Bab 83 : CBYS

Romance Series 109654

Tengku Fatihah mengintai tetamu yang bertandang ke Teratak Qaseh di sebalik anak-anak tangga. Dari atas dia dengar suara-suara itu bergelak ketawa dengan uminya.

"Bila nak langsungnya, Chik?" Tanya uminya.

Chik? Ooo Tengku Faridah rupanya tetamu umi. Tengku Faridah itu ibu saudaranya atau mama Faiz atau lebih tepat lagi ibu mertua rahsianya. Fatihah kerut dahi bila teringat soalan uminya tadi. Langsungkan apa?

"InsyaAllah kalau tak ada keberatan ingatnya bulan depan." Mak Chiknya menjawab pertanyaan umi.

"Jadi jugak akhirnya ya.. Tak sangka dalam diam, diorang duk bercinta..."

"Itulah. Chik pun tak tahu nak cakap apa. Tak sangka. Rupanya diorang tu satu sekolah dulu. Sama-sama sekolah la dengan Ruz, Amm dan Syah."

"La... ye ke? Lagi mudah la kerja kita."

Fatihah berfikir lagi. Siapa yang mereka maksudkan tu? Kalau satu sekolah dengan Fairuz, Ammar dan Syahmi.. maksudnya mesti terlibat sekali Faiz Iskandar, Kan?

Fatihah turun anak tangga setapak sambil anak telinganya curi-curi dengar perbualan mereka.

"Eh.. Tehah... Kenapa tercegat kat sini? Mari lah sini sembang dengan Mak Chik.. dah lama Mak Chik tak jumpa Tehah.." Tengku Faridah menegur. Kebetulan ternampak Fatihah berdiri tegak di anak tangga terakhir.

Tengku Fauziah memusing badan memandangkan kedudukannya membelakangi Fatihah. Melihat Fatihah yang masih tercegat di situ, dia mengangguk sedikit menggamit Fatihah kepada mereka.

Fatihah tercengang. Kekok mahu berhadapan dengan ibu mertua rahsianya. Fatihah ulas senyuman segaris, mengatur tapak ke arah mereka di ruang tamu.

"Lama dah ke Tehah balik?" Tanya Tengku Faridah kepada Fatihah seraya gadis itu melabuhkan duduknya.

"Dah sebulan dah Chik." Jawab Umi bagi pihak dia.

"Dah sebulan balik? Kenapa tak datang rumah Mak Chik? Mak Chik tak tahu pun Tehah dah balik, Is pun tak ada bagitahu Mak Chik...."

Fatihah diam seketika mencari jawapan.

"Is tak bagitahu Chik, Tehah dah balik?"

Tengku Faridah menggeleng. Sedikit terkilan bila tiada sesiapa yang sudi memaklumkan kepulangan Fatihah sedangkan Fatihah itu sudah di anggap seperti anaknya sendiri. Sejak dari kecil lagi, Fatihah sentiasa ada dengannya.

"Tehah gaduh dengan Is ke? Umi rasa, Is pun tak ada datang sini sejak dia balik. Umi tahu dia balik pun sebab terserempak dekat hospital dulu. Biasanya korang selalu bersama tak kira masa.."

"Tak lah umi, Mak Chik... kami tak gaduh pun.. cuma.. lately, Is kan sibuk sejak dia join Mentari... Tehah tak nak ganggu Is.."

"Emmm ye lah tu.. Kalau korang gaduh pun, bukannya korang nak bagitahu umi dengan Mak Chik ni.."

"Tak.. betul Mak Chik.. kami tak gaduh pun.. Is dengan Tehah berbaik-baik macam biasa.."

"Hari tu abah kamu mengamuk sebab Tehah keluar rumah, kenapa? Tehah pergi mana?" Tengku Fauziah lencong topik bila teringat amukkan suaminya tiga hari lepas.
Merah padam muka suaminya bila balik dari berjumpa Fairuz, sedar-sedar Fatihah tidak ada di rumah. Entah bila Fatihah keluar pun, dia tidak tahu. Bukan sahaja dia, malah seluruh penghuni Teratak Qaseh tidak sedar bila Fatihah menyelinap keluar.

Fatihah diam. Matanya menyambung beradu dengan Tengku Faridah.

"Abah tak bagi Tehah keluar kan? jangan buat abah marah lagi. Tehah pun tahu abah tak suka marah-marah."

"Tehah tak pergi mana-mana pun umi. Tehah pergi jumpa Is je kejap. Kat office. Ada hal Tehah nak bincang dengan Is."

"Tehah pergi jumpa Is bincang pasal Is nak kahwin ke?"

"Tehah tahu tak yang Is nak kahwin?"

Serentak Tengku Fauziah dan Tengku Faridah bertanya.

Buntang mata Fatihah dengar. Kahwin?

"Is nak kahwin?" Ulang Fatihah. Pandang umi dan Mak Chik silih berganti.

Tengku Faridah mengangguk.

"Katanya bulan depan nak langsungkan pertunangan." Jawab Tengku Fauziah pula.

"Siapa perempuan tu Mak Chik?" Tak sabar jadinya Fatihah. Suaminya bakal berkahwin dengan orang lain? Walaupun berahsia, ikatan mereka tetap sah di sisi agama. Dan dia, dia bakal dimadukan? Dia bangun, mundar mandir dihadapan mereka.

"Is tak bagitahu Tehah ke?" Tanya Tengku Faridah pula. Makin pelik dengan hubungan Tengku Faiz Iskandar dan Tengku Fatihah. Kata kamceng tapi kenapa saling berahsia pula? Perkara penting ni.

"Tak ada.. Is tak ada bagitahu Tehah pun.. Tehah tak tahu pun Is nak kahwin.. siapa perempuan tu Mak Chik?"

Tengku Faridah dan Tengku Fauziah saling berpandangan. Pelik dengan kelakuan Fatihah.

"Kata Tehah pergi jumpa Is.. Is tak ada bagitahu ke?"

"Tak ada umi.. Is tak ada bagitahu Tehah apa-apa... Kami bincang hal kami, tak ada kena mengena pun dengan dia nak kahwin ke apa.... bagitahu Tehah umi, mak chik... siapa perempuan tu?" Naik sikit suaranya.

Hilang sabar bila terus diasak dengan soalan demi soalan. Is nak kahwin lain?! Berani dia ya...

"Tehah kenal tak Haura Qaseh?"

"Haura? Haura mana pulak ni Umi?"

"Dia doktor yang rawat Yusra hari tu.. kat sana lah Is kenal Haura.."

"Oo.. sekarang ni perempuan tu nak jadi match maker la pulak? tolong carikan Is jodoh?" Benggang Fatihah makin mendadak bila dengar nama Yusra terbabit sekali. Sudahlah dia cukup-cukup pantang dengar nama perempuan tu!

"Bukan macam tu Tehah.. Haura tu satu sekolah dengan Is dulu. Jadi diorang dah lama kenal. Kebetulan terjumpa balik kat hospital hari tu.." Tengku Faridah membetulkan penyataan yang baru dikeluarkan oleh Fatihah. Dia tak mahu keadaan bertambah menjadi rumit. Dia pun sedia maklum kemelut yang melanda antara Fatihah dan Fairuz yang berpunca dari Yusra Saidah.

Fatihah mendengus kasar sebelum berlalu ke biliknya. Tak kisah lah ada yang mencemuh dia kurang ajar ataupun tak, yang dia tahu sekarang ni hatinya sakit. Sakit yang teramat. Lebih sakit dari baca surat-surat Faiz untuk Yusra Saidah dulu! Huh!

Ada sesuatu yang perlu dia lakukan. Satu penghintungan. Kalau bukan dengan Faiz Iskandar sendiri, dengan Yusra Saidah pun dia boleh buat! Kau tunggu Yusra... Kau tunggu.... Pandai-pandai kau je nak aturkan jodoh untuk suami aku, ya?

* * *

Loceng rumah Tengku Fairuz ditekan berkali-kali. Fatihah mendengus marah bila pintu lambat dibuka. Terjerit-jerit memanggil nama Yusra Saidah.

Mak Som terjengul di sebalik pintu. Tengku Fatihah? Dia kenal Tengku Fatihah, adik kepada Tengku Fairuz biarpun dia baru sahaja berkerja dengan keluarga Tengku Faisal. Mak Som menapak ke arah Fatihah.

"Assalamualaikum Cik Fatihah.."

"Waalaikummusalam.. Buka pintu ni mak cik, saya nak masuk.. Yusra ada kat dalam?"

"Puan ada tapi sekarang puan tengah berehat. Cik Fatihah datang ni ada apa ya?"

"Saya nak jumpa dia. Ada hal penting saya nak bincangkan dengan dia."

"Tapi Puan tengah tidur. Nanti saya kena marah dengan Tuan kalau kacau masa rehat Puan.."

"Tak apa mak cik. Saya ada. Nanti saya call Fairuz, bagitahu saya nak jumpa Yusra sekejap. Saya adik dia, tak kan dia tak bagi saya jumpa kakak ipar saya sendiri. Alang-alang dah saya lalu kawasan sini, saya singgah la sekejap." Fatihah cipta skrip sendiri. Nak selamat, karang la cerita apa pun. Janji orang percaya.

"Oo.. macam tu. sekejap ya saya buka pintu.." Mak Som tanpa mengesyaki apa-apa langsung membuka pintu.

Fatihah tersenyum kelegaan bila sudah berjaya melangkah masuk ke rumah abangnya. Sayang sungguh abangnya pada Yusra, sampai tak bagi langsung Yusra jejak kaki ke Teratak Qaseh. Overprotective sangat!

"Cik Fatihah duduk la dulu ya. Mak Som ke dapur sekejap. Buat air."

"Baik Mak Som."

Fatihah labuhkan duduknya. Matanya melirik pada tubuh Mak Som yang makin menghilang di sebalik dapur. Otaknya mula berkerja. Mengeluarkan arahan supaya kaki cepat bertindak mencari Yusra. Namun akalnya menahan, menyuruhnya tunggu sebentar biar lakonan menjadi depan Mak Som jangan biarkan Mak Som terpedaya dengan lakonannya.

"Air ribena, okay ke Cik Fatihah?" Tanya Mak Som seraya meletakkan segelas air ribena ke permukaan meja.

"Panggil saya Tehah je Mak Som. Tak payah nak bercik-cik.." Fatihah memaniskan mukanya. Air ribena dicapai dan diteguk sekali dia sekadar membasahkan tekak.

"Panggil Tehah saja? Segan la pulak Mak Som. Nanti apa kata Ku Faisal dan Ku Ziah."

"Tak apa Mak Som. Mak Nah pun panggil saya Tehah je. Saya okay. Ni Mak Som saya nak tanya, abang saya biasa balik pukul berapa?" Jam tangan dikerling sekilas. Sudah jam 4 petang. Sengaja dia cari topik biar kelihatan 'caring' pada kakak iparnya.

"Tak menentu juga.. Biasa jam 5 dah balik.. kalau kerja habis lambat macam hari ni, dia bagitahu puan Yusra siap-siap. Dalam jam 8 macam tu kot balik nya.. Kenapa Tehah?"

"Tak la... saja tanya.. tak risau ke abang tu tinggal Kak Yusra sorang-sorang kat rumah. Akak tu kan baru je lepas operation.." Ngomel Fatihah.

"Nak risau apa.. kan mak Som ada.."

"Eh lupa pulak.." Fatihah sengih sendiri. Air diteguk lagi.

"Tadi Tehah kata nak jumpa Puan Yusra, Kan? Meh la Mak Som bawa jumpa Tehah jumpa Puan Yusra."

"Ya.. ya.." Fatihah membuntuti mak Som dari belakang.

Pintu bilik yang dihuni Yusra diketuk oleh Mak Som. Mak Som Buk sedikit pintunya bila dengar suara Yusra menyahut dari dalam. Mak Som mahu masuk tapi dihalang oleh Fatihah.

"Mak Som, biar saya masuk sendiri.. boleh?"

Mak Som mengangguk. Hanya membenarkan Fatihah masuk menemui kakak iparnya. Mak Som kemudiannya berlalu ke dapur.

Fatihah senyum sejongket. Pintu bilik Yusra ditolak perlahan. Perlahan-lahan dia melangkah masuk dan kembali menutup pintu. Punat kunci juga ditekan.

"Kenapa Mak Som?" Tanya Yusra.

Yusra tidak sedar kemunculan Fatihah kerana dia membelakangi pintu. Dia sedang membaca dan mengulangkaji nota-nota kuliahnya. Buat masa sekarang dia masih lagi bercuti memandangkan kesihatannya tidak mengizinkan namun itu bukan alasan untuk dia tidak meneruskan pembelajarannya walaupun dia di rumah.

Tiada balasan dari Mak Som membuatkan Yusra menoleh ke arah pintu. Tangannya yang sedang menyusun nota-notanya terhenti.

"Kak Fatt?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience