Bab 36 : CBYS

Romance Series 112928

"Papa, Pak Ngah, sini tengok Mak Ngah," jerit Tengku Farhana.

Tengku Farhan duduk di sisi Yusra, meminta maaf berkali-kali kerana rasa bersalah.

Tengku Furqan dan Tengku Fairuz bungkam seketika sebelum masing-masing bergegas bangun menghampiri Yusra yang sudah terduduk di atas batu-batu kecil di tepi kolam ikan koi.

"Kenapa ni Yusra?" tanya Fairuz kerisauan.

Dia duduk dihadapan Yusra. Muka Yusra yang berkerut menahan sakit itu dipandang. Tangan Yusra memegang pegelangan kaki.

"Mak Ngah jatuh tadi masa kejar abang."

Mendengarkan jawapan yang keluar dari mulut Tengku Farhana, membuatkan Fairuz mencerun pandangan pada Yusra. Tengku Farhan sudah berlari ke sebelah Papanya takut dimarahi Pak Ngahnya.

"Seronok main kejar-kejar sampai lupa awak tu dah jadi isteri orang?" jerkah Fairuz.

Yusra terkedu. Serta merta mukanya terasa bahang. Malu dijerkah begitu depan abang ipar dan anak-anak saudaranya. Dia gigit bibir menahan rasa. Rasa sakit di kaki sudah tidak terasa lagi. Rasa sakit di hati lagi terasa dari sakit di kaki. Kepalanya ditundukkan. Risau kalau ada yang perasan air matanya sudah bergenangan.

"Ruz, apa ni cakap macam tu. Yusra tengah sakit tu," tegur Furqan.

Fairuz tersentak dengan keterlanjuran kata-katanya sebentar tadi.

"Yusra boleh bangun tak ni?" soal Furqan lagi bila menyedari Fairuz hanya diam. Adiknya itu tengah marah.

Yusra hanya menunduk.

"Mak Ngah boleh bangun tak? Papa, tolong la papah Mak Ngah. Sian Mak Ngah sakit." Pinta Farhana sambil menggoyang lengan papanya. Furqan pandang Farhana dan Fairuz bergilir-gilir.

"Papa tak boleh papah Mak Ngah sayang. Nanti Pak Ngah tolong Mak Ngah," jawab Furqan lembut pada anaknya. Terserlah jiwa penyayang seorang ayah.

"Tapi nanti Pak Ngah marah Mak Ngah macam tadi." Protes Farhana. Dia sendiri terkejut dengar Fairuz jerkah Yusra tadi.

Fairuz yang mendengar kata-kata Tengku Farhana, tersentak. Kuat sangat ke dia marah Yusra tadi? Tengku Farhana dan Tengku Farhan di sebelah Tengku Furqan dipandang, jelas menunjukkan wajah itu menikus. Takut dengannya.

"Pak Ngah tak marah. Pak Ngah cuma risau je. Risau kalau-kalau Mak Ngah sakit. Ruz...." Furqan memujuk anaknya lantas menyiku lengan Fairuz sebagai isyarat kepada Fairuz supaya segera tolong Yusra.

Fairuz toleh pada Furqan di sebelahnya. Dia mendengus kecil kerana geram dengan Yusra. Bermain macam dia tu budak kecil! Desis hatinya. Fairuz memaut bahu Yusra membantu isterinya untuk bangun. Bahu Yusra dipaut erat lalu dipapahnya keluar dari taman mini. Tidak tahan mendengar Yusra mengaduh setiap kali melangkah, Fairuz mengambil keputusan untuk mencepung tubuh Yusra Saidah. Terus buntang mata Yusra. Tercengang dengan tindakan Fairuz.

"Awak... turunkan saya..." bentak Yusra. Bahu Fairuz ditampar. Malu diperlakukan sebegitu di hadapan Furqan dan si kembar. Ada senyuman terukir di bibir Furqan.

"Baik kau diam sebelum aku campak kau dalam kolam ikan ni." suara Fairuz kedengaran perlahan. Suara celah gigi. Hanya Yusra yang boleh mendengarkannya. Sengaja mengugut Yusra supaya isterinya diam.

Yusra terdiam. Bimbang kalau Fairuz buat kerja gila campak dia dalam kolam ikan koi tu. Fairuz tu pun boleh tahan sikap barannya.

"Ruz, bawa Yusra ke bilik Ruz dulu. Kejap lagi abang datang periksa Yusra dengan first aid." Furqan bertindak sebagai seorang doktor. Segera dia berlalu ke kabinet dapur dimana terletaknya first aid.

Fairuz mengangguk dan dengan berhati-hati dia melangkah ke tingkat atas. Yusra dalam dukungan Fairuz hanya mampu berdiam diri. Raut wajah suaminya ditenung dalam diam.

"Ehh kenapa dengan Yusra ni, Ruz?" tegur Tengku Fauziah di anak tangga terakhir. Kebetulan Tengku Fauziah baru keluar dari kamarnya.

"Luka sikit umi. Jatuh tadi dekat taman. Ada orang nak jadi budak-budak balik umi.. tak sedar diri tu dah jadi isteri orang." sinis sekali jawapan Fairuz. Yusra dalam dukungannya dijeling. Wajahnya masih serius.

Yusra gigit bibir, sakit hati dengan sindiran Fairuz dan malu bila Tengku Fauziah melihatnya dengan seulas senyuman terukir di bibir tuanya.

"Ala.. biasa la Ruz, Yusra kan muda lagi. Jiwa muda. Yusra cuma nak layan Ana dengan abang main je." Tengku Fauziah membela menantunya.

Kesian tengok muka cemberut Yusra bila disindir Fairuz. Dia mengekori Fairuz ke biliknya, mahu melihat keadaan menantunya. Sayangnya pada Yusra, sudah di anggap seperti anaknya sendiri.

"Tak salah pun nak melayan diorang tu umi tapi sedar lah diri tu.. dia tu isteri orang plus nak jadi mak orang pun dah sesuai sangat dah," balas Fairuz setelah meletakkan Yusra atas sofa. Yusra menahan rasa.

"Apa lah Ruz ni cakap macam tu.. kesian Yusra ni. Bukannya salah dia, dia jatuh. Mungkin ada la tu batu yang dia terpijak. Bukannya Yusra sengaja nak jatuh kan?" Tengku Fauziah masih berpihak pada menantunya.

Yusra mengangguk mengiakan kata-kata mertuanya. Bersyukur bila mertua membela nasibnya. Memang dia tak sengaja terpijak anak batu yang ada betul-betul tengah jalan tadi. Bila terpijak batu itu, dia tersadung dan kakinya terpelecot. Lutut kiri terkena anak-anak batu dan pergelangan kaki kiri juga sakit seperti terseliuh.

Fairuz sudah mengetap rahang. Geram bila uminya tidak sudah-sudah membela Yusra. Sedangkan terang lagi bersuluh, Yusra tak sepatutnya berkelakuan seperti budak-budak!

Seluar Yusra yang sedikit terkoyak di lutut itu diselak sedikit. Menampakkan betis putih Yusra. Ada sedikit darah merah yang masih mengalir di lutut Yusra. Fairuz mengangkat sedikit kaki Yusra untuk membetulkan kaki Yusra supaya dia boleh melihatnya dengan lebih jelas. Yusra menyinga sakit bila Fairuz menggerakkan kakinya.

"Sakit.... slow.. slow..." Jerit Yusra sambil memejam rapat matanya.

"Hah.. tahu pun sakit. Tadi masa main, tak ingat sakit?" Sedikit keras suara Fairuz.

Tengku Fauziah serta merta menampar bahu anak terunanya. Tak suka Fairuz jawab dengan kasar begitu dengan Yusra.

"Apa ni Ruz... Yusra sakit kan ni... Mana Furqan ni, lama pula cari First aid. Tunggu kejap, umi turun bawah. Jangan marah Yusra lagi." Sempat Tengku Fauziah berpesan.

Kemudian dia mengatur langkah keluar dari bilik. Fairuz menghantar uminya dengan pandangan mata. Sebaik pintu bilik ditutup, Fairuz kembali memandang Yusra. Seketika. dia menghela nafas panjang.

"Kenapa kau buat aku risau macam ni? Kau tahu tak, aku tak suka kau sakit. Aku risau." Suara Fairuz mula kendur. Ada kerisauan dalam nadanya.

"Kau tu baru sihat dari demam, tak sampai seminggu pun, kau sakit pula macam ni. Aku tak suka kau sakit macam ni. Aku rasa macam, aku dah gagal jaga kau." Sambung Fairuz. Lirih suaranya.

Yusra terdiam. Rasa bersalah serta merta bertamu di hati kerana menyebabkan kecuaian hari ini.

Pintu bilik di ketuk perlahan dan Tengku Fauziah terjengul di balik pintu bilik bersama Tengku Furqan. Di tangan Tengku Furqan ada kotak first aid. Fairuz meletakkan kain tuala di kaki Yusra yang terdedah. Sedikit tidak selesa bila fikirkan aurat isterinya dipandang oleh bukan mahramnya walaupun orang itu abangnya sendiri. Tengku Fairuz bangun dan mengambil tempat di sebelah Yusra, bagi ruang untuk Furqan rawat luka di lutut Yusra. Furqan berdiri di belakang Tengku Fauziah.

"Ruz nak buat ke?" tanya Furqan pada Fairuz.

Fairuz mengangkat muka pandang abangnya. Furqan menghormati Fairuz. Setakat mahu cuci luka dan tampal plaster, rasanya Fairuz pun boleh buat. Dia hormatkan Fairuz dan Yusra. Mungkin Fairuz tidak selesa kalau aurat isterinya dilihat orang lain.

"Tak apa. Meh biar umi buat. Qan, duduk kat sana dulu. Nanti umi dah selesai cuci luka ni, nanti Qan datang balik cek kaki Yusra." Tengku Fauziah mengambil alih tugas Furqan.

Tengku Fauziah faham dengan pandangan dua beradik itu. Dan dia bukannya buta untuk menilai dan memahami tindak tanduk Furqan yang menyukai adik iparnya. Selalu dia dengar 'ipar itu maut', dan kerana itu lah dia cuba menasihati Furqan untuk buang jauh-jauh perasaan suka itu sebelum suka bercambah menjadi sayang dan akhirnya bertukar cinta.

* * *


Tengku Furqan membalut kaki Yusra. Sesekali Fairuz menjeling muka Yusra yang berkerut tengah menahan sakit.

"Ankle sprain. Dalam beberapa hari nanti kaki Yusra boleh sembuh. Nothing serious." Beritahu Furqan selepas selesai membalut kaki Yusra.

Yusra mengangguk. Begitu juga dengan Fairuz.

"Terima kasih Abang Qan," ujar Yusra. Senyuman ikhlas diberikan pada abang iparnya. Fairuz juga berterima kasih pada abangnya.

Tengku Furqan dan Tengku Fauziah kemudiannya meminta diri untuk keluar dari bilik Fairuz. Disamping memberi ruang kepada pasangan suami isteri itu untuk bersendirian.

Pintu bilik di tutup, Fairuz mengalih pandangan kepada Yusra yang tengah membelek-belek kakinya yang berbalut.

"Nampaknya kita kena postpone dulu la untuk pindah ke rumah kita. Nanti bila kau dah sembuh betul-betul baru kita pindah." Fairuz bersandar di kepala sofa. Satu keluhan dilepaskan. Matanya masih pada wajah Yusra.

"Tak apa ke? Awak kan dah plan."

"Habis tu, tak kan nak pindah dengan kaki kau berbalut ni? Siapa nak angkat barang-barang kau nanti?"

"Emm.. Yelah-yelah..." Yusra mengalah.

Sebenarnya dia sedikit segan bila teringat reaksi Fairuz bila melihat kaki dan betisnya sebentar tadi. Walaupun hampir 4 bulan berkahwin, dia cukup menjaga tubuhnya dari terdedah. Dia belum bersedia.

"Awak.... lagi dua bulan saya dah nak masuk U, kan? Boleh tak kalau sebelum tu, saya nak balik jumpa ibu dan ayah?" pinta Yusra. Rindu pada orang tuanya sudah mencengkam jiwa.

"Nak balik kampung?"

Yusra mengangguk sambil mengerdip-ngerdipkan matanya berkali-kali. Mengharapkan belas ehsan dari Fairuz. Sejak datang ke Teratak Qaseh sebagai menantu belum pernah lagi mereka balik ke kampung halaman Yusra di Besut, Terengganu.

"Okay, nanti aku cek schedule aku. Kalau ada cuti, kita balik kampung. Kalau tak ada cuti, next time kita balik." Fairuz memberi kata persetujuan. Yusra senyum berpuas hati.

"Yeayyy!! Terima kasih awak. Ni yang saya sayang awak ni..." Yusra bersorak dengan riang gembira. Tangannya naik menepuk tangan berkali-kali persis anak-anak baru dapat gula-gula. Fairuz tersentak.

"Kau sayang aku?" tanya Fairuz.

Sedikit gementar hatinya bila terdengar Yusra mengucapkan kata-kata sayang itu tadi. Yusra yang sedang bersorak gembira tetiba terhenti. Menyedari khilaf tutur katanya. Terlajak perahu boleh di undur, kalau terlajak kata? badan merana....

"Hah?"

"Kau cakap kau sayang aku tadi. Betul?" tanya Fairuz sekali lagi, kali ini dengan wajah yang sudah bertukar serius. Tenung muka Yusra.

Yusra kaget. Gigit bibir sambil mencari idea untuk mengelak. Bagai ada mentol lampu menyala di tepi kepala Yusra, akal sudah datang.

"Aduh... Aduh.. sakit pulak kaki ni.. Rasa macam berdenyut-denyut la pulak..." Yusra pegang kaki.

Urut-urut perlahan. Matanya di pejam sebelah dan berkerut kening. Memastikan lakonan betul-betul menjadi. Fairuz mengecilkan matanya.

"Pandai la kau belakon. Baik kau jawab betul-betul, kau sayang aku tak?" soal Fairuz lagi. Dengan muka serius dia bertanya.

"Apa pulak berlakonnya? Saya sakit betul la ni.. Aduh.. macam mana saya nak mandi ni? Dah nak maghrib ni." Yusra mengesot ke belakang sedikit, cuba untuk menurunkan kaki kirinya yang sakit sebelum menurunkan kaki kanannya pula.

Berhati-hati dia cuba meletakkan kakinya pasak di lantai, mahu berdiri. Fairuz di sebelah hanya memerhati kelakuan Yusra dengan hati yang cukup geram dengan setiap kelakuan degil Yusra.

"Duduk la sekejap, rehat dulu. Kan baru je balut tu. Nak mandi, nanti aku tolong kau."

"Tak apa.. tak apa.. saya cuba bangun sendiri."

"Kaki kau sakit tu Yusra. Meh aku tolong." Fairuz baru ingin bangkit dari duduknya, Yusra cepat menahan.

"Tak apa, tak apa awak.. Saya boleh buat sendiri." Yusra masih berdegil.

"Kau ni kadang-kadang tak sedar diri jugak kan?" Tempelak Fairuz dengan nada serius.

Yusra toleh pada Fairuz. Muka Fairuz sudah merah padam menandakan dia tengah marah dan geram dengan Yusra.

"Kenapa pulak?" Soal Yusra tidak faham Tidak sedar diri apa ni?

"Kau dah tahu kau sakit, kenapa tak nak mintak tolong aku kat sebelah ni? Kau tak nak aku sentuh kau? Tolong kau? Kenapa, kau takut terhutang budi dengan aku ke? Aku siapa pada kau Yusra?"jerkah Fairuz dengan soalan yang bertubi-tubi. Suaranya sudah naik seoktaf dari tadi. Baran dengan sikap degil Yusra.

Yusra sudah terkedu. Tak sangka sikapnya tadi mengundang marah Fairuz yang berapi-api. Yusra menikus. Menunduk menekur lantai.

"Sekarang aku bagi kau pilihan, nak aku tolong kau pergi mandi atau nak aku mandikan kau sekali? Which one?" Kali ini Fairuz betul-betul serius, nampak rehang itu bergerak-gerak.

Yusra diam, takut untuk bersuara.

"Okay, aku dah tahu jawapan kau."

Fairuz segera bangkit dari sofa dan tunduk mencepung tubuh Yusra dibawa ke bilik air. Dia dudukkan Yusra di tab mandi. Kaki Yusra di angkat tinggi sedikit. Dia cuba tarik baju yang dipakai Yusra tapi Yusra cepat-cepat menghalang.

Yusra takut bila Fairuz berkasar dengannya. Yusra takut Fairuz bertindak diluar kawalannya. Fairuz mengalah bila Yusra bertegas tidak membenarkan Fairuz menanggalkan baju yang dipakainya.

"Kalau kau tak nak aku buat perkara yang kau tak suka, jangan cabar aku dan hak aku sebagai seorang suami. Kau ingat tu!" Fairuz segera berlalu dari bilik air dan menghempas kuat pintu bilik air. Mahu tunjukkan betapa dia marah dengan Yusra. Dia kecewa dengan Yusra.

Yusra diam di tab mandi. Ada air mata mengalir perlahan. Dia kecewa dengan dirinya. Kecewa juga kerana buat suaminya marah sedangkan Fairuz hanya cuba mahu menolongnya. Fairuz, sebaik-baik suami.


* * *


"Awak masak ke ni?"

"Emmm.. aku selalu masak masa di Ireland. So, untuk malam pertama kita di rumah kita.. aku belanja masakan aku khas untuk kau." Kata Fairuz sambil mengenyit mata pada Yusra.

"Awak dah lama ke duduk sini?"

"Kita makan dulu please. Lapar..."

''Okay.. "

"Rumah ni hadiah dari abah dan umi untuk perkahwinan kita."

"Hah? betul ke ni?" Yusra meletakkan sudu ke pinggan dan tangan kanan naik meletakkan di bibir. Tidak percaya. Mainan orang kaya, kahwin dapat hadiah sebijik banglo. Mata Yusra sekali. lagi melilau ke sekeliling ruangan dapur. Cantik rumah ni.

"Betul la. Rumah ni dekat dengan U kau dan dekat jugak dengan Office aku." Jawab Fairuz.

"Makan la... tak sedap ke spegeti carbonara aku?" tanya Fairuz kemudian sambil tunjuk pada pinggan di hadapan Yusra. Yusra tunduk pada pinggannya.

"Eh sedap. Saya suka. Nanti selalu masak untuk saya erk?"

"Boleh je asalkan untuk isteri kesayangan aku." Fairuz tersenyum manis. Memikat hati Yusra. Yusra terpena.

"Awak sayang saya?"

Fairuz menjongket sebelah bahu. Tangannya sambung suap makanan. Kemudian, dia meletakkan sudu dan garfunya ke pinggan dan tangan naik bertongkat siku. Jari jemarinya bercantum diletakkan di dagu. Memikirkan apa yang perlu katakan pada sang isteri.

"Kau tahu Yusra, mula-mula aku tahu aku bakal kahwin dengan kau, aku ada terfikir... kenapalah atuk nak sangat kau menjadi cucu menantu dia? Bila dah kahwin dengan kau, baru aku faham kenapa atuk nak sangat kau jadi cucu menantu dia."

"Kenapa?" Yusra mengerut dahi. Dia turut menghentikan suapannya.

"Because you are so special."

"Kali pertama aku tengok gambar kau, aku tak percaya yang aku akan kahwin dengan kau. Kau masih muda. Umur baru 20 tahun, sedangkan aku 27 tahun. Kita 7 tahun berbeza. Buat aku terfikir, serasi kah kita nanti? Kau masih budak bagi aku. Masih muda. Aku tak rasa kau mampu jalankan tugasan kau sebagai isteri aku tapi lama-lama aku perhatikan kau, aku rasa aku selesa dengan kau. Aku dah biasakan diri aku dengan adanya kau di sisi aku sebagai isteri aku. Jujur aku cakap, aku dah mula sayangkan kau." Sambung Fairuz.

"Aku tak paksa kau untuk terima aku hari ini. Sebab aku tahu kau perlukan masa dan waktu untuk kau lupakan sejarah kau dan terima aku seikhlas hati kau. Aku akan tunggu kau sehingga hari kau terima aku." Fairuz berkata lagi.

Yusra tidak mampu berkata-kata lagi. Terpegun dengan setiap bait-bait kata dari suaminya. Sabarnya seorang Tengku Fairuz. Cair hatinya dengan setiap kata-kata Fairuz.

* * *


"Yusra... kau dah siap mandi ke belum? Ni aku ada bawakan pakaian bersih kau. Kalau kau dah siap, aku buka pintu." Suara Fairuz bergema disebalik pintu bersama ketukan yang bertalu-talu.

"Awak..... saya sejuk....." Yusra menyahut perlahan.

Badannya sudah menggigil kesejukan. Tadi dalam tangis dia buka paip hujan dan membiarkan air membasahi tubuhnya tanpa dia membuka pakaian yang dipakai.

"Aku buka pintu ya?" Fairuz meminta izin.

Fairuz pulas tombol pintu dan menolak pintu perlahan. Berhati-hati kalau dimarahi Yusra. Yusra dilihat duduk di tab mandi sedang berpeluh tubuh. Baju yang dipakai sudah lencun kebasahan. Balutan dikaki dan plaster di lutut turut kebasahan. Badan itu bergegar sedikit menahan kesejukan.

"Ya Allah, Yusra!" Fairuz cemas.

Segera tubuh Yusra di terpa dengan sehelai tuala. Tubuh Yusra dibalut dengan tuala dan dia papah tubuh itu supaya berdiri dan keluar dari tab mandi.

"Macam mana ni? Kenapa mandi dengan baju-seluar sekali?"

"Tadi tak ada tuala. Macam mana nak keluar nanti.." Dalam terketar-ketar dia menjawab. Fairuz menepuk dahi.

"Kalau macam tu, kau salin dulu. Aku keluar ambil baju kau. Nanti dah settle panggil aku." Fairuz menghulurkan tuala dan baju bersih sekali kepada Yusra. Yusra mengambilnya. Fairuz ingin berlalu keluar dari bilik air.

"Awak... saya minta maaf."

Kaki Fairuz berhenti melangkah. Dia pandang Yusra.

"Aku sentiasa maafkan kau. Tapi aku minta tolong dari kau, tolong jangan sesekali mempertikaikan tanggungjawab aku sebagai seorang suami. Aku tetap suami kau untuk hari ini dan selamanya." Fairuz berkatadan terus berlalu.

Sekali lagi Yusra terkedu dengan jawapan Fairuz. Cair dengan setiap kata-kata Fairuz.

~Maaf agak lewat. Saya sedang brusaha. Doakan saya~ Terima kasih kepada yang sudi baca kisah saya. =)

Share this novel

LyaSuffiya
2020-12-14 16:07:07 

Klau dpn mata mmg kena sekeh Fairuz ni,asyik nk marah Yusra jek.dh nma main ngn ank buah,budak2 lg tu, biasa la main kejar2,kebetulan nk jatuh..Klau org lain ambik berat psl bini kan, jeles plak...sis geram hahhahaa


NovelPlus Premium

The best ads free experience