Bab 17 : CBYS

Romance Series 109654

Jam sudah menunjukkan 6 petang, sudah agak lewat untuk menunaikan solat fardhu asar. Fairuz meminta diri dari tetamu yang hadir untuk berlalu ke kamar pengantin bagi menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim.

Selepas salamnya disambut, dengan berhati-hati dia memulas tombol pintu bilik pengantin. Terjengul wajah Yusra yang sedang duduk di kerusi almari solek.

Sebaik terpandang suaminya, Yusra bingkas bangun namun Fairuz mengisyaratkan supaya Yusra terus duduk dan membiarkan dia sahaja yang menghampiri Yusra. Yusra duduk ke posisi asal.

Tengku Fairuz berdiri dibelakangnya dan melihat wajah Yusra disebalik pantulan cermin. Tangannya diletakkan di bahu Yusra.

Yusra mematungkan diri bila terasa ada tangan di bahunya. Fairuz senyum sinis melihat reaksi Yusra. Tangannya diangkat dan segera dia berlalu ke katil.

"Kau dah solat?" tanya Fairuz sebagai satu mukadimmah.

Tengkolok di kepalanya di tanggalkan dan diletakkan di meja sisi katil pengantin. Dia mula menanggalkan satu persatu aksesori persalinan raja seharinya. Pending dibuka dari pinggangnya dan rantai leher juga ditanggalkan dari lehernya.

"Belum. Saya tunggu awak," jawab Yusra.

Matanya masih memandang Fairuz disebalik pantulan cermin yang sibuk menanggalkan satu persatu perhiasan di tubuhnya.

Fairuz sedar dirinya diperhatikan pantas angkat muka, pandang Yusra. Yusra lekas menunduk.

"Awak... nak... nak.. buat apa ni?" gagap Yusra bertanya bila melihat Fairuz mula meguraikan kain samping di pinggangnya.

Yusra bingkas berdiri dan memaling tubuh menghadap Fairuz.

"Kenapa?" soal Fairuz kehairanan dengan soalan Yusra. Tangannya lincah membuka satu persatu butang baju melayu cekak musangnya.

"Tu... tu... awak nak buka baju awak..." Yusra sudah bersandar di meja solek. Jarinya lurus menunjuk pada baju Fairuz.

"Habis tu, kau nak aku solat, mandi dan tidur dengan pakai baju ni? Kau ingat aku nak bersilat ke?" dengus Fairuz. Rimas seharian memakai baju songket yang sarat dan berat dengan aksesori.

Yusra tersengih malu.

"Ermmm... sorry... saya keluar dulu, ambik wuduk." Yusra segera berlalu ke balik air.


* * *

Pertama kali solat berjemaah bersama, ada rasa yang tidak dapat Yusra dan Fairuz gambarkan. Saat Yusra menghulurkan tangannya untuk bersalam, teragak-agak untuk Fairuz menyambutnya. Bila terasa tangannya dikucup lembut oleh Yusra dia meletakkan tangan kirinya dikepala Yusra dan mengusap lembut kepala disebalik telekung itu.

"Banyak perkara yang kita perlu bincangkan." Fairuz bersuara setelah selesai meletakkan sejadah di tempat penyidai.

Yusra turut menanggalkan telekungnya dan menyarung tudung sarung instant. Dia berniat mahu keluar dari bilik untuk menolong Hajjah Sumayah membersihkan segala periuk belanga yang digunakan untuk memasak di hari kendurinya.

Fairuz sudah duduk di birai katil. Mendengar ayat yang keluar dari mulut Fairuz, Yusra tidak jadi melangkah keluar. Dia melabuhkan duduknya di kerusi meja solek.

"Kau dan aku sama-sama tidak suka dengan perkahwinan ni kan?" tanya Fairuz.

Tangannya disatukan dan bermain dengan jari sendiri. Matanya merenung Yusra dihadapannya. Melihat anggukkan kecil dari Yusra, tiba-tiba hatinya terasa panas.

"Kenapa?" tanyanya lagi.

"Kalau kau tak suka kenapa kau perlu setuju?" Sekali lagi soalan dari Fairuz. Kali ini kedengaran agak keras suaranya.

Yusra menekur lantai. Tidak berani mengangkat wajah memandang Fairuz.

Fairuz mendengus, tidak suka dengan respon daru Yusra.

"Answer me Yusra!" Kali ini suara dicelah giginya pula. Dia cukup tidak suka bila soalannya tidak dijawab.

Terhincut sedikit bahu Yusra. Terkejut.

"Saya sebenarnya belum bersedia lagi untuk jadi seorang isteri tapi disebabkan janji ayah pada arwah Tengku Ibrahim, saya akur. Saya ikhlas terima awak sebagai suami saya." jawab Yusra perlahan tapi cukup didengari suaminya.

Berusaha sebaik mungkin untuk menyusun ayat supaya tidak mengguriskan sekeping hati suami yang baru dinikahinya semalam. Tangannya sibuk bermain hujung tudung. Cuba menggurangkan rasa debaran di hati.

"Ok... sorry kalau aku buat kau terkejut. Aku cukup-cukup tak suka bila orang tak jawab soalan aku. Bagi aku, setiap soalan mesti ada jawapan walaupun hanya 'yes or no', faham?" Sekilas dia memandang Yusra dan meminta jawapan dan Yusra mengangguk faham. Fairuz menghela nafas sebelum meneruskan bicaranya.

"First, aku nak bincang kan tentang perkahwinan kita. Aku tahu kita sama-sama terpaksa menerima perkahwinan ni. Lagipun tak mustahil kalau dalam hati kita pun masing-masing ada pilihan hati sendiri, mungkin. Bagi aku pertunangan kita dan perkahwinan kita ni sangat-sangat 'old school'. Perkahwinan atas dasar wasiat. Rasanya zaman sekarang dah tak ada kot semua ni," jeda sebelum dia sambung.

"Aku tahu kau pun dah sedia maklum tentang segala syarat aku yang abah cakap hari tu, kan? Aku harap kau boleh laksanakan segala tanggungjawab kau sebagai isteri aku. Aku ikhlas memperisterikan kau saat aku lafaz akad nikah semalam. Cuma aku nak kita bagi peluang dan ruang untuk kita kenal hati budi masing-masing sebelum kita serius dalam perkahwinan kita. Aku mahu miliki kau sepenuh hati aku dan aku harap begitu juga dengan kau. Dan sebagai suami aku izinkan kau sambung belajar."

Yusra tergamam mendengar ayat akhir Fairuz. Kemudian dia tersenyum. Jelas terbentuk lesung pipit di pipinya. Segera dicapai tangan Fairuz dan dikucup.

"Terima kasih awak sebab izinkan saya sambung belajar. Insha Allah saya akan cuba bahagikan masa saya sebagai wife dan student."

Bersinar mata Yusra. Rasa macam ingin melompat gembira saat mendengar keizinan dari mulut suaminya.

Sebelum ini, dia cuma minta Tengku Faisal dan Tengku Fauziah berbincang dengan Tengku Fairuz mengenai keputusannya untuk sambung belajar dan tak dia meyangka Tengku Fairuz memberinya keizinan secepat ini. Rasa macam hendak tarik balik surat penangguhan kemasukan ke UKM memandangkan pendaftaran pelajar baru akan diadakan 3 hari lagi.

"Okay... aku pegang janji kau. Tapi ingat jangan buat perkara yang aku tak suka."

Tercuit satu rasa dihati bila melihat Yusra segembira itu. Mungkin sambung belajar itu salah satu impian Yusra. Fikirnya. Tangannya yang masih dipegang Yusra dikerling.

Yusra turut melirik pada pandang Fairuz di tangannya. Dia tersengih sendiri dan perlahan-lahan menarik tangannya.

Fairuz mula melakukan pembaringan. Melepaskan rasa lelah setelah seharian melayan tetamu.

"InsyaAllah saya cuba. Ada apa-apa lagi ke awak? Kalau dah tak ada, saya ingat saya nak keluar dulu. Saya nak tolong ibu basuh periuk."

Melihat tiada respon dari suaminya, Yusra bangun dari bangku meja solek. Baju kurung yang tersarung di tubuhnya dibaiki sebelum memulakan langkah.

"Ada aku bagi kau keluar ke?" tanya Fairuz dengan mata terpejam. Cukup dengan
derapan kaki Yusra dia tahu Yusra sudah menghampiri pintu untuk keluar.

Yusra mematikan langkah dan menoleh pada Fairuz.

"Tadi awak diam je. Saya ingat awak dah tidur." jawab Yusra.

Fairuz mendengus mendengar jawapan Yusra. Segera dia bangun dan melangkah menghampiri Yusra. Tangan Yusra yang sedia memegang tombol di tempis.

"Dah tepi lah. Biar aku tolong ibu. Kau tu perempuan, larat ke nak angkat periuk kuali besar tu?" Fairuz mendengus dan mula membuka pintu bilik.

Yusra mengekori dari belakang.

* * *

"Malam ni, kau tidur atas katil. Aku tidur kat bawah." Fairuz capai bantal dan diletakkan ke lantai tepi katil pengantin.

Yusra di birai katil mengerut kening.

"Kenapa?" tanyanya.

Fairuz menoleh.

"Kenapa, kau tanya? Tadi kita dah bincang kan? Aku nak kan ruang untuk kita suaikan diri masing-masing. Aku tak nak lah nanti aku terkam kau ikut suka hati aku. Sepatutnya kau bersyukur sebab aku masih lagi fikirkan perasaan kau," bebel Fairuz.

Yusra diam dan dia akui apa yang dikatakan oleh Fairuz itu betul. Dia belum bersedia menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri.

"Awak tak kisah ke tidur kat bawah ni?" soal Yusra pula.

"Habis, kau nak aku tidur dengan kau atas katil? Ke kau nak aku tidur atas katil, kau tidur bawah?"

Pantas Yusra mengeleng. Fairuz bercekak pinggang. Geram dengan Yusra.

"Eh.. tak.. saya cuma takut awak tak selesa. Nanti sakit pulak belakang awak." Dia segera mengambil comforter dalam almari pakaiannya dan dibentangkan di tempat Fairuz ingin tidur.

"Emm.. fikir pulak kau pasal aku. Aku ingat kau dah tak kisah pasal aku. Dah la jangan banyak bunyi. Aku penat. Aku nak rehat. kau pun tidur la. Ni, apasal kau pakai tudung?" Dia masih bertanya walaupun badannya mula terasa penat dan mengantuk.

"Emm.. saya segan dengan awak. Lagipun saya tak biasa dedahkan rambut saya pada mana-mana lelaki yang bukan mahram saya," balas Yusra sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

"Bukan mahram kau? Aku suami kau. Halal untuk kau. Bukan setakat rambut tapi seluruh tubuh kau. Ingat tu!"

Geram pulak Fairuz dengan jawapan Yusra yang langsung tidak ada betulnya itu. Lihat muka Yusra yang terkulat-kulat, Fairuz mengeluh.

"Dah la, aku nak tidur. Kalau kau masih nak tidur dengan tudung tu, it's up to you. Tapi kalau kau tak selesa ke, panas ke, kau jangan salahkan aku," jawabnya sedikit terasa hati bila Yusra berkata seolah-olah menidakkan haknya sebagai suami.

"Terima kasih sebab awak masih lagi fikirkan saya," balas Yusra. Segera dia bangun mendekati suis bilik bila melihat Fairuz mulakan pembaringan.

Suis lampu bilik dipetik Yusra dan suasana di bilik tidurnya bergelap cuma ada cahaya biasan lampu jalan dari luar rumah.

"Awak, esok umi dan abah balik KL kan? Boleh tak selepas kita jumpa umi dan abah, saya nak jumpa Shah?" Dalam gelap Yusra bertanya.

Fairuz yang sudah memejam mata melayan kantuk mula segar bila mendengar nama 'Shah' di bibir isterinya. Shah, kedengaran seperti nama lelaki baginya.

"Shah?" tanya Fairuz dalam kesamaran.

"Ha'a Shah. Aishah. Pengapit saya tu, esok dia dah nak bertolak ke KL. Rumah mak saudara dia. Lusa hari pendaftaran masuk U. Sepatutnya kami bertolak sama-sama esok tapi sekarang semua plan tu dah berubah," lirih suara Yusra. Seperti ada rasa yang tidak mampu dia sembunyikan.

"Maksud kau?" Fairuz bangun dari baringnya.

Tubuh Yusra yang sudah terbaring itu dipandang. Dia dapat mengesan ada sesuatu yang cuba disembunyikan Yusra.

"Eh tak ada apa-apa lah awak. Awak tidur la... dah lewat ni." Yusra cepat-cepat menepis rasa dihati. Mata yang mula bergenang segera diseka dengan tapak tangannya.

"Kalau kau tipu aku, siap kau!" ugut Fairuz.

Dia kembali berbaring dan selang beberapa minit dia mula tertidur. Sejujurnya dia sangat penat. Tubuhnya perlukan rehat sebelum dia menempuh perjalanan balik ke rumah orang tuanya.

* * *


Fairuz berdiri di jendela homestaynya di Kampung La. Menunggu Yusra membalas WhatsApp. Penat masih terasa setelah 8 jam menempuh perjalanan dari Selangor ke Besut, Terengganu. Esok akan berlangsungnya hari pernikahannya dengan Yusra Saidah. Tunang yang sudah 6 tahun menjadi tunangannya tanpa dia tahu. Tidak sabar menanti hari esok.

_I'm sorry my fiance._ ~Yusra

"Ruz, boleh abang cakap dengan Ruz sekejap?" Tengku Furqan sudahpun mengambil tempat berdiri di sebelah Fairuz.

Fairuz menoleh pada abangnya. Dia mengitari pandangan sekitar homestay. Semua tiada. Semua pergi mandi di kolam air panas.

"Ada apa abang?" tanyanya. Dia melabuhkan duduk di sofa diikuti Tengku Furqan.

"Ruz dah betul-betul bersedia ke nak kahwin?" Furqan mulakan soalannya.

Fairuz tersenyum nipis. Ada rasa yang tidak selesa bila abangnya tanya soalan itu. Matanya melirik pada wajah abangnya. Muka Furqan tidak jernih seperti selalu.

"InsyaAllah abang. Ruz cuba untuk bersedia," jawabnya.

"Kalau Ruz rasa belum bersedia, masih ada masa lagi untuk Ruz tarik diri."

Fairuz mula merasakan ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh abangnya. Debaran dihati mula terasa.

"Maksud abang?" Kening mula bertaut.

Tangannya digenggam mencari kekuatan untuk mendengar setiap butir bicara yang akan keluar dari mulut abangnya.

"Abang tahu Ruz terpaksa ikut wasiat atok dan plan umi dan abah ni. Kalau Ruz rasa Ruz tak bersedia untuk kahwin dengan Yusra, abang sanggup gantikan tempat Ruz," lirih suara Furqan namun setiap ayat yang dilontarkan mampu membuatkan urat saraf Fairuz tegang.

"Abang!! "Separuh menjerit.

Fairuz bingkas bangun dari sofa dan berdiri di tepi jendela. Dipejam mata dan berusaha mengawal aliran penafasan agar bisa bertenang dan tidak terburu-buru dalam mengambil tindakan.

Segera dikeluarkan telefon dari poket seluar dan ditekan-tekan aksara di skrin telefon untuk membalas mesej Yusra. Tidak mahu membiarkan Yusra terus menunggu.

_Its okay Yusra. I have to go._ ~Fairuz

_InsyaAllah esok kita jumpa._ ~Fairuz

_Aku yakin kau akn jatuh cinta dgn aku walaupun aku tak se'handsome' Jay Hernandez._ ~Fairuz

_Aku ni lebih banyak handsome dari Alex O'Loughlin._ ~Fairuz

_So kau fikir la baik-baik._ ~Fairuz

"Ruz, abang minta maaf. Abang tak boleh tipu diri abang. Abang sukakan Yusra. Dari first sight lagi abang dah sukakan dia. Dia layan anak-anak abang dengan baik. Abang betul-betul sukakan Yusra," luah Furqan.

Furqan menyentuh bahu Fairuz yang membelakanginya. Fairuz diam tidak terkutik. Setiap bait ayat yang abangnya katakan bagaikan belati sedang menghiris hatinya.

"Once she belongs to me, as long as she still belongs to me. You cannot deny me my rights," jawab Fairuz seraya memandang abangnya.

Furqan sedikit tersentak dengan jawapan adiknya.

* * *

"Awak, jom..." Yusra Saidah sudah berdiri dihadapannya.

Segala ingatannya pada perbualannya dengan Furqan beberapa hari lepas terburai. Dia melirik pandangan pada sang isteri. Berbaju kurung merah, berbunga putih dan bertudung putih. Ringkas dan cantik! Ya, Yusra memang cantik walaupun hanya ringkas sahaja penampilannya. Sesuai dengan usianya.

"Ibu, ayah.. Yusra keluar kejap. Nak jumpa Umi dan Abah dulu lepas tu nak jumpa Aishah." Yusra meminta izin Haji Shafie dan Hajjah Sumayah.

Melihat kedua orang tuanya menggangguk, dia tersenyum senang. Tangan kedua orang tuanya dicapai dan disalam. Fairuz juga bersalam dengan kedua mertuanya.

Yusra membuka pintu kereta Toyota Corrolla Altis milik Fairuz lalu memboloskan diri ke perut kereta. Melihat Fairuz tenang memandu membuatkan dia terasa seperti selamat dalam jagaan suaminya. Dia tersenyum.

"Kenapa senyum?" tanya Fairuz. Matanya menoleh Yusra disebalik kaca mata hitam Rayban.

Yusra tersentak serta merta mati senyumannya.

"Tak ada apa." Jawapan selamat sebab dia tahu Fairuz tidak suka soalan yang tidak dijawab.

"Ke kau senyum-senyum sebab kau suka dapat jumpa Abang Qan?" Fairuz mulakan soalan. Yusra menoleh dan mengerut kening. Wajah Fairuz serius.

"Abang Qan.. kenapa?"

"Kau suka dia?" Soalan dibalas soalan. Yusra mula rasakan ada sesuatu yang tidak kena disebalik soalan itu.

"Suka dia? Tak lah. Abang Qan kan abang ipar saya. Saya dah anggap dia macam abang Zul la." Jujur dia menjawab. Fairuz mendengus tidak puas hati dengan jawapan Yusra. Dia diam dan Yusra juga diam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience