Bab 13 : CBYS

Romance Series 112928

Telefon Tengku Fairuz berdering lagi. Dengan malas dia keluarkan telefon dari saku seluarnya. Sekilas dia melihat skrin telefon. Nama 'Tehah' yang tertera. Segera ditekan butang hijau.

"Hello, Assalamualaikum Tehah." Sapanya pembuka kata.

"Waalaikummusalam. Abang....." Suara adiknya, Tengku Fatihah kedengaran sayu.

"Kenapa ni Tehah?"

"Tadi Is bagitahu Tehah, abang dh nak kahwin lusa... betul ke?" Esakkan kecik kedengaran.


"InsyaAllah kalau ikutkan perancangan umi dan abah macam tu la Tehah. Kenapa ni?" Tanyanya.

Mula gelisah mendengar adik kesayangannya menangis dihujung talian. Dia membetulkan duduknya cuba fokus untuk mendengar apa yang cuba disampaikan oleh Tengku Fatihah.

"Kenapa tak tunggu Tehah dan Is balik dulu? Kami lagi dua bulan nak balik." Luah Fatihah. Suaranya kedengaran sedikit terkilan.

"Abang minta maaf Tehah. Abang serahkan semuanya pada umi dan abah. Lagipun majlis penyerahan kuasa akan diadakan 2 minggu lagi. Jadi abah plan nak buat serentak dengan Majlis tu. Abang minta maaf Tehah." Jawabnya.

Memohon pengertian dari si adik. Bukan Tengku Fatihah sahaja yang terkilan. Dia juga sama. Adik kesayangan dan kawan baiknya sendiri tidak ada dalam majlisnya nanti.

"Tehah sedih abang. Dulu masa abang Qan kahwin, Tehah tak boleh balik. Abang kahwin pun Tehah tak boleh balik."

"Tehah... abang nak sangat Tehah ada dengan kami. Tapi abang faham Tehah tengah final exam."

"Tak apalah abang. Kirim salam pada semua. Doakan Tehah berjaya di sini dan Tehah doakan abang bahagia dengan pilihan abah dan umi. Assalamualaikum abang." Dalam sendu Fatihah mematikan panggilannya.


Fairuz diam sambil pandang telefonnya. Salam dijawab dalam hati. Sedih mendengar suara adiknya.

'Maafkan abang Tehah.' bisiknya dalam hati. Nafasnya dihela dan matanya dipejam. Cuba melupakan apa yang berlaku pada hari ini. Banyak perkara yang berlaku serentak hari ni. Pelipis dahi dipicit perlahan. Ingatan kembali pada kejadian petang tadi.

* * *


"Fairuz!" Satu suara memanggil namanya.

Dia menoleh dan Syed Ammar juga. Masing-masing tidak jadi melangkah masuk ke kereta masing-masing. Fairuz kaget. Terkesima. Gadis yang diminati dalam diam, sebelum munculnya Qazrina dan Yusra Saidah kini ada didepan mata.

"Haura.." Syed Ammar menyebut nama itu. Mendahului Tengku Fairuz.

Qaseh Haura tersenyum dan melangkah menghampiri dua jejaka hebat dihadapannya.

"You buat apa kat sini?" Tanya Syed Ammar. Dia memandang Fairuz sekilas. Dia tahu Fairuz tidak selesa dengan kehadiran Qaseh Haura.

"I ada seminar kat sini. Baru habis. Korang dari mana?" Tanya Qaseh Haura pula.

Dia memandang Fairuz tapi Fairuz melarikan pandangan. Seolah-olah tidak berminat untuk memandangnya.

"Kitorang dari office. Dah nak balik dah pun." Syed Ammar menjawab bagi pihak Fairuz bila dia menyedari Fairuz tidak berminat untuk menjawab soalan Qaseh Haura tadi.

"Office? You mean Mentari Holdings?" Tanyanya bila menyedari dimana mereka berada sekarang iaitu dibawah bangunan Mentari Holdings yang tersegam mewah di tengah-tengah Bandar Baru Bangi ini.

"Ha'a.. dari Mentari" Jawab Syed Ammar lagi.

"Oo ye ke? Korang rushing ke? Kalau tak ada hal, boleh kita pergi minum dulu?" Qaseh Haura sekadar berbasi-basi. Sebenarnya banyak yang ingin dibualkan dengan mereka berdua, lebih-lebih lagi Tengku Fairuz.


Syed Ammar kerling kepada Tengku Fairuz, meminta jawapan. Keningnya dijongket sedikit. Serba salah untuk menolak dan serba salah untuk menerima. Fairuz menjeling. Wajahnya bersahaja. Sesekali dia mendengus sebelum menjawab.


"It's okay Haura. Kita 'chit chat' lain kali. Sebenarnya Ammar kena follow aku balik rumah aku untuk ambil baju majlis aku. Lusa wedding aku. Jemput datang." Tukas Tengku Fairuz bila kawannya itu sudah ketandusan idea untuk menolak pelawaan Qaseh Haura.


Qaseh Haura terkedu seketika mendengar kata-kata Fairuz. Nada suara juga jauh berbeza dengan Fairuz yang dia kenali 12 tahun dulu.


"Wedding you?" Tanyanya sekali lagi meminta kepastian.


Fairuz mengangguk. Pantas dia buka pintu kereta BMW 5 series GT, dan mengambil sekeping kad jemputan perkahwinan di atas dashboard. Segera dihulurkan pada Qaseh Haura.

"Jemput datang Haura. Maaf, kitorang gerak dulu. Insha Allah nanti kita jumpa lagi." Ujarnya dan terus memboloskan diri ke dalam perut kereta.

Syed Ammar juga meminta diri dan masuk ke perut kereta Honda Civicnya. Memulakan pemanduan mengekori kereta Fairuz dihadapan.

Dari cermin pandang belakang, Fairuz dapat melihat susuk tubuh Qaseh Haura yang sudah semakin jauh.

'Kenapa baru sekarang kau muncul Haura?' Tanyanya sendiri.

* * *

Qaseh Haura, selepas 12 tahun dia menghilang dan hari ni dia muncul. Dia muncul sebagai seorang wanita yang sangat berkarisma. Dari segi pemakaian Qaseh Haura tadi pun dia dapat menjangkakan Qaseh Haura bukan calang-calang orangnya.

Dia pernah sukakan Haura. Haura yang periang, peramah dan lantang bersuara. Sekali pandang personaliti Haura sedikit sebanyak seperti Qazrina. Haura cinta pertamanya. Cinta di zaman sekolah menengah. Namun cinta mereka tidak berpanjangan bila Haura membuat keputusan untuk berpindah ke Turki, negara kelahiran ibunya.

Meskipun tiada kata perpisahan dari Haura, namun Fairuz tetap setia menunggu cintanya. Dia yakin suatu hari nanti dia dan Haura akan berjumpa kembali. Dia setia pada gadis itu sehinggalah Faiz Iskandar memperkenalkan Qazrina padanya di Ireland dulu.

"Ruz, semua dah sedia ke?" Tanya Tengku Fauziah seraya melabuhkan duduknya dihadapan Fairuz.

Fairuz tersentak dari mengingati kenangan lalu tentang Qaseh Haura.

"InsyaAllah umi. Semua dah sedia. Tunggu hari nya saja." Jawabnya. Senyuman terukir di bibir uminya. Bahagia sahaja muka orang tuanya.

"Farra berkurung lagi ke umi?" Fairuz bertanya perihal adik bongsunya. Uminya mengeluh berat.
Tengku Farra, seorang yang periang tetapi berubah menjadi pendiam sejak kemalangan dulu. Kemalangan yang menyebabkan kematian sahabat baiknya, Nur Dahlia. Setahun Farra trauma. Perlahan-lahan dia bangkit mengumpul semangat untuk meneruskan hidup.

Namun, sebaik sahaja dia melihat gambar Yusra Saidah yang uminya tunjukkan, dia kaget. Dia seperti memandang arwah Dalila di dalam gambar itu. Rasa tidak kuat untuk berhadapan dengan bakal kakak iparnya.

Ketukan dipintu bilik mengejutkan Farra.

"Farra, boleh abang masuk?" Suara Fairuz kedengaran.

Dia membisu. Tiada respon. Bunyi pintu dikuak dari luar. Segera matanya dipejam rapat. Berpura-pura tidur.

"Farra... Sampai bila Farra nak macam ni?" Fairuz duduk di birai katil adiknya.

Selimut yang menyelubungi tubuh Farra perlahan-lahan ditarik. Wajah tidak berseri adiknya terserlah. Wajah yang dulunya selalu tersenyum kini muram. Dia rindukan senyuman Farra. Gelak tawa Farra.

"Farra tak nak bercakap dengan umi, abah, abang... habis Farra nak bercakap dengan siapa?" Tanya Fairuz.

Farra masih kaku, menutup matanya rapat.

"Farra tak suka dia." Suara Farra kedengaran perlahan. Dia, Yusra yang dimaksudkan.

"Kenapa?" Fairuz pula bertanya. Sengaja dipancing Farra untuk memberikan jawapan walaupun dia tahu apa penyebab Farra tidak sukakan Yusra.

Farra mendengus kasar. Dia bangun dari pembaringan.

"Farra tak nak dia kahwin dengan abang. Farra tak nak dia ada dalam rumah ni." Jawab Farra kasar.

Matanya sembab tanda banyak menangis. Pipinya cengkung tanda tidak cukup makan dan minum. Seleranya mati saat terpandang gambar Yusra tempoh hari.

"Tapi kenapa? Abang nak tahu, kenapa?"

"Farra tak suka dia. Farra tak suka dia!" Jerit Farra.

Penumbuk digenggam lalu dihentakkan berulang kali ke bantal.

Fairuz bertindak pantas, segera tangan adiknya ditangkap dan menarik tubuh Farra ke dakapannya. Tangisan dan raungan mula kedengaran. Farra melepaskan segala rasa yang ditanggung dalam dakapan abangnya.

"kenapa dia? kenapa dia abang?" Soalnya dalam tangisan.

"Farra tak suka dia ada depan Farra. Farra dah move on tapi kenapa dia perlu muncul lagi depan Farra." Luah Farra lagi.

"Farra, dia bukan Dahlia. Dia Yusra Saidah. Bakal isteri abang. Abang tahu susah untuk Farra terima tapi Farra kena yakin dia bukan Dahlia. Pelanduk dua serupa tapi tetap tak sama." Fairuz cuba memujuk. Belakang adiknya diusap perlahan.

"Abang juga macam Farra. Susah untuk nak terima orang baru dalam hidup abang. Tapi abang yakin Allah bukan sengaja aturkan dia untuk masuk dalam keluarga kita. Allah jadikan dia sebagai pengganti Dahlia buat Farra. Allah juga jadikan dia penyebab kepada Farra untuk terus bangun dari terus macam ni. Abang yakin Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih." Tambah Fairuz lagi. Air mata Farra disapu dengan jarinya.

"Abang dah lama tak tengok adik abang senyum... " pintanya dan Farra merenung si abang sekejap sebelum dia tersenyuman nipis. Fairuz turut tersenyum. Jemari adiknya dicapai dan digenggam.

"Farra ikut abang nanti ya?" Dia cuba memujuk si adik.

Baru tadi uminya memberitahu, Farra menolak untuk sertai rombongan mereka ke rumah Yusra yang akan bertolak pada keesokkan hari.

"Ikut pergi mana?" Soalnya dalam suara tenggelam timbul. Keningnya bertaut.

"Lusa abang dah nak kahwin. Farra ikut abang ke sana ya? Abang sedih kalau Farra tak ikut abang. Dua-dua adik abang tak ada di sisi abang pada hari penting abang. Tiba-tiba rasa macam abang ni anak bongsu umi dan abah. Malu lah abang.Takkan la abang nak rebut takhta Farra sebagai the bongsu, kan?" Fairuz berseloroh cuba pancing senyuman si adik.

Farra tersenyum dengar si abang menyebut perkataan 'the bongsu'. Ayat kegemarannya!

"Abang nak Farra jumpa dia. Berkenalan dengan dia. Abang tahu Farra akan suka dia." Sambung Fairuz lagi.

"Kalau Farra tak suka dia?" Tanya Farra perlahan bersama keluhan kecil.

"Kita sama-sama berkenalan dengan dia ya? Abang pun tak kenal dia lagi. Abang cuma kenal dia melalui cerita-cerita yang Umi dan abah sampaikan. Abang tahu dia orang baik macam Farra."

Farra tersenyum. Fairuz juga. Banyak yang mereka bualkan dan akhirnya kedengaran tawa halus dari bibir Farra. Disebalik pintu ada insan yang sedang menahan tangis. Cuba menyembunyikan rasa sebak di hati. Cuba menyembunyikan rasa bahagia bila mendengar suara anak bongsunya tertawa. Lama dia tidak mendengar suara itu bergelak ketawa. Terima kasih Yusra!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience