Bab 77

Romance Series 548166

"Bagaimana dengan kandungannya?." Soal Kasturi ingin tahu.

Doktor Nizam hela nafas panjang sebelum memulakan kata.

"Maafkan saya, kandungan Puan Kira tidak dapat diselamatkan." Balas Doktor Nizam dengan nada perlahan. Terduduk Kasturi di kerusi mendengar kata-kata Doktor Nizam.

"Tapi tak perlu bimbang, peratusan untuk mengandung lagi di masa hadapan adalah tinggi dan tiada masalah cuma.. perlu beri Puan Kira sedikit masa. Buat masa ini Puan Kira perlu ditahan wad untuk pemerhatian lanjut sebelum boleh dibenarkan pulang. Puan Kira dalam keadaan stabil dan hanya perlukan rehat yang secukupnya." Sambung Doktor Nizam lagi.

Kasturi hanya diam bersama wajah yang tertunduk dengan kedua-dua tangannya digenggam erat antara satu sama lain. Melihatkan keadaan Kasturi begitu, Am berjalan merapati Doktor Nizam.

Reno yang mendengar turut terkesan kerana dia rasakan bahawa dia tidak dapat menjaga Kira dengan baik sehingga perkara ini berlaku dan menyebabkan Kasturi dan Kira kehilangan anak mereka. Sungguh dia terkilan.

"Terima kasih Doktor." Kata Am pada Doktor Nizam.

Tidak lama Kira ditolak keluar dengan transport stretcher trolley oleh dua orang jururawat. Kasturi bersama Am dan Reno mengekori dari belakang sehingga ke wad. Setelah selesai, kedua-dua jururawat tadi keluar meninggalkan Kasturi yang berdiri tegak di tepi katil Kira manakala Am dan Reno pula di hujung katil.

"Edan, kau rehat la dulu. Kau pun tentu penat." Kata Am pada Kasturi sambil bahu Kasturi ditepuk perlahan. Kasturi menoleh ke kanan memandang Am. Tubuh dibawa duduk di kerusi di sisi katil Kira bersama helaan nafas yang panjang.

"Kau dengan Reno balik la dulu. Kalau ada apa-apa, aku call." Kata Kasturi pada Am dan Reno. Dia tahu mereka juga penat dengan apa yang berlaku akhir-akhir ini. Lepas satu, satu perkara yang berlaku.

"It's ok, En. Am baliklah, biar saya temankan Sir dan Madam di sini." Kata Reno pula. Selepas berfikir seketika, Am mengangguk tanda setuju. Lagi pula ada beberapa perkara yang perlu dia selesaikan di pejabat memandangkan Kasturi akan sibuk di hospital nanti.

"Ingat, ada apa-apa terus call aku." Pesan Am pada Kasturi lagi sebelum dia melangkah keluar.

"And you make sure if anything happen, call me A.S.A.P." Pesan Am. Reno angguk faham.

"Thanks Am." Ucap Kasturi. Am hanya mengangguk sebelum daun pintu wad ditarik.

"Er.. Sir.." Panggil Reno pada Kasturi yang sejak tadi duduk berteleku di sisi Kira sambil tangan kanan Kira tidak lepas dari pegangan.

"I'm so sorry Sir.." Ucap Reno yang berdiri di hujung kaki Kira dengan wajah menunduk.

"Kalau saya tidak lalai, pasti kejadian ni tidak berlaku." Kata Reno. Kasturi menoleh pada Reno yang tegak berdiri di hujung katil.

"I knew this day would come but I didn't expect that day was today. Silap saya juga yang lepaskan Kira untuk ke hospital pada orang lain. This should be my responsibility as her husband." Kata Kasturi pula. Reno sudah tertegak memandang Kasturi, patutnya dia yang rasa bersalah bukannya Kasturi. Aduh..

"Sir.." Panggil Reno.. Kasturi pantas mengangkat tangan kirinya tegak ke hadapan menandakan dia tidak mahu Reno teruskan kata-katanya.

"I'm sorry Sir." Kata Reno perlahan lalu kaki dihayun menuju ke sofa di tepi dinding di dalam bilik tersebut. Tubuh disandarkan ke belakang dengan mata yang terpejam.

+++

Kira perlahan membuka mata, terkelip kelip mata Kira beberapa kali sebelum pandangannya jelas. Kepala ditoleh ke kanan dan dapati Kasturi yang sudah terlena sambil tangan kanannya masih memegang erat jemari Kira. Di sofa pula dilihat Reno juga sudah terlelap, semuanya kepenatan dengan apa yang berlaku. Dengan berhati-hati Kira tarik jemarinya yang berada dalam genggaman Kasturi lalu tangan kanannya naik mengusap perutnya yang kempis bersama tubir mata yang bergenang. Kira tahu kandungannya tidak dapat diselamatkan dan Kira cuba untuk kuatkan diri tetapi dia tetap tidak mampu. Masuk hari ini sudah tiga hari dia berada di wad dan menurut Doktor Nizam, kalau tiada apa-apa, pagi nanti dia sudah boleh dibenarkan pulang cuma perlu banyakkan rehat.

"Sayang dah bangun. Sayang nak pergi tandas?" Soal Kasturi apabila dia tersedar jemari Kira tiada dalam pegangannya. Kira hanya menggeleng. Reno yang terlena di hujung turut duduk tegak apabila menyedari Kira dan Kasturi sudah terjaga.

"Tak apa, saya boleh buat sendiri." Kata Kira lalu selimut ditarik ke sisi dan kaki diturunkan tetapi belum sempat memijak lantai, Kasturi pantas mencempung Kira dan dibawa ke bilik air. Reno hanya memandang dengan hati yang pilu. Hampir dua puluh minit berada di dalam bilik air, Kira berjalan keluar dengan dipapah Kasturi. Tubuh Kira dibantu untuk naik ke katil dan Kira bersandar dengan selesa.

+++

"Puan Kira." Sapa Doktor Nizam sebaik melangkah masuk ke wad. Kira yang sedang berbaring terus bangun dan duduk bersandar di kepala katil manakala Kasturi terus berdiri di sisi katil Kira. Kebetulan waktu itu Am dan Burn baru sahaja sampai dan Reno pula sudah pulang sebaik Am dan Burn tiba.

"Puan Kira dah boleh discharge hari ni." Kata Doktor Nizam bersama senyuman di bibir.

"Tetapi Puan Kira kena banyakkan berehat dan bulan depan kena datang untuk pemeriksaan ya. Vitamin yang saya beri nanti jangan lupa makan selain daripada itu Puan Kira kena banyakkan makan makanan yang berkhasiat supaya tenaga kembali pulih. Selain itu senaman ringan juga digalakkan untuk kuatkan jantung dan pengaliran darah." Terang Doktor Nizam.

"Terima kasih Doktor." Balas Kira.

"Sama-sama. Nanti daftar di kaunter dan ambil ubat ya. Saya keluar dulu." Kata Doktor Nizam lagi.

"Saya nak balik kampung, rumah Mak Ndak." Kata Kira. Kasturi laju menoleh pada Kira.

"Abang hantarkan sayang." Kata Kasturi. Kira hanya diam tidak membalas.

Tengah hari itu, Kasturi menghantar Kira pulang ke rumah Mak Ndak seperti yang diminta Kira. Kira tahu Kasturi telah terlebih dahulu hubungi Mak Ndak dan Pak Ndak untuk memaklumkan kedatangan mereka dan menceritakan tentang kejadian yang telah berlaku. Kira tidak kisah, apa yang dia perlukan adalah ketenangan dan semangat untuk kembali pulih.

+++

"Kira, Ri dah sampai pun hang pa. Mai masuk, mesti penat jalan jauh." Sapa Mak Ndak sebaik melihat Kira dan Kasturi memberi salam di muka pintu.

"Hah, sampai dah." Sapa Pak Ndak yang baru balik dari kebun bersama pisang setandan.

"Ya Pak Ndak, baru sampai." Balas Kasturi apabila mendengar suara Pak Ndak yang menyapa dari arah belakang bersama tangan dihulur untuk bersalam.

"Hang masuk la dulu, tangan Pak Ndak kotoq ni, Pak Ndak mai dari kebun. Sat lagi lepaih mandi kita salam." Kata Pak Ndak pada Kasturi.

"Pak Ndak pun haih.. dah tau lagu tu, mai la masuk mandi lekaih." Suara Mak Ndak berbunyi dari dalam.

"Ya, nak masuk la ni. Mak Ndak oi, mai ambik pisang ni, buat coq ka apa ka, elok ranum ni." Kata Pak Ndak sambil dua sisir pisang dibawa masuk, manakala yang baki lagi diletakkan di bawah rumah.

"Kira, Ri mai duduk sini, minum ayaq ni dulu. Hang pa dok sat na, Mak Ndak buat coq pisang. Makan panaih-panaih sedap." Kata Mak Ndak.

"Cek naik bilik dulu la Mak Ndak, nak salin baju sat dulu." Kata Kira bersama langkah yang sudah diatur ke tangga.

"Saya bawakan beg ke atas dulu ya Mak Ndak, sekejap lagi saya dan Kira turun." Sampuk Kasturi pula.

"Ha.. pi lah, simpan beg dulu. Sat ni turun na.." Kata Mak Ndak sambil tangan sibuk mengupas pisang masak sebelum dilenyek dengan belakang senduk.

"Mak Ndak hang." Panggil Pak Ndak yang baru selesai mandi dan siap berpakaian sambil berjalan menghampiriMak Ndak yang sibuk menggoreng cucur di dapur.

"Awat?." Soal Mak Ndak. Pak Ndak toleh seketika ke tingkat atas sebelum meneruskan soalannya.

"Dak.. lama ka Kira nak tinggai sini?." Soal Pak Ndak sambil menggulung rokok daun.

"Tak tau la Pak Ndak oi.. kesian kat depa no.. dah tak dak rezeki, nak buat lagu mana.. tapi depa muda lagi, boleh usaha." Tambah Mak Ndak.

"Ya la.." Kata Pak Ndak sambil kepala dianggukkan.

+++

Masuk hari ini sudah tiga minggu Kira berada di kampung dan sepanjang waktu itu juga Kasturi kerap berhubung dengan Mak Ndak dan Pak Ndak untuk mengetahui keadaan Kira. Bukan Kasturi tidak mahu menghubungi Kira tetapi apabila Kira dihubungi tidak pernah panggilannya disambut dan mesej dari Kasturi pun kadang-kadang sahaja dibalasnya. Kasturi tidak pasti mengapa hubungan mereka menjadi dingin begini.

"Kira.." Panggil Mak Ndak pada Kira yang ralit memandang ibu ayam bersama anak-anaknya yang sedang mengais-ngais tanah di umbi pokok kelapa.

"Ya Mak Ndak." Sahut Kira tanpa mengalih pandang.

"Mak Ndak bukan nak campoq urusan rumah tangga hang pa.. tapi Mak Ndak kesian kat Ri tu.." Kata Mak Ndak sambil melabuhkan duduk di parkin di bawah pokok bersama Kira.

"Awat hang buat dia lagu tu.. berdosa Kira. Mak Ndak tau yang hang kehilangan anak dalam kandungan tapi itu semua Allah dah tentukan. Kita kena redha dan terima sebab semua tu dah tertulis." Tertunduk Kira mendengar kata-kata Mak Ndak.

"Mak Ndak nak tanya, hang marahkan Ri ka?" Soal Mak Ndak. Kira geleng perlahan.

"Dah tu.. awat buat dia lagu tu.. Ri tu suami hang Kira. Dia dok telefon, hang tak pernah nak jawab, mesej pun hang tak balas." Kira toleh pada Mak Ndak bersama dahi yang berkerut.

"Hang tak payah nak kerut-kerut dahi la Kira.. Mak Ndak dok perati ja hang tapi dah lama sangat Mak Ndak biaq, hang dok lagu tu juga. Kalau kata balik kampung nak tenangkan fikiran, Mak Ndak tengok lagi tak tenang ada la. Tengkok tu, dok panjang tengok kat luaq bila dengaq bunyi kereta. Awat, hang tunggu Ri ka?" Kira tidak membalas, hanya tunduk memandang jemari sendiri. Nafas ditarik panjang sebelum memulakan kata.

"Cek pun tak tau la Mak Ndak.. Cek sebenaqnya pun tak tau awat Cek jadi lagu ni." Balas Kira sambil pandangan dibuang ke depan. Mak Ndak menggeleng perlahan.

"Mak Ndak pun tak tau nak cakap apa kat hang Kira. Kalau dari apa yang Mak Ndak dengaq, apa yang berlaku ni bukan salah sapa-sapa. Betui dak?." Soal Mak Ndak. Kira hanya diam tidak membalas.

"Awat, hang nak kata salah Ri sebab dia tak pi hospital dengan hang hari tu?." Soal Mak Ndak.

"Ka.. hang lupa, yang sendiri nak pi hospital dengan Miran?" Kira terdiam seakan baru sedar kenyataan tersebut. Mak Ndak hela nafas panjang.

"Mak Ndak dah telefon Ri, esok dia mai. Hang mau tak mau, mesti ikut dia balik." Kata Mak Ndak. Laju Kira toleh pandang pada Mak Ndak.

"Mak Ndak bukan nak halau hang tapi hang tu dah sihat, tak ada apa lagi dah cuma hang tu ja dok terbawa-bawa fikiran hat bukan-bukan. Sebulan tu dah cukup, badan hang pun dah pulih elok. Lagipun hang ada kena pi rawatan hospital kan." Tambah Mak Ndak lagi.

"Dah, tak payah nak buat muka. Hang tak bagitau pun Mak Ndak tau. Dah jangan nak jadi isteri derhaka." Memuncung mulut Kira.

"Mana ada.." Balas Kira perlahan.

"Kalau dah tak dak, esok balik. Dah minum ayaq tu," Kata Mak Ndak. Kira hanya menurut tanpa membantah.

Malam itu Kira termenung panjang di atas katil sambil mengenang kembali kata-kata Mak Ndak petang tadi. Apabila difikirkan semula, dia juga keliru kenapa tindakannya begitu. Nafas dihela panjang lalu tubuh dibawa duduk di birai katil. Tangan mencapai telefon bimbit, mulanya mahu menghubungi Kasturi tetapi apabila melihatkan jam sudah menginjak ke jam dua pagi, niatnya terhenti. Pasti Kasturi sedang lena diulit mimpi. Sudahnya telefon di letakkan semula di atas meja di tepi katil dan tubuh dibawa baring. Puas mata dipejam tapi payah sungguh kantuk bertandang. Sudahnya Kira bangun dan turun ke dapur. Sebaik berada di dapur, terdengar bunyi enjin kereta di luar.

"Siapa pula datang pagi-pagi buta macam ni?." Soal Kira pelik. Tingkap cermin dibuka sedikit dan langsir diselak. Buntang matanya apabila melihat Kasturi yang datang.

"Abang?." Soal Kira pelik. Pantas selak pintu dibuka dan daun pintu ditarik. Kasturi yang baru sampai di hadapan pintu terkejut melihat Kira yang bukakan pintu.

"Sayang!." Sapa Kasturi terkejut.

"Abang buat apa datang pagi-pagi macam ni?." Soal Kira sambil mengunci pintu sebaik Kasturi melangkah masuk. Kasturi tidak membalas sebaliknya tubuh Kira ditarik dalam pelukannya. Kejap sekali. Terkejut Kira dengan tindakan Kasturi dan tanpa sedar kedua-dua tangan Kira naik memeluk pinggang Kasturi erat dan bersama itu terhambur tangisan halus. Teresak-esak Kira menangis.

"Hey.. kenapa ni?." Soal Kasturi apabila menyedari Kira sudah basah dengan air mata. Pelukan dileraikan dan hujung jari naik menyeka air mata Kira yang basah di pipi.

"Abang.. I'm sorry.." Ucap Kira perlahan.

"Shh.. sorry for what?." Soal Kasturi sambil tubuh Kira dipeluk erat dan belakang Kira diusap.

"Dah-dah.. it's okay.." Pujuk Kasturi.

"Kita masuk bilik, nanti Mak Ndak dan Pak Ndak nampak tak manis pula." Pujuk Kasturi. Kira hanya angguk sambil berjalan beriringan bersama Kasturi menaiki tangga ke tingkat atas. Kira duduk di birai katil manakala Kasturi pula meletakkan beg kecil yang dibawa di tepi katil dan kemudian melabuhkan duduk di sisi Kira.

"Kenapa ni?." Soal Kasturi sambil wajah Kira yang basah dengan air mata dikesat dengan tisu yang diambil dari atas meja. Kira tidak membalas sebaliknya tangan kanan Kasturi dicapai lalu kekura tangan dicium, lama. Kasturi mengusap ubun-ubun Kira sebelum dilabuhkan cium.

"Sayang minta maaf sebab dah abaikan abang." Kata Kira yang masih lagi menunduk dengan tangan Kasturi dalam pegangan. Tubuh Kira ditarik dalam pelukan.

"Abang dah lama maafkan sayang." Bisik Kasturi. Kira angguk perlahan sambil air mata diseka.

"Dah, tak mau sedih-sedih." Kata Kasturi bersama pelukan dileraikan.

"Abang ke bilik air sekejap ya. Nak cuci muka." Kata Kasturi lalu tangan mencapai beg kecil yang dibawa tadi dan sehelai seluar ditarik keluar. Sebelum melangkah keluar, pipi Kira disapa sekilas

Tidak lama Kasturi masuk ke bilik bersama segelas air kosong yang dibawa dan disuakan pada Kira. Kira sambut dan air diteguk hingga habis lalu gelas diletakkan di atas meja sisi.

"Sayang dah okay?." Soal Kasturi. Kira angguk perlahan.

"Sini, kita baring." Ajak Kasturi sambil memanjat naik ke katil dan membaringkan diri. Kira ditarik ke dalam pelukan. Perlahan mata dipejam bersama helaan nafas panjang.

Kira mendongak memandang Kasturi yang sudahpun terpejam. Cepat benar lena bertandang. Kira tersenyum sendiri sebelum tangannya naik menutup mulut yang menguap. Mudah pula matanya mengantuk. Pelukan dieratkan sebelum matanya turut dipejam.

+++

"Eh, tu bukan kereta Ri ka?." Soal Mak Ndak semasa membuka tingkap di bawah. Pak Ndak yang mendengar turut sama mengintai.

"Betui la tu kereta Ri tapi masa bila dia mai?." Soal Pak Ndak. Kira yang sedang menggoreng nasi hanya diam tidak membalas apabila dua pasang mata memandangnya.

"Pak Ndak, Mak Ndak." Sapa Kasturi yang berjalan turun dari tangga.

"Hah, Ri. Bila mai?." Soal Pak Ndak. Kasturi hulur tangan bersalaman.

"Awal pagi tadi Pak Ndak." Balas Kasturi sambil melabuhkan duduk di kerusi.

"Oo.. ya ka.." Balas Pak Ndak dan Mak Ndak serentak.

"Ni.. nak balik teruih ka?." Soal Mak Ndak sambil membawa dulang bersama teko air kopi dan diletakkan di atas meja.

"Kalau tak ada apa-apa, lepas sarapan ni." Kata Kasturi.

"Hang balik sorang ka, bawa balik hat ni sekali?." Soal Mak Ndak sambil memandang Kira yang sedang menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan.

"Mak Ndak ni..." Kira berbunyi. Pak Ndak dan Mak Ndak sudah ketawa suka.

"Dak la, Mak Ndak tanya.." Balas Mak Ndak bersama senyum di bibir.

"Saya bawa Kira sekali." Balas Kasturi bersama senyum nipis.

03/12/2023 @ 2345hrs

Share this novel

Ratnasita Yakin
2023-12-05 05:26:02 

thanks update


NovelPlus Premium

The best ads free experience