Bab 21 : CBYS

Romance Series 109654

Tengku Fairuz membuka pintu kamarnya. Mencari kelibat Yusra Saidah. Terlihat sekujur tubuh sedang lena di atas sofa. Fairuz melangkah masuk dan menutup pintu biliknya. Yusra yang sedang lena didekati. Dia melabuhkan duduknya di tepi sofa.

Cuba mengambil peluang untuk memerhati raut wajah yang sedang lena itu. Muka yang putih kemerahan- merahan itu kelihatan cantik walaupun sedang beradu.

Mata itu cantik, mata bulat dan besar. Ya, dia tahu mata Yusra cantik dan dia suka curi-curi merenung mata itu. Hidung pula cantik terletak walaupun tidak mancung sangat. Bibir mungil itu kelihatan sentiasa segar dan sentiasa warna kemerahan walaupun tanpa secalit lipstik. Bila tersenyum terserlah lekuk lesung pipit di kiri dan kanan pipinya.

Rambut Yusra bukan hitam lebat tetapi berwarna keperangan. Rambut itu ikal mayang paras dada. Cantik persis bidadari! Fairuz meneguk liur. Mengiakan kata-kata Syahmi sebentar tadi dan dia akui Yusra memang cantik. Natural beauty.

"Ruz, tak salah kalau kau bagi peluang pada diri kau untuk selami hati budi Yusra. Kau tackle dia betul-betul. Buat dia jatuh cinta pada kau. Buat dia lupa pada lelaki-lelaki yang kau rasa pernah hadir dalam hidup dia. Aku tak rasa dia perempuan sembarangan walaupun dia masih muda. Cara dia dan keluarga dia pun kita dah dapat agak yang dia cukup menjaga adab dan pergaulan."

Suara Syed Ammar masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia mengangguk. Mengiakan kata-kata Ammar sebentar tadi.

Yusra memang cukup menjaga kata dan pergaulannya. Teringat kejadian di kampung, ketika Yusra dikecam oleh mak cik bawang, dia langsung tidak berbalas kata walaupun setiap kata-kata yang dilontarkan itu cukup menguris perasaannya.

"Betul tu Ruz. Rugi kalau kau sia-siakan perempuan secantik dan sebaik dia. Perempuan melayu terakhir tu kot. Balik nanti cuba kau perhatikan dia betul-betul. Kau tenung dia lama-lama. I'm sure you'll fall in love with her."
Kata-kata Syahmi pula menerpa telinga. Dia akui memang dia sudah jatuh hati pada Yusra. Tunang rahsianya selama 6 tahun. Fairuz tersenyum. Mukanya diraut. Tangannya diletakkan di dagu. Masih memerhati wajah itu.
"Aku rasa tak rugi pun kau lepaskan Haura dan Qazrina untuk dapatkan Yusra tu Ruz. Walaupun ketiga-tiganya cantik, bertudung tapi Haura dan Qazrina masing-masing tak ada apa yang Yusra ada... iaitu peribadi seorang wanita muslimah."

Fairuz mengangguk lagi. Betul, Yusra memang ada semua ciri-ciri wanita sejati muslimah yang semua lelaki impikan. Dan dia sepatutnya beruntung kerana dia dapat miliki Yusra sebagai isterinya.

Bunyi azan Asar berkumandang di telefon bimbit Yusra di atas meja kopi, menyedarkan Fairuz dari terus memerhati Yusra yang sedang beradu. Dia menghela nafas. Cuba untuk bertenang. Dia segera mengalih pandangan bila merasakan yang Yusra akan terjaga bila-bila masa saja.

Yusra bergerak-gerak kecil mungkin terkejut bunyi azan dari telefonnya. Dia memisat-misat matanya. Cuba membuka mata yang berat. Masih lagi terasa penat dan mengantuk. Matanya dibuka perlahan. Imej pertama yang dia lihat, di hadapannya ada seorang lelaki sedang duduk di situ. Pandangannya masih membalam-balam. Dia tersenyum.

"Mana awak pergi? Saya dah lama tunggu awak. Jangan buat saya macam ni lagi."

Sebaris ayat yang keluar walaupun perlahan. Lirih suaranya. Dia masih mengantuk. Matanya masih terasa berat. Rasa macam ada pemberat di matanya. Azan pun sudah habis berkumandang. Matanya dikatup kembali.

Fairuz tergamam seketika. Walaupun perlahan tetapi tetap jelas di telinganya.

'Ayat apa tu?' Desis hatinya. Yusra yang terlena semula itu dipandang.

'Aikk, tidur balik?' Dia berdehem. Berharap dengan cara itu mampu mengejutkan Yusra dari tidur. Tapi tiada tindakbalas dari isterinya. Dia berdehem kali ke dua. Masih tiada kesan.

'Ishh susah jugak dia ni. Tidur mati! Tidur siang je kot, tak payah la nak beria-ria sangat tidurnya!' Dia mula membebel.

"Yusra... yusra bangun." Cuba dengan memanggil. Masih tiada respon. Dia mendengus kecil. Ibu jari kaki Yusra dicuit pula.

"Yusra bangun!" Panggilnya lagi. Yusra masih tidak bergerak.

Fairuz tersenyum nakal.

'Hish dia ni lena sangat tidur, rasanya kalau aku buat apa-apa pun mesti dia tak sedar jugak ni.'

Kali ini dia bangun dari duduknya dan mendekati Yusra. Rambut Yusra yang berwarna keperangan itu dielus perlahan. Menarik. Haruman wangi dari rambut itu menggetarkan jiwanya. Rambut yang tertutup rapi di pandangan lelaki lain selain dari mahramnya. Rasa ingin mencium rambut itu membuak-buak. Dia tunduk. Hampir sahaja bibirnya mahu menyentuh rambut Yusra, tiba-tiba...

"Awak nak buat apa ni?" Mata bulat Yusra menikam anak matanya.

Dia tergamam dan begitu juga dengan Yusra. Sesaat mereka beradu berpandangan. Dada masing-masing ada debaran yang begitu kuat berdegup.

Bunyi notification WhatsApp dari telefon Yusra mengejutkan mereka. Masing-masing mengalihkan pandangan.

Fairuz bangun dan berlalu ke sisi katilnya. Tangannya diletakkan ke dada. Merasai sendiri betapa kencangnya degupan jantungnya. Dia memejam mata. Malu dengan tindakan sendiri. Dia berdehem perlahan.

"Jom solat asar." Ringkas dia berkata dan sesaat dia berlalu ke bilik air.

Yusra masih tergamam. Masih memikirkan tentang apa yang terjadi sebentar tadi. Dia bermimpi atau dia berkhayal? Rasanya dia ada ternampak seorang lelaki di hadapannya dan lelaki itu, Fairuz? Tiba-tiba terasa sebak. Ada rasa rindu mencekam di lubuk hati. Rasanya sudah lama dia tidak hadir dalam mimpi-mimpinya. Kenapa baru sekarang?

"Kau termenung apa lagi ni.. pergi ambik wuduk. Solat sama-sama." Fairuz sudah ada dibelakangnya.

Dia tidak segera mengalih malah dia cepat-cepat mengesat air mata yang mula bergenang. Dia bingkas bangun dan melangkah ke bilik air.

* * *

Yusra Saidah sudah selesai melipat sejadah dan telekungnya. Dia melangkah ke cermin panjang di tepi tingkap. Cermin panjang lebih kurang tinggi Fairuz kelihatan cantik dan elegan bila disisinya turut tersedia lampu tinggi yang mampu memberikan pencahayaan yang lebih baik.

Yusra merapikan diri sebelum keluar dari bilik. Rambut yang sedikit kusut itu disikat sebelum diikat. Tudung instant sudah tersedia di tangannya sebelum dia menyarungnya.

Fairuz sudah berdiri di belakangnya. Memerhati Yusra di sebalik cermin. Pandangan lelaki itu sekejap ke atas, sekejap ke bawah. Yusra menjongket kening. Memberi isyarat pada Fairuz bila mata mereka bertentangan di sebalik cermin itu.

"Kau pakai apa ni?" Tanyanya tidak puas hati.

Yusra berkalih tubuh memandang Fairuz. Matanya turun melirik pada pakaian ditubuhnya. Kain batik, blouse paras paha dan tudung. So, apa masalahnya?


"Aku tak nak kau pakai macam ni. Baik kau tukar kain batik tu. Pakai tracksuit is better than kain batik." Katanya dan terus berlalu ke pintu bilik.


"Hish.. apalah dia ni! Apa masalahnya?" Bentak Yusra perlahan. Matanya dijeling pada Fairuz.

Fairuz menyembunyikan senyumannya bila terdengar ayat yang keluar dari mulut Yusra.


"Aku dengar la apa kau bebel tu. Dah jangan banyak bebel, pergi salin kain tu. Aku tak suka kau pakai macam ni. Kalau kau nak pakai juga, hanya depan aku. Aku tak nak orang lain tengok kau pakai macam ni dan untuk pengetahuan kau, dalam rumah ni ada abang aku. So, aku tak nak dia tengok kau pakai macam ni. Got it?" Fairuz berkata lagi seraya memulas tombol pintu meninggalkan Yusra yang masih terpinga-pinga.

Yusra mendegus sebelum membuka bagasinya dan mengeluarkan sehelai tracksuit dan dia mengatur langkah ke bilik air.

Sesudah menukar pakaiannya, Yusra melintasi rak buku Fairuz yang diatasnya tersusun beberapa keping frame gambar. Yusra berhenti melangkah dan perlahan-lahan badannya menoleh pada gambar-gambar berkenaan.

Bagai ada magnet yang menarik rasa keinginannya untuk melihat di situ. Sekeping gambar Fairuz ditenung. Gambar Fairuz yang sedang tersenyum berlatarbelakangkan The Cliff of Moher, Ireland. Sama seperti poskad yang dikirim oleh Tengku Faiz Iskandar dulu. Yusra terkedu.

"Kau buat apa lagi ni Yusra? Cepat la.. diorang dah bising tunggu kau kat bawah." Fairuz muncul disebalik pintu. Yusra tersentak. Cepat-cepat dia mengatur langkah ke pintu bilik.

* * *


Fairuz menarik kerusi disebelahnya dan mempersilakan Yusra duduk. Yusra tergamam seketika dengan layanan Fairuz tetapi disebabkan banyak mata memandang, dia menyambut jua layanan suaminya itu. Senyum paksa terukir di bibir bila mata mereka bertentangan. Tangan Yusra pula tidak dibiarkan terlepas dari gengamannya.

Tengku Faisal dan Tengku Fauziah tersenyum senang melihat hubungan anak dan menantunya. Berharap perhubungan mereka akan kekal sampai ke anak cucu.

Tengku Furqan yang berada di hadapan Fairuz memendam rasa melihat adegan itu. Melihat senyuman yang terukir di bibir Yusra menambahkan lagi rasa sakit dihati. Kenapa bukan dia yang menjadi 'mangsa' wasiat arwah atok?

Tengku Farhan dan Tengku Farhana disebelah kerusi Tengku Furqan leka menikmati hidangan minum petang itu. Kopi O dipadankan dengan kuih seri muka dan kuih kasturi. Kopi O yang masih berasap itu dihulurkan pada Tengku Fairuz oleh Mak Nah.

"Ruz nak cawan lain." Fairuz menolak sedikit cawan dihadapannya. Semua mata memandang Fairuz.

"Kenapa ni Ruz? Ruz nak air lain ke?" Tanya Mak Nah pelik dengan tindakan anak majikannya.

Kerutan di dahi sudah terpeta. Jarang anak-anak majikannya buat perangai tak semengah. Baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing sudah dianggap seperti anak sendiri. Cawan yang ditolak Fairuz, diambil dan disuakan pada Yusra.

"Ruz harap tak ada orang lupa tentang janji yang dah Ruz buat." Bersahaja saja suaranya sambil menghantar pandangan pada Yusra.

Yusra menunduk. Faham apa yang dimaksudkan. Perlahan-lahan dia bangun dari kerusi. Mencapai cawan yang masih belum terisi air, di letakkan di hadapan Fairuz dan mencapai pula teko air kopi o dan dituang perlahan. Kuih seri muka dan kuih kasturi diletakkan ke pinggan kosong dan dihidangkan kepada suaminya.

Fairuz memerhati tindak tanduk Yusra. Tidak nampak kekok langsung. Tertib sahaja perbuatannya.

"Tapi Ruz, sini kan ada Mak Nah dan Siti. Tak kan Ruz nak Yus buat semua kerja untuk Ruz? Lagipun Ruz dan Yusra kan baru je sampai. Bagilah Yusra rehat dulu." Tengku Fauziah menegur cara anak keduanya. Air kopi dihirup perlahan.

"I don't care what people think about but most importantly all my work must be done by my wife. This is a promise that has been agreed upon by everyone before." Senada Fairuz menjawab bersahaja. Yusra sudah menunduk.

"Ok Ruz, abah tak halang semua tu tapi biarlah di rumah kamu sendiri nanti. Sini rumah abah dan umi, ada Qan lagi, anak-anak lagi. Kesian dengan Yusra nanti." Tengku Faisal mencelah.

Pelik dengan syarat yang ditetapkan oleh anaknya. Tapi Tengku Fairuz, siapa yang tidak tahu perangainya. Kalau hitam katanya, hitam lah. Kalau tiba-tiba bertukar putih tu, tandanya mesti adalah sesuatu yang tidak kena.

"Ruz tak mintak Yusra buat semua kerja tu untuk orang lain. Ruz cuma mintak dia buat untuk Ruz je," jawab Tengku Fairuz.

Kuih diambil dam dikunyah perlahan. Sedap kuih seri muka air tangan Mak Nah ni. Tidak menghiraukan mata-mata yang sedang memandangnya.

"Tak apa abah, umi.. Yusra okay. Yusra boleh buat. Insha Allah Yusra akan cuba buat apa yang Yusra mampu. Lagipun betul cakap abang tu. Benda yang dah janji tak elok kalau tak ditunaikan." Yusra segera memintas sebelum Tengku Faisal mencelah.

Yusra mengangguk berkali-kali bila kedua mertuanya memandang padanya. Matanya melirik pada Fairuz pula.

"See.. dia tak ada bantahan pun. Yusra kan menantu kesayangan umi. I'm sure dia okay. umi dengan abah jangan manjakan dia sangat." Fairuz mengeyit mata pada Yusra.

Yusra buntangkan matanya. Bibirnya diketap perlahan. Malulah dengan umi, abah dan Furqan yang tak lepas dari memandangnya. Lagi malu bila Fairuz berkata begitu. Uminya sudah menggeleng.

"So, untuk makan malam ni boleh tak kalau abang request Yusra masak?" sambung Fairuz.

Sengaja ingin duga isterinya. Takkan malam ni terus nak masuk dapur kan?

"Sure. Anything for you abang." Matanya yang besar dan bulat itu disepetkan sikit. Membuat muka comel khas buat suaminya.

"Okay kalau 'anything for you abang', so malam ni masak ikan patin masak tempoyak exactly macam rumah ibu." Fairuz memberi arahan. Terbayang kesedapan ikan patin masak tempoyak di rumah mertua.


"Okay boleh."Jawab Yusra yakin. Sahut cabaran pertama!

* * *


"Thanks for the delicious dinner, Yusra. Lain kali masak lagi, boleh?" Tengku Furqan berdiri di hadapan Yusra berkata tatkala tinggal mereka berdua di meja makan.

Yusra tersenyum dan mengangguk. Tangannya sibuk mengemas meja makan. Menyusun pinggan yang bersisa untuk dibawa ke sinki. Furqan berlalu ke ruangtamu.

"Eh, Yusra.. biarkan semua ni. Nanti Mak Nah buat." Tegah Mak Nah yang baru muncul dari dapur. Siti masih sibuk mencuci di sinki.

"Tak apa lah Mak Nah. Sikit je ni." Yusra pula membalas.

Tangannya berkali-kali ditepis oleh Mak Nah. Akhirnya dia mengalah. Membiarkan Mak Nah membuat kerjanya.

"Sayang, jom. Umi dan Abah nak bincang something." Fairuz muncul di ruang makan.

Sekilas Yusra menoleh dan memandang Mak Nah kembali. Mak Nah menghantar isyarat menyuruh dia mengikut segera menuruti arahan Fairuz. Yusra mengangguk.

"Yusra, terima kasih untuk masakan malam ni. Tak sangka Yusra pandai masak ikan patin masak tempoyak. Sebijik rasanya dengan yang abah makan di Temerloh hari tu. Nanti boleh masakan lagi tak?" Tengku Faisal memulakan bicara bila Yusra melabuhkan punggungnya di sofa diikuti Fairuz. Furqan sudah pun duduk di sebelah Tengku Faisal.

"Boleh je abah. Cakap je, InsyaAllah Yusra cuba masak." Yusra segera menjawab pertanyaan itu.

Tangannya yang dipegang Fairuz cuba ditarik. Makin kuat ditarik, makin kedap pegangan suaminya. Dia kacip gigi. Geram dengan Fairuz.

"Tomorrow morning, boleh buatkan breakfast nasi lemak ikan tongkol tak?" Tanya Tengku Faisal lagi.

"InsyaAllah boleh abah. Asalkan bahan ada. Yusra boleh masakkan." Yusra mengangguk lagi. Ada sinar dimatanya. Memang dia suka memasak. Memasak hobinya.

Fairuz mendengus tak puas hati.

'Apalah abah ni, sepatutnya dia yang request, bukan abah.'

"Apalah abang ni. Tengok Ruz tu dah cemerut mukanya. Kita bagi la dulu Ruz request apa yang dia nak test Yusra masak. Kita kan dah merasa air tangan menantu kita masa di rumah Haji Shafie dulu, Kan Ruz?" Tengku Fauziah menampar perlahan paha suaminya.

Tengku Faisal tersengih. Ada tawa kecil di bibirnya.

"Sorry la Ruz, abah tak tahan teringat nasi lemak ikan tongkol Yusra buat. Sedap, kalah Mak Nah." Kata abahnya.

"Betul tu abah. Qan pun suka nasi lemak ikan tongkol Yusra buat. Rasanya Yusra kena masak lebih sikit esok, boleh? Rasa macam nak breakfast kat rumah je esok ni." Giat Tengku Furqan.

Tengku Fairuz menghantar pandangan tidak selesa pada abangnya. Yusra disebelah sudah tersenyum simpul. Malu bila diberi puji. Tengku Fauziah sudah menggeleng kepala dengan kerenah anak dan suaminya.
"Ruz, bila masuk office?" Tengku Fauziah pula bertanya. Menukar topik.

"Esok Ruz dah masuk office. Kenapa umi?"

"Esok, Umi ingat nak bawa Yusra pergi butik Mak Long. Fitting baju yang dah Mak Long sediakan untuk Yusra pakai majlis resepsi nanti. Baju Ruz pun ada sekali. Ruz boleh luangkan masa tak?" Tanya uminya lagi.

Fairuz sudah berkerut dahi memikirkan jadual kerjanya hari esok.

"Nanti Ruz cek jadual Ruz esok. Kalau tak ada hal, boleh la Ruz pergi sana. Umi bawa jelah Yusra pergi sekali dengan Umi."

"Okay. Umi pergi sekali dengan Yusra. Abang sibuk ke esok? Drive sendiri ke? Ke pergi dengan Pak Mail?"

"Esok abang sibuk sikit. Abang kena pergi ke Putrajaya dengan Pak Mail."

"Kalau macam tu saya drive sendiri la esok, boleh abang?"

"Iye lah boleh tapi jangan awak bawa laju-laju sangat. Tak pun suruh Qan je teman awak dengan Yusra. Qan pun cuti esok, kan?" Soalan Tengku Faisal hampir buat Fairuz terbeliak. Cepat-cepat dia memandang abangnya. Menanti jawapan abangnya.

"Ha'a Qan cuti esok. Boleh je teman Umi."

Jawapan Furqan sekali lagi menyetap tangkai jantungnya. Ada sumbu api cemburu yang baru menyala. Tangannya dikepal erat.

"Hah, elok sangat la tu. Boleh fitting sekali baju untuk Ruz. Senang kerja Umi. Majlis pun dah tak lama." Tengku Fauziah pula bersetuju saja tanpa menyedari wajah membahang Fairuz.

Fairuz bingkas berdiri dan melirik tajam pada Yusra yang masih duduk di situ.

"Rasanya tak perlu orang lain gantikan Ruz. Ruz sendiri akan pergi dengan Umi dan Yusra." Katanya dan berlalu ke tingkat atas.

Share this novel

LyaSuffiya
2020-10-21 19:52:56 

instresting...x sabar utk next bab


NovelPlus Premium

The best ads free experience