BAB 41

Drama Completed 919412

"Ada apa nenek panggil Mika pagi ni?" soal Mikael. Matanya kemudian melirik ke arah Haura yang sedang duduk bertentangan dengannya.


"Sekejap lagi kamu tahulah. Kita tunggu semua orang sampai dulu baru nenek bagitahu." balas Puan Sri Normah tanpa memandang Mikael dan Haura di hadapannya.

Suri melangkah masuk ke dalam bilik Puan Sri Normah sambil diiringi oleh Naimah. Dia melihat Haura dan Mikael turut berada di dalam bilik tersebut. Naimah kemudian mempelawa Suri untuk duduk di sofa. Dia mengambil tempat di sebelah Haura.


"Yang lain semua dah ada dekat sini kecuali Encik Dazrin. Dia ada meeting dengan client." Naimah memberitahu kepada Puan Sri Normah. Wanita itu sekadar mengangguk.

Puan Sri Normah yang sedang menelaah beberapa dokumen penting di meja mengangkat mukanya melihat ke arah mereka bertiga. Dia kemudian menutup fail yang berada di depannya lalu bangkit dari kerusi. Dia mula berjalan menuju ke sofa untuk meneruskan perbincangan.


"Pertama sekali saya nak ucapkan tahniah dan terima kasih kepada kamu semua di atas kerjasama yang diberi untuk menguruskan majlis kesyukuran yang lepas. Saya sangat berpuas hati." Puan Sri Normah membuka bicara. Haura dan Suri tersenyum. Mikael hanya membuat muka 'toya'.


"Terima kasih jugak pada puan sri sebab bagi kepercayaan kepada kami untuk uruskan majlis tersebut." balas Haura.


"Tapi itu bukan tujuaan saya panggil kamu ke sini hari ni tapi pasal kamu Haura." ujar Puan Sri Normah. Jantung Haura berdegup dengan pantas sekali apabila mendengar kata-kata Puan Sri Normah itu.


"Aku? Pasal apa pulak ni? Puan sri nak bagitahu yang hari ni last day aku kerja dekat sini ke?" bisik hati Haura sendirian. Dia mula rasa tidak tenang menunggu apa yang bakal diberitahu oleh Puan Sri Normah.


"Akhirnya! Inilah masa yang aku nanti-nantikan. Berambuslah kau dari sini, Haura!" teriak Suri di dalam hati. Dia sudah tidak sabar untuk menunggu saat Haura disingkirkan dari Khazzan Group.


"Pasal apa nenek?" tanya Mikael sekali lagi.


"Seperti yang kamu semua sudah sedia maklum, Naimah selaku PA saya sudah mula kembali bertugas." ujar Puan Sri Normah satu per satu. Dia berhenti seketika sambil melihat reaksi yang diberi oleh ketiga-tiga anak muda di hadapannya itu.

Haura semakin gelisah. Jari jemarinya sudah tidak duduk diam. Hal itu disedari oleh Mikael yang beberapa kali mencuri pandang ke arah Haura. Suri pula sedaya upaya cuba untuk menyembunyikan rasa gembira dan puas hatinya. Dia sudah tidak sabar melihat reaksi Haura apabila Puan Sri Normah memecatnya.


"Haura..." ujar Puan Sri Normah. Serentak dengan itu Haura mengangkat wajahnya lalu memandang ke arah bosnya itu. Dia menelan air liur yang terasa seperti tersekat dikerongkongnya. Semua mata sudah tertumpu pada Puan Sri Normah.


"Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada kamu sepanjang kamu menggantikan tempat Naimah. Untuk beberapa bulan ni saya sangat berpuas hati dengan prestasi yang telah kamu berikan." sambung Puan Sri Normah. Haura hanya mendiamkan dirinya. Dia telah reda dan pasrah dengan apa sekalipun keputusan yang akan diberikan oleh Puan Sri Normah.


"Jadi saya sudah buat keputusan dan keputusan saya ini sudah muktamad. Mulai hari ini kamu tidak akan bekerja dengan saya lagi. Sampai di sini sahaja tugas awak sebagai pembantu saya." tambahnya lagi.

Mikael hampir tersentak mendengar kata yang keluar dari bibir neneknya itu namun dia tidak menentang. Dia sekadar memandang ke arah Haura yang tertunduk di hadapannya sambil membetulkan kedudukan di kerusi. Matanya kemudian melirik ke arah Suri yang juga sedang memandang Haura sambil tersenyum sinis.

Haura memejamkan matanya untuk seketika apabila mendengar keputusan yang telah diberikan oleh Puan Sri Normah. Dia kemudian menarik nafas yang dalam untuk mengumpul kekuatan sebelum menghembusnya dengan perlahan-lahan.


"Saya pun nak ucapkan jutaan terima kasih pada puan sri sebab sudi ambil saya untuk bekerja dekat sini walaupun hanya untuk sementara waktu. Satu pengalaman yang tidak akan pernah saya lupakan." balas Haura sambil mengukirkan senyuman diwajahnya.

Sebenarnya jauh di sudut hati Haura, hatinya terasa sangat berat untuk meninggalkan syarikat tersebut. Namun dia terpaksa akur dengan keputusan yang telah diberikan oleh Puan Sri Normah selaku pemilik syarikat tersebut. Puan Sri Normah memandang Haura kemudian memandang Naimah yang duduk di sampingnya. Senyuman nipis terukir dibibirnya.


"Selepas ni kamu boleh mula kemaskan semua barang-barang kamu sebab kamu akan mula bertugas sebagai pembantu peribadi kepada Mikael." ujar Puan Sri Normah bersahaja. Mikael dan Haura terkesiap. Mereka saling berbalas pandang.


"Apa? Pembantu peribadi?" tutur Suri sambil berdiri. Nada suaranya sedikit kuat dek terkejut dengan keputusan tersebut. Semua orang yang berada di situ terkejut dengan tindakan Suri itu. Suri sungguh tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya itu. Api kemarahan mula meledak.


"Kenapa Suri? Kamu ada masalah ke dengan keputusan saya ni?" Puan Sri Normah bertanya kepada Suri yang masih berdiri di hadapannya. Semua mata sedang tertumpu kepada Suri ketika itu.

Tersentak dengan pertanyaan dari Puan Sri Normah, Suri cuba untuk mengawal api kemarahannya. Kedua belah tangannya digenggam dengan kuat sekali.


"Eh tak adalah puan sri. Tak ada masalah apa pun. Saya cuma terkejut je." balas Suri sambil tersenyum tawar. Dia kemudian duduk kembali di kerusinya. Dia sempat menjeling tajam ke arah Haura disebelahnya.


"Apa maksud nenek yang dia ni akan jadi pembantu peribadi Mika?" Mikael menyoal neneknya dengan nada yang serius.

"Betul tu puan sri. Kenapa saya kena jadi PA dia pulak. Bukan ke puan sri nak berhentikan saya dari kerja dekat sini?" Haura turut bertanya. Dia masih tidak dapat mencerna kata-kata Puan Sri Normah itu.


"Berhentikan kamu? Buat apa saya ambil kamu bekerja kalau saya nak buang kamu." balas Puan Sri Normah sambil mengerutkan dahinya.


"Tadi puan sri cakap hari ni last day saya kerja dengan puan sri dekat sini." tambah Haura lagi.

"Kamu memang dah tak akan kerja dengan saya lagi tetapi kamu akan kerja dengan Mikael. Mulai saat ini dia adalah bos baru kamu." ujar Puan Sri Normah sambil tersenyum. Haura terdiam. Dia melirik ke arah Mikael yang sedang duduk di hadapannya.

Tidak dinafikan Haura berasa sedikit gembira apabila tahu dirinya itu tidak akan diberhentikan tetapi untuk bekerja sebagai pembantu peribadi Mikael merupakan satu tugas yang agak sukar untuknya. Selepas apa yang telah dia lakukan kepada Mikael beberapa hari yang lepas, Haura tidak berani untuk menunjukkan wajahnya kepada Mikael. Inikan pula dia kena menghadap muka lelaki itu 24 jam di pejabat.


"Mika tak setuju! Nenek pun tahu kan yang Mika tak suka dan Mika juga tak perlukan seorang PA." Mikael membantah. Dia tidak mahu ada pembantu kerana dia lebih suka melakukan tugasnya secara sendirian.


"Harap maaf, sebarang bantahan tidak akan diterima. Keputusan nenek ni dah muktamad. Suka ataupun tidak kamu tetap kena setuju." balas Puan Sri Normah memberikan kata putus. Mikael bersandar pada kerusi dengan kasar. Dia tahu dia tidak mampu untuk melawan kata neneknya itu. Sempat juga dia menjeling tajam ke arah Haura.


"Habis saya macam mana puan sri?" Suri pula membuka mulut untuk bertanya. Sebelum ini dia yang bertugas sebagai pembantu kepada Mikael. Tetapi kini apabila Haura sudah dilantik oleh Puan Sri Normah sebagai pembantu peribadi kepada Mikael apa pula yang akan jadi kepada dirinya.


"Kamu boleh teruskan tugas harian kamu macam biasa bersama dengan Laila dan yang lain. Cuma segala kerja yang melibatkan Mikael, Haura yang akan uruskan." balas Puan Sri Normah. Suri mengangguk perlahan kepalanya sambil tersenyum kelat.

Haura mencuri pandang wajah Suri yang duduk di sebelahnya dan dia dapat rasakan wanita itu sangat marah akan dirinya. Dia yakin berbagai cara dan tuduhan yang bakal Suri lakukan padanya di kemudian hari. Namun Haura cepat-cepat mengusir perkara itu dari fikirannya kerana ada yang perkara lebih penting buat masa sekarang.


"Semua dah siap ke?" tanya Puan Sri Normah sambil berpaling kepada Naimah.


" Dah puan sri. Saya dah minta mereka sediakan meja khas untuk Haura di dalam bilik Encik Mikael." balas Naimah.


"What? Dia akan duduk sekali dalam office Mika? Apa ni nek?" Mikael sangat terkejut akan perkara itu. Bukan setakat lelaki itu sahaja yang terkejut, Haura dan Suri juga turut sama membuntangkan mata. Suri berasa sakit hati dengan keputusan itu namun dia tidak mampu untuk membantah.


"Ya Mika tapi untuk sementara waktu je. Nenek dah sediakan tempat khas untuk Haura tetapi ada sedikit masalah. Ada benda yang nak kena repair. Jadi sementara tu nenek tempatkan dia di dalam bilik kamu dulu. Tak lama pun." balas Puan Sri Normah. Haura diam tidak berkutik. Dia tidak tahu untuk berkata apa pada ketika itu. Segalanya berlaku dengan pantas sekali. Mikael juga telah hilang kata.


"Saya rasa setakat itu sahaja untuk hari ini. Kamu semua boleh kembali ke meja masing-masing." Puan Sri Normah menamatkan perjumpaan tersebut.

*****

Keluar sahaja dari bilik Puan Sri Normah, air muka Suri terus berubah. Dia bergegas menuju ke lif. Beberapa pekerja menyapanya seperti biasa namun tidak diendahkan oleh Suri. Malah wajahnya yang bengis itu membuat pekerja yang lain berasa sedikit seriau untuk menegurnya.

Tiba di aras yang paling atas, dia segera meluru ke tangga kecemasan. Langkah Suri semakin laju. Dia berjalan menaiki anak tangga menuju ke ruangan bumbung bangunan. Pintu di tolak dan dihempas kasar oleh wanita itu. Perasaan marah dan sakit hatinya semakin membara di dalam dirinya.


"Arghhhhh!!!!!" jerit Suri sekuat hatinya. Dia melepaskan segala rasa amarah yang terkandung di dalam hatinya.

Palang besi juga menjadi mangsanya apabila dipukul berkali-kali dengan kuat. Dia seolah-olah tidak merasakan sebarang kesakitan. Sekali pandang dia kelihatan seperti orang yang sedang dirasuk.

Beberapa ketika kemudian dia berhenti memukul palang tersebut. Suaranya juga sudah tidak kedengaran. Dia menundukkan wajahnya sambil memejamkan mata. Nafasnya turun naik dengan laju sekali. Palang besi yang dipukulnya tadi digenggam kuat.

Perlahan-lahan dia membuka matanya dan memandang ke hadapan. Raut wajahnya kelihatan sungguh kelam. Pandangan matanya pula amat menggerunkan seolah-olah pandangan yang berbisa. Jika terkena panahan matanya itu pasti akan membawa maut.


"Perempuan tak guna. Kau main kasar dengan aku ye. Kau jangan harap akan dapat rampas Mikael daripada aku. Kau tunggulah apa yang aku akan buat pada kau lepas ni." tutur Suri sendirian. Amat sukar untuk ditafsir apa yang sedang bermain difikirannya pada ketika itu.

*****

Mikael berjalan menuju ke biliknya. Haura mengikuti dari belakang. Haura yakin lelaki yang berada di hadapannya itu semakin bertambah marah akan dirinya. Fikiran Haura jauh melayang memikirkan alasan jika di soal oleh Mikael kelak. Tiba di depan biliknya, Mikael sempat menjeling ke arah Haura yang sedang berdiri beberapa langkah darinya. Dia kemudian menolak pintu biliknya dengan kasar. Di saat Mikael melangkah masuk ke dalam bilik tersebut matanya terbuntang.


"Wah! Cepat betul dia orang ni buat kerja." tutur Mikael separa percaya. Haura dengan cepat menjengah masuk ke dalam bilik tersebut. Haura sangat terkejut melihat meja kerjanya sudah siap di setup di dalam bilik Mikael. Matanya terbuntang dan mulutnya juga ternganga namun dia cepat-cepat menutup mulutnya apabila melihat Mikael sedang memerhatikannya dengan renungan yang amat tajam.


"Suka la kau bila nenek arahkan kau jadi PA aku." sindir Mikael kasar. Dia kemudian duduk di kerusinya.


"Apa maksud awak?" Soal Haura sedikit bingung. Dia tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Mikael itu.


"Kau tak payah nak berpura-pura dengan aku la. Semua ni memang kau yang plan, kan?" tambah Mikael lagi.


"Hah? Plan? Plan apa pulak ni? Saya tak faham la. Cuba awak explain pada saya betul-betul." Fikiran Huara semakin bingung.


"Ah sudahlah! Kau ni memang spesis yang suka ambil kesempatan atas kebaikan orang. Hari tu aku, sekarang ni nenek pulak."


"Chup! Apa yang awak merepek ni? Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba cakap saya plan semua ni. Apa maksud awak?" Haura mula naik angin dengan tuduhan yang tak berasas yang telah dilemparkan oleh Mikael kepada dirinya.


"Kau tak payah nak berdalih dengan aku la. Aku dah tahu semua rancangan kau tu." Balas Mikael.


"Rancangan apa pulak ni. Apa yang aku plan? Macam mana dia lebih tahu pasal aku daripada diri aku sendiri? Aish! Serabutlah kalau macam ni. Belum apa-apa lagi dah cari pasal. Macam mana aku nak hadap mamat ni untuk hari-hari yang mendatang." bebel Haura sendirian di dalam hati.

Haura tidak mahu terus bertikam lidah dengan lelaki itu lalu dia segera mengambil tempat di mejanya. Di meja tersebut tersedia sebuah telefon pejabat dan sebuah komputer riba untuk kegunaan Haura buat sementara waktu. Dia segera menghidupkan komputer riba untuk melakukan tugasnya. Mikael sedikit bengang apabila Haura tidak mengendahkan kata-katanya itu.


"Apa yang kau nak daripada aku sebenarnya?" Mikael terus bertanya kepada Haura. Dia masih lagi tidak berpuas hati apabila Puan Sri Normah telah menempatkan Haura di dalam biliknya. Dia cukup tidak selesa apabila ada orang lain di dalam pejabatnya itu. Kehadiran Haura sedikit sebanyak telah mengganggu privasi dirinya.

Rasa geram Haura kepada lelaki itu mula membuak-buak. Dia tidak faham dengan sikap Mikael yang suka tuduh yang sembarangan kepadanya. Dia berpaling dan memandang Mikael dengan pandangan yang serius.


"Awak ingat saya ni nak sangat ke kerja dengan mamat poyo dan berlagak bagus macam awak ni. Lebih baik saya jadi PA Encik Dazrin, tenang sikit hidup saya. Lagipun dia layan saya dengan baik. Daripada saya jadi PA awak yang tak saya sendiri ragu-ragu dengan keselamatan diri saya. Mister Monster!"


"M-Monster?" terkedu Mikael mendengar Haura memanggilnya dengan panggilan itu. Perempuan itu benar-benar telah membuat hati Mikael tak keruan. Ikutkan hati ingin sahaja dia mencampak keluar Haura dari biliknya itu namun dia risau jika diketahui oleh neneknya.


"Kalau macam tu kau pergilah jumpa nenek dan bagitahu dia yang kau nak jadi PA Dazrin. Aku pun tak rela kau kerja dengan aku." balas Mikael kasar.


"Ya Allah. Awak tahu tak yang saya ni memang nak sangat jadi PA dia. Sekarang ni pun saya tak henti-henti berdoa di dalam hati supaya puan sri menukar fikiran dan pindahkan saya ke pejabat Encik Dazrin." perli Haura. Mikael sangat berang dengan jawapan yang diberikan oleh Haura itu. Dengan kasar dia telah membuka fail yang ada di atas mejanya sambil menjeling ke arah Haura.


"Padan muka. Ada hati nak buli orang." bisik Haura di dalam hati. Senyuman nakal terukir di bibirnya.

Share this novel

lovelysu
2023-01-29 17:19:49 

ya Allah x tahan eloklah kalau Haura pergi kerja Ngan nenek dia sbb dah tau2 masalah dtng bertimpa2 asal kerja situ lagi ..cam Haura plak cam betul2 terhegeh


NovelPlus Premium

The best ads free experience