Bab 29 : CBYS

Romance Series 109654

Sudah dua bulan berlalu selepas Tengku Faiz Iskandar dan Tengku Fatihah kembali ke England bagi meneruskan segala urusan yang tertangguh. Satu kelegaan yang sangat besar buat Yusra. Hubungan Tengku Fairuz dan Yusra Saidah makin menampakkan ada keserasian walaupun mereka masih dalam fasa perkenalan. Sehingga sekarang, mereka masih menetap di Teratak Qaseh.

Sejak Fairuz mengambil alih jawatan arwah datuknya di Mentari Holding, bebanan kerjanya makin bertambah-tambah. Yusra yang pada mulanya agak kekok dengan kesibukkan Fairuz, namun sekarang dia sudah dapat membiasakan diri.

Kata ibu mertuanya, Fairuz mewarisi sikap ayah mertuanya, gilakan kerja dan serius menjalankan tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

Yusra sendirian di kamarnya. Menanti kepulangan suaminya yang makin kerap balik lewat malam. Hatinya gelisah dan resah menunggu. Sesekali jam dinding di toleh, jam sudah pun menunjukkan jam 1 pagi. Namun mata belum merasa mengantuk, hatinya dipaut rasa risau dengan keselamatan suaminya.

Selagi batang hidung suaminya tidak kelihatan, selagi itulah dia tidak senang duduk. Tambahan lagi dengan cuaca diluar, hujan lebat bersertakan dengan kilat memancar, lagi menambahkan rasa takut dengan bermacam-macam andaian bermain difikirannya.

Resah duduk di sofa yang dijadikan katilnya, dia bingkas berdiri. Mundar mandir mengitari segenap ruang bilik tidurnya. Bunyi pintu bilik dibuka dari luar, menghentikan langkahnya. Dia segera berkalih. Menanti wajah yang akan muncul disebalik pintu.

Fairuz muncul di sebalik pintu. Sedikit tergamam bila terpandang Yusra Saidah berdiri di tengah-tengah kamar mereka. Dia sangkakan Yusra sudah pun lena diulit mimpi. Lampu bilik pun sudah terpadam hanya lampu tidur di sisi katil sahaja di biarkan terbuka. Fairuz melangkah masuk dengan wajah sungulnya. Ditangannya ada kot dan briefcase. Lengan baju kemeja dilipat hingga ke siku dan tiada tali leher tergantung dilehernya. Fairuz melabuhkan duduknya di sofa. Melepaskan rasa lelah sebelum membersihkan diri.

Yusra menerpa, segera di ambil briefcase dan kot lalu diletakkan ditempatnya. Fairuz dilihat membuka satu persatu butang baju kemejanya dan dimasukkan ke dalam bakul pakaian kotor. Jelas wajah itu kelihatan benar-benar penat dan letih. Fairuz mencapai tualanya dan menuju ke kamar mandi. Selesai membasah tubuh, Fairuz keluar.

Yusra masih duduk di sofa tetapi tidak berbaring seperti biasa. Fairuz mengerut dahi, perlahan-lahan dia melangkah mendekati Yusra. Yusra menyedari Fairuz menghampirinya, segera bingkas berdiri.
   
"Awak nak air?"
   
"Kenapa tak tidur lagi?"

Dua soalan berbeza ditanya pada masa yang sama. Fairuz senyap seketika. Yusra juga senyap.

Mereka sekadar berpandangan sebelum Fairuz mengeluh perlahan. Timbul perasaan bersalah kerana membiarkan Yusra bersendirian sejak kebelakangan ini. Perlahan kakinya diatur mendekati Yusra. Kedua tangan Yusra dicapai. Matanya mencari dan merenung anak mata Yusra.
   
"Aku minta maaf sebab aku selalu balik lambat. Aku biar kau sorang-sorang kat rumah." Fairuz berkata dengan suara sedikit perlahan. Bagai menahan rasa bersalah.

Yusra menunduk. Tipulah kalau hatinya tidak terasa terpinggir oleh Fairuz. Baru je berbaik-baik, dah kena pinggir. Rasa dekat tapi jauh. Tapi dia faham, tuntutan kerja yang membuatkan Fairuz sentiasa sibuk. Dia juga tahu status Fairuz dari pemangku jawatan kepada pemegang jawatan CEO itu yang membuatkan lelaki itu makin sibuk.
    
"Tak apa. Saya faham. Awak perlukan masa untuk suaikan diri awak dengan tugas baru," jawab Yusra. Wajahnya sedikit menunduk.

"Terima kasih faham aku. Aku harap kau tak marah aku."

"Tak. Saya tak marah awak. Saya faham."
   
"kenapa tak tidur lagi?" tanya Fairuz. Kepalanya ditundukkan sedikit mencari anak mata Yusra.

"Tunggu aku?" Tanya Fairuz lagi bersama senyuman nakal. Saja mengusik Yusra. Rasanya sudah lama dia tidak mengusik isterinya.

Yusra senyap. Nak mengiakan dia rasa malu. Seterusnya dia hanya diam. Terasa tangan Fairuz di kepalanya.

"Tak apalah. Pergilah tidur. Dah lewat ni. Esok, buatkan aku breakfast. Dah lama aku tak makan masakkan kau." Fairuz mengelus lembut rambut hitam keperangan Yusra. Yusra mengangguk.

Fairuz berlalu ke katilnya manakala Yusra ke sofanya. Dia mula berbaring dan menyingkap selimut ke paras dada. Anak patung Cik froggy dipeluk kedap. Cuaca sejuk memaksa dia berbungkus bersama selimut dan cik froggy malam ini.

Dumm!!

"Ibu!!"

Yusra menjerit kuat. Sama kuat dengan bunyi guruh berdentum tatkala kilat memancar. Dia bingkas bangun dari pembaringan. Dia mula terasa dadanya turun naik menahan debaran. Sekali lagi bunyi guruh yang menakutkan bersama pancaran petir. Terus Yusra pekup telingannya dengan tangan. Dia takut bunyi guruh! Dia takut kilat!

Fairuz cepat-cepat melangkah mencari Yusra bila terdengar jeritan Yusra tadi. Dari katilnya, dia ternampak tubuh Yusra pegun di tempatnya. Bahu Yusra disentuh. Lalu dengan spontan, Yusra bingkas berdiri dan memeluk tubuhnya. Dia terngadah. Nasib baik dia sempat imbangi badan. Kalau tidak, pasti mereka sudah tergolek ke lantai.

Fairuz terpaku dengan reaksi spontan Yusra. Tidak tahu apa yang patut dia lakukan bila dalam keadaan begini. Rasa sangat dekat. Dada yang tadinya berdebar kerana bimbang, kini sudah bertukar rasa. Tidak lagi bimbang tapi......

Ada satu perasaan halus timbul di sudut hatinya yang dia sendiri tidak mampu tafsirkan. Fairuz meneguk liur sendiri. Dadanya terasa semakin sesak bila pelukan di pinggangnya makin kemas terasa. Dia memejam mata.

"Yusra..." Fairuz menyebut perlahan nama Yusra. Suaranya dikawal sebaik mungkin.

"Saya takut." Suara Yusra kedengaran bergetar.

Masih ada rasa takut walaupun sudah berada dalam pelukan Fairuz. Wajahnya bersembunyi di sebalik dada bidang Fairuz. Tingginya cuma paras dagu Fairuz, memudahkan dia menyelinap di dada bidang itu. Pelukan di pinggangnya makin kemas bila guruh sekali lagi berdentum.

Tanpa sedar, tangan Fairuz turut naik mengusap perlahan belakang tubuh Yusra. Berharap dengan cara itu Yusra mampu bertenang. Kemudian dia membawa Yusra ke katil. Pelukan dileraikan. Dia memaksa Yusra berbaring di katilnya. Tempat tidurnya dan dibantalnya.

Bagaikan anak kecil, Yusra hanya menurut tanpa banyak soal. Selimut di tarik hingga ke paras dada.

"Tidur lah."

"Awak nak pergi mana?" Segera di sambar tangan Fairuz apabila lelaki itu cuba berpusing ke arah sofa.

"Aku tidur kat sofa malam ni. Kita tukar." jawab Fairuz.

"Kenapa?" tanya Fairuz kemudian. Tangannya yang masih dalam genggaman Yusra dipandang.

"Saya takut. Teman saya."

"Iya aku tahu kau takut. Aku bukan nak pergi mana-mana. Aku cuma tidur kat sofa tu, dekat je kan?"

Mendengar soalan Fairuz, Yusra diam. Tiada jawapan dari Yusra, Fairuz sekali lagi cuba berpusing dan Yusra segera mengenggam erat tangan itu sekali lagi. Itu saja yang dia fikirkan sekarang, hanya Fairuz yang boleh menjaminkan keselamatannya.

"Kau nak aku tidur sekatil dengan kau? Are you sure?"

Yusra diam lagi. Namun genggaman ditangan Fairuz makin erat. Cukup dengan itu sahaja membuktikan yang dia perlukan seseorang ketika ini. Tapi untuk katakan yang dia mahukan Fairuz tidur disebelahnya, dia malu. Takut dikatakan telah melanggar peraturan yang dibuatnya sendiri. Tapi kalau diikutkan keadaan sekarang, dia sangat-sangat memerlukan Fairuz di sisinya.

"Okay lah. Aku tidur sini. Nanti kau letak bantal peluk ni di tengah-tengah, okay? Nah cik froggy kau." Fairuz mula memanjat katil dan berbaring di sebelah Yusra.

Selimut di tarik ke dadanya. Bantal peluk sudahpun diletakkan di tengah-tengah antara dia dan Yusra. Yusra memeluk erat cik froggy.

"Aku tak tanggung kalau jadi apa-apa," usik Fairuz.

Yusra mendengus.

"Hishh.. tak nak lah cakap macam tu," balas Yusra di sebalik cik froggy.

Untuk sesaat dua, mereka membisu. Menghayati irama lagu alam semula jadi. Bunyi hujan dan guruh silih berganti. Setiap kali bunyi guruh, Yusra akan mencengkam cik froggynya. Wajah disembunyikan di sebalik anak patung itu. Sungguh dia benar-benar ketakutan.

"Takut lagi?" Fairuz bertanya. Dia dapat merasakan Yusra mengigil ketakutan setiap kali guruh berdentum. Dia mengiring bertentangan dengan Yusra, jemari Yusra diraih lalu digenggam erat. Bagaikan memberikan sedikit kekuatan buat isterinya. Mereka saling bertatapan untuk seketika.

Tipulah kalau Yusra katakan yang dia tidak terasa apa-apa. Sungguh dia terkedu dengan tindakan suaminya. Tiada kata yang mampu dia luahkan. Bibirnya kelu untuk berbicara. Ini kali pertama mereka serapat ini. Ini kali pertama mereka berkongsi katil di sepanjang dua bulan usia perkahwinan mereka. Mata bertentangan. Terasa Fairuz mengelus rambutnya. Fairuz mengucup ubun-ubunnya, terasa hangat dan damai.

"Tidurlah. Dah lewat." Perlahan saja suara Fairuz menyuruh Yusra tidur.

Tangannya mengusap rambut perang Yusra. Dah lama dia ingin menyentuhnya dan membelainya seperti ini. Dan malam ini bagaikan membuka peluangnya untuk dia merasai nikmat itu. Hujan pula seolah-olah turut berkerjasama dengan malam, memahami tentang perasaannya.

Yusra tidak menjawab. Tidak sedar bila dia terlelap dengan tangannya masih dalam genggaman Fairuz.

* * *


Yusra Saidah segera berlalu ke dapur bila melihat kelibat Tengku Fairuz muncul di meja makan. Fairuz mengambil tempat di sebelah Tengku Fauziah. Mee goreng di senduk ke pinggan.
  
"Ruz, hari ni balik tak lunch?"
  
"Tak tahu lagi umi. Kenapa?"
  
"Dah lama sangat Ruz tak balik lunch dengan kami. Kesian Yusra, masak penat-penat lauk kegemaran Ruz tapi Ruz tak balik." Tengku Fauziah menghulurkan air nescafe kepada Fairuz.
   
"Nanti lah umi. Tengok jadual Ruz macam mana hari ni." Fairuz memulakan suapan.

Matanya menghala kepada Tengku Farhan dan Tengku Farhana di sisi Furqan. Dah lama dia tidak luangkan masa si kembar ni. Si kembar panggung wajah memandang Fairuz.

"Abang dan Ana dah nak pergi school?" tanya Fairuz. Tengku Farhan mengangguk.

"Ana, kenapa diam ke?"

"Ana dah lama tak pergi school dengan Pak Ngah. Hari ni boleh Ana nak pergi school dengan Pak Ngah?" Pinta Farhana dengan buat muka comel. Fairuz diam seketika sebelum memberi jawapan.

"Boleh Ana. Hari ni Pak Ngah hantar abang dan Ana. Nanti pergi bagitahu Mak Ngah sekali. Kita pergi sama-sama."

Farhana sudah bersorak gembira. Segera berlari ke dapur. Sebentar kemudian, dia muncul bersama Yusra. Tangan Yusra ditarik supaya mengikut langkahnya.

"Jom la.. ikut Pak Ngah hantar Ana pergi school Mak Ngah." Farhana menarik lagi tangan Yusra.

Yusra serba salah untuk menolak. Teringat kejadian semalam, dia rasa malu untuk berdepan dengan Fairuz. Sebolehnya dia berusaha untuk tidak bersua dengan Fairuz pagi ni.

"Sayang naik bersiap kejap. Abang tunggu kat sini. Ikut abang hantar diorang ke school." Fairuz memberi arahan.

"Cepat la Mak Ngah. Nanti Ana lambat." Farhana merengek lagi.

"Iyelah Mak Ngah ikut. Sekejap ya." Yusra segera memanjat tangga.

Menukar baju dan tudungnya. Sebentar kemudian, dia turun mengekori langkah Tengku Fairuz dan di kembar ke kereta suaminya.

"Kenapa aku rasa kau cuba mengelak dari aku?" tanya Fairuz sebaik sahaja kereta meluncur di atas jalan raya selepas menghantar Farhan dan Farhana.

Yusra mengerut dahi.

"Ehh.. mana ada saya mengelak." Dalih Yusra.

Seat belt di genggam erat. Doanya semoga Fairuz tidak membangkitkan isu semalam. Malunya belum lagi habis. Terkejut dan tergamam bila tersedar dari lena, dia tidur dalam dakapan Fairuz. Dan tangan Fairuz elok melingkar di pinggangnya.

"Kalau kau tak mengelak, kenapa bila kau nampak aku, kau lari?" Soalan Fairuz mengejutkan Yusra dari teringat kisah itu.

"Tak ada apa lah awak. Saya banyak kerja kat dapur tadi," jawab Yusra. Matanya memandang lurus ke hadapan. Segan mahu memandang Fairuz.

"Ke Kau marah sebab semalam?" Soalan Fairuz membuatkan wajah Yusra merona merah. Tiba-tiba rasa kulit mukanya panas.

"Tak lah. Saya tak marah."

"Tak marah? Jadi lepas ni, boleh lagi?" Fairuz sudah tersenyum nakal.

Yusra tercengang.

"Boleh apa?" Yusra mula tayang muka blur.

"Boleh tidur macam semalam. Aku suka." Fairuz mengenyitkan matanya bila Yusra menoleh kepadanya.

"Tak nak lah cakap pasal ni." Yusra mendengus kecil.

Fairuz menyimpul senyuman, tahu Yusra malu.

"Kenapa tak nak cakap pasal ni?" giat Fairuz lagi. Makin nakal mukanya.

"Tak nak lah awak cakap pasal ni. Pasal semalam tu... tu sebab kilat. Saya takut."

"Kalau macam tu, hari-hari aku tunggu hari hujan dan kilat sekali. Nanti mesti kau cari aku lagi kan?" Sakat Fairuz lagi. Suka melihat muka Yusra yang merona kemerahan.

Yusra menjeling.

Fairuz berdehem sedikit. Meneutralkan tekak sebelum meneruskan kata.

"Esok, kita pergi shopping cari barang sikit. Nanti kita pack baju untuk pergi bercuti dua minggu." Fairuz mengeluarkan topik baru. Yusra sudah terlopong.

"Kita? Bercuti?"

"Yes. We will go on vacation in 2 week, clear?" tanya Fairuz lagi.

Kereta diberhentikan bila mereka berada di hadapan Teratak Qaseh. Yusra termangu sekejap sebelum membuka pintu. Fairuz menghulurkan tangannya dan Yusra menyambutnya. Seperti biasa, dahi Yusra dikucup lembut.

"Aku pergi kerja dulu. Nanti petang, kita bincang lagi." Katanya lagi.

Yusra mengangguk dan mula menutup pintu kereta.

"Hati-hati awak. Assalamualaikum."

"InsyaAllah."

* * *


Yusra berdiri di balkoni. Masih memikirkan tentang apa yang telah Fairuz beritahunya pagi tadi.

'Bercuti dua minggu? Nak pergi bercuti bila? Dekat mana?' Hatinya masih tidak sepi dari tertanya-tanya.

Sesekali angin sejuk menerpa tubuhnya. Yusra mendongak ke langit, malam pekat tanpa sebarang bintang, pasti sekejap lagi hujan ni. Memikirkan tentang hujan, dia berdoa semoga malam ini tiada lagi kilat dan guruh. Yusra takut dan gerun mendengar bunyi guruh berdentum. Fobia.

Bunyi pintu bilik ditolak dari luar, Yusra tahu Fairuz baru sahaja balik. Malam ini Fairuz balik lewat tapi tidaklah lewat malam semalam. Jam di dinding menunjukkan jam 9malam.

'Awal sikit dari semalam' bisik hati Yusra. Yusra masih berdiri di balkoni sengaja membiarkan Fairuz mendekatinya.

"Kenapa duduk kat luar ni? Tak sejuk ke?" tanya Fairuz berpeluk tubuh.

Yusra tersengih sebelum menghulurkan tangannya untuk bersalam.

"Saja ambik angin.''

"Sejuk la.. dah la, masuk la. Ada perkara yang aku nak bincang dengan kau." Fairuz sudah melangkah masuk.

Yusra mengangguk. Segera berpusing tubuh dan mengekori langkah Fairuz. Pintu sliding di tarik rapat dan langsir juga di tarik untuk menutup pintu sliding.

"Sini lah." Fairuz menepuk-nepuk sofa disebelahnya mengamit Yusra.

Yusra duduk tanpa banyak alasan. Sebenarnya dia juga tidak sabar mahu mendengar penjelasan dari Fairuz tentang 'Bercuti' mereka tu. Senyuman tidak lekang dari bibir mungilnya.

"Amboi kemain seronok kau erkk.." sakat Fairuz tatkala Yusra melabuhkan duduknya di sebelah.

"Nampak sangat eh?" Yusra termalu sendiri.

"Dah dari tadi, kemain kau murah dengan senyuman, tak ke aku ni perasan?"

"Okay la kan? Saya sengaja nak buat pahala lebih."Jawab Yusra.

"Emm yelah.. Jangan senyum macam ni depan orang lain dah la."

''Why? Awak jealous ke?"

"Tak ada kaitan dengan jealousnya, Yusra. Aku takut orang cakap kau ni minah 3 suku je." Tawa Fairuz meletus. Yusra jegil matanya.

"Awak cakap saya 3 suku?" Yusra menarik muncung, berpeluk tubuh. Merajuk lah macam ni tapi ada hati ke mamat ni nak pujuk dia?

''Merajuk ke?"

Yusra diam

"Kau marah aku ke Yusra?"

Diam lagi.

"Aku gurau jelah Yusra."

Diam lagi. Sengaja mahu melihat setakat mana usaha Fairuz memujuknya kalau dia betul-betul merajuk.

Fairuz menghela nafas panjang. Penat mula terasa bersama kepala yang sudah makin memberat. Sakit kepala sejak tengahari tadi semakin terasa.

"Sorry. Tak sepatutnya aku spoil mood kau macam ni. Aku bergurau je tadi. Aku nak bagi kau benda ni." Fairuz meletakkan satu sampul surat di atas riba Yusra.

"Aku harap kau suka. Ni hadiah perkahwinan kita dari Pak Su dan Mak Su. Semalam aku jumpa diorang sebab tu aku balik lambat." Fairuz berkata lagi.

Yusra menarik nafas perlahan. Serba salah bila mendengar penjelasan dari Fairuz. Lambat-lambat dia mencapai sampul surat di riba lalu membukanya. Sekeping tiket penerbangan ke Melbourne, Australia dipandang.

Matanya membulat, tidak percaya dengan mata sendiri yang melihat. Wajahnya didongak mencari wajah Fairuz. Inginkan penjelasan dengan apa yang di lihat di depan mata.

"Ya.. tiket penerbangan ke Melbourne. Aku dapat tahu sebelum ni kau dapat tawaran sambung study kat sana, kan? Tapi kau terpaksa tolak sebab kau sayangkan Aishah. Aku salute dengan persahabatan kau dengan Aishah. Aku memang plan nak bawa kau ke sana tapi Pak Su dan Mak Su dah caras aku punya plan. So, dia hadiahkan percutian ini untuk kita." ujarnya dengan panjang lebar.

Yusra rasa pelupuk matanya basah. Dia terharu dengan kebaikan yang ditaburkan buat seluruh keluarga Tengku Ibrahim. Tak cukup dengan keluarga mertua yang baik, dihadiahkan pula dengan seluruh keluarga itu orang yang baik-baik. Terima kasih Allah.

"Erkk... kau suka tak?" tanya Fairuz bila menyedari Yusra hanya diam. Merajuk lagi ke dia?

"Saya... saya tak tahu apa yang saya patut cakap. Saya suka dan terharu... tapi saya tak nak awak fikir saya cuba mengambil kesempatan atas kebaikan dan kemewahan keluarga awak." Perlahan Yusra Bersuara.

Matanya dijatuhkan sedikit memandang tiket di tangannya. Itu yang merisaukan dia, dia takut dia dituduh dengan macam-macam andaian.

"Ada aku cakap macam tu ke, Yusra?" Fairuz mula memicit pelipis kepalanya. Berkerut menahan rasa sakit kepala.

"Tak. Awak dan keluarga awak baik. Terima saya dan keluarga saya seadanya," lirih suaranya.

"Dah tu? Aku tak nak kau fikir macam tu. Kau sememangnya layak dapat apa yang aku dan keluarga aku beri pada kau. Sebab itu semua hak kau sebaik sahaja kau terima pinangan arwah atuk dulu." Fairuz memejam mata. Kepalanya makin berpusing.

Yusra pula terpinga-pinga bila mendengar ayat yang baru keluar dari mulut suaminya. Wajahnya diangkat mahu bertanyakan soalan lagi. Tetapi bila melihat Fairuz yang tengah berkerut dengan mata terpejam, membuatkan hatinya disapa kerisauan.

"Awak kenapa ni? Awak sakit ke?" Dalam resah Yusra bertanya. Belakang tangannya naik menyentuh dahi Fairuz. Tak panas, bermakna tak demam. Habis tu kenapa ni?

"Awak kenapa?"

"Sakit kepala." Hanya itu jawapan Fairuz. Fairuz menyandarkan kepalanya ke sofa.

"Meh saya picit kepala awak." Yusra memicit dahi Fairuz perlahan-lahan. Fairuz hanya membiarkan Yusra melakukan tugasnya.

Yusra menyingkap selimut ke dada Fairuz. Selepas mandi dan makan panadol, Yusra minta Fairuz berbaring sementara dia memicit kepala Fairuz lagi. Beberapa minit begitu, akhirnya Fairuz terlena. Melihat Fairuz yang sudah pun tidur, Yusra bangkit perlahan-lahan menapak ke sofanya.

Baru sahaja ingin berbaring, kilat kembali memancar bersama guruh berdentum kuat menyambar bumi. Yusra tersentak. Badannya mula mengigil takut. Dia fobia dengan kilat dan guruh! Sepantas kilat, Yusra berlari ke katil. Terus memanjat katil dan berbaring di sebelah Fairuz.

Boleh Tinggalkan sebarang komen untuk saya? Terima kasih kepada yang sudi baca kisah saya. =)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience