Bab 72

Romance Series 548166

"Ya, saya Miran adiknya. Macam mana dengan keadaan abang saya Doktor?." Soal Miran yang sudah berdiri tegak di hadapan Doktor wanita muda itu. Panjang nafas Doktor Nadia tarik sebelum bicara dimulakan, semoga lelaki ini sabar dan tabah apabila mendengarnya nanti.

"Peluru berjaya dikeluarkan, tetapi pesakit kehilangan banyak darah dan buat masa ni pesakit masih belum sedarkan diri dan perlu di letakkan di Unit Rawatan Rapi atau Unit Rawatan Intensif (ICU). Pesakit bernasib baik kerana peluru tidak kena pada organ penting namun begitu tetap membahayakan nyawa." Terang Doktor Nadia panjang lebar.

"Jadi buat masa ini, pesakit hanya boleh dilihat dari luar bilik ICU sahaja." Tambah Doktor Nadia lagi.

"Kalau saya nak berjumpa dengan abang saya sekejap boleh tak? Sekejap sahaja." Pinta Miran penuh mengharap bersama matanya yang tunak memandang wajah doktor wanita di hadapannya. Manis dan cantik orangnya. Doktor Nadia terdiam sebelum soalan Miran dijawab bersama anggukan.

"Boleh tapi sebentar sahaja ya." Balas Doktor Nadia. Kasihan pula dia pada lelaki di hadapannya ini nampak penat terpapar di wajahnya namun segaknya tetap tidak kurang.

"Terima kasih Doktor." Balas Miran lega.

"Sebentar nanti pesakit akan dibawa keluar dan Cik boleh berjumpa sekejap walaupun pesakit masih belum sedar sebelum pesakit dimasukkan ke ICU dan pihak hospital akan maklumkan jika ada apa-apa perkembangan nanti." Kata Doktor Nadia lagi. Bersama anggukan lemah Miran berikan.

"Baik Doktor, terima kasih." Ucap Miran.

"Nanti jururawat akan berjumpa dengan Cik untuk dapatkan butiran waris ya. Kalau tak ada apa-apa, saya pergi dulu." Kata Doktor Nadia lalu berlalu pergi.

Miran pula hanya mengangguk kecil. Sean yang mendengar pula terus diam di samping Miran. Sebaik doktor beredar, Sean menarik perlahan lengan Miran ke kerusi dan didudukkan tubuh lelaki itu di situ yang nyata nampak kusut. Selepas tidak beberapa lama, Mikael ditolak keluar dengan transport stretcher trolley. Pantas Miran mendapatkan Mikael dan Sean pula mengekori langkah Miran dari belakang untuk mendapatkan Mikael yang terbaring lesu tidak sedarkan diri bersama alat bantuan pernafasan. Miran yang sudah berdiri di sisi katil terus mencapai tangan Mikael dan digenggam kuat bersama matanya memandang sayu pada wajah pucat Mikael, hanya turun naik dada sahaja yang menandakan nyawa masih dikandung badan.

"Mika.. Jangan kau berani tinggalkan aku Mika! Aku tunggu kau.." Bisik Miran pada Mikael bersama tangannya menggenggam kuat tangan Mikael yang lemah. Sean hanya mampu menepuk perlahan bahu Miran untuk menenangkan lelaki itu.

"Maaf Cik, pesakit perlu di bawa sekarang." Kata salah seorang jururawat yang menolak transport stretcher trolley tadi selepas beberapa minit.

"Nanti selepas ni, Cik ke kaunter ya beri butiran diri waris." Tambah jururawat yang berada di sisi kanan katil tetapi Miran hanya beku di sisi Mikael tanpa membalas. Jururawat yang berada di sisi Mikael sudah serba salah lalu memandang Sean mohon bantuan.

"Miran." Sean memanggil Miran yang masih tertunduk memandang Mikael apabila tiada respond dari Miran selepas dipanggil jururawat tadi.

"Mika perlu ditolak ke ICU." Sean berkata lagi.

"You have to be strong, Miran." Pujuk Sean. Miran akhirnya melepaskan tangan Mika dengan berat hati. Perlahan Mika ditolak meninggalkan mereka.

"Aku tahu Mika kuat. Sekarang ni aku hantar kau balik. Rehat. Esok kita datang lagi atau kau nak aku temankan kau di rumah?" Tambah Sean.

"No, it's okay. Aku dah banyak susahkan kau. Hantar aku balik pun dah cukup baik." Balas Miran. Sean pamer senyum.

"Kalau macam tu kita gerak." Kata Sean. Miran angguk bersama tangannya mencapai beg dan mengekori langkah Sean.

Tidak jauh mereka melangkah, dilihat Tuan Mazlan bersama beberapa orang lelaki berjalan bersamanya menuju ke arah Miran. Terhenti langkah Miran dan Sean.

"Tuan Mazlan." Sapa Miran bersama salam dihulur begitu juga dengan Sean.

"Miran. Ini saya kenalkan Pegawai Penyiasat bagi kes yang melibatkan awak dan Mikael." Kata Tuan Mazlan sambil menunjukkan seorang lelaki tinggi lampai di sebelahnya.

"Saya ASP Shahrul." Kata lelaki itu bersama salam dihulur. Miran dan Sean bersilih ganti bersalaman.

"Ada masalah ke Tuan?." Soal Miran bimbang.

"Tiada apa-apa masalah cumanya Tuan Shahrul nak melihat keadaan Mikael sebelum laporan penuh dikemukakan kepada Tuan KJSJ nanti." Terang Tuan Mazlan.

"Oh.. Tetapi abang saya masih belum sedarkan diri dan baru sahaja ditolak masuk ke ICU." Balas Miran.

"ICU?." Soal Tuan Mazlan dan ASP Shahrul hampir serentak.

"Ya, tadi Doktor Nadia yang merawat Mika ada maklumkan pada saya bahawa peluru berjaya dikeluarkan dan peluru tersebut tidak kena pada organ penting tetapi tetap membahayakan nyawa." Terang Miran seperti yang telah dimaklumkan Doktor Nadia tadi.

"Alhamdulillah.. Semoga Mikael kuat dan terus sembuh." Ucap Tuan Mazlan.

"Terima kasih Tuan." Ucap Miran.

"Tuan, kalau tak ada apa-apa saya pulang dulu." Pinta Miran.

"Boleh tapi sebelum tu ASP Shahrul perlukan sedikit butiran diri dan juga keterangan awal dari awak." Balas Tuan Mazlan.

"Boleh Tuan, tak ada masalah." Kata Miran.

Selepas hampir tiga puluh minit keterangan awal diambil, Miran dan Sean terus meminta diri untuk pulang dan membersihkan diri.

Dalam perjalanan pulang, Miran diam sahaja di tempat penumpang hadapan. Sean pula yang faham dengan situasi Miran terus mengunci mulut dan memandu keretanya ke arah rumah Miran. Tidak lama kereta dipandu membelok masuk ke kawasan rumah Miran. Sebaik sampai, Miran mencapai beg di kerusi belakang dan kemudian membuka pintu kereta penumpang hadapan lalu tubuh dibawa keluar.

"Miran dah sampai?." Seru Mariam dari muka pintu. Nampak bimbang di wajah tua itu.

"Ya Cik Ma." Balas Miran perlahan. Sean yang baru keluar dari kereta tersenyum pada Mariam.

"Mari masuk, Cik Ma baru siapkan sarapan. Nasi goreng dengan teh panas. Mari." Ajak Mariam sambil menarik lengan Miran yang sedang melangkah masuk dan Miran tiba-tiba berpusing ke belakang.

"Sean, sinilah. Masuk dulu sarapan. Kalau kau nak rehat kat sini pun boleh. Bilik banyak." Kata Miran pada Sean yang berdiri di sisi kereta.

"Ya lah, masuk sarapan dulu. Nanti rehat saja di sini. Cik Ma siapkan bilik ya." Sampuk Mariam pula.

"Tak menyusahkan ke?." Soal Sean segan.

"Tak susah apa pun. Masuklah." Ajak Miran bersungguh. Sean pun tentu penat kerana selesai sahaja task, dia terus ke hospital untuk menghantar pakaian dan makanan untuknya. Simpati pula dia pada Sean.

Sean kemudian bergerak ke belakang kereta lalu mengambil begnya yang sentiasa ada di dalam kereta sebagai persiapan. Setelah kasut dibuka, Sean melangkah masuk bersama beg di tangan. Mariam pula laju sahaja langkahnya ke dapur untuk siapkan makan. Miran yang sedang melangkah terhenti hayunan kakinya lalu menoleh pada Sean.

"Kenapa?." Soal Sean pada Miran. Pelik kerana Miran yang tiba-tiba sahaja berhenti melangkah.

"Macam mana aku nak bagitahu Cik Ma, Sean.." Soal Miran. Tadi di hospital, pada daddynya. Ini pada Mariam yang telah menjaganya dan Mikael sejak dari kecil yang sudah dianggap seperti ibu sendiri. Sendat rasa dadanya. Sean tarik nafas panjang. Simpati pada Miran dengan apa yang dia lalui.

"Macam ni, kau bersihkan badan dulu lepas tu sarapan. Nanti sambil-sambil tu kau slow talk dengan Cik Ma. Aku yakin Cik Ma boleh terima dengan tenang. Pada Tuan Mirwan pun dah kau bagitahu kan, sama sahaja caranya. Aku yakin Cik Ma boleh terima apa yang nak kau sampaikan nanti." Pujuk Sean. Miran angguk perlahan.

"I hope so.. Sean." Balas Miran. Sean pamer senyum semangat pada Miran.

"Aku naik dulu, kau pun boleh ke bilik hujung. Cik Ma dah siapkan bilik tu." Kata Miran pada Sean.

"Thanks." Ucap Sean lalu melangkah ke arah bilik hujung.

"Masuklah, Cik Ma dah siapkan bilik. Tuala dah Cik Ma letakkan di atas katil. Nanti dah siap mandi, kita sarapan ya." Kata Mariam sewaktu berselisih dengan Sean.

"Baik Cik Ma. Terima kasih ya." Ucap Sean. Mariam hanya tersenyum dan terus melangkah ke arah dapur untuk sediakan sarapan pagi. Mujur juga hatinya tergerak untuk masakkan sarapan awal. Jika tidak sudah tentu mereka kelaparan. Mariam yang sedang sibuk membancuh air disapa Sean.

"Cik Ma." Kata Sean.

"Hah, dah siap mandi? Duduklah. Sarapan." Kata Mariam sambil membawa teko ke meja makan.

"Miran mana?." Soal Mariam bersama kepala menoleh ke arah tangga.

"Belum siap agaknya." Balas Sean yang juga turut menoleh.

"Kalau macam tu makan je dulu. Sejuk tak sedap nanti." Pelawa Mariam. Sean hanya angguk sambil cawan diambil dan teh panas disisip perlahan. Panas melewati tekak.

"Eh Miran, buat apa lagi tu. Sini lah sarapan. Nanti boleh rehat. Tentu penatkan.." Sapa Mariam apabila mendapati Miran hanya berdiri tegak berhampiran meja makan tanpa mahu mendekatinya.

"Miran.." Panggil Mariam lagi.

"Ya, Cik Ma." Sahut Miran lalu perlahan langkah diatur menuju ke meja makan dan dilabuhkan duduk.

"Makanlah. Tunggu apa lagi." Kata Mariam sambil menyendukkan nasi goreng ke pinggan Miran. Perlahan Miran meneguk teh panas.

"Tapi itulah, Mika tak balik sekali ke? El pun tak datang, kalau tidak sarapan sama-sama mesti seronok." Soal Mariam sambil kepalanya menjengah ke arah pintu. Miran dan Sean yang baru mahu menyuapkan nasi ke mulut, terus terhenti tindakan mereka. Miran dan Sean saling memandang sebelum kedua pandangan dialihkan pada Mariam. Lama Mariam memandang wajah kedua lelaki itu bergilir-gilir ganti sebelum wajahnya berubah.

"Miran.." Seru Mariam.

Sudu perlahan diletakkan semula di pinggan. Lekat rasa tekaknya. Berat rasa dadanya. Terasa seakan ada yang tidak kena. Mahu tidak mahu Miran mesti juga memberitahu pada Mariam. Nafas ditarik panjang. Wajah Mariam direnung sambil menceritakan keadaan Mikael dan Kira kepada Mariam. Terkejut wanita itu, tanpa disuruh. Laju air mata mengalir di wajah tuanya. Pantas jari naik menyeka dengan hujung baju.

Selepas sarapan, Miran dan Sean masuk ke bilik masing-masing untuk berehat. Sarapan pun sekadar untuk alaskan perut sahaja. Mata yang sudah cukup berat dan badan rasa seperti dipalu membuatkan mudah sahaja kantuk menjelma.

+++

"Tahniah Edan." Kata Am pula dan sedang mereka berbual pintu bilik pembedahan terbuka dan Kira yang masih belum sedarkan diri ditolak keluar. Pantas Kasturi dan Am mengekori dari belakang.

Dari sebalik dinding ada sepasang mata yang memerhatikan Kasturi dan Am. Pemilik mata itu juga turut sama mengekori hingga sampai ke wad Kira di tempatkan tanpa disedari Kasturi dan Am. Tidak lama dua orang jururawat keluar bersama transport stretcher trolley yang kosong. Setelah memastikan itu adalah tempatnya baseball cap dan pelitup muka dirapikan sebelum perlahan susuk itu berjalan meninggalkan wad Kira dengan langkah yang besar. Sesekali kepala ditoleh ke belakang bimbang ada yang melangkah keluar dari situ. Dan tiba-tiba..

'Buk!'

"Auch!" Suara orang mengaduh.

Terus kepala ditoleh ke hadapan dan dapati ada seorang jururawat yang sudah terjatuh dan sedang menunduk mengutip fail-fail pesakit yang sudah jatuh ke lantai. Tanpa sebarang kata, fail turut dikutip tetapi dengan wajah yang tetap menunduk lalu fail diserahkan kepada jururawat tanpa melihat wajah orang yang dilanggarnya itu. Jururawat tadi terus bangun berdiri apabila fail semua sudah dikutip. Dalam waktu yang sama, baru sahaja tubuhnya mahu di bawa berdiri sama, dari hujung mata dapat dilihat pintu bilik Kira terbuka dan ada seseorang yang melangkah keluar. Tidak jadi tindakannya dan dia hanya terdiam di situ sehinggalah lelaki itu melintasi dirinya dan jururawat tadi.

"Er.. Cik.." Panggil jururawat tadi. Sedikit bimbang apabila orang yang melanggarnya tadi masih diam di atas lantai tanpa mahu bangun berdiri sedangkan fail semuanya sudah dikutip.

"Cik.. Cik tak apa-apa ke?." Soal jururawat itu lagi tetapi tetap tiada jawapan.

Tanpa mahu membuang masa, pantas tubuh di bawa bangun dan langkah dibuka besar meninggalkan tempat tersebut tanpa berkata sepatah perkataan pun pada jururawat yang dilanggarnya. Jururawat tadi hanya mampu menggeleng kepala dengan ulah orang yang melanggarnya itu tadi.

"Dah la langgar orang, sorry pun tak cakap." Bebel jururawat itu tadi.

+++

Kira selamat di pindahkan ke dalam wad dan dialihkan ke atas katil bersama alat bantuan pernafasan yang masih lagi dipasang. Setelah memastikan Kira selesa, salah seorang dari jururawat itu memandang Kasturi dan Am bergilir-gilir.

"Siapa suami kepada Puan Kira?." Soal salah seorang jururawat yang memindahkan Kira ke ward single-bedded tadi kepada Kasturi dan juga Am yang sama-sama mengekori Kira hingga ke wad.

"Saya suami Kira." Pantas Kasturi menyahut.

"Sekarang ni Puan Kira masih belum sedar, jadi nanti kalau Puan Kira dah sedar, Cik tekan bed call button ni ya." Kata jururawat tadi sambil menunjukkannya pada Kasturi.

"Dan Cik boleh berehat di sofa yang disediakan tetapi kalau Cik nak kurusi lipat, boleh minta di kaunter. Kalau tak ada apa-apa, kami keluar dulu." Tambah jururawat itu lagi.

"It's okay. Thank you, nurse." Balas Kasturi.

Kedua jururawat tadi hanya senyum dan mengangguk sahaja lalu terus beredar bersama transport stretcher trolley ditolak keluar.

Am kemudian melabuhkan duduk di sofa manakala Kasturi pula di kerusi di sisi katil. Kira yang masih belum sedarkan diri dipandang. Dari raut wajah yang pucat turun ke dada yang berombak perlahan lalu turun ke perut. Lama matanya memandang di situ dan tanpa sedar tangan kanannya sudah naik mengusap lembut perut Kira yang masih belum lagi nampak bentuknya. Ralit dia mengusapnya dengan perlahan hinggalah suara Am berbunyi dari belakang.

"Edan." Panggil Am perlahan. Bimbang nanti akan mengejutkan Kira yang masih belum sedar. Terkejut Kasturi dan seakan baru tersedar yang tangannya masih berada di perut Kira. Pantas tangan ditarik semula dan wajah dipalingkan ke belakang.

"Sorry, aku kejutkan kau ke?." Soal Am bimbang.

"No." Pantas Kasturi membalas bersama tubuh dibawa berdiri.

"Dalam satu atau dua jam nanti, Burn akan datang dengan Reno selepas dia selesai metting dengan client. Burn akan gantikan aku untuk temani kau dan El." Kata Am.

"Aku betul-betul lupa, metting dengan client tu pagi ni." Kasturi memohon maaf kerana baru dia teringat bahawa pagi ini ada metting penting dengan client. Mujur juga mereka mahu berunding dengan Burn, jika tidak sebelum ini orang yang biasa menguruskan perjumpaan tersebut adalah Kasturi atau Am, Burn jarang-jarang sekali kerana Burn lebih kepada tugas lapangan.

"Tak ada hal la. Client pun okay, dia percaya dengan agensi kita." Balas Am bersama senyum nipis.

"Thanks Am." Ucap Kasturi.

"Sementara tunggu Burn sampai, aku nak ke cafe. Kau nak apa-apa tak?." Soal Am. Dahaga pula rasa tekak dan perut ni pun macam tau-tau sahaja.

"Just a cup of coffee." Balas Kasturi.

"Okay. Aku gerak dulu. Ada apa-apa call aku." Pesan Am sebelum melangkah pergi. Kasturi hanya mengangguk sambil menghantar pandangan pada Am sehingga lelaki itu hilang di sebalik daun pintu wad. Setelah Am keluar, Kasturi kembali semula ke katil mendapatkan Kira yang masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda untuk sedar. Dilabuhkan duduk di kerusi di sisi kanan katil Kira. Matanya sayu memandang wajah Kira yang pucat. Sungguh dia rasa terkilan kerana lewat sampai sehingga isterinya itu terpaksa menyelamatkan dan mempertahankan dirinya sendiri sehingga tercedera. Mujur juga kandungan Kira tidak apa-apa, jika terjadi sesuatu pada anak mereka itu, pasti dia akan rasa bersalah kerana gagal menjadi suami dan ayah yang baik pada Kira dan anak mereka.

"I'm sorry sayang.." Ucap Kasturi perlahan. Jemari Kira dicapai dan dicium lama tangan wanita itu.

Tiba-tiba terdengar bunyi pintu wad ditolak.

"Cepatnya kau pergi.." Tegur Kasturi bersama kepala ditoleh ke belakang tetapi sebaik sahaja matanya memandang susuk tubuh tersebut. Nyata orang itu bukanlah Am.

(05/10/2021 @ 1800hrs)

Share this novel

Rimatanti Rasyid
2022-10-10 03:23:01 

cerita ni tergantung mcm ni je ke.. lamanya dh tk update.. bulan 10 thn lepas


NovelPlus Premium

The best ads free experience