Bab 74

Romance Series 548166

Kasturi mengalih pandang pada Burn manakala Kira pula sudah tegak matanya dari tadi.

"Tuan Mirwan." Balas Burn sepatah.

Terkaku Kira di atas katil. Kelu lidahnya untuk berkata. Tanpa disedari laju air mata meleleh di pipi, padat rasa dada. Kasturi yang melihat terus meluru ke arah Kira di katil dan Burn pula bangun berdiri membuka langkah.

"Edan, aku keluar dulu." Pinta Burn lalu nombor Am dicari dan didail.

Kasturi hanya angguk bersama tubuh Kira ditarik ke dalam pelukannya. Belakang tubuh Kira digosok perlahan dan waktu itu juga terus terhambur tangisan dari wanita itu. Agak lama juga Kira berada di dalam pelukan Kasturi kerana menangis.

Tiba-tiba pintu wad ditolak dari luar. Terjengul wajah Burn. Kira yang melihat Burn melangkah masuk terus mencapai beberapa helai tisu lalu wajahnya yang basah dengan air mata dikesat.

"Er.. Edan, aku dah call Am. Kau tak perlu bimbang, semua dah dia uruskan termasuk untuk majlis tahlil malam ni sekali." Kata Burn.

"Thanks Burn." Ucap Kasturi yang masih duduk di birai katil menemani Kira.

"Er.. Abang, sayang nak ikut hantar daddy untuk kali terakhir boleh?." Soal Kira bersama mata yang berkaca-kaca. Walaupun hatinya berat mahu membenarkan tetapi itulah kali terakhir Kira akan melihat ayahnya sebelum mereka terpaksa berpisah yang tiada lagi dapat berjumpa selepas ini. Keluhan berat dilepaskan bersama kepala diangguk perlahan.

"Thanks abang." Ucap Kira lalu tubuh Kasturi dipeluknya lagi.

Kasturi memandang Burn bersama anggukan dan Burn terus melangkah keluar.

+++

"Doktor, boleh saya tanya sesuatu?" Soal Miran kepada doktor yang berada kaunter di Jabatan Forensik selepas selesai pengecaman dan urusan berkaitan dokumen tadi telah selesai cuma menantikan penyerahan jenazah sahaja.

"Ya, boleh." Balas Doktor yang memakai tanda nama Hashim tersebut bersama senyuman. Tidak lama Doktor Hashim keluar dari pintu kanan di sebelah kaunter dan mendapatkan Miran yang masih lagi menunggunya.

"Saya ingin bertanya soalan berkaitan ayah saya. Bukan apa, saya cuma rasa sedikit terganggu kerana sewaktu saya hubungi ayah, dari nada suaranya seperti ayah dalam keadaan sihat dan pihak hospital juga tidak maklumkan apa-apa masalah berkaitan kesihatan ayah. Kenapa tiba-tiba.." Ayat Miran mati disitu bersama wajah yang inginkan jawapan.

Panjang Doktor Hashim menarik nafas sebelum pertanyaan Miran dijawab.

"Minta maaf ya Encik, mengenai perkara itu.. saya tidak dapat nak memberi apa-apa maklumbalas. Encik perlu berurusan dengan doktor yang merawatnya di wad kerana mereka lebih tahu keadaan kesihatan ayah Encik." Balas Doktor Hashim. Miran yang mendengar terkelip-kelip matanya. Sungguh dia tidak dapat berfikir dengan bijak. Ada betul juga dengan apa yang disampaikan Doktor Hashim itu.

"Oh.. Ya juga.." Balas Miran bersama wajah yang kecewa. Doktor Hashim hanya pamer senyum nipis sahaja.

"Cuma, apa yang dapat saya simpulkan COD bagi ayah Encik adalah Kardiomiopati atau dalam bahasa mudahnya dinding jantung menebal dan menyukarkan proses mengepam darah ke seluruh tubuh." Balas Doktor Hashim lembut. Maklumlah, perkara yang melibatkan kematian begini, semua orang akan emosi jika tersalah kata.

"Thanks Doktor. Maknanya tiada apa-apa yang tidak kena dengan kematian ayah saya ni?" Soal Miran. Doktor Hashim menggeleng perlahan.

Panjang keluhan Miran sebelum kepala diangguk. Di sini bahagian forensik, tidak sepatutnya dia bertanya pada doktor yang bertugas di sini. Dalam keadaan begini otak pun sudah tidak dapat berfikir.

"Baiklah, kalau tiada apa-apa lagi, saya masuk dulu. Masih ada beberapa perkara yang perlu saya uruskan." Pinta Doktor Hashim.

"Terima kasih Doktor, maaf saya dah ambil masa Doktor." Ucap Miran.

"It's okay." Balas Doktor Hashim bersama tepukan perlahan di bahu Miran.

"Encik Miran." Panggil seseorang dari belakang. Miran terus menoleh pada suara yang memanggilnya.

"Doktor saya ke sana." Kata Miran pada Doktor Hashim sebelum langkah kaki di atur pada seorang lelaki tinggi lampai yang kemas berkemeja tegak berdiri bersama satu fail di tangannya.

"Ya, saya Miran." Sapa Miran sebaik menghampiri lelaki yang sejak tadi berada di bangku di Jabatan Forensik ini.

"Encik Miran mungkin tidak kenal siapa saya. Biar saya perkenalkan diri. Saya Laith, Setiausaha kepada ayah Encik Miran iaitu Tuan Mirwan." Kata Laith bersama tangan dihulur untuk bersalam. Miran yang mendengar perlahan menghulur tangannya menyambut.

"Boleh kita bercakap sebentar?." Soal Laith pada Miran. Miran menoleh pandang pada Sean dan Mariam yang berada di bangku dan sedang memandang ke arahnya dan Laith. Sean yang faham dengan pandangan Miran terus bangun dan mengajak Mariam berjalan bersama.

"Miran, aku hantar Cik Ma balik dan tolong apa yang patut di rumah. Kalau kau dah siap, call aku. Aku datang ambil, nanti kita gerak sama-sama ke masjid." Kata Sean pada Miran sebaik menghampiri Miran dan seorang lelaki yang tidak dia kenali.

"It's okay, nanti saya hantarkan Encik Miran." Sampuk Laith tanpa sempat Miran membalas. Tertoleh kepala Miran pada Laith yang berada di sisinya bersama dahi yang berkerut.

"Tak mengapalah Miran, biar Cik Ma dengan Sean balik. Sekurang-kurangnya dapat buat apa-apa yang perlu di rumah tu. Miran selesaikan dahulu urusan di sini ya." Kata Mariam pula. Miran raup wajah dengan tangan bersama keluhan dilepaskan.

"Baik Cik Ma. Kalau ada apa-apa, call saya ya dan kalau urusan di sini dah selesai saya maklumkan pada Cik Ma tapi rasanya kita terus ke masjid sahaja nanti." Kata Miran. Mariam angguk setuju dengan kata-kata Miran kerana selepas selesai di Jabatan Forensik, jenazah akan dibawa terus ke masjid.

"Kau uruskan apa yang perlu di sini. Hal lain kau tak perlu bimbang, Encik Am dah uruskan. Nanti aku bawa Cik Ma ke masjid. Kami tunggu di sana sahaja." Balas Sean.

Miran hanya angguk. Sungguh dia bersyukur mempunyai mereka semua yang sentiasa membantunya. Selepas Sean dan Mariam meninggalkan Jabatan Forensik, Miran bersama Laith berjalan keluar dan mengambil tempat di salah sebuah pondok di hadapan Jabatan Forensik lalu dilabuhkan duduk.

"Encik Miran, sebenarnya.. semasa Encik Miran hubungi Tuan Mirwan, saya ada bersama dan waktu itu sebenarnya keadaan Tuan Mirwan agak membimbangkan kerana paras oksigennya sangat rendah tetapi Tuan Mirwan tidak benarkan saya atau pun mana-mana doktor yang ada maklumkan perkara ini pada Encik Miran ataupun waris. Tuan Mirwan tidak mahu Encik Miran bertambah tertekan dengan apa yang sudah terjadi dan Tuan Mirwan juga tahu kesihatannya semakin teruk tetapi sengaja tidak ditunjukkan." Terang Laith panjang lebar. Miran yang mendengar sudah tertunduk memandang ke bawah.

"Maknanya masa saya hubungi daddy, keadaan daddy dah teruk. Macam tu?." Soal Miran. Laith angguk perlahan.

"Daddy.. Kenapa daddy.." Perlahan suara Miran. Laith hanya diam membiarkan Miran melayan perasaannya yang sangat tertekan ketika ini.

"Er.. Encik Miran." Panggil Laith apabila agak lama mereka diam. Miran mendongak seketika sebelum tubuh dibawa duduk tegak dan disandarkan ke bangku simen.

"Selepas segala urusan selesai, Encik Miran akan ada perjumpaan bersama peguam syarikat yang dilantik. Saya akan hubungi Encik Miran bagi tetapkan tarikh untuk perjumpaan tersebut." Sambung Laith lagi.

"Perjumpaan? Untuk apa?." Soal Miran. Laith tidak membalas, sebaliknya hanya tersenyum sahaja.

+++

Suasana di kawasan perkuburan Masjid Nurul Saadah semakin sunyi apabila tetamu yang datang sudah mula meninggalkan tempat tersebut. Kasturi bersama Miran dan Am masih berada di tepi kubur Mirwan yang baru lagi tanahnya. Kira pula berada di dalam masjid bersama Mariam.

Mata Kasturi sesekali menyinggah pandang pada sebuah lagi kubur yang juga masih baru tidak jauh dari kubur bapa mertuanya itu. Miran yang nampak tubuh Kasturi yang tiba-tiba sahaja diam tegak berdiri turut memandang ke arah tempat yang menjadi perhatiannya.

"Saya tak sempat nak ucapkan terima kasih pada Mr.K atas apa yang dah Mr.K lakukan untuk keluarga saya." Kata Miran pada Kasturi. Laju kepala Kasturi menoleh pada Miran yang berdiri di sebelahnya.

"No more Mr.K, Miran. We are family. Apa yang saya lakukan adalah tanggungjawab saya pada keluarga kita. Orang yang dah pergi, dah tentu kuburnya di sini. Kita yang masih hidup, belum pasti di mana tempatnya nanti." Panjang nasihat dari Kasturi buat Miran. Bergenang air mata di tubir mata Miran menahan sebak. Perlahan Kasturi menepuk bahu Miran yang sudah mendung wajahnya.

Walaupun akhir hayat mummynya begitu, wanita itu tetap ibunya dan syurga berada di telapak kakinya. Cuma.. Miran sangat kesal dan kecewa dengan apa yang telah berlaku hingga pengakhiran mummynya begini.

Dari jauh di sebalik batang pokok yang sebesar pemeluk di bahagian hujung kawasan kubur, sepasang mata sedari tadi memerhatikan Kasturi dan Miran serta Am yang masih lagi berada di tepi kubur mengemaskan lagi tanah-tanah yang tidak kejap. Setelah berpuas hati memerhati, langkah kaki dibuka besar menuju ke arah keretanya yang diletakkan agak jauh dari kenderaan lain. Pintu kereta di bahagian pemandu ditarik dan tubuh dibawa masuk lalu enjin dihidupkan. Belakang badan disandar ke belakang dengan mata yang terpejam bersama hela nafas kasar.

Tiba-tiba..

'Dumm' bunyi pintu kereta di sebelah pemandu ditutup dan kerusi dihenyak. Laju kepala menoleh ke kiri. Sebaik melihat siapa orangnya, tubuh disandarkan kembali bersama mata yang ditutup rapat.

"Aku bukan musuh." Kata Sonchai bersama mata yang masih lagi dipejam.

"I know who you are." Balas Kasturi pendek sambil songkok di atas kepala diambil dan peluh yang merenek di dahi dikesat dengan tuala kecil yang disangkut di leher bersama pandangan yang terarah ke hadapan memandang kawasan kubur yang menghijau dengan tumbuhan selain dari warna putih nisan.

"But I thought you were back." Tambah Kasturi lagi.

"Ya, sepatutnya aku sudah pulang. But.. there is a request from someone, want me to finish first what has not been finished here." Kata Sonchai sambil mata menjeling pada cermin pandang belakang dan dari situ dapat dia lihat ada dua orang lelaki setia menanti di tepi sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan tidak jauh dari keretanya.

"Itu orang aku." Kata Kasturi apabila dia sedar mata Sonchai memandang cermin pandang belakang. Sonchai senyum senget.

"Risau betul diaorang dengan kau." Kata Sonchai bersama ketawa kecil.

"Tadi kau cakap seseorang. Who?" Soal Kasturi yang ingin tahu walaupun dia dapat agak apa jawapan yang akan diperolehi nanti. Sonchai pandang sekilas pada Kasturi sambil jungkit bahu. Kasturi hela nafas kasar. Huh! Dah agak. Sudahnya kedua-dua lelaki itu diam sambil mata membuang pandang ke luar kereta.

"Thanks.. and sorry..". Kata Kasturi memecah kesunyian. Sonchai menoleh ke kiri bersama dahi berkerut.

"Thanks and sorry?." Soal Sonchai pelik.

"Ya.. Thanks sebab kau dah bantu Kira and.. sorry, sebab aku dah salah sangka." Balas Kasturi. Sonchai senyum senget lagi. Kening yang tidak gatal digaru dengan jari telunjuk.

"It's okay, dah memang tugas aku. Cuma.. Aku nak kau tau, isteri kau masih dalam bahaya." Kata Sonchai.

"Aku cuba kesan Chakan." Kata Sonchai sambil tangan kanannya menyeluk poket jaket yang dipakai di bahagian dalam.

"Ni lokasi terakhir dan alamat tempat persembunyiannya. Walaupun dia cedera teruk tapi kau tak boleh ambil mudah. Aku kenal Chakan tu macam mana orangnya." Sambung Sonchai lagi sambil sehelai kertas diserahkan pada Kasturi. Kasturi angguk bersama tangannya menyambut huluran kertas di tangan Sonchai.

"Thanks, I'm really appreciate it." Balas Kasturi. Pintu kereta di sebelah pemandu ditolak dan tubuh dibawa keluar.

"Mari kita balik." Ajak Kasturi sebaik kereta milik Sonchai berlalu pergi. Miran dan Am hanya anggukkan kepala manakala Kasturi pula membuka langkah menuju ke masjid untuk mengambil Kira dan Mariam. Kira terpaksa dibawa semula ke hospital kerana kesihatannya masih memerlukan pemeriksaan rapi sebelum dibenarkan pulang. Mujur juga segala urusan pengkebumian dipermudahkan.

+++

"Abang tak nak balik ke?." Soal Kira pada Kasturi sebaik sampai di wad. Kasturi yang membetulkan selimut yang menutup kaki Kira memandang Kira bersama senyuman nipis.

"Cik Ma dengan Miran kan ada. Lagipun.. Am dah uruskan majlis untuk malam ni." Balas Kasturi. Kira hanya angguk perlahan sambil membaringkan tubuhnya di atas katil bagi melepaskan lelah.

"Sayang rehat dulu, abang nak mandi dan bersihkan badan sekejap ya. Kalau sayang nak mandi, nanti lepas abang siap, abang mandikan sayang pula." Kata Kasturi pada Kira sambil mengambil tuala dan juga pakaian dari beg yang dibawa bersama tadi.

"Tak apa, abang pergilah. Sayang rasa penat sangat. Nak rehat sekejap." Balas Kira.

"Okay sayang. Ada apa-apa, bagitahu pada Burn ya." Pesan Kasturi sebelum dia melangkah masuk ke bilik air.

"El, kau nak makan atau minum apa-apa ke?. Aku boleh belikan di cafe." Soal Burn yang sedang duduk di sofa.

"It's okay. Aku tak lapar lagi, cuma nak baring je sekejap." Balas Kira yang sudahpun memejamkan matanya.

Lebih kurang lima belas minit, Kasturi keluar bersama pakaian yang sudah ditukar dan wajah yang segar. Burn pula masih berada di sofa sambil berbual di telefon.

"Edan." Panggil Burn pada Kasturi sebaik panggilan tamat.

"Aku rasa kau patut tengok ni." Kata Burn sambil menghulurkan telefonnya pada Kasturi. Gambar yang tertera pada skrin telefon dipandang tajam.

"Gambar ni diambil sejam yang lepas. Berdasarkan pada gambar ni, aku rasa El tak selamat berada lama di sini." Tambah Burn lagi. Terketap gigi Kasturi apabila orang yang dilihat diskrin tersebut adalah Chakan. Bagaimana dia boleh terselamat dan masih kuat untuk berjalan begitu. Tak guna!

"Esok aku jumpa Doktor Bani. Kalau diikutkan, esok Kira dah boleh discharge." Kata Kasturi pula.

16/05/2023 @ 2225hrs

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience