Bab 15 : CBYS

Romance Series 115191

Yusra Saidah mengenakan baju kurung moden berona off-white di hari bahagianya. Baju kurung moden yang ditempah khas oleh Tengku Fauziah kelihatan anggun apabila disarungkan ke tubuh kecil moleknya. Baju yang dilapisi lace penuh dan dihiasi labuci serta taburan manik berwarna silver-white di hujung lengan baju menaikkan lagi ciri-ciri eksklusif pada si pemakai. Yusra memilih selendang berona sama dengan bajunya. Veil polos turut dikenakan. Tampak berseri dan suci wajah itu. Wajahnya yang putih kemerah-merahan dicalitkan dengan sedikit alat mekap oleh Che Su, adik bongsu ibunya. Yusra senang dan berpuas hati dengan cara solekan yang sederhana. Tidak terlalu tebal dan tidak terlalu menonjol. Lagipun dia bimbang kalau-kalau Tengku Fairuz tidak mengenalinya. Sebentar lagi dia akan dinikahkan dengan Tengku Fairuz oleh ayahnya sendiri dan sebentar lagi juga dia akan melihat wajah tunangnya yang sebelum ini dia belum melihatnya walaupun melalui sekeping gambar. Yusra ingat lagi mesej yang dikirimkan oleh Tengku Fairuz semalam. ~Sebaik-baik wanita adalah wanita yang solehah dan bersopan santun serta yang mencintai ALLAH SW dan RASULULLAH SAW dan juga mengasihi SUAMI yang disayangi.~ Itulah mesej yang dikirim. Yusra tidak membalasnya kerana semua jari sudah dilumuri inai oleh Aishah dan kakaknya, Yasmin Safwah. "Dah okay ke ni Yus?" Tanya Halimatun Saadiah atau Che Su kepada Yusra sekaligus membawa Yusra Saidah ke alam nyata. Yusra bangkit dari hujung katil dan melangkah ke almari solek. Wajahnya ditenung. Nampak berbeza sungguh. Dia seperti melihat orang lain disebalik cermin itu. "Dah okay sangat ni Che Su." Balasnya seraya memandang Che Su dibelakangnya. Yasmin Safwah dan Aishah menjengah ke bilik pengantin bila tugas mereka membetulkan dulang hantaran telah selesai. Yasmin Safwah menghampiri Yusra dan bahu adiknya dipaut mesra. Aishah turut menghampiri Yusra dan berdiri disebelah kiri Yusra. Yusra berdiri ditengah-tengah. Mereka masing-masing memandang cermin dihadapan mereka. Memerhati imej yang terbentuk cantik dihadapan mereka. "Kak Min macam tengok orang lain. Yus cantik sangat. Berseri-seri." Yusra tertunduk malu dengar kata-kata kakaknya. "Inilah yang dikatakan seri pengantin. Seri akan naik ke muka sekiranya bakal pengantin memelihara kesucian diri." Che Su mencelah sambil tersenyum penuh makna. Yasmin dan Yusra berpandangan mendengar kata-kata Che Su. Aishah turut tersenyum. Faham tentang apa yang dimaksudkan. "Yus, pikatlah dan belajarlah cintakan dia. Cerita cinta selepas kahwin sangat indah dan inilah permulaan kisah cinta Yusra-Fairuz. Belajarlah mencintai suamimu sepertimana isteri Baginda mencintai Banginda Rasulullah SAW." Yasmin menitip pesanan buat adik kesayangannya. "InsyaAllah kak. Yus akan cuba," balas Yusra. Tangan kakaknya digenggam erat, berjanji akan cuba kotakan. Tubuh Yasmin dipeluk erat. Aishah dan Halimatul Saadiah tersentuh hati melihat kasih sayang yang begitu erat dia antara dua beradik itu. Pintu bilik dibuka. Terjengul kepala Yadif Safwan dan Yusran Saidi. Mereka lengkap berpakaian baju melayu berwarna Navy Blue. Yusra Saidah dan Yasmin Safwah mendekati mereka. Tangan Yadif Safwan dicapai dan digenggam erat oleh Yusra. "Abang, Yus janji Yus akan cuba jadi seorang isteri yang taat kepada suami Yus. Doakan Yus." Janji Yusra kepada abangnya dan kepalanya ditundukkan dan dicium tangan itu. Tangan Yadif mengusap kepala adiknya dengan lembut. "InsyaAllah Yus mampu. Abang yakin," balas abangnya. Mereka membalas senyuman. Tangan Yusran pula dicapai. "Jaga ibu dan ayah elok-elok. Jadilah anak yang menyenangkan hati ibu dan ayah bukan menyakiti hati mereka." Sempat Yusra titip pesan buat adik bongsunya. Yusran mengangguk. Haji Shafie dan Hajjah Sumayah hanya melihat kelakuan anak-anak mereka dari pangkin rumah. "Yus, cepat! kita dah lambat ke masjid ni. Nanti lama orang di masjid tunggu," laung Haji Shafie. Yusra Saidah melangkah keluar bersama kakak, abang dan adiknya. Aishah dan Halimatul Saadiah mengekori dari belakang. Hajjah Sumayah memeluk erat anaknya. Berat hatinya mahu melepaskan anaknya. Tangan Hajjah Sumayah dikucup hormat. "Ibu, ampunkan segala dosa yang Yus lakukan kepada ibu samada Yus sengaja atau tidak. Halalkan setiap apa yang ibu berikan kepada Yus selama ini." "Ibu ampunkan dan ibu halalkan Yus. Yus anak yang baik," jawab Hajjah Sumayah. Dahi Yusra dikucup kasih. Yusra beralih pada ayahnya pula. Tangan ayahnya dicapai dan dikucup. "Ayah, ampunkan segala dosa Yus. Doakan Yus supaya Yus jadi seorang isteri yang taat dan solehah buat suami Yus." "Ayah ampunkan Yus dan ayah doakan Yus. Ayah tahu Yus boleh jadi isteri yang taat pada suami Yus. Cuma satu pesanan ayah, jangan sesekali lupakan solat. Sentiasa sujud padaNya." Yusra mengangguk. * * * "Aku terima nikahnya, Yusra Saidah binti Shafie dengan mas kahwinya sepuluh ribu ringgit tunai," lafaz Tengku Fairuz dengan sekali lafaz. Saksi di kiri dan kanan Tengku Fairuz mengangguk dan berkata sah apabila ditanya oleh Haji Shafie mengenai lafaz yang dilafazkan oleh Tengku Fairuz sebentar tadi. Doa dibaca seketika oleh Haji Shafie. Termenterailah ikatan suami isteri diantara Tengku Fairuz dan Yusra Saidah. Tengku Fairuz bangkit dari tempat duduknya dan melangkah menghampiri Yusra Saidah untuk upacara membatalkan air sembahyang. Yusra masih lagi menunduk. Dia masih tidak dapat melihat wajah Fairuz kerana lelaki itu duduk membelakanginya saat upacara akad tadi bermula. Dada berdebar kian hebat sewaktu anak matanya melihat kaki Tengku Fairuz menghampirinya. "Assalamualaikum.." Tengku Fairuz memberi salam tatkala lututnya mencecah karpet masjid di hadapan sang isteri. Salam dijawab oleh pengiring Yusra yang setia di sisi Yusra. Yusra hanya menjawab di dalam hati. Dia berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW untuk mengurangkan rasa debaran di hatinya. Wajahnya diangkat untuk melihat raut wajah suaminya buat kali pertama. 'Alhamdulillah! Aku syukur pada-Mu Ya Allah kerana mengurniakan aku seorang suami yang cukup sempurna di mataku,' ucapnya di dalam hati tatkala bertentang mata dengan suaminya buat kali pertama. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak pernah dia rasakan sebelum ini. Satu perasaan yang tenang dan damai saat terpandangkan wajah itu. Jari Yusra dicapai dan cincin disarungkan di jari manis Yusra. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman manis buat sang isteri. Yusra Saidah turut membalas senyuman itu. Tangan suaminya dikucup buat kali pertama. Sejuk! Itulah perkataan yang tepat yang terucap di dalam hatinya sebaik sahaja dia mengenggam tangan isterinya yang bernama YUSRA SAIDAH BINTI HAJI SHAFIE. Satu kucupan kasih singgah di dahi isterinya. 'Akan aku jadikan dia isteriku yang aku cintai dan kasihi di sepanjang hayatku.' Doanya di dalam hati. Wajah Yusra ditatap lagi. Senyuman makin mekar di bibir. Yusra Saidah yang menyedari dirinya ditenung oleh sang suami, tertunduk malu. Tengku Fairuz melepaskan genggaman dan kembali ke tempatnya. Tangan Tengku Faisal dikucup hormat dan begitu juga tangan Haji Shafie, mertuanya kini. "Jaga anak ayah elok-elok. Ayah sayangkan dia lebih dari ayah sayangkan nyawa ayah." Haji Shafie sempat berpesan. "InsyaAllah ayah. Saya akan jaga Yusra sama macam saya jaga diri saya." Tengku Fairuz berjanji. Haji Shafie menepuk lembut bahunya. Kemudian dia bersalam dengan abangnya, Tengku Furqan dan abang iparnya, Yadif Safwan. Syed Ammar di sebelah Yadif turut disalam dan lelaki itu membisikkan sesuatu ditelinganya. Tawa mereka tercetus. Fairuz menumbuk perlahan bahu temannya. Dia bersalam dengan birasnya, Zulkifli dan adik iparnya, Yusran Saidi. Seterusnya dia bersalam dengan bapa-bapa saudaranya dari sebelah uminya. Ayahlong, Tengku Farid dan Ayah Su, Tengku Sulaiman. Ayah chik, Tengku Ismail akan tiba esok dengan anak-anaknya. * * * Yusra Saidah memeluk ibunya, Hajjah Sumayah. Dahi anaknya dicium. Seterusnya Yusra bersalam dengan ibu mertuanya, Tengku Fauziah. Pipi Yusra dicium dan tubuh itu ditarik ke pelukannya. "Terima kasih terima anak umi." Tengku Fauziah berkata. Tangannya mengenggam erat tangan menantunya. Giliran Yasmin Safwah memeluk Yusra. Aishah juga tidak ketinggalan mahu memeluk Yusra dihari bahagianya. Kemudian Aishah memberi ruang kepada Tengku Fauziah untuk membawa Yusra kepada keluarga ahli keluarga barunya. Yusra diperkenalkan kepada adik iparnya, Tengku Farra. Tengku Farra kaku saat melihat Yusra. Tangan yang dihulurkan oleh Yusra tidak disambut. Kaku sekejap dan tiba-tiba Farra meraih tubuh Yusra ke dalam pelukannya. "Aku minta maaf Lia." Farra merintih. Yusra membuntang mata. Tidak memahami situasi yang berlaku. 'Kenapa Farra minta maaf? Lia? siapa?' hatinya mula tertanya-tanya. Matanya melirik kepada Tengku Fauziah meminta sebarang penjelasan. Tengku Fauziah hanya mengangguk seakan memberi isyarat supaya membiarkan Farra memeluknya seketika. "Farra..."Dia mencuba nasib melepaskan diri. Tapi makin kejap pelukan Farra. "No, Lia! Aku sangat rindukan kau. Aku bersalah dengan kau. Aku minta maaf," ujarnya lagi dalam tangisan kecil. Tetamu mula bercakap-cakap. Yusra sudah rasa tidak selesa. "Iya.. iya... Lia maafkan. Lia pun rindukan Farra." Yusra berkata perlahan. Mengiakan saja apa yang Farra ucapkan. Farra melepaskan pelukan. Dia tersenyum. "Terima kasih. Walaupun Farra tahu akak bukan dia tapi Farra tahu akak sebaik dia," balas Farra. Yusra pula yang terkedu. 'Kenapa dengan Farra?' Sekali lagi dia tengok Tengku Fauziah meminta penjelasan tentang apa yang baru sahaja berlaku. Tengku Fauziah hanya tersenyum. Dia membawa Yusra kepada Tengku Anis, adik bongsunya dan kakak iparnya, Tengku Salimah. Kemudian dia diperkenalkan dengan adik-adik Tengku Faisal iaitu Tengku Badariah dan Tengku Hafisah. * * * Seperti yang dibincangkan sebelum ini oleh kedua belah pihak, Majlis Persandingan akan berlangsung pada hari esok. Selepas majlis akad nikah, keluarga Fairuz akan ke rumah Haji Shafie untuk menjamu selera sebelum pulang ke Homestay mereka di Kampung La, tempat adanya Kolam Air Panas, salah satu tempat pelancongan yang terkenal di Besut. Tengku Fairuz menghampiri Yusra yang sedang mengatur langkah ke kereta abang Yadif bersama Aishah dan Che Su nya. Lengan Yusra dipaut. Yusra Saidah hampir rebah kerana tidak bersedia dengan pautan itu. Yusra kaget sebaik terpandang wajah suaminya. Mata bertentang mata. Seketika. Dia pantas melarikan pandangan. Dari jauh dia melihat Tengku Furqan memandang ke arahnya. Merenungnya. "Yusra, naik kereta abang." Arahan pertama Tengku Fairuz. Yusra tersentak. Matanya memandang Fairuz. 'Abang?' Dia teguk liur. Furqan menghampiri mereka bersama Tengku Farhan dan Tengku Farhana. Dan Furqan terus berlalu ke keretanya tanpa memandang Yusra. Yusra serba salah. Fairuz sekadar melihat abangnya dengan ekor mata. "Tapi... saya..." "Naik kereta abang," ulang Tengku Fairuz. Yusra mengangguk. Tengku Fairuz melepaskan lengan Yusra dan melangkah ke keretanya. Yusra mengekori langkah Fairuz. Tengku Farra menghampiri Yusra dan Fairuz, "Abang boleh Farra naik kereta sekali dengan abang?" Tanya Farra. Fairuz mengangguk dan membuka pintu untuk adiknya. Fairuz memulakan pemanduan. Dikerling Yusra disebelahnya. Senyap. Farra di belakang juga menyepi. 15minit perjalanan, mereka sampai ke teratak Haji Shafie. Selesai menjamu selera, keluarga Tengku Faisal meminta diri untuk balik ke homestay mereka di Kampung La. Fairuz sudah serba salah. Mahu ikut sekali pulang ke sana atau lengah-lengahkan masa untuk bersama Yusra Saidah. Yusra Saidah disisinya dipandang. "Rasanya Ruz kena ikut abah balik homestay dulu. InsyaAllah esok, Ruz boleh stay," bicara Tengku Faisal membantu hati Fairuz membuat keputusan. Fairuz mengangguk sambil tersenyum. Ahli keluarga yang lain turut mengusik mereka. Dia mendekatkan badannya kepada Yusra dan berbisik di telinga isterinya. "Aku balik dulu. Esok kita jumpa lagi. Hutang kau dengan aku belum selesai!" 'Aku?' Emm.. hilang sudah perkataan 'abang' bila Fairuz berdua dengan Yusra. Yusra terkedu. Hutang? Matanya dilirikkan pada Fairuz. Dan lelaki itu meleret senyuman senget sebelah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience