Bab 16 : CBYS

Romance Series 109654

Yusra Saidah kelihatan anggun dan manis dalam persalinan baju kebaya labuh songket berwarna kuning diraja. Persalinan songket yang dihiasi sulaman motif bunga tabur itu merupakan permintaan dari keluarga mertuanya.

Yusra turut mengayakan sibar di bahagian bahunya bagi menampakkan lebih berkelas dan sopan. Tema perkahwinan diraja tidak lengkap sekiranya dia hanya bergaya ringkas. Dia menyarung dokoh berwarna silver itu ke lehernya.

Dokoh dihasilkan dengan menggunakan seutas rantai dan direka dalam bentuk tiga segi dan bercorak bulan sabit atau daun-daun menarik seperti corak bermotif daun sukun. Ada juga dokoh yang bertatahkan batu permata yang berwarna warni.

Dokoh yang tiga tingkat merupakan hiasan leher dan dada yang paling istimewa dalam adat perkahwinan. Kebiasaannya pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan memakai dokoh bagi menaikkan lagi keserian dalam majlis raja sehari.

Selesai memakai tudung berona sama dengan baju kebayanya, dia memakai sanggul lintang bagi menaikkan lagi seri gaya tudung yang ringkas. Dia tidak mengenakan tiara dan veil kerana baginya, sanggul lintang itu lebih menampakkan ciri-ciri tradisional.

Pending berwarna silver turut dipakai di bahagian pinggang bersama-sama tali pinggang yang biasanya diperbuat daripada emas, perak atau tembaga. Pending dijadikan sebagai kepala tali pinggang. Pending yang dihiasi dengan motif-motif flora dan fauna itu amat halus buatannya. Yusra kagum dengan setiap inci hasil kesenian yang ada pada pakaian yang dipakai pada hari ini.

Jambangan bunga emas diberikan pada Yusra oleh pekerja Butik Roses. Yusra tersenyum dan menyambutnya. Jambangan bunga besi yang berona emas itu tampak lebih eksklusif dan unik bagi mengantikan bunga segar dalam tema perkahwinan diraja mereka.

* * *


Tengku Fairuz segak dan tampan dalam persalinan baju melayu songket cekak musang berwarna kuning diraja. Lagi menyerlah jiwa melayu yang sebati dalam dirinya.

Tengkolok atau tanjak juga terletak elok di kepalanya. Turut dihiasi sebentuk kerongsang berbentuk bulan sabit dan bintang di atas tengkoloknya. Tengkolok merupakan hiasan yang selalu dipakai oleh rakyat Terengganu atau orang-orang di golongan istana. Tengkolok membantu dalam mengangkat kembali busana orang dulu-dulu. Tengkolok juga mempunyai corak-coraknya yang tersendiri.

Syed Ammar membantu Fairuz membetulkan kain samping bewarna silver-white yang dipakai oleh Fairuz. Samping yang dipakai haruslah di bawah paras lutut yang menunjukkan si pemakai sudahpun berstatus berkahwin. Pending berwarna silver juga dipakaikan dipinggangnya.

Rantai leher disarungkan ke lehernya dan dipinkan di bahu kiri dan kanan Fairuz. Keris diambil dan disematkan di dalam sampingnya. Keris itu melambangkan gagah perkasa raja-raja melayu.

* * *


Yusra duduk di birai katil pengantin setelah selesai mengenakan semua aksesori pakaian perkahwinannya. Pada awalnya, dia tidak bersetuju dengan cadangan Tengku Fauziah yang mahu mengadakan majlis perkahwinan yang ala-ala gah ini.

Baginya simple-simple sudahlah lagipun dia agak malu dengan apa yang diperkatakan oleh orang kampung terhadap keluarganya. 'Menumpang kekayaan besan!'

Namun akhirnya dia mengalah selepas dipujuk oleh ibu dan kakaknya.

"Lagipun Yus, berkahwin ni kalau boleh biarlah sekali je seumur hidup. Masa ni lah Yus nak merasa macam mana jadi seorang puteri kepada putera Yus, Putera Fairuz. Akak tahu Fairuz tu keturunan diraja tapi biarlah kali ni Yus dan Fairuz betul-betul jadi raja. Raja sehari." Ayat yang diucapkan oleh Yasmin Safwah masih lagi tergiang-giang di telinganya.

Dalam diam, dia bersetuju dengan kata-kata kakaknya. Dia mahukan hari bersejarah ini akan menjadi memori indah buat dia dan suaminya.

Syarifah Aishah menjengah ke bilik pengantin. Daun pintu ditutup rapat. Yusra tidak menyedari kedatangannya. Mungkin dia sedang mengelamun jauh, fikir Aishah.

"Yus..." Panggil Aishah perlahan.

Bimbang kalau mengejutkan Yusra. Yusra pantas menoleh sebaik mendengar suara sahabat karibnya. Senyuman dilontarkan pada Aishah. Riak wajah Aishah nampak terkesima.

"Ya Allah.. cantiknya kau Yus!" Aishah menjerit perlahan.

Teruja melihat kecantikan Yusra selepas dimekap. Wajah Yusra yang sebelum ini tidak mengenakan sebarang alat mekup kelihatan begitu cantik berseri-seri.

"Mengada la kau ni, Shah. Setakat cantik sebab mekup, apa ada hal? Kau nanti pun kalau dah pandai pakai mekaup semua tu, confirm kalah aku," sangkal Yusra.

Aishah melabuhkan punggungnya di sisi Yusra.

"Mana boleh lawan kau, Yus.. Kau ni level-level Puteri ni.. Kita orang Terengganu kan? Puteri apa erk? Puteri Gunung Tebu? ke Puteri Gunung Bongsu?" Aishah mengekek ketawa disertai Yusra. Tangan Aishah ditepuk yusra.

"Kau jangan nak mereka la, Shah. Mana ada Puteri Gunung Bongsu weii... Meh sini aku berikan seri pengantin aku ni sikit dekat kau... mana lah tahu kot-kot setahun dua lagi kau pulak kahwin." Giliran Yusra mengenakan Aishah.

Tangan Aishah ditarik lalu diletakkan dekat dengan bibirnya. Dia menghembus nafas perlahan ke tapak tangan Aishah. Terkebil-kebil mata Aishah melihat tindakan Yusra.

"Kau buat apa ni Yus?"

"Aku bagi seri aku kat kau lah."

"Ehh... Jangan nak buat gila lah kau ni Yus!" Mereka ketawa.

"Alah kau jangan la malu-malu Shah.. Aku tahu kau bukannya ada yang special lagi kan? Apa kata kalau aku recommend kau abang Adif nak?" Aishah membulatkan matanya mendengar usul Yusra.

"Kau jangan jadi gila Yus. Cakap baik-baik sikit. Kalau abang Adif dengar, aku juga yang malu."

"Yelah tu kau malu... Kau suka abang Adif kan? Kalau suka, cakap jelah suka Shah... Aku tak kisah la kalau kau jadi kakak ipar aku," usik Yusra lagi.

Aishah menepuk bahu sahabatnya kuat.

"Hishh kau ni Yus. Aku cepuk ni kang! Biar kau nangis tak dapat sanding nanti," marah Aishah. Yusra tergelak.

''Alahh.. Aku gurau jela Shah. Kau ni pun, apasal gabra semacam ni? Terusik ke?"

''Yus.... Dah la... Eh.. Yus, handsome la suami kau. Jealous aku. Tak sangka aku, kau dah pun jadi isteri orang, Yus. Untung kau Yus, kahwin dengan orang kaya pula tu." Aishah sengaja menukar topik.

Tiba-tiba terbayang wajah tampan suami sahabat baiknya saat majlis akad nikah semalam. Yusra diam, mukanya mula berubah riak.

"Kenapa ni Yus? "Aishah bertanya setelah menyedari perubahan wajah Yusra.

"Aku takut la Shah," luah Yusra. Tangan Aishah digenggam erat.

''Takut? Kenapa kau takut?"

"Aku takut setelah aku sah jadi isteri dia. Aku milik suami aku. Aku takut kalau aku tak mampu menyempurnakan segala tanggungjawab aku pada dia. Kau pun tahu aku macam mana. Hati dan perasaan aku. Lagipun aku cuma anak orang kampung. Belajar pun tidak tinggi macam Abang Adif dan Kak Yasmin. Belajar setakat STPM je. Aku takut kalau aku dipandang rendah oleh keluarga Tengku. Aku takut Shah," luah Yusra.

"Yus, kau tak perlu takut kerana kau adalah diri kau. Kau, Yusra Saidah binti Shafie. Kau tak perlu takut dan bimbang sebab aku yakin kau mampu menyempurnakan segala tanggungjawab kau sebagai isteri dia. Tentang perasaan dan hati kau tu, aku yakin kau mampu lupakan 'kisah lama kau' dan kau akan menerima cinta halal dari suami kau," jeda Aishah.

"Kau anak orang kampung dan begitu juga dengan aku. Kau tak hina Yus walaupun kau cuma anak orang kampung. Kau bukan budak tak berpelajaran tinggi tapi kau tak berpeluang untuk belajar tinggi macam Kak Yasmin dan Abang Adif. Peluang yang kau dapat terpaksa kau lupakan tetapi bukan untuk selamanya tapi untuk seketika sahaja Yus. Tengku pun dah bagi kau kebenaran untuk kau teruskan study kau, kan?"

Yusra mengangguk. Aishah juga mengangguk lalu menyambutnya.

"Kau tahu Yus, kau seorang sahabat dan anak yang berhati tulus. Kau sanggup berkorban untuk orang lain walaupun hati kau sendiri terluka. Itu kau, Yus. Kau mampu untuk jadi seorang isteri yang solehah dan taat pada suami kau, Yus. Aku yakin. Percayalah cakap aku," ujar Aishah.

Tangan Yusra dalam genggamnya ditepuk perlahan bagaikan menyalurkan sedikit kekuatan dan semangat buat sahabatnya.

Yusra tersentuh dan terharu mendengarnya. Tubuh Aishah dipeluk. Begitu juga Aishah.

"Terima kasih Shah. Aku harap suami aku akan merestui persahabatan kita. Aku tak sanggup berpisah dengan kau. Kau sahabat aku dunia dan akhirat. Insha Allah," balas Yusra dalam pelukan Aishah.

Pintu diketuk dari luar. Aishah meleraikan pelukan. Segera dia bangun dan membuka pintu. Terserlah wajah tua Hajjah Sumayah.

"Yus, Tengku dah bertolak dari homestay. Dalam 10 minit lagi, sampailah diorang tu. Bersedialah Yus. Aishah dah makan?" Beritahu Hajjah Sumayah kepada Yusra dan melontarkan soalan buat Aishah.

"Dah bu. Makan dengan Yus tadi," jawab Aishah.

Hajjah Sumayah mengangguk dan menutup pintu bilik Yusra kembali.

Aishah mengambil kasut tumit tinggi yang berwarna kuning disudut bilik pengantin dan disuakan ke kaki Yusra. Yusra meyarung kasut itu setelah selesai memakai sarung kaki.

Dada Yusra kian berdebar hebat. Selawat dan Ayatul Kursy dibaca berulang kali bagi mengurangkan debaran yang kian menggila di dadanya.

Tangan Aishah digenggam erat. Aishah dapat merasakan debaran Yusra. Jari jemari Yusra berpeluh. Aishah kelihatan cantik bila mengenakan kebaya berwarna kuning cair dan akan menjadi pengapit kepada Yusra. Teman-teman rapat kepada Yusra dan Aishah turut masuk ke bilik pengantin. Masing-masing sibuk berbual sesama sendiri.

Sekali lagi pintu dibuka dari luar.


"Yus, Tengku dah sampai. Shah, bawa Yus keluar. Yus hati-hati." Yasmin Safwah sempat berpesan pada adiknya.

Aishah memimpin tangan Yusra ke pangkin untuk menyambut kedatangan suaminya.

Bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW kedengaran dari rombongan pihak lelaki. Yusra turut mengalun selawat di dalam hati. Dadanya semakin kencang berdebar. Selesai berbalas pantun dari kedua belah pihak, Yusra dibenarkan menyambut suaminya di pangkin. Tangan suaminya disambut dan dicium penuh hormat.

Kemudian kedua mempelai diiringi masuk ke ruang tamu untuk disandingkan di atas pelamin indah. Lense kamera tidak henti-henti merakam gambar pasangan sejoli itu. Tengku Fairuz kelihatan segak dengan pakaian pengantinnya. Tengkolok dan keris turut terhias indah di kepala dan dipinggangnya.

Senyuman tidak lekang dari kedua bibir pasangan pengantin. Syed Ammar turut tersenyum sesekali dia lirikkan mata pada pasangan pengapitnya. Syed Ammar juga tidak kurang segaknya. Baju melayu cekak musang kuning cair sedondong dengan baju kebaya kuning cair yang dipakai Aishah.

Selesai bacaan doa dari Ayah Long Yusra, mereka dibawa ke meja makan untuk upacara makan beradab. pengantin duduk di tengah-tengah dan diapit oleh kedua ibu bapa mempelai.

Jurukamera pula mengambil kesempatan dengan sibuk mengarah pelbagai aksi untuk dirakam. Sungguh gembira wajah mereka.

Selesai makan beradab, Haji Shafie dan Hajjah Sumayah mengundur diri untuk melayan tetamu yang hadir. Tengku Fauziah dan suaminya, Tengku Faisal membawa Yusra untuk diperkenalkan kepada sanak saudara yang hadir. Tengku Fairuz tidak ketinggalan untuk setia menemani isterinya.

Share this novel

LyaSuffiya
2020-10-07 23:33:20 

semakin menarik,next pless


NovelPlus Premium

The best ads free experience