dulu kesahihan gambar tu. Untuk pengetahuan mummy Dina pun ada bersama tapi kenapa hanya gambar Syahmi dah Haura je yang mereka ambil? Cuba mummy fikirkan." Luah Soraya panjang lebar.

Syahmi cuba menenangkan isterinya yang tidak ubah seperti gunung berapi yang meletus. Bertubi-tubi kata-kata dilemparkan buat ibunya itu. Airmata tidak berhenti mengalir dipipi wanita itu.


"Dina betul-betul kecewa dengan sikap mummy. Terlalu berat tomahan dan hinaan yang mummy dah lemparkan pada Syahmi. Dina bersumpah selagi mummy tidak berubah dan insaf dengan perbuatan mummy, Dina tak akan jejakkan kaki dekat rumah mummy ni. Dina tak akan benarkan mummy rapat dengan anak Dina yang mummy dah hina ni. Dina minta maaf." tambahnya lagi sebelum beredar meninggalkan Datin Noreen dalam keadaan yng kebingungan.

*****


"Awak esok Mona dah balik. Jadi bolehlah saya balik ke rumah saya semula kan?" Ujar Haura setelah kereta yang dipandu oleh Mikael berhenti di hadapan kondo milik lelaki itu.


"Oh yeke? Bukan kau cakap dia balik lusa ke?" Soal Mikael kembali.


"Sepatutnya memang dia balik lusa tapi kerja dia habis awal jadi dia balik awal la." Balas Haura. Mikael sekadar menganggukkan kepalanya.

Sejujurnya dia berasa agak berat hati untuk membiarkan wanita itu pulang semula ke rumah sewanya itu. Namun dia tidak mahu memberi paksaan kepada wanita itu.


"Lepas habis kerja esok aku tolong kau kemas barang." Mendengar jawapan dari Mikael itu Haura melepaskan tawa yang kecil. Lelaki itu berkerut pelik.


"Apahal kau ketawa pula ni?"


"Awak ingat saya bawa barang satu lori ke masuk dalam kondo awak ni. Barang saya sikit je." Balas Haura sambil tersenyum. Mikael menggaru kepalanya yang tidak berasa gatal itu.

Kemudian keadaan menjadi senyap untuk beberapa ketika. Haura ligat memikirkan cara untuk bertanya kepada lelaki itu mengenai jam yang dijumpai olehnya di dalam bilik stor lelaki itu. Sesekali dia mencuri pandang tunangnya yang sedang duduk disisinya.

Mikael pula terlalu asyik berfikir mengenai perkara yang diberitahu oleh Rissa kepada. Apa sejarah hubungan antara Haura dan juga Syahmi. Soalan itu bermain difikirannya berkali-kali.


"Awak saya nak minta maaf dengan awak." Tutur Haura secara tiba-tiba. Mikael sedikit terperanjat. Kenapa wanita itu tiba-tiba sahaja meminta maaf kepadanya. Adakah kerana dia turut diugut oleh Rissa sepertimana dia terkena.


"Eh dah kenapa tiba-tiba minta maaf ni. Ada buat salah ke?" Balas Mikael berseloroh. Haura mengangguk perlahan. Jantung Mikael berdetak dengan kencang sekali. Riak wajahnya jelas kelihatan cuak. Dia menelan air liur yang bagai tersekat dikerongkongnya.

"Sebenarnya saya dah pecah masuk dalam bilik stor dekat kondo awak tu. Saya tahu awak pernah larang saya sebab tu saya nak minta maaf. Saya dah langgar arahan awak." Ujar Haura satu persatu. Mendengar perkara itu Mikael menghela nafas lega. Segala keresahan diwajahnya mula hilang. Senyum nipis terukir dibibirnya.


"Pasal tu ke? Aku ingatkan pasal apa la tadi. Kau ni buat aku risau je tau."


"Kenapa? Awak ingat saya minta maaf sebab apa?" Tanya Haura. Namun Mikael tidak menjawab pertanyaan tersebut. Dia sekadar menggelengkan kepalanya.


"Saya ada benda nak tanya pada awak. Dah banyak hari benda ni ganggu fikiran saya. Hati saya tak tenang selagi saya tak dengar jawapan dari awak."


"Macam serius je ni. Kau nak tanya apa?" Balas Mikael. Wajah risaunya mula terpancar kembali.

Tanpa bersuara Haura membuka beg tangannya. Dia menggagau sesuatu di dalam beg tangan tersebut. Setelah itu seutas jam tangan berwarna silver dikeluarkan. Haura menghulurkannya kepada Mikael. Lelaki itu berkerut seraya mengambil jam tersebut.


"Jam siapa ni?" Soal Mikael selamba. Haura pula berkerut apabila lelaki itu bertanya kepadanya. Bagaimana Mikael boleh tidak tahu sedangkan jam itu ada dalam simpanannya.


"Cuba awak tengok betul-betul. Jam tu saya jumpa dalam salah satu kotak di bilik stor awak tau." Ujar Haura.


"Hah? Kau jumpa dekat dalam stor?" Soal Mikael kembali. Haura mengangguk laju.


"Saya nak tanya dekat mana awak dapat jam ni." Tanya Haura sedikit perlahan. Suaranya juga tenggelam timbul. Mikael merenung wajah Haura lama. Kenapa wanita itu tiba-tiba bertanyakan perihal jam tersebut.


"Kenapa dengan jam ni? Apa kaitan dia dengan jam ni?" Bisik Mikael di dalam hati. Dia mula menilik setiap sudut jam yang masih kelihatan baru itu.

Tiba-tiba matanya ternampak satu ukiran di bahagian bawah jam tersebut. Dahinya makin berkerut. Sesekali dia melirik ke arah Haura yang sedang merenung ke arahnya menantikan jawapan.


"SH FOREVER? Siapa pula SH ni?" Bisik Mikael di dalam hati. Jauh dia berfikir milik siapa jam tersebut. Entah bagaimana tiba-tiba dia teringatkan gambar yang ditunjukkan oleh Rissa kepadanya.


"Syahmi... Haura.... SH FOREVER."

Nama itu terbit di benak fikirannya. Serentak dengan itu Mikael segera menoleh ke arah Haura dengan riak yang sedikit terkejut.


"Ni jam kau ke?" Tanya Mikael pendek. Nadanya kedengaran agak serius. Haura terkesiap.

Perlahan-lahan Haura menganggukkan kepalanya. Riak Mikael bertukar kelat. Itu bermakna apa yang dikatakan oleh Rissa semuanya benar. Haura dan Syahmi pernah menjalinkan hubungan cinta. Hatinya sedikit kecewa dengan berita itu.


"Jam ni saya nak hadiahkan pada seseorang tapi tak jadi. Saya ingatkan jam ni dah hilang. Tak sangka pula ada dalam simpanan awak. Macam mana jam ni boleh ada dengan awak?"


"Aku jumpa dekat lantai hotel. Aku ambil sebab nak bagi dekat kaunter customer service tapi aku lupa. Mungkin sebab tu la aku terbawa balik jam ni." Balas Mikael mendatar. Haura menganggukkan kepalanya.


"Tengok dari jam ni bukan jam biasa. Siap ada ukiran khas. Kau tempah untuk siapa?" Tanya Mikael memancing Haura untuk bercerita tentang kisahnya.

Namun sepantas kilat wanita itu menggelengkan kepalanya. Dia mengatakan bahawa semua itu telah menjadi masa lalunya dan sudah tidak mahu untuk diperkatakan semula. Dia juga menyuruh Mikael untuk membuang jam tersebut supaya tidak kelihatan lagi di pandangan matanya.

Mikael merenung wajah Haura yang sedang bersiap untuk keluar dari kereta beberapa ketika. Fikirannya agak berserabut pada ketika itu. Terlalu banyak perkara yang sedang difikirkannya. Mikael memejamkan matanya buat seketika. Nafas dalam ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan.

Disaat wanita itu ingin membuka pintu kereta Mikael segera menyambar tangan kanan Haura membuatkan wanita itu sedikit terperanjat. Dia berpaling melihat ke arah Mikael yang sedang menatap wajahnya.


"M-Mika awak okay ke ni?" Tanya Haura berbaur risau.

Mikael menarik kedua belah tangan Haura lalu digenggam erat. Tiada kata yang terungkap dari mulut Mikael pada ketika itu. Pandangannya yang mendalam pada Haura membuatkan jantung wanita itu berdegup dengan kencang sekali. Air liur ditelan.


"Haura, jom kita kahwin." Tutur Mikael pendek. Mata Haura terbuntang luas dengan apa ya g diperkatakan oleh tunangnya itu. Beberapa saat selepas itu senyuman lebar terukir di wajahnya. Dia juga melepaskan tawa yang kecil.


"Abang Luth Mikael. Eh abang ke? Whatever. Saya ni tunang awak tau. Kita memang dah nak kahwin pun. Awak ni ajak saya kahwin macam awak tak pernah lamar saya pula. Roh apa yang dah hasut awak ni?" Balas Haura sambil tersenyum nakal. Namun wajah Mikael masih kekal serius.


"Maksud aku sekarang. Apa kata kita kahwin sekarang."

Hampir sahaja Haura tersedak air liurnya sendiri mendengar kata-kata lelaki itu. Matanya terbeliak memandang Mikael. Haura terkebil-kebil. Tiada kata yang mampu dia ungkapkan pada ketika itu.


"A-awak dah gila ke? Awak ingat perihal kahwin ni boleh buat sesuka hati ke? Kita kan dah tempah semua ikut tarikh yang dah ditetapkan. Takkan tiba-tiba nak ubah pula." Balas Haura.


"Ala akad nikah ni kita buat biasa-biasa dah la janji sah. Nanti sanding kita ikutlah tarikh asal tu. Kita percepatkam tarikh nikah je. Nak tak?" Tanya Mikael lagi.


"Saya nak kena bagitahu ayah dengan ibu dulu."


"Dia orang mesti setuju punya. Kalau macam tu kita nikah hari jumaat minggu depan. Pasal family kita kau tak payah risau nanti aku akan jumpa ibu dengan ayah kau untuk explain semuanya pada mereka."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience