Bab 51

Romance Series 548166

Kasturi terjaga. Berpisat-pisat matanya. Helmet ditanggalkan. Rasa sengal dan sakit lehernya. Helmet di tangan diperiksa, sudah patah night vision cameranya. Pasti rosak sewaktu dia berguling jatuh awal pagi tadi. Helmet diletakkan di tepi.

Earphone di telinganya juga sudah tiada, pasti tercicir di mana-mana, begitu juga dengan telefon bimbitnya. Ah! Payah untuk dia berhubung dengan mereka di luar.

Kasturi teringatkan jam tangannya. Dia terus melihat jam di pergelangan tangannya, lampu kecil pada permukaan jamnya itu telah berkelip. Bermakna Reno sudah mengaktifkan GPS pada jam tersebut tetapi dia tidak boleh berharap pada mereka untuk datang menyelamatkan dirinya. Dia mesti berusaha untuk keluar dari cenuram ini dan untuk itu dia mesti menyusuri cenuram hingga berjumpa dengan perbukitan yang sedikit landai untuk mendakinya.

Kalau ikutkan pada penelitiannya pada peta sebelum operasi tadi, ada sebatang anak sungai di sebalik bukit ini yang menuju ke arah air terjun di Hutan Bukit Seputih, Air Terjun Bukit Saga. Jika tekaannya tepat, dia sempat sampai ke sana sebelum hari gelap andai mula bergerak sekarang.

Kepala didongak memandang langit yang sudah semakin cerah. Tangan kanannya naik memicit leher yang sakit, mungkin disebabkan dia jatuh berguling tanpa sempat bersedia. Tiba-tiba terasa pedih pada pahanya. Baru dia sedar, paha kananya luka. Seluar terkoyak hingga nampak kulit pahanya yang berdarah. Darah pun sudah mulai kering. Mujur juga luka tidak dalam, mungkin terkena pokok atau batuan yang ada semasa dia terjatuh tadi.

Bagaikan baru teringat, tertegak Kasturi memandang ke hadapan. Tidak jauh darinya dilihat ada sekujur tubuh yang terlangkup berhampiran banir pokok yang agak besar. Tidak syak lagi, itu adalah Tatoo. Pantas Kasturi bangun berdiri. Senjata HK MP7 yang masih tersangkut ditubuh terus dicapai dan dengan laras yang dihala ke hadapan Kasturi mengatur langkah dengan berhati-hati untuk menghampiri Tatoo.

"Hey.. Hey.." Panggil Kasturi dan bersama itu kaki menendang perlahan tubuh Tatoo untuk mengejutkannya. Diulang beberapa kali tetapi masih tiada jawapan. Kasturi silangkan senjata ke belakang tubuh lalu side arm diambil dan dengan berhati-hati Kasturi menundukkan tubuh untuk menghampiri Tatoo di atas tanah dan dalam masa yang sama tangan kanan yang memegang senjata dihala ke kepala Tatoo manakala tangan kirinya menolak kuat tubuh Tatoo hingga terlentang.

"Arrgghhh..!!." Jerit Tatoo tiba-tiba, Kasturi yang mendengar terus melompat ke belakang untuk memberi jarak dan juga sebagai langkah berjaga-jaga kerana dia tidak pasti samada Tatoo mempunyai senjata atau pun tidak padanya waktu itu. Jika salah percaturan, nyawa pula jadi taruhan.

Tatoo yang melihat kehadiran Kasturi terus bingkas berdiri, walaupun pandangannya masih kabur disebabkan kecederaan di kepalanya, Tatoo tetap tegak berdiri sambil belakangnya bersandar ke banir pokok tadi. Tangan naik memicit kepalanya beberapa kali.

Tiba-tiba Tatoo ketawa. Kasturi kerut kening sambil senjatanya masih diacukan ke arah Tatoo.

"Dah tersesat dalam hutan macam ni pun kau masih nak tangkap aku?!." Ejek Tatoo.

"Sudah-sudah la Edan.. Kau ingat kita boleh keluar dengan selamat dari tempat macam ni? Cuba kau tengok keliling. Hutan tebal ni.." Kata Tatoo sambil dia membuang pandang ke sekeliling. Tiada apa yang ada, hanya hutan tebal sahaja bersama isi alamnya.

"Apa kata.. kau cari jalan keluar sampai aku bebas, kemudian kau lepaskan aku. Tapi.. jangan bagitau pada boss kau. Nanti aku bayar banyak mana yang kau nak. Kau cakap saja, aku akan sediakan." Kata Tatoo yang cuba berunding dengan Kasturi.

Kasturi tidak membalas, sebaliknya bersama senjata yang masih dihalakan ke arah Tatoo, langkah kaki diatur merapat ke arah lelaki itu.

"Pusing!." Kata Kasturi.

"Come on Edan.. Daripada kau tangkap aku, apa kata kita sama-sama cari jalan keluar." Tatoo cuba memujuk Kasturi lagi. Terketap gigi Kasturi menahan geram.

"I said, turn around!." Keras suara Kasturi mengarah sambil muncung senjata ditekan ke dada Tatoo.

"Okay.. Okay.." Balas Tatoo sambil perlahan dia memusingkan tubuhnya mengadap banir pokok dan dalam masa yang sama Kasturi menyimpan side-armnya dan mengambil cable-tie di poket kiri seluarnya. Belum sempat cable-tie dicapai, Tatoo telah dahulu menghentak wajah Kasturi dengan siku kanannya. Terundur ke belakang Kasturi dengan tindakan Tatoo tersebut. Tatoo pula terus mengambil peluang tersebut untuk melarikan diri.

"Shit!." Marah Kasturi. Hidung yang berdarah dikesat dengan tangan. Tanpa lengah, jejak Tatoo terus diburu. Jangan ingat dia boleh lepaskan diri!

Tatoo pula yang sudah termengah-mengah berhenti seketika sambil tangan menongkat pada batang pokok. Nafas ditarik bersama dada yang turun naik dengan laju mengepam oksigen. Tatoo menoleh ke belakang tetapi tiada kelibat Kasturi. Bibirnya tersenyum sumbing.

"Huh! Ingat hebat sangat." Kata Tatoo lalu dia menoleh semula ke hadapan.

'Buk!'

"Argghhh!!." Kuat jeritan Tatoo kedengaran. Berterbangan burung ke langit kerana terkejut. Terduduk terus Tatoo di atas tanah sambil tubuh Kasturi yang tegak berdiri di hadapannya dipandang. Begis wajah lelaki itu.

"Tak guna!." Marah Tatoo.

Kali ini Kasturi tidak berlembut lagi, tubuh Tatoo ditelangkupkan di atas tanah lalu kedua-dua tangan Tatoo dibawa ke belakang dan diikat ketat dengan cable-tie.

"Tak payah la ketat sangat!." Marah Tatoo sambil cuba untuk bangun dari ditindih Kasturi. Ikutkan hati Kasturi yang marah, mau lunyai Tatoo dikerjakannya. Setelah kedua tangan Tatoo diikat, Kasturi bangun berdiri dan sambil itu dia menarik tubuh Tatoo untuk turut sama berdiri. Terkial-kial Tatoo bangun berdiri dengan payah tanpa bantuan dari Kasturi.

'Ptuih!'

Tatoo meludah darah ke tanah. Luka bibirnya kerana ditumbuk Kasturi tadi.

"Jalan!." Kata Kasturi pada Tatoo sambil muncung HK MP7 di halakan ke arah Tatoo. Pada mulanya Tatoo buat tidak peduli tetapi apabila Kasturi mengangkat tinggi senjatanya seakan mahu menghentak wajahnya, laju Tatoo membuka langkah. Agak lama juga kedua-dua lelaki itu meranduk hutan, hampir tiga jam kaki diayun, peluh merenek membasahi wajah. Bajunya usah dikatalah basah peluhnya, kalau diperah, penuh segayung. Tiba-tiba tanpa isyarat, Tatoo terus melabuhkan duduknya pada sebatang pokok yang tumbang. Nampak letih dan lesu wajah itu. Kasturi tidak menegur, sebaliknya dia juga turut melabuhkan duduk tidak jauh dari Tatoo. Peluh dikesat pada lengan baju operasinya yang pendek sambil dia memasang telinga. Di dalam hutan ini, kena sentiasa peka. Bimbang binatang buas datang menyapa.

"Aku penatlah.. I'm tired.. thirsty, hungry." Bebel Tatoo pada Kasturi. Dah tu, dia ingat aku ni tak penat, tak lapar, tak dahaga? Kata Kasturi dalam hati.

"Edan! Kau dengar tak ni?." Marah Tatoo.

"Sshhh.." Kata Kasturi sambil jari telunjuknya naik tegak di hadapan bibir. Tatoo pula masih mahu membebel tetapi sebaik dia mendengar bunyi ranting pokok seperti dipijak. Terus bibirnya terkunci rapat dan memandang ke arah Kasturi yang sudah tegak berdiri bersama HK MP7 yang dihalakan ke arah datangnya bunyi tadi. Jari terlunjuk Kasturi sudah sedia berada pada picu, hanya menunggu masa sahaja untuk dipetik. Tatoo pula sudah berdiri tegak di tepi batang pokok yang tumbang tadi bersama debaran di dada.

'Prak! Prak!'

Bunyi ranting dipijak lagi. Kasturi sudah bersedia dengan senjata, menunggu masa sahaja untuk memuntahkan pelurunya. Semak di hadapan mereka bergoyang daunnya. Tegak mata Kasturi memanah ke arah semak tersebut. Andai keluar sahaja, memang laju pelurunya akan terbang pergi. Tatoo pula sudah tidak senang duduk, nak bergerak pun sudah rasa tidak mampu.

'Prak! Prak!'

Makin kuat bunyinya dan tiba-tiba muncul seekor anak rusa yang sedang mengunyah daun sambil melompat keluar. Mujur Kasturi tidak melepaskan tembakan tadi, kalau tidak pasti anak rusa menjadi mangsa. Tertegak kepala anak rusa memandang mereka berdua sebelum binatang yang telah keluar dari semak itu berlari pergi. Nampak lega pada wajah Kasturi, begitu juga Tatoo. Kasturi turunkan senjatanya ke bawah. Nasib baik juga yang muncul tadi rusa, kalau binatang lain.. Takut untuk dia fikirkan kemungkinannya. Hutan tebal begini, semuanya tidak mustahil.

"Let's go." Ajak Kasturi pada Tatoo yang baru mahu melabuhkan kembali duduknya pada batang pokok tadi.

"Aku penat!." Balas Tatoo malas. Kasturi kemudian terus mengatur langkah ke arah Tatoo lalu baju lelaki itu ditarik supaya bangun berdiri.

"Matahari dah mula turun, tak lama hari semakin gelap. Aku tak mahu lepas ni bukan anak rusa yang datang, tapi yang lain pula yang muncul!." Marah Kasturi dan bersama itu kasar baju Tatoo ditariknya. Mahu tak mahu terpaksa juga Tatoo membuka langkah. Langit dipandang, dia juga tidak mahu berlama-lama di dalam hutan ini. Bermacam-macam perkara tidak diduga boleh berlaku. Tambahan pula, keadaan daun pokok yang tebal melindungi cahaya matahari, menyebabkan keadaan hutan pantas berubah gelap. Jika itu berlaku, akan menyusahkan mereka untuk terus bergerak mencari jalan keluar.

Lebih kurang empat jam berjalan kaki dengan dipandu arah oleh Kasturi, sampai juga mereka ke kawasan yang cenuramnya sudah agak landai. Itu pun beberapa kali juga mereka berhenti untuk melepaskan lelah. Makanan mereka hanyalah buah-buah kayu dan pucuk hutan. Pada mulanya Tatoo tidak mahu makan apabila disuap Kasturi, katanya takut buah beracun tetapi apabila melihat Kasturi yang enak sahaja menikmati buah hutan tersebut, barulah dia terkial-kial minta untuk disuap. Sudah banyak kali Tatoo minta ikatan tangannya dibuka tetapi tidak dilayan Kasturi. Sakit hati Tatoo apabila permintaannya tidak diendah Kasturi.

Kasturi memandang cenuram yang sedikit rendah. Ini bermakna, mereka sudah tidak jauh dari kawasan perbukitan landai yang berdekatan dengan anak sungai. Jika perkiraannya tidak silap, lebih kurang satu jam perjalanan lagi. Mereka akan sampai di kawasan air terjun Bukit Saga di Hutan Bukit Seputih.

"Let's go." Kata Kasturi pada Tatoo yang duduk di atas tanah sambil bersandar di batang pokok. Baru matanya mahu dipejam, Kasturi sudah memanggil semula.

"Cepatlah!." Marah Kasturi sambil lengan Tatoo ditarik hingga lelaki itu tegak berdiri. Kedua-dua lelaki itu meneruskan perjalanan mereka.

Seperti yang sudah disangka Kasturi, mereka sampai di anak sungai. Ceria wajah Tatoo apabila mendengar bunyi aliran sungai. Laju dia berlari ke arah bunyi air yang mengalir.

"Sungai!." Jerit Tatoo apabila mereka menjumpai anak sungai. Kasturi yang baru tiba di belakang, turut nampak lega di raut wajah itu. Walaupun airnya tidak terlalu dalam tetapi cukup untuk mereka membasahkan tekak dan membersihkan tubuh. Tatoo memandang Kasturi yang berdiri di sisinya.

"Buka tali ni, aku nak minum." Kata Tatoo pada Kasturi. Kasturi geleng.

"Kau duduk sini, aku ambilkan air." Kata Kasturi lalu dia pergi ke tepi sungai lalu mengambil daun keladi yang tumbuh subur di gigi airnya. Daun keladi yang paling besar dipotong dan kemudian air sungai diambil lalu dibawa kepada Tatoo.

"Minum." Kata Kasturi sambil daun keladi berisi air sungai disuakan ke bibir Tatoo. Tatoo pandang dengan riak tidak puas hati. Disebabkan dahaga, air yang diberikan Kasturi diminum juga hingga habis. Lega rasa tekaknya. Jika sebelum ini air yang diminum hanya dari akar pokok, payau sahaja rasanya. Selepas Tatoo selesai minum, Kasturi pula mahu hilangkan hausnya. Baju operasi yang dipakai ditanggalkan dan diletakkan di atas batu di tepi sungai tidak jauh dari tempat Tatoo berada. Hanya tinggal singlet hitam sahaja. HK MP7 pula masih elok tergantung di badannya.

Wajahnya dicuci dengan air sungai. Segar rasa wajah disiram dengan sejuknya air sungai. Kemudian air sungai disauk dengan tapak tangan dan diteguk perlahan. Lega rasa tekak. Kotor pada kedua-dua lengan dicuci.

"Edan! Edan!." Panggil Tatoo pada Kasturi yang dilihat sudah selesai membersihkan diri. Kasturi menoleh pada Tatoo.

"Aku nak kencing." Jerit Tatoo. Kasturi yang mendengar terus melangkah ke arah Tatoo yang sudah berdiri dan berada di gigi air. Kasturi menarik lengan Tatoo ke dalam anak sungai di bahagian air yang sedikit dalam hingga ke paras paha. Tatoo ditarik berhadapan dengannya dan laju tangan Kasturi mahu membuka zip seluar Tatoo. Buntang mata Tatoo apabila melihat tindakan Kasturi.

"Eh! Eh! Eh!Kau nak buat apa ni?." Tegur Tatoo sambil dia berundur sedikit ke belakang.

"Kata nak kencing. Aku nak tolong bukakan." Balas Kasturi selamba.

"Oit! Gila la kau. Agak-agak la. Aku boleh buat sendiri!" Marah Tatoo. Terus Kasturi berdiri tegak. Tatoo pula terus memusingkan tubuhnya membelakangi Kasturi.

"Buka ni." Pinta Tatoo sambil kepala menoleh ke belakang memandang Kasturi. Kasturi tidak membalas.

"Edan! Bukalah. Macam mana aku nak kencing kalau tangan diikat. Takkan kau nak pegangkan aku punya kot.!." Kata Tatoo lagi. Kasturi pandang wajah Tatoo.

"Aku tak lari la. Kalau aku lari pun, aku bukan tahu jalan keluar." Kata Tatoo. Lama Kasturi berfikir sambil hutan sekeliling dipandang. Kasturi tarik nafas panjang lalu pisau spring yang disisip di pinggang dicapai lalu cable tie dipotong. Laju Tatoo menggosok pergelangan tangannya yang berbekas.

"No need to go far, here is enough!." Kata Kasturi. Tatoo hanya angguk sekali sebelum pantas zip seluar dibuka dan dia melepaskan hajatnya. Kasturi pula masih berada di tempat tadi. Tatoo menoleh ke belakang memandang Kasturi sambil menarik zip seluarnya. Apabila menyedari Kasturi masih ada di tempat yang sama, dia menunduk mencuci muka sambil menghilangkan haus tekaknya.

Sambil Tatoo membersihkan lengannya yang kotor, dia menunduk sedikit ke dalam sungai lalu dicapai batu sungai yang agak besar lalu dengan sekali pusing batu tersebut dihentak ke kepala Kasturi. Terlentang Kasturi di dalam sungai. Tatoo terus melompat dan menindih Kasturi. Batu yang ada di tangan tadi dihentak lagi ke kepala Kasturi hingga darah pekat merah mengalir bersama air sungai yang deras.

Tatoo pantas bangun berdiri dan batu yang ada di tangan dicampak ke dalam sungai. HK MP7 yang tersarung di tubuh Kasturi diambil. Tidak menunggu lama, dia terus berlari keluar dari anak sungai. Kasturi pula hanya terkaku di tengah sungai bersama luka di kepala.

+++

"Eh, El. Kenapa kita perlu ke sini?." Soal Miran apabila Kira memintanya memandu ke arah lokasi yang bukan seperti dalam alat pengesan GPS.

"Sini je jalan terpantas untuk kita sampai pada Edan." Kata Kira yang sedang memasang seatbeltnya. Miran yang masih memandang skrin GPS terus terdiam.

"Biar betul ni El. Memanglah ini jalan yang terpantas tapi bukit yang kita nak panjat nanti agak curam juga." Kata Miran. Pantas Kira menoleh pada Miran sambil mencekak baju lelaki itu dan ditarik rapat ke arahnya.

"Why? You can't do that?." Soal Kira, kecil sahaja matanya memanah mata Miran. Miran tarik nafas panjang. Tau sangat panas baran Kira macam mana.

"Bukan saya.. tapi saya risaukan awak, El. Saya takut nanti El pula yang cedera disebabkan nak menyelamatkan Mr.K." Balas Miran. Terus baju Miran dilepas kasar.

"Kau tak payah nak bimbang pasal aku." Balas Kira sambil glove yang berada di atas ribanya diambil dan disarung pada kedua-dua tangannya. Miran tiada pilihan. Apa pun, dia akan cuba menjaga Kira dengan sepenuh kudratnya.

"Okay. Kita gerak." Akhirnya Miran mengalah lalu kakinya menekan pedal dan laju kereta meluncur pergi. Tidak sampai setengah jam, mereka sampai di lokasi seperti yang diminta Kira. Kereta diletakkan di tepi jalan. Enjin dimatikan dan kedua-dua mereka melolos keluar. Kira memerhati seketika keadaan hutan yang bakal dia terokai sebentar nanti. Nafas ditarik panjang. Semoga urusannya dan Miran dipermudahkan olehNya.

Kira kemudian melangkah menghampiri Miran yang berada di bahagian belakang kereta. Beg sandangnya diambil lalu digalas di belakang. Kedua mereka memeriksa sekali lagi semua peralatan yang dibawa sebelum memulakan perjalanan. Setelah memastikan semuanya lengkap dan berfungsi, Kira memulakan langkah dan diikuti Miran. Alat pengesan GPS yang dipasang pada lengan dipandang. Lampu merah berkelip-kelip menandakan Kasturi masih hidup dan seandainya lampu tersebut terpadam, ada beberapa kemungkinan sahaja. Yang pertama, jika jam tertanggal atau ditanggalkan dari tangan Kasturi atau satu lagi, sesuatu yang tidak mahu dan takut untuk Kira bayangkan, iaitu tiada lagi nadi pada sipemakainya.

Agak lama Kira dan Miran bergerak di dalam hutan hinggalah mereka sampai di kaki bukit. Mereka perlu mendaki bukit tersebut sebelum mereka turun di sebelah bukit sana untuk sampai di tempat Kasturi. Kira melepaskan lelah sambil air minuman diambil dan diteguk.

"El, awak pasti ke Mr.K ada di lokasi yang kita tuju ni?." Soal Miran pada Kira yang sedang meneguk air.

Kira menyimpan semula botol air di sisi beg sandangnya. Keadaan sekeliling dipandang.

"Aku yakin Edan akan ke sana." Kata Kira lalu dia terus bangun berdiri. Dia tidak mahu membuang masa, nyawa Kasturi amat bermakna.

Kedua-dua mereka memanjat bukit yang agak curam dengan dibantu perlatan yang dibawa. Puas juga untuk sampai di atas dan setelah berjaya sampai di puncak, mereka berehat seketika sebelum menuruni bukit tersebut. Hampir tiga jam juga barulah mereka sampai di kaki bukit di sebelah sana. Terduduk Kira di atas tanah bersama kakinya berlunjur. Itu la padahnya sudah lama tidak menjunguk ke gym, stamina pun sudah kurang.

"El!." Panggil Miran cemas. Dah kenapa Miran ni, tadi elok sahaja bersandar di banir pokok sudah terkocoh-kocoh berlari mendapatkan Kira yang sedang melepaskan lelahnya.

"Ada apa kau ni?." Soal Kira.

"Cuba tengok skrin GPS." Pinta Miran. Pantas Kira memandang skrin GPS di lengannya. Lampu merah yang tadi berkelip-kelip sudah tidak menyala lagi. Pucat wajah Kira bersama nafas yang turun naik dengan laju. Abang!

(18/06/2021 @ 1515hrs)

Share this novel

Hawani Hashim66
2021-06-18 22:40:44 

tqvm fifi


NovelPlus Premium

The best ads free experience