BAB 100

Drama Completed 919597

Tiga bulan kemudian.

Datin Norlie sekeluarga sedang sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan yang akan berlangsung tidak lama lagi. Akhirnya impian untuk melihat anak lelakinya itu berkahwin tercapai jua.

Rissa Ariana pula telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Sophia 6 tahun yang lalu. Selepas kejadian di gudang tempoh hari, hampir tiga minggu Mikael tidak sedarkan diri. Sepanjang tempoh itu Haura sentiasa ada di sisinya. Lebih-lebih lagi apabila doktor memberitahu kemungkinan untuk dia sedarkan diri sangat tipis kerana lelaki itu bagaikan tidak mahu untuk bangun dari lena. Dia seolah-olah tidak melawan untuk sedarkan diri.

Sehelai tuala kecil serta satu jeluk air diletakkan di atas meja di sisi katil. Sudah menjadi rutin harian Datin Norlie untuk "memandikan" anaknya itu. Haura juga hampir setiap hari akan menemani Mikael serta berbual-bual dengannya. Dia yakin lelaki itu dapat mendengarnya meskipun dalam keadaan yang sedemikian.

Tidak lekang senyuman dari bibirnya tatkala mengimbau kembali segala kenangan manis mereka berdua. Ada ketika matanya berkaca kerana terlalu rindu jejaka itu. Datin Norlie yang melihat kesungguhan serta keikhlasan wanita itu turut berasa sebak dan terharu. Tidak henti dia memohon doa kepada yang Maha Esa supaya kurniakan kebahagian buat dua insan tersebut.

Berkat kesabaran mereka akhirnya membuahkan hasil. Mikael sudah mula menunjukkan tindak balas yang positif. Dua hari kemudian dia sudah mula membuka mata dan sedar sepenuhnya. Cuma badannya masih tidak cukup gagah untuk bergerak .

Usai sahaja mendapat berita tersebut Haura terus bergegas ke hospital. Tidak putus lafaz syukur keluar dari mulutnya. Betapa teruja dan gembiranya dia untuk bersua kembali dengan lelaki itu.

Namun kegembiraan mereka itu tidak kekal lama kerana sikap Mikael yang telah berubah 180°. Dia seolah-olah tidak selesa dengan kehadiran wanita itu tetapi Haura tidak mudah berputus asa. Hari-hari wajahnya akan terpampang di situ untuk membantu Datin Norlie dalam menguruskan Mikael. Sehinggalah suatu hari lelaki itu meluahkan isi hatinya.

"Maaf, aku tak dapat tunaikan janji aku untuk sarungkan cincin ni di jari manis kau. Carilah lelaki lain yang lebih layak dan lebih menghargai kau. Lepas ni tolong jangan jumpa aku lagi."

Tutur Mikael mendatar tanpa reaksi. Haura tergamam seketika. Tangan Mikael cuba dicapai namun ditepis lembut oleh lelaki itu.

"T-tapi kenapa?" Soal Haura sebak.

"Aku dah ingat semuanya pasal kau. Dan aku masih tak dapat lupakan..." Mikael mengetap bibir. Dia tidak mampu untuk menghabiskan kata-katanya.

"Aku harap kau faham. Lagipun hubungan kita sememangnya sudah berakhir." Tambahnya lagi.

Tanpa sebarang suara Haura bingkas bangun lalu melangkah keluar. Hatinya benar-benar terguris. Dikesat airmata yang mengalir laju di pipinya. Beberapa ketika kemudian Datin Norlie pula melangkah masuk bertemu mata dengan lelaki itu.

"Mana Haura?" Tanya Datin Norlie pelik. Baru sebentar rasanya dia meninggalkan mereka berdua. Namun tiada sebarang jawapan dari anak lelakinya itu.

*****

Kereta yang dipandu oleh Pak Wahid tiba diperkarangan rumah Puan Sri Normah. Hampir kesemua ahli keluarga sedang menantikan kepulangan Mikael yang baru sahaja keluar dari hospital. Baru dua minggu sedarkan diri dia sudah meminta untuk pulang ke rumah. Bukan main marah lagi Datin Norlie dengan sikap anaknya itu.

Luka bekas tembakan di dadanya masih belum sembuh sepenuhnya. Kecederaan di kepalanya akibat kemalangan yang terdahulu masih dalam rawatan. Tetapi dia sudah berkeras untuk pulang. Naik pening kepala ibunya itu. Namun setelah berbincang dengan doktor yang merawatnya akhirnya Mikael dibenarkan untuk pulang.

Haura yang turut ada bersama pada hari itu disambut mesra oleh keluarga Mikael terutamanya Puan Sri Normah sendiri. Tetapi ada seorang sahaja  yang tidak senang dengan perkara itu. Tiada secalit senyuman yang terukir diwajahnya. Siapa lagi kalau bukan Mikael sendiri.

Dia menyangkakan selepas menyakiti hati wanita itu dia tidak akan datang menemuinya lagi. Namun tanggapannya itu salah sama sekali. Tingkah laku Haura sangat selamba seperti tiada apa yang pernah terjadi di antara mereka berdua. Dia melayan serta menguruskan Mikael seperti kebiasaannya.

"Kenapa kau masih ada dekat sini. Bukan ke aku dah cakap hari tu jangan datang jumpa aku lagi." Bisik Mikael kasar sambil matanya melilau melihat sekeliling. Giginya diketap kuat.

Haura yang berada disisi tidak menghiraukannya. Seolah-olah lelaki itu tidak wujud di situ. Hati Mikael bertambah panas. Baru sahaja dia ingin membalas Soraya dan Khayla datang menyertai mereka berdua di ruang tamu. Serta-merta air muka Haura yang keruh berseri kembali. Mikael mengetap bibir.

Sedang mereka sekeluarga asyik berbual tiba-tiba topik mengenai pernikahan Haura dan Mikael menjadi sebutan. Puan Sri Normah mengutarakan hasratnya untuk menikahkan mereka berdua secepat yang mungkin. Namun jawapan yang dia terima dari pasangan tersebut agak mengejutkan.

"Tak! Tak boleh!" Ujar Mikael dan Haura serentak. Pantas Mikael berpaling ke arah wanita itu namun tidak berbalas. Sejujurnya dia agak terkejut apabila Haura menidakkan perkara itu dengan keras sekali.

Semua mata kini tertumpu kepada mereka berdua. Mikael dah Haura memandang setiap wajah yang ada di situ silih berganti sepintas lalu. Datin Norlie mula merenung tajam ke arah mereka berdua. Sejak anak lelakinya itu sedarkan diri dia sudah merasakan ada sesuatu tmyang tidak kena.

"Ada apa-apa yang mama tak tahu ke?" Soal Datin Norlie serius. Suasana jeda buat seketika. Mikael dan Haura saling berbalas pandang. Tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulut mereka berdua.

"Mika, Haura, ada sesuatu yang kamu nak bagitahu nenek?" Giliran Puan Sri Normah pula bersuara. Mereka berdua masih diam membisu.

"Aunty tak fahamlah dengan kamu berdua ni. Sebelum ni bukan main lagi bermati-matian pertahankan hubungan tu. Cinta sejatilah kononnya. Tapi sekarang bila kami semua nak satukan kamu berdua ini pula jawapannya. Kalau beginilah perangai kamu sampai ke sudah kamu berdua ni tak akan kahwin."

Agak pedas kata-kata yang dilontarkan oleh Datin Noreen. Mikael terkedu. Dia mula rasa serba-salah lebih-lebih lagi apabila melihat Haura yang kelihatan sangat gelisah. Tidak mahu terus menjadi patung cendana Mikael akhirnya nekad untuk memberitahu perkara yang sebenar. Namun belum sempat dia membuka mulut Haura terlebih dahulu memintas.

"Se-sebenarnya ada sesuatu yang saya nak bagitahu. Tapi sebelum tu saya nak minta maaf kalau apa yang bakal saya sampaikan ni akan mengguriskan hati kalian."

Ujar Haura sebelum berhenti seketika. Nafas yang dalam ditarik sebelum dihembuskan perlahan. Mikael sekadar menunduk. Entah kenapa ada satu rasa yang kurang senang di dalam hatinya ketika itu. Bukankah itu yang dia mahukan. Haura kemudian mengambil sesuatu dari beg tangannya lalu diletakkan di atas meja kopi.

"In sha Allah bulan depan saya akan berkahwin. Ini kad jemputannya."

Sepantas kilat yang menyabung Mikael memandang Haura dengan mata yang membulat. Dia benar-benar terkejut dengan berita tersebut. Hatinya seolah-olah gugur ke lantai lalu berkecai. Tiada kata yang mampu diungkapkan pada saat itu. Sedih? Kecewa? Semuanya mula menyelubungi hati tetapi dia tiada kuasa untuk membantah kerana dia sendiri yang menolak wanita itu jauh dari dirinya.

Sampul yang mengandungi kad jemputan diambil oleh Datin Norlie lalu diserahkan kepada ibunya. Puan Sri Normah meneliti isi kandung kad tersebut. Wajah Mikael dah Haura dipandang silih berganti. Terbit riak kecewa diwajahnya.

*****
Mikael duduk sendirian di dalam kamarnya. Sungguh ralit dia melihat sesuatu yang terpapar di skrin telefon pintarnya itu. Satu persatu gambar kenangan bersama Haura ditatap. Sesekali senyuman nipis terukir di bibir apabila hanyut dibuai memori masa lalu.

"Stop it Mika! Kau buka galeri ni bukan untuk mengimbau kenangan tapi untuk hapuskan semua tu." Desis hatinya keras. Pipinya ditampar lembut.

Ya, dia sebenarnya ingin memadam segala memorinya bersama Haura. Belum sempat dia menekan butang "hapus" tiba-tiba pintu biliknya diketuk seseorang. Kelibat Datin Norlie menghiasi muka pintu.

"Are you okay, sayang?" Mikael sekadar mengangguk.

Datin Norlie melangkah masuk lalu mengambil tempat di birai katil. Mikael membetulkan kedudukkannya.

"Kamu rindukan dia, kan?" Mikael terkesiap. Tidak menyangka ibunya akan berkata sedemikian. Namun dia segera menafikan hal tersebut.

Datin Norlie memandang anaknya itu dengan pandangan yang sayu. Dia tahu Mikael tidak jujur dengan perasaannya sendiri.

"Biar mama pergi jumpa dengan keluarga Haura. Mama tahu Haura pun tidak rela dengan perkahwinan tu sebab dia cintakan kamu."

Mikael membuntangkan matanya. Tanpa memberikan peluang ibunya melangkah pergi dia segera mencapai tangan wanita itu.

"Jangan!" Ujar Mikael sedikit lantang sehingga mematikan langkah Datin Norlie. Sekali lagi wajah anak lelakinya itu ditatap. Pandangan mata mereka bertaut. Mikael menggelengkan kepalanya.

"Kami berdua dah tak ada apa-apa hubungan lagi." Tutur Mikael perlahan.

"Mika yang putuskan hubungan ni."

Datin Norlie duduk kembali disisi anak lelaki itu. Dari getar suaranya dia tahu Mikael sedang cuba mengawal emosi. Jemari lelaki itu dicapai lalu digenggamnya erat.

"Mama, Mika nak kahwin."

Datin Norlie tersedak air liurnya sendiri dek terkejut dengan apa yang baru didengarinya. Matanya juga terbuntang luas. Apakah benar yang yang dikatakan oleh anaknya itu?

"Tolong carikan seseorang untuk jadi isteri Mika. Sesiapapun pilihan mama Mika akan terima dengan ikhlas." Tambah Mikael lagi. Hujung bibir ibunya sedikit terangkat. Adakah wanita itu baru sahaja cuba untuk tersenyum?

"Kamu ingat perihal kahwin ni boleh dibuat main-main ke? Jangan sebab kamu rasa tercabar atau terdesak kamu sanggup terima orang lain dalam hidup kamu sedangkan hati kamu keras mengatakan tidak."

Datin Norlie mula menegur keputusan anaknya yang sekelip mata sahaja ingin berkahwin. Dia sangat meragui tindakan lelaki itu.

"Mama nampak Mika macam tengah bergurau ke?"

"Kamu rasa tercabar sebab Haura akan kahwin terlebih dahulu daripada kamu. Kamu tak boleh terima kenyataan yang dia betul-betul dah move on dari menagih cinta dari kamu. Sebab tu tiba-tiba je suruh mama carikan pasangan, kan?"

Tiba-tiba tekaknya terasa kesat untuk menelan air liur. Sungguh tajam kata-kata ibunya itu hingga mencucuk ke ulu hati. Pedih.

Ya, dia tidak menafikan semua tu. Hanya itu sahaja cara untuk dia melupakan wanita itu. Meskipun hatinya tak rela tapi perlu dilepaskan jua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience