Bab 7

Romance Series 548166

"Pak Chaq, saya nak ke belakang sekejap" pinta Kasturi lalu dia bangun menuju ke arah pintu.

Kasut disarung dan kaki terus diatur langkah ke belakang rumah hingga ke pintu dapur kayu. Kaki Kasturi berhenti melangkah. Dapat dia lihat ada kesan kotor pada pelantar dapur kayu dan selak pada pintu itu juga telah rosak. Pasti Jeff masuk melalui pintu ini. Di belakang rumah Pak Chaq ada kebun buah-buahan dan ada jalan masuk yang boleh menembusi jalan besar di sebelah sana. Hm.. patutlah tiada sesiapa yang menyedarinya. Tak guna kau Jeff! Kasturi kemudian kembali ke ruang makan. Kasut ditanggalkan lalu dia melangkah masuk dan terus melabuhkan duduk di kerusi.

"Hang cari apa kat belakang tu Ri?" soal Pak Chaq sebaik Kasturi melabuhkan duduk.

"Hm.. Saya rasa memang betul Jeff masuk melalui pintu belakang" kata Kasturi tanpa membalas soalan Pak Chaq.

"Awat hang cakap lagu tu?" soal Pak Chaq.

"Selak pintu dapur kayu dah rosak dan ada kesan tanah pada pelantar dapur" kata Kasturi.

"Aku agak dah. Patut la kita tak sedaq, dia masuk ikut belakang! Tak guna punya Jeff. Memang elok la dia tak jadi menikah dengan Kira sebelum ni. Kalau dak, tah apa dia buat pada Kira" marah Pak Chaq.

Kasturi telan liur. Itu jugalah sebabnya saya mengambil Kira sebagai isteri. Kata Kasturi di dalam hati.

"Kira" tegur Pak Chaq pada Kira yang baru turun dari tingkat atas.

Mak Chaq yang turut sama turun terus ke sinki untuk mencuci kain yang digunakan membersihkan bilik Kira. Kira melangkah ke arah Pak Chaq di meja makan. Kerusi ditarik dan terus dilabuhkan duduk. Kasturi yang berada di meja makan memandang Kira dengan penuh simpati.

"Kita pi Balai Polis buat repot" kata Pak Chaq. Laju Kira menggeleng.

"Tak pa la Pak Chaq. Tak teruk pun" kata Kira.

"Lagipun cheq dah mandi, kesan bergelut tadi dah tak dak. Bilik pun dah kemaih" kata Kira lagi.

Kasturi memandang Kira. Pipinya masih merah, begitu juga di hujung bibir. Pak Chaq hela nafas panjang.

"Hang sungguh ka ni?" soal Pak Chaq tidak puas hati. Kira angguk.

"Tak mau ka pi buat repot? biaq polis tangkap Jeff tak guna tu!" sampuk Mak Chaq sambil melabuhkan duduk di sisi Kira.

"Tak pa lah Mak Chaq. Cheq tak mau nanti Jeff bertindak makin teruk pula lepaih ni" kata Kira. Tertunduk Kira sambil bermain dengan jemari sendiri.

"Ish, hang ni. Awat lembut hati sangat! hang sayang kat dia lagi ka apa? dah jadi lagu ni pun dok biaq lagi" suara Mak Chaq sudah tinggi. Kira terdiam tidak berkata.

"Hurm.. kalau dah tak mau buat repot, pi klinik. Pipi dengan bibiaq merah tu" suara Pak Chaq sudah mendatar.

"Tu pipi. Ni kat tengkuk tu. Naik lebam kena cekik" kata Mak Chaq. Bulat mata Kasturi dan Pak Chaq apabila mendengar kata-kata Mak Chaq.

"Sungguh ka?" soal Pak Chaq. Iyalah, mana nak nampak kesannya sebab Kira pakai tudung.

"Sungguh la. Si Jeff tak guna tu dah cekik Kira ni mujuq ada seterika bawah katil. Itu yang ada darah ataih lantai bilik tu. Kira dah katok kepala dia dengan seterika. Elok mati ja! orang lagu tu tak guna hidup pun" kata Mak Chaq. Tergeleng kepala Pak Chaq.

"Kalau dah Kira tak nak buat repot kita tak payahlah paksa. Cuma kalau Kira setuju kita ke klinik buat pemeriksaan" pujuk Kasturi. Kira dongak pandang Kasturi.

"Periksa? periksa apa? cheq bukan kena rogol!" marah Kira.

"Eh, tak. Saya tak bermaksud macam tu. Saya cuma bimbangkan kesihatan Kira. Pipi dan leher tu. Biar doktor yang periksa" terang Kasturi. Tajam dijeling Kasturi yang berada di depannya.

"Tak payah! sakit sikit ja. Dua tiga hari nanti boleh hilang" balas kira.

Kasturi hela nafas panjang. Nampak je macam tu, boleh tahan degilnya. Dalam keadaan Kira sekarang, nak paksa pun tidak boleh. Emosi masih tidak stabil. Itu sebab ada sesetengah kes, mangsa melaporkan kejadian lewat tetapi itu tidak menjadi masalah cuma kesan dan juga bukti untuk mendakwa pesalah yang akan menimbulkan masalah di mahkamah nanti. Kasturi tahu dari awal lagi Kira memang tidak mahu mengambil tindakan undang-undang jika tidak, Kira tidak akan bersihkan diri dan juga biliknya kerana itu semua adalah bukti penting dalam pendakwaan. Kasturi yakin Kira tahu kerana berdasarkan pekerjaan Kira, perkara begini Kira sudah sedia maklum.

"Hurm.. ikut hang la Kira. Kami ikut ja apa yang terbaik buat hang" kata Mak Chaq pula. Bahu Kira digosok perlahan.

"Pak Chaq, ada paku dan penukul tak?" soal Kasturi.

"Hang nak buat apa?" soal Pak Chaq.

"Saya nak betulkan pintu dapur kayu. Kalau tidak nanti, tidur malam ni pintu tak berkunci pula" kata Kasturi.

"Oh, ada. Mai la Pak Chaq tolong sekali" kata Pak Chaq lalu bangun dari kerusi. Kasturi turut mengekori dari belakang.

Selepas siap membetulkan pintu belakang. Kasturi minta izin untuk pulang ke rumahnya seketika untuk mandi dan menukar pakaian.

"Baliklah. Tapi sat lagi mai balik. Jangan lupa bawa baju sekali" pesan Pak Chaq. Kasturi hanya angguk.

"Hah, hang ada baju melayu dak?" soal Pak Chaq.

"Baju melayu? ada. Tapi nak buat apa?" soal Kasturi sambil berjalan beriringan dengan Pak Chaq ke keretanya.

"Lah, untuk majlis esok la. Takkan nak menikah pakai t-shirt pulak. Ish!" kata Pak Chaq.

"Oh.. okay" balas Kasturi dengan senyum nipis. Kahwin ya.. lupa.

"Saya balik dulu Pak Chaq" kata Kasturi lalu melolos masuk ke dalam kereta. Enjin dihidupkan dan lalu laju pedal ditekan, menderum kereta Myvi pergi hingga sampai ke rumah arwah ayahnya. Telefon bimbit di dalam poker dikeluarkan lalu nombor seseorang didail.

Malam itu selepas maghrib, Kasturi kembali ke rumah Pak Chaq seperti mana yang telah dipersutujui siang tadi.

"Assalamualaikum" Kasturi memberi salam.

"Sampai dah. Mai masuk, kita makan sekali" ajak Pak Chaq yang sudah berada di meja makan bersama Kira dan Mak Chaq.

Dari pemerhatian Kasturi, Kira sudah nampak tenang dan kuat tetapi tidak tahulah di dalamnya bagaimana. Selepas makan malam selesai, Pak Chaq menghulurkan borang pada Kasturi untuk diisi.

"Isi ni. Esok Pak Chaq bagi pada anak buah Pak Chaq. Nanti dia uruskan yang dalam online. Esok pukui sembilan pagi kita kena ada pejabat agama dah. Tuan Haji Ismail dah telefon Pak Chaq bagitau tadi. Dia habaq jangan lewat sebab dia ada kerja lepaih tu" kata Pak Chaq.

Kasturi angguk sambil memerhatikan borang yang ada di tangannya. Apa aku nak isi di ruangan pekerjaan ni. Kalau isi mengikut yang sebetulnya kena ada surat majikan. Aduh..

"Awat? lama sangat dok tenung borang tu" soal Pak Chaq.

"Tak ada apa, saya cuma baca butiran yang diperlukan dalam borang ni" kata Kasturi.

"Hah.. ingatkan hang tak jadi nak kahwin dengan Kira sebab kejadian siang tadi" kata Pak Chaq. Tajam matanya merenung Kasturi. Kasturi senyum nipis.

"Pak Chaq, saya tak akan sekali-kali menarik balik kata-kata saya" kata Kasturi yakin.

"Baguih la lagu tu. Hang jangan nak buat bukan-bukan. Golok Pak Chaq tu baru ja asah petang tadi" kata Pak Chaq.

"Ish, apa abang ni! Elok kawan tu nak menikah dengan Kira sat lagi langsung lari tak mau" marah Mak Chaq yang datang membawa teko kopi o panas.

"Pak Chaq dan Mak Chaq jangan bimbang. Keputusan saya tetap sama" kata Kasturi lalu borang yang ada di tangan terus diisi. Hm.. isi la apa yang patut..

Kira yang sedang duduk di anak tangga hanya memandang Kasturi dari jauh. Kau yakin ke Kira dengan apa yang kau buat ni? Soal Kira sendiri. Dah tak guna nak menolak Kira..

"Nah Pak Chaq" hulur Kasturi pada Pak Chaq. Pak Chaq sambut huluran lalu disekalikan dengan borang Kira lalu dimasukkan ke dalam sampul.

"Er.. Pak Chaq, saya keluar sekejap. Nak ke kereta. Ambil barang" kata Kasturi.

"Pi lah, jangan lari dah la" kata Pak Chaq. Mak Chaq yang mendengar sudah menjeling tajam. Tidak lama Kasturi masuk semula bersama dua pasang baju iaitu baju melayu dan baju kurung moden berwarna krim. Pak Chaq dan Mak Chaq saling memandang.

"Ni baju untuk Kira pakai esok" kata Kasturi lalu menghulurkannya pada Mak Chaq. Kira yang berada di tangga dipandang sekilas. Mak Chaq teliti baju yang berada di tangannya.

"Uih.. cantiknya, lembut kain dia" kata Mak Chaq. Kasturi hanya tersenyum.

"Kira, mai sini" panggil Mak Chaq pada Kira. Kira perlahan melangkah ke arah Mak Chaq di meja makan. Huluran baju dari Mak Chaq disambut lalu diteliti bajunya. Ini dari butik mahal ni, ditelek pula saiz pada baju. Bulat mata Kira. Mana dia tau saiz aku?

"Mana awak dapat baju ni? Ini dari butik mahal ni" soal Kira. Kasturi hanya tersenyum. Sesuatu la dia ni..

"Tak payah dok banyak tanya la Kira. Esok pakai baju ni. Selendang pun ada sama. Cantik sungguh" kata Mak Chaq.

+++

Mak Chaq yang sudah bangun dan mandi terus ke dapur untuk siapkan sarapan pagi sebelum ke Pejabat Agama Daerah. Mujur juga Tuan Haji Ismail itu kawan baik suaminya, jadi mudahlah juga untuk berurusan walaupun dalam tempoh singkat. Cumanya pendaftaran online sahaja yang perlu dibuat tetapi itu pun akan dibantu oleh anak buahnya di pejabat agama itu. Mak Chaq yang sedang membancuh air naik tangan kirinya menutup mulut yang menguap. Berair hujung mata.

"Aik Mah, awat. Mengantuk lagi ka?" soal Pak Chaq yang datang dari tingkat atas bersama Kasturi.

"Hurm.. malam tadi tak buleh lena" kata Mak Chaq.

"Hai.. baru semalam tak tidoq dengan abang dah tak buleh lena ka?" usik Pak Chaq sambil menarik kerusi meja makan. Menjeling tajam Mak Chaq apabila diusik begitu. Kasturi yang turut sama berada di meja makan tersenyum nipis dengan gurauan Pak Chaq.

"Apa abang ni, tak dak kena-mengena aih" marah Mak Chaq sambil membawa dulang berisi teko dan cawan.

"Kira malam tadi dia asyik dok terkejut sesaja. Kesian kat dia, mesti dok terbayang-bayang perkara tu. Tidoq pun lena" kata Mak Chaq.

"La.. ya ka. Hm.. kesian kat dia" kata Pak Chaq.

"Hah, Kira dok tercegat kat tangga buat apa lagi. Mai la minum. Sat lagi nak bersiap" kata Mak Chaq pada Kira. Kasturi memandang wajah Kira yang agak sembab dan bengkak matanya. Setelah selesai bersarapan Kira terus naik ke bilik untuk bersiap bersama Mak Chaq. Kasturi pula menumpang salin di bilik bertentangan bilik Kira. Sekejap sahaja di sudah siap menukar pakaian. Sementara menunggu Kira bersiap, Kasturi melabuhkan duduk di kerusi rotan di ruang tamu sambil membelek telefon di tangan. Tidak lama Mak Chaq keluar dari bilik Kira.

"Siap dah. Jomlah. Sat ni lambat" kata Mak Chaq pada Kasturi yang berada di ruang tamu. Kasturi terus bangun dan membetulkan pakaian di tubuhnya dan sewaktu di mendongak ke hadapan, dapat dilihat Kira yang manis berbaju kurung moden yang dibawa semalam berdiri di hadapan pintu bilik. Elok terletak baju itu di tubuh Kira. Cantik Kira walaupun hanya solekan nipis dikenakan pada wajahnya.

"Ri, dok tercegat situ lagi buat apa. Lekaih la" tegur Mak Chaq.

"Ya, saya datang" kata Kasturi sambil memakai songkok. Kira pula sudah berjalan mengekori Mak Chaq.

"Hah Ri, hang kena bawak kereta la sebab Pak Chaq ni mata tak berapa nak clear sangat" kata Pak Chaq.

"Eh, tak apa. Saya boleh pandu" kata Kasturi.

"Naik kereta saya" kata Kira pula sambil menghulurkan kunci kereta pada Kasturi.

Hampir empat puluh minit memandu, mereka sampai di Pejabat Agama Daerah Taiping. Waktu itu Tuan Haji Ismail sudah sedia menanti di hadapan pejabat. Pak Chaq terus menyapa dan salam dihulur begitu juga Kasturi.

"Mai la, kita masuk pejabat" kata Tuan Haji Ismail.

"Aku terima nikahnya Elvaretta Kirana Binti Mirwan dengan mas kahwinnya satu ribu ringgit tunai" kata Kasturi dengan sekali lafaz.

"Alhamdulillah.." suara Pak Chaq dan beberapa orang yang turut ada dalam majlis akad nikah itu. Setelah selesai majlis akad nikah, Kasturi menghampiri Kira yang duduk di sofa. Cincin dalam poket dikeluarkan.

"Izinkan saya" kata Kasturi yang sudah melabuhkan duduk di sisi Kira. Kira angguk lalu tangan dihulurkan pada Kasturi. Cincin tersarung elok di jari manis Kira. Kira tunduk menyalami tangan Kasturi dan dilabuhkan cium di dahi. Teringat pula kejadian di TESCO sebelum ini cuma waktu itu masih belum halal.

"Maaf, saya tak sempat nak beli yang baru. Ini cincin arwah ibu saya" bisik Kasturi di telinga Kira.

"It's okay. Ini pun dah cukup cantik" balas Kira.

"Ehem" suara Pak Chaq berbunyi.

"Kita balik dulu la, Tuan Haji pun ada urusan len lagi ni" kata Pak Chaq. Kasturi dan Kira terus menoleh pada Pak Chaq lalu bangun berdiri.

(02/02/2021 @ 1527hrs)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience