Bab 1 : CBYS

Romance Series 109654

~Hari ini~

"Yes!" Jerit Yusra Saidah dan Aishah serentak.

Sampul surat berwarna putih yang tertera lambang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakap erat oleh mereka. Akhirnya dapat juga mereka melangkah ke Universiti itu. Universiti yang menjadi kegilaan ramai pelajar kerana setaraf dengan Universiti antarabangsa. Ucapan syukur tidak henti-henti dari bibir dua sahabat karib itu.

"Assalamualaikum."

Sapa satu suara memberi salam mengejutkan mereka yang sedang meraikan kegembiraan masing-masing. Kedua-duanya menoleh ke belakang. Jejaka berkulit hitam manis bersama motorsikalnya tersengih.

"Gembira sakan nampak. Korang dapat U mana?" Sambung jejaka itu.

"Kami dapat UKM. Kau?" Aishah menjawab sambil melayang-layangkan sampul surat berkenaan dihadapan Khairul Azam.

Yusra disisi Aishah hanya mengangguk.

"Eh, samalah kita. Tak sangka pulak kita dapat tempat yang sama kan? Aku ambil jurusan perubatan. Kau?"

"Sama lah aku. Cuma Yus je lain." Kendur suara Aishah. Terkilan sebenarnya kerana dia dan Yusra tidak sama jurusan nanti.

"Yus ambil jurusan apa?" Soal Azam kemudian sambil memandang Yusra.

"Yus dapat bioperubatan. Kalau ikutkan minat, Yus minat perubatan tapi tak tahu lah macam mana boleh dapat jurusan ni. Azam dari mana?"

"Azam dari rumah Mazlan. Tolong servis laptop kakak dia. Ni korang dah habis mengajar ke?"

"Dah. Kitorang dah nak balik dah pun. Singgah sini tengok-tengok surat je." Beritahu Yusra jujur.

Azam terangguk-angguk. Matanya tidak lepas dari menatap wajah lembut Yusra. Yusra menunduk. Aishah menyedari perubahan temannya lantas bersuara.

"Oklah Azam. Rasanya dah lama kami kat sini,nanti risau pulak Haji Shafie tu anaknya lambat balik. Kami balik dulu ya. Assalamualaikum. Yus, jom!" segera tangan Yusra ditarik.

Yusra hanya menurut langkah Aishah yang semakin laju melangkah meninggalkan Azam dengan motorsikalnya.

* * *

"Shah, dah la.. Azam dah jauh dah." Beritahu Yusra.

Segera tangannya menarik tangan Aishah supaya Aishah menghentikan langkah lajunya. Aishah menurut. Wajah Yusra dipandang.

"Aku tahu kau tak selesa dengan Azam selepas dia meluahkan perasan dia pada kau. Tapi Yus, kenapa kau tak suka dia? Dia kan kawan kita. Kita sama-sama study, makan, lepak di kantin, di library.. kenapa kau tak suka dia?" Soal Aishah kemudian.

Sudah lama dia simpan soalan ini. Hendak dituju terus kepada Yusra, dia bimbang kalau soalannya membuatkan Yusra tidak selesa.

Yusra mengeluh sebelum memberikan jawapan.

"Aku bukan tak suka dia Shah, cuma aku tak nak berikan dia harapan palsu. Aku cuma anggap dia sebagai kawan. Jujur aku cakap, aku selesa dengan dia tetapi hanya sebagai kawan. Tak lebih dari tu. Lagipun aku masih tak boleh lupakan abang Faiz."

"Aku tahu dia sukakan aku sebab dia belum mengenali orang lain diluar sana. Mungkin bila dia mengenali dunia diluar, jumpa dengan ramai orang, baru dia faham apa itu rasa dicintai dan menyintai. Aku percaya suatu hari nanti dia akan jumpa dengan orang yang betul-betul menyintai dia. Dan yang pastinya orang itu bukan aku, Shah" Luah Yusra.

Aishah kehilangan kata-kata. Wajah comel sahabatnya direnung. Akhirnya dia mengangguk kecil disertai segaris senyuman dibibir. Lengan Yusra dipeluk erat lalu mereka melangkah bersama.

Yusra atau nama penuhnya Yusra Saidah binti Haji Shafie telah lama bersahabat dengan Sharifah Aishah bin Syed Hamidi. Persahabatan mereka bermula dari zaman hingusan sehingga ke zaman persekolahan. Kebetulan pula mereka tinggal berdekatan. Sejak dari sekolah rendah dan beralih ke sekolah menengah di Maktab Rendah Sains Mara di Kuala Berang, mereka berpindah ke sekolah harian biasa di kampung mereka kerana Aishah baru sahaja kehilangan ayahandanya yang tercinta. Manakala nenek Yusra juga sedang sakit tenat.

Biarpun bersekolah di kawasan pendalaman, keputusan Sijil Penilaian Menengah (SPM) menjadi saksi kejayaan Aishah dan Yusra bila masing-masing mencatatkan keputusan yang membanggakan. Tetapi rezeki mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tidak menyebelahi apabila tiba-tiba Aishah ditimpa kemalangan.

Sebagai kawan baik kepada Aishah, Yusra memutuskan untuk meneruskan pengajian d tingkatan 6 sahaja disamping dapat membantu Aishah meneruskan rawatannya dan membantu Aishah dalam pelajaran.

Kali ini, dengan keputusan STPM yang cemerlang, mereka ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke UKM. Dengan harapan yang tinggi menggunung, mereka berharap kali ini tiada lagi halangan untuk mereka terus menjejak kaki ke menara gading. Menggapai cita-cita mereka.

Yusra dan Aishah diberikan kepercayaan oleh penduduk kampung untuk mengajar di Pusat Tuisyen yang ditempatkan di Perpustakaan Desa anjuran penghulu kampung pada setiap hari minggu.

* * *

"Assalamualaikum.." Yusra Saidah memberi salam tatkala sampai di halaman rumahnya.

Terjengul kepala Che Da Ana di celah-celah pokok bunga ros yang pelbagai warna yang di tanam di laman rumahnya. Che Da Ana, kakak ibunya merangkap jiran tetangga yang paling rapat dengan keluarganya.

"Rajin Che Da berkebun" tegurnya dan meneruskan langkah menghampiri Che Da Ana.

"Salin pasu je Yus. Che Da tengok pokok-pokok ni dah besar dari pasu, tu yang tukar pasu tu. Lewat balik. Pergi mana?" Tanya Che Da Ana sambil menanggalkan sarung tangan yang dipakai. Peluh di dahu dilap dengan tuala 'good morning' yang diletakkan dibahunya.

"Yus dari kedai Ustaz Lokman tadi. Saja tengok-tengok surat dan Yus jumpa durat ni Che Da." Beritahu Yusra sambil tersenyum.

Surat itu dihulurkan kepada Che Da Ana. Che Da Ana menggeleng.

"Surat apa tu Yus? Bukalah. Tangan Che Da kotor, nanti kotor pulak surat tu Yus."

"Surat dari U Che Da. Yus dapat masuk UKM Che Da" Jawab Yusra girang. Che Da tersenyum.

"Alhamdulillah. Tak sia-sia pengorbanan Yus selama ini." Che Da Ana meraup wajah dengan telapak tangannya. Syukur.

"Mudah-mudahan Che Da. Aishah pun dapat sama dengan Yus, lagilah Yus suka Che Da. Ibu dan ayah ada dirumah tak Che Da?" Soal Yusra kemudian sambil menjeling ke laman rumahnya yang sunyi seperti tidak berpenghuni.

Motorsikal Kriss ayahnya juga tiada di garaj. Hanya kereta proton wira sahaja yang tersadai elok di tempatnya.

"Tadi ibu dan ayah Yus pergi kebun. Lama dah perginya. Kejap lagi baliklah tu." Jawab Che Da Ana.

Langkah di atur ke bangku kayu dan melabuhkan punggungnya di situ. Yusra mengekori langkah Che Da Ana. Intan Suhana, cucu Che Da Ana muncul di sebalik dapur sambil menatang sedulang air teh o bersama karipap.

"Nek, minum dulu. Kak Yus jom la join sekali" ujar Intan Suhana kemudian.

Tangannya sibuk menuang air ke cawan. Sungguh tertib kelakuan anak itu biarpun baru berusia 8 tahun.

"Abang Idi mana Sue?" tanya Yusra. Cawan teh o diangkat n dihirup sedikit.

"Tadi Sue tengok dia pergi memancing sungai belakang rumah. Ikut Pak Salleh." Jawab Intan Suhana sambil mengunyah karipap.

* * *


Rumah Haji Shafie dan Hajah Sumayyah riuh rendah dengan suara saudara mara dan jiran tetangga terdekat. Hari ini mereka mengadakan kenduri kesyukuran sempena Yusra Saidah dan adiknya, Yusran Saidi memperolehi keputusan cemerlang dalam STPM dan SPM. Yusra Saidah bakal ke UKM dan Yusran Saidi bakal ke Matrikulasi Pahang. Senyuman tidak lekang dari bibir masing-masing.

Haji Shafie sangat berbangga dengan kejayaan anak-anaknya dan berharap mampu menjadi contoh kepada remaja yang lain. Anak sulungnya, Yadif Safwan berkhidmat sebagai seorang guru di sekolah pendalaman orang asli d Gua Musang, Kelantan.

Anak keduanya, Yasmin Safwah tidak dapat pulang ke kampung bagi meraikan kejayaan adik- adiknya kerana cuti tidak diluluskan. Yasmin Safwah sudahpun berumahtangga dengan seorang doktor dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Yamin Zafrin dan Yasmin Zehra. Dia dan suaminya, Doktor Zulkifli berkhidmat di bumi Sandakan, Sabah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience