Jenny sukar melelapkan matanya pada malam itu. Hatinya sentiasa berdebar apabila teringat kejadian yang menimpa Aidan.
Dirinya tertanya-tanya, adakah susuk misteri berjubah hitam itu turut memburunya memandangkan dia juga adalah salah seorang dari Penjejak Mimpi? Persoalan demi persoalan bermain difikirannya.
Dia teringat kembali mimpinya yang menemukan dia dengan Pendeta Adika yang memberi amaran supaya berhati-hati dengan ancaman yang datang secara tiba-tiba.
Jenny menarik selimut menutupi seluruh badannya. Dia memeluk bantal dengan erat untuk menenangkan dirinya. Disisinya sudah tersisip satu pisau kecil yang akan digunakan sekiranya ada musuh datang tanpa diundang.
Bam!!!
Tiba-tiba bunyi kuat datang dari dapur yang berada di tingkat bawah rumahnya. Jenny tersentak, badannya kaku seketika.
"Apa tu?" bisik hatinya. Perasaannya mula berdebar-debar.
Dia cuba untuk bertenang dan memujuk dirinya dengan menganggap bunyi itu datang dari barang-barang dapur yang terjatuh sendiri.
Tetapi firasatnya terus mendesak untuk mengatakan ada sesuatu menceroboh rumahnya. Baginya bunyi seperti itu sepatutnya tidak berlaku ditengah malam begini.
Tangannya mencapai pisau kecil yang ada disisinya. Perlahan-lahan dia bangun dari katil dan melangkah dengan berhati-hati menuju ke arah tangga.
Perasaan gementar mula menyelubungi dirinya tatkala dia mula menuruni anak tangga. Dengan perlahan dia memerhatikan keadaan sekeliling yang gelap.
Jenny terus melangkah perlahan-lahan menuruni anak tangga ke bawah. Langkah nafasnya terasa berat kerana dikuasai perasaan takut.
Apabila teringat tentang susuk misteri itu, degup jantungnya berdegup semakin kencang seolah-olah mahu melompat keluar dari dada.
Cahaya bulan yang menembusi tingkap dan menghasilkan bayang-bayang samar menambahkan lagi perasaan seram dalam diri Jenny.
Ketika sampai di anak tangga yang terakhir, bunyi derapan kaki tiba-tiba terdengar dari arah dapur.
Jenny mematikan langkahnya. Dia berdiri kaku di tempatnya. Tangannya menggenggam erat pisau kecil ditangannya.
"Si...si...siapa tu?" Jenny cuba memberanikan diri walaupun suaranya bergetar.
Tiada jawapan yang diberikan. Hanya suasana sunyi sepi yang menyelubungi kawasan itu.
Jenny menghampiri kawasan dapur. Tiba-tiba terasa dirinya diperhatikan dalam diam. Langkah kakinya semakin hampir ke pintu dapur yang separuh terbuka.
Tangannya menolak pintu tersebut perlahan-lahan sambil meraba-raba suis lampu. Setelah lampu dibuka, pandangan mata Jenny terus jatuh ke sebuah kerusi yang tumbang diatas lantai, betul-betul ditengah dapur.
"Fuh! Bunyi kerusi jatuh rupanya. Mati-mati aku ingat mamat berjubah tu." Jenny menarik nafas lega seketika. "Macam mana la kau boleh jatuh kerusi? Nak kata ada angin kau duduk dalam rumah. Mungkin si Mickey punya kerja la ni. Dasar anjing tak reti duduk diam." rungutnya sambil mengangkat semula kerusi tersebut.
Tetapi, sebaik sahaja dia berpaling semula ke belakang, satu tangan misteri mencengkam batang lehernya.
Jenny yang terkejut cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri dari tangan itu. Namun, usahanya tidak berjaya. Cengkaman tangan susuk misteri tersebut terlalu kuat untuk Jenny melepaskan dirinya.
Nafasnya terasa semakin tersekat. Perlahan-lahan pandangan matanya mula kabur. Peluh sejuk mula mengalir didahinya dan tubuh badannya mula menggigil.
Jari-jemarinya menggenggam pisau kecil yang berada ditangannya cuba membuat sesuatu. Namun, kekuatan dan kesedarannya semakin hilang.
Dada Jenny berombak laju, cuba menarik nafas yang semakin sukar untuk dihirup seolah-olah paru-parunya terhimpit.
Dalam kepanikan tersebut, dia terfikir, "Adakah ini penghujung bagi kehidupanku?"
Share this novel