BAB 36

Drama Completed 919566

“Kau dah gila ke?” memetir suara Datin Noreen disebalik telefon. Suri hanya mendiamkan diri.

Datin Noreen sungguh berang dengan tindakan Suri yang telah memotong wayar brek pada kereta Haura. Dia tidak menyangka perempuan itu sanggup melakukan perkara yang sedemikian.

“Aku suruh kau singkirkan dia dari Khazzan Group bukannya minta kau bunuh dia!” marahnya lagi.

“Ya datin, saya tahu. Mungkin saya terlalu mengikut kata hati saya sehingga saya nekad untuk bertindak sedemikian. Tapi itu bukan niat saya yang sebenar.” Balas Suri cuba membela diri.

“Bukan niat kau cakap? Hey! Kau sedar tak yang kau tu dah sabotaj kereta dia, sekarang kau cakap kau tak ada niat pulak.”Datin Noreen tertawa sinis dengan kenyataan Suri itu.

“Tak! Apa masalah datin sekarang ni. Datin nak saya uruskan perempuan tu dengan cara saya sendiri. Tapi bila saya dah buat datin nak melenting pulak. Apa yang datin nak sebenarnya?” Suri mula menjawab. Dia sudah mula bengang apabila kesalahan diletakkan di atas kepalanya.

“Bila aku cakap singkirkan perempuan tu dari syarikat aku bermakna aku nak kau bagi tekanan pada dia supaya dia berhenti kerja ataupun diberhentikan. Bukannya terus lenyapkan dia dari muka bumi ni.” Bidas Datin Noreen.

“Datin ingat senang-senang je ke perempuan tu nak keluar dari syarikat tu. Dari segenap sudut ada orang yang backup dia termasuklah anak datin yang dah gila bayang dengan perempuan tu.” Jawab Suri sedikit kasar. Datin Noreen tersentak dengan kata-kata dari Suri itu.

Adakah benar apa yang orang duduk perkatakan tentang Dazrin. Anaknya itu yang terhegeh-hegeh mengejar Haura. Tetapi Datin Noreen tidak mempercayainya. Dia yakin Dazrin bukan lelaki yang sebegitu dan sentiasa menjaga nama baiknya.

“Untuk pengetahuan kau, bukan aku yang cari kau tau. Tapi kau sendiri yang terhegeh-hegeh offer diri kau tu pada aku. Dan kau jugak yang beri cadangan pada aku untuk singkirkan perempuan tu. Ke kau dah lupa? ” Balas Datin Noreen sinis.

Dia sedar yang kini dia sedang berdepan dengan seseorang yang sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak dirinya sendiri.

“Pandailah saya ikhtiarkan cara untuk singkirkan perempuan tu. Datin tak payah masuk campur.” Balas Suri kasar.

“Kau tak nak aku masuk campur? Tapi tindakan kau tu sangat bodoh, kau tahu tak?” balas Datin Noreen pedas.

“Saya tahu apa yang saya buat. Datin tak payah nak ajar saya melainkan datin nak turun padang dan buat sendiri benda tu.” Bidas Suri kembali. Datin Noreen terkedu.

“By the way, payment saya jangan lupa. Dah berapa hari datin tangguh untuk jumpa saya. Sematkan dalam minda datin, saya buat benda ni bukannya percuma.” Balas Suri sebelum dia mengakhiri perbualan tersebut.

Niat Suri untuk memberitahu Datin Noreen tentang percubaan pertamanya itu bertukar menjadi perbalahan kecil antara dia dan juga wanita itu. Hati Suri berasa panas apabila teringatkan kata-kata Datin Noreen itu. Dia mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil.

*****

Haura telah menyibukkan dirinya dengan timbunan kerja di pejabat. Meskipun kini dia hanya sekadar membantu Naimah melakukan kerja-kerja di pejabat namun dia tetap menyibukkan dirinya dengan membantu pekerja lain. Dia sedaya upaya melakukan hal itu demi menghilangkan fokusnya pada kejadian semalam. Dia tidak mahu masalah peribadinya itu mengganggu prestasi kerja.

Dazrin yang melihat perubahan Haura itu berada sedikit hairan. Dia cuba bertanya hal tersebut kepada Juita yang sedang berdiri berdekatan dengannya.

“Awak nampak tak apa yang saya nampak?” soal Dazrin tanpa memandang Juita. Matanya tetap menatap Haura yang sedang ke hulu ke hilir di dalam pejabat.

“Sangat nampak encik. Lain betul perangai dia hari ni.” Balas Juita.

“Kan! Maknanya bukan saya sorang ajelah yang perasan benda tu. Awak tahu tak sebab apa?” tanya Dazrin lagi.

“Saya pun tak pasti. Tapi hari ni Haura datang awal dari biasa. Masa saya sampai tadi dia sudah tercongok di kerusinya. Dia juga nampak macam muram je.” Ujar Juita panjang lebar. Dia sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja sikap Haura sedikit berubah. Dazrin sekadar mendiamkan diri.

“Mungkin dia tengah ada masalah kot. Lagipun dia mana nak cerita masalah dia dengan orang lain.” Tambah Juita lagi. Kali ini Dazrin mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat Juita itu.

“Tak apalah, kita tengok dulu macam mana. Harap-harap sekejap lagi dia okaylah.” Ujar Dazrin sebelum kembali ke biliknya.

Mikael yang berada tidak jauh dari Dazrin dan Juita mencuri dengar perbualan itu di dalam diam. Matanya beralih kepada Haura. Hatinya kembali rasa tidak senang melihat keadaan Haura itu.

Ternyata bukan hanya mereka bertiga yang sedang memerhatikan Haura. Suri juga turut memerhatikan gerak geri wanita itu dengan penuh rasa hasad di dada. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat Mikael yang sedang memerhatikan Haura dalam diam. Dia tidak boleh berfikir dengan waras apabila memikirkan lelaki itu akan jatuh ke tangan Haura.

Menjelang waktu makan tengah hari, Dazrin telah cuba untuk mempelawa Haura untuk keluar makan tengah hari dengannya.

“Busy ke tu?” tanya Dazrin. Haura tersentak.

“Amboi jauh betul mengelamun sampai macam tu sekali awak terkejut.” Tambah Dazrin lagi berseloroh.

“Eh, Encik Dazrin. Maaf saya tak perasan yang encik ada dekat situ.” Balas Haura sambil tersenyum tawar. Dia kemudian membetulkan kedudukannya.

“Saya tengok awak hari ni nampak lain sangat. Awak ada masalah ke?” tanya Dazrin dengan tiba-tiba. Mata Haura terbuntang.

“Eh, saya okay je encik. Tak ada apa-apa masalah pun. Mungkin saya terlalu penat kot, tak cukup rehat.”balas Haura laju. Sedaya upaya dia menafikan hal tersebut.

“Jangan terlalu paksa diri. Risau kalau jadi apa-apa pada awak nanti. Take your time, okay.”balas Dazrin lembut. Kata-kata Dazrin itu telah me jentik satu rasa ke dalam hati Haura. Dia sekadar tersenyum.

“By the way, awak free tak tengah hari ni? Jom kita lunch sama-sama.” Pelawa Dazrin untuk kesekian kalinya. Haura menarik nafas yang dalam sebelum menjawab pelawaan itu.

Setelah apa yang terjadi ke atas dirinya setiap kali dia cuba akrab dengan Dazrin, telah memberinya bayangan bahawa Datin Noreen mempunyai mata-mata di dalam pejabat itu. Namun dia tidak tahu siapakah gerangan orang tersebut. Hal itu sedikit sebanyak menyebabkan dia ingin menjauhkan diri dari lelaki itu jika bukan atas urusan kerja.

Tetapi pada masa yang sama dia tidak mahu melukakan hati Dazrin yang dilihat sungguh ikhlas ingin berkawan dengannya. Tambahan pula Dazrin melayannya dengan sangat baik. Dia juga banyak memberi tunjuk ajar serta membantu Haura sejak hari pertama dia bekerja di situ.

“Okay.” Balas Haura pendek. Dia akhirnya menerima pelawaan dari Dazrin itu. Wajah Dazrin sungguh berseri-seri mendengar jawapan tersebut.

“Orait. Jumpa waktu lunch nanti.” Balas Dazrin sebelum pergi meninggalkan Haura sendirian.

Haura kemudian membongkokkan sedikit tubuhnya lalu membuka laci. Dia mengeluarkan sebuah beg ajaibnya yang sentiasa ada di mana-mana. Dia membelek beg tersebut lalu mengeluarkan dua biji ubat tahan muntah. Setelah itu dia bingkas bangun dan berjalan menuju ke pantri.

Haura mencapai gelas yang tersedia di dalam kabinet lalu menekan punat air sejuk Coway. Sesekali dia menilik wajahnya yang terpantul pada dinding pantri itu.

“Nampak sangat ke sembab dekat muka aku ni? Rasa macam dah cover habis dengan makeup.” Bisik hati kecilnya.

Haura kemudian memasukkan dua biji ubat tersebut ke dalam mulut. Diteguknya perlahan segelas air yang berada ditangannya itu. Setelah itu dia menghela keluh yang lemah. Dia memejamkan matanya buat seketika sebelum memasang sebuah senyuman pada wajahnya.

Tiba-tiba Suri berjalan masuk ke dalam pantri. Dia menjeling tajam ke arah Haura sambil berjalan menuju ke mesin kopi. Haura segera ke sinki untuk membasuh gelas ditangannya.

“Bukan main seronok lagi aku tengok kau ni, sampai tersenyum sorang-sorang.” Tiba-tiba Suri bersuara menyebabkan gerak Haura terhenti buat seketika.

Haura mengeluh namun dia tidak membalas kata-kata Suri itu. Dengan cepat dia mencuci gelas itu lalu diletakkan di atas rak yang berhampiran. Haura segera membuka langkah untuk meninggalkan pantri dan kembali ke pejabat. Namun Suri seperti sudah dapat membaca perkara itu. Dengan cepat dia telah menyambar tangan Haura untuk menghalangnya dari keluar.

“Apa ni Suri! Lepaslah!” Haura cuba menarik tangannya dari genggaman Suri.

“Kenapa? Kau nak lari daripada aku?” balas Suri sinis.

“Tolonglah, aku tak ada mood nak gaduh dengan kau sekarang ni. Jangan serabutkan fikiran aku lagi.”

“Eh, lantaklah kau nak serabut ke apa ke. Bukan masalah aku.” Balas Suri kasar sambil tangannya mencengkam kuat pada tangan kanan Haura. Wajah Haura ditatap dengan tajam.

“Sakitlah Suri. Apa yang kau buat ni.” Haura mengaduh kesakitan. Dia meronta-ronta untuk meloloskan dirinya. Dia cuba untuk merendahkan suaranya supaya tidak di dengari oleh orang lain.

“Oh sakit? Habis tu sakit yang aku rasa ni macam mana pulak?” marah Suri. Haura menjeling ke arah Suri. Kuku Suri makin dalam terbenam ke dalam kulit Haura. Perlahan-lahan Suri merapatkan wajahnya ke telinga Haura.

“Kau ingat ye Haura, ni baru sikit tau. Lagi sekali kau cari pasal dengan aku, siap kau!” ugut Suri. Dia kemudian melepaskan tangan Haura dengan kuat sehingga terkena pada bucu meja. Senyuman sinis terukir diwajahnya.

“Aduh!” dengan cepat Haura memegang tangannya yang sakit bukan kepalang itu.

Tiba-tiba pintu pantri terbuka luas. Kelihatan Juita sedang berdiri di depan pintu sambil memandang ke arah mereka berdua. Dia memandang Haura dan Suri silih berganti.

“Ingat kata-kata aku tu.” Tutur Suri sebelum dia melangkah keluar. Sempat dia melemparkan jelingan yang tajam kepada Juita. Juita segera mendapatkan Haura yang seperti dalam kesakitan itu.

*****

Hari yang dinantikan sudah pun tiba. Majlis kesyukuran sempena hari kelahiran Puan Sri Normah berlangsung dengan penuh meriah. Majlis tersebut dihadiri oleh ramai kenalan rapat Puan Sri Normah serta kaum kerabatnya. Lebih berseri dengan kehadiran anak-anak yatim dari dua buah pusat kebajikan yang ditaja oleh Puan Sri Normah sendiri. Semua tetamu sedang menikmati jamuan yang disediakan.

Haura berdiri di suatu sudut sambil matanya melilau mencari seseorang. Dia kemudian berjalan menuju ke arah meja yang menghidang pemanis mulut dan air. Jus tembikai menjadi pilihannya dikala cuaca yang panas terik. Diteguknya laju air tersebut membasahkan tekaknya yang sudah mulai kering.

“Ish… Mana pula Mona ni pergi. Pantang lepa sikit terus menghilang.” Bisik Haura sendirian. Dia sengaja membawa Mona sekali kerana keretanya masih lagi berada di bengkel.

Tiba-tiba Haura terasa bajunya seperti ditarik. Dia menoleh kebelakang dan melihat dua orang kanak-kanak sedang berdiri di belakangnya. Air wajahnya bertukar menjadi lembut.

“Kenapa ni? Adik nak apa?” tutur Haura lembut. Dia melutut merendahkan dirinya sambil kedua tangannya mengusap lembut bahu kanak-kanak itu.

“Acik, nak kek tu.” Balas salah seorang kanak-kanak tersebut sambil jarinya dituding pada kek coklat indulgence yang ada di atas meja.

Belum Haura sempat membalas permintaan tersebut dia terdengar ada suara yang sedang tertawa kecil. Haura berpaling ternyata orang itu adalah Luth Mikael yang sedang mentertawakannya. Haura mencebik sambil menjeling tajam.

“Apahal gelak-gelakkan orang. Tak puas hati?” Soal Haura geram.

“Eh makcik jangan nak perasan ya. Tak ada masa la aku nak gelakkan kau. Baik aku gelakkan tupai yang nak melompat tapi tak lepas tu.” Balas Mikael selamba. Beberapa saat kemudian dia tertawa kembali.

“Dah tu kenapa gelak sorang-sorang. Mental eh?” soal Haura lagi. Dia cukup geram dengan perangai Mikael yang seperti sedang mempersendakannya.

“Salah ke aku gelakkan benda yang bermain dalam fikiran aku ni. Tak kacau kau pun.” Mikael menjawab mempertahankan dirinya.

“Kalau macam tu awak gelaklah dalam hati dan fikiran juga.” Dengan nada sinis Haura membalas lalu mengalihkan semula perhatiannya kepada kanak-kanak tadi.

“Oh, adik nak kek ya? Kejap akak ambilkan.” Ujar Haura. Nadanya terus bertukar apabila berbicara dengan kanak-kanak itu. Dia bingkas bangun lalu mengambil pinggan plastik dan segera memotong kek coklat tersebut.

“Nah satu untuk awak dan satu untuk awak. Lepas tu cakap apa?” soal Haura seperti guru tadika yang sedang mengajar di sekolah.

“Terima kasih acik.” Balas kanak-kanak tersebut kemudian berlari pergi dari situ.

“Acik? Tua sangat ke rupa aku ni? Bertuah betul.” Secara spontan ayat itu terkeluar dari mulut Haura.

“Budak-budak tak reti menipu tau.” Sampuk Mikael secara tiba-tiba. Haura mengerutkan muka. Dia terlupa lelaki itu ada berdekatan dengannya.

“Diamlah. Minum air tu puas-puas biar sampai kembung.” Bidas Haura tanpa berselindung. Dia kembali mencari kelibat kawannya itu namun masih tidak kelihatan.

“Tangan tu kenapa?” tanya Mikael. Dia perasan Haura asyik memegang tangan kanannya itu.

“Tak ada apa.” Jawab Haura malas.

Tidak lama kemudian sekumpulan kanak-kanak berlari berkerumun ke arah Haura.

“Eh kenapa berlari ni bahaya tau.” Tegur Haura.

“Acik saya nak kek lagi.” Kanak-kanak tadi datang kembali. Kali ini dia membawa satu rombongan untuk memakan kek.

“Saya nak juga.” “Saya pun.” Jerit beberapa orang kanak-kanak yang lain.

“Nak kek rupanya, ingatkan kenapalah tadi. Okay tunggu sekejap.” balas Haura sambil tersenyum.

Dia mengambil pinggan plastik dan sambung memotong kek tersebut untuk di agihkan kepada kanak-kanak yang ada di situ. Tangan Haura perlahan-lahan mulai menggigil dan dia berkerut menahan kesakitan. Mikael yang sedari tadi memerhatikan gerak geri Haura segera merampas pisau kek dan pinggan di tangan wanita itu.

“Dah, kau ke tepi sikit. Slow sangat kau buat kerja. Kesian budak-budak ni tunggu lama. Boleh kebulur dia orang ni.” Tutur Mikael sambil menolak Haura ke tepi dengan tubuhnya.

“Hek eleh mamat ni, berlagak betul. Macamlah dia tu bagus sangat.” Bisik hati Haura. Dia memandang Mikael dengan wajah yang tidak puas hati. Mikael mengagihkan kek tersebut satu per satu dengan sempurna.

“Siapa lagi yang tak dapat kek? Semua dah dapat?” tanya Mikael kepada sekumpulan kanak-kanak tersebut.

“Dah.. Terima kasih abang.” Ucap kanak-kanak tersebut kemudian berlalu pergi.

Mikael tersenyum melihat gelagat kanak-kanak yang beraneka ragam itu. Dia meletakkan semula pisau kek di atas meja dan terpandang ke arah Haura yang sedang merenung tajam ke arahnya. Dia tersenyum nipis. Kemudian dia mengalihkan pandangan matanya pada tangan Haura.

“Makcik, tangan tu kalau luka pergi sapu ubat. Kalau sakit teruk pergi ajelah jumpa doktor. Tak kan itu pun nak kena bagitahu.” Ujar Mikael sebelum dia sambung meneguk air mangga miliknya.

Haura agak terkejut. Dia tidak menyangka yang Mikael tahu tangannya tercedera. Dia cepat-cepat menyorokkan tangannya itu ke belakang.

“Eiii… Menyibuk betullah dia ni.” Rungut Haura dalam hati. Kadang-kadang kelakuan Mikael itu memang bikin hatinya geram.

“Tahulah.” Balas Haura mendatar.

“Haura!” sapa Mona. Dia tiba dengan mengejut itu telah memeranjatkan Haura.

“Mona! Mana kau menghilang hah? Jenuh aku cari kau tau.” Marah Haura kepada Mona. Gara-gara dia mencari Mona lah dia telah terserempak dengan Mikael.

“Aku pergi dekat kereta kejap. Eh Mikael pun ada? Korang berdua tengah borak pasal apa?” tanya Mona apabila melihat Mikael berada berdekatan dengannya.

“Tak ada borak apa pun. Ralit duduk tengok tupai melompat. Okaylah aku gerak dulu ya makcik.” Balas Mikael sarkastik sebelum meninggalkan mereka berdua. Mona tercengang. Dengan selamba Haura mengangkat penumbuk acah nak memukul Mikael.

“Suka hati tok nenek dia je panggil aku makcik.” Marah Haura.

“Kira okaylah tu dia panggil kau makcik. Kalau aku, panggil mak nenek terus. Lagi ngam dengan kau.” Sakat Mona sambil tertawa.

“Ishh.. kau ni Mona. Dahlah jom kita makan. Aku dah hampir kebulur ni tunggu kau.” Balas Haura sambil menolak lembut belakang Mona.

i'ols dan typo berpisah tiada. harap dimaafkan ye. selamat membaca <3

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience