Bab 12

Romance Series 548166

"Hello" kata Pak Ndak.

"Hah? sungguh ka?" soal Pak Ndak tidak percaya. Wajah Kasturi, Kira dan Mak Ndak dipandang bergilir.

"Hang biaq betui?" soal Pak Ndak lagi. Kira yang sedang memandang cawan kopinya terpandang pada belakang tangan kanan Kasturi yang merah dan terdapat kesan melecet. Kasturi yang sedang memandang ke arah Pak Ndak diperhatikan. Rasanya tadi sebelum keluar, kesan tu tak ada. Dari mana pula datang kesannya ini? Nak tanya rasa macam tak sesuai pula waktunya sekarang ni.

"Awat?" soal Mak Ndak sebaik Pak Ndak mematikan talian. Telefon diletakkan di tepi piring cawan air kopinya.

"Rosli habaq, polis dah dapat tangkap orang hat bakaq rumah arwah Pak Chaq. Teruk jugak depa kena tabuh" kata Pak Ndak. Pantas Kira memandang wajah Pak Ndak.

"Betui ka Pak Ndak?" soal Kira.

"Ha la, Rosli habaq. Orang yang polis tangkap tu adalah orang yang sama menyebabkan Pak Chaq dengan Mak Chaq eksiden" kata Pak Ndak sambil memandang wajah Kira. Kira pula toleh memandang ke sisi.

"Rosli tak habaq ka sapa orang tu?" soal Mak Ndak pula. Pak Ndak hela nafas panjang.

"Ni yang macam susah nak percaya ni" kata Pak Ndak.

"Awat pulak? orang kampung ni ka?" soal Mak Ndak. Kira tidak menyampuk sebaliknya hanya menadah telinga.

"Lias dengan kawan dia anak Midah cucu Tok Ngah Kelabu.." kata Pak Ndak. Terkejut Mak Ndak apabila Pak Ndak berkata begitu.

"Sungguh ka ni? ish, macam tak percaya eh" kata Mak Ndak.

"Sungguh la, Rosli habaq lagu tu. Takkan abang nak pandai-pandai buat cerita pulak" balas Pak Ndak. Mak Ndak geleng kepala.

"Er.. macam mana polis dapat tangkap depa Pak Ndak?" soal Kira pada Pak Ndak tetapi wajah Kasturi yang dipandang. Kasturi toleh ke kanan apabila dia dapat rasakan Kira sedang memandang ke arahnya.

"Tak tau la Kira, pandai la polis buat gheja depa" balas Pak Ndak dan dia juga turut memandang ke arah Kasturi. Kasturi sudah rasa seperti dia pula orang yang besalah di situ. Kira pula hanya angguk tanpa membalas.

"Em.. apa la nak jadi dengan budak-budak ni.. tu la belajaq malaih, jadi lagu tu la. Tapi.. biaq pi kat depa la. Ni, yang hang pa ni nak balik pukui berapa? kalau lambat lagi, buleh mintak Mak Ndak masak nasi lebih sikit. Kita makan malam sama-sama dulu" kata Pak Ndak sambil memandang ke arah Kasturi dan Kira. Kasturi pandang Kira.

"Saya ikut je, tak kisah. Cuma tu la.. cheq tak dak baju nak pakai" kata Kira sambil memandang pada Mak Ndak.

"Kalau baju buat pelasah (pakaian hari-hari/ baju biasa) buleh la Mak Ndak bagi hat Kak Ti punya tapi kalau Kira nak pakai pi balik Kuala Lumpoq tu.. macam tak dak yang sesuai la pulak. Hang tau la Kak Ti tu besaq pendek dia macam mana, Kira ni kuruih tinggi" balas Mak Ndak.

"Kalau macam tu Kira siap-siap la, lepas ni kita balik tapi singgah rumah arwah ayah saya sekejap. Saya nak ambil barang" kata Kasturi. Kira hanya angguk.

"Kalau lagu tu, Mak Ndak bungkuih nasik dengan lauk la kat hang pa no. Sat lagi balik kalau lapaq buleh panaskan saja. Tak yah dok kalut nak beli dah" kata Mak Ndak.

"Eh, tok sah dok gaduh la Mak Ndak. Buat susah ja" kata Kira yang sudah bangun berdiri mahu mencuci cawan yang digunakannya di sinki.

"Tak pa aih. Nasik dengan lauk banyak. Kami dua pun makan tak habih" kata Mak Ndak lalu bangun dan terus ke dapur untuk membungkuskannya buat Kasturi dan Kira.

"Terima kasih lah Mak Ndak, susah-susah je" kata Kasturi pula. Mak Ndak hanya tersenyum.

"Mak Ndak, buleh dak cheq nak pinjam seluaq dengan t-shirt Kak Ti?" soal Kira pada Mak Ndak yang berada di dapur.

"Buleh.. hang pi cari sendiri la, tengok mana hat sesuai. Tak pa.. Kak Ti tak marah. Dia pun bukan dok pakai sangat pun" kata Mak Ndak.

"Terima kasih Mak Ndak. Cheq nek ataih dulu na" kata Kira lalu terus melangkah ke tingkat atas selepas tangan dikeringkan.

"Hang cuti sampai bila?" soal Pak Ndak pada Kasturi yang sedang menyisip kopi o.

"Minggu depan saya dah mula kerja. Lama sangat dah saya cuti" balas Kasturi selepas cawan diletakkan semula di atas piring.

"Pak Ndak nak tanya sikit buleh? tapi hang jangan marah no" kata Pak Ndak.

"Tanya apa Pak Ndak?" soal Kasturi.

"Hm.. pasai Lias dengan kawan dia.. Kerja hang ka?" soal Pak Ndak. Kasturi tidak membalas tetapi hanya dipandang wajah Pak Ndak. Pak Ndak angguk.

"Tak pa, Pak Ndak paham" balas Pak Ndak.

Tidak lama Kira turun dari tingkat atas, waktu itu dia sudah menukar pakaian dengan seluar track dan tshirt besar milik Kak Ti anak Mak Ndak. Nampak gedoboh sahaja baju dan seluarnya tetapi nak buat macam mana, bajunya semua sudah habis terbakar dan yang tinggal hanya baju yang dipakainya tadi sahaja.

"Hah, ni nasik dengan lauk. Buah kuinin dengan rambutan pun ada sekali" kata Mak Ndak sambil meletakkan plastik makanan di atas meja. Kira menjenguk kandungan plastik yang diisi buah.

"Rambutan gading.. sedapnya.. isi lekang ni" kata Kira dengan wajah gembira.

"Tau dah.. hang tu kalau dapat rambutan, sebesan pun buleh habis" sampuk Pak Ndak. Kira hanya tersenyum sambil menayangkan giginya.

"Ni dah balik Kuala Lumpoq jangan tak balik sini dah. Pak Chaq dengan Mak Chaq memang dah tak dak tapi Mak Ndak dengan Mak Ndak ada lagi" pesan Pak Ndak.

"In sha Allah Pak Ndak" balas Kira dan Kasturi hampir serentak.

"Kalau macam tu, kami balik dululah. Takut lambat pula sampai nanti" kata Kasturi yang sudah bangun berdiri. Pak Ndak juga begitu. Salam dihulur pada Pak Ndak. Pak Ndak menyambut huluran salam sambil belakang Kasturi ditepuk perlahan. Bungkusan plastik di atas meja diambil Kasturi lalu dibawa ke pintu dan kasut disarung. Kira pula bersalam dengan Pak Ndak dan kemudian Mak Ndak. Tubuh Mak Ndak dipeluk rapat.

"Ada masa balik sini no.." pesan Mak Ndak. Belakang tubuh Kiri diusap perlahan. Kira angguk. Pelukan dilepaskan dan Kira melangkah ke arah muka pintu dan kasut disarung.

"Balik dulu Pak Ndak, Mak Ndak" kata Kira.

"Assalamualikum" kata Kasturi pula.

"Waalaikumsalam" balas kedua mereka serentak.

Kasturi menyimpan plastik makanan dan buah-buahan di tempat barang di bahagian belakang lalu dia terus melolos masuk ke dalam kereta. Kira pula sudah sedia di tempat penumpang hadapan. Kasturi hidupkan enjin dan kereta mula bergerak. Kira menurunkan cermin kereta dan melambai pada Pak Ndak dan Mak Ndak hinggalah mereka hilang dari pandangan. Cermin dinaikkan semula dan Kira masih lagi memandang ke luar. Tidak lama kereta dipandu Kasturi memasuki halaman rumah arwah ayahnya. Kasturi pandang Kira.

"Kira. Kita naik atas sekejap boleh? saya nak mandi dan solat. Lepas tu kita balik" kata Kasturi. Kira angguk lalu daun pintu ditolak dan dia terus mengekori langkah Kasturi dari belakang. Kasturi menolak daun pintu rumah dan memberi laluan pada Kira untuk masuk. Selepas itu daun pintu di tutup kembali.

"Kira duduklah dulu. Saya naik atas sekejap nak mandi" kata Kasturi lalu dia terus ke tingkat atas. Kira memerhatikan keadaan dalam rumah. Besar rumah ni tetapi sayang ditinggalkan begitu sahaja. Perabot semua lengkap tapi itulah.. Kira melangkah ke arah gambar-gambar yang ada di dinding. Hanya ada gambar Kasturi sewaktu kecil bersama arwah ibu dan ayahnya.

"Oo.. mak dia bukan orang sini.. patutlah muka macam mix" kata Kira.

"Kau pun sama Kira, ibu kau pun bukan orang sini tapi itulah, dia tidak sempat merasai kasih sayang ibunya apabila ibunya meninggal dunia sewaktu melahirkannya dahulu. Kira berjalan lagi sambil memerhatikan gambar yang bergantung di dinding dan ada sekeping gambar terselit di belakang salah satu bingkai gambar yang tersangkut di dinding.

"Gambar siapa ni? pakai baju celoreng siap galas HK11 lagi.." kata Kira sambil didekatkan wajahnya ke arah gambar tersebut. Tangannya mahu mencapai gambar itu untuk dilihat dengan lebih jelas.

"Tengok apa tu?" soal Kasturi yang sudah siap mandi dan menukar pakaian sambil melangkah turun bersama beg pakaian di tangan. Kira laju turunkan semula tangannya dan kepala ditoleh ke belakang. Tidak jadi dia mahu mengambil gambar itu. Ish, gambar siapa tu? takkan Kasturi? eh! dia ni tentera ke apa? Kira sudah terfikir-fikir.

"Dah siap?" soal Kira pula. Kasturi angguk. Kira menoleh kembali pada gambar yang dilihat tadi. Mahu sahaja gambar itu diambil tetapi apabila melihat Kasturi yang tegak memandang ke arahnya, niatnya itu dibatalkan.

"Kita gerak sekarang?" soal Kasturi. Kira angguk. Ditoleh lagi gambar tadi dan sebaik Kasturi melangkah pergi, terus dia capai gambar itu dan pantas disimpan di dalam beg tangannya. Harap-harap la Kasturi tidak sedar akan tindakannya itu. Kira terus melangkah ke arah kereta manakala Kasturi pula menutup suis elektrik dan mencabut fius untuk keselamatan rumah tersebut dari berlaku litar pintas atau apa-apa masalah pendawian nanti. Pintu kayu dikunci dan pintu mangga juga sama.

Sebelum balik dari rumah Pak Ndak tadi, Kasturi telah serahkan kunci pendua rumah ini pada Pak Ndak. Dia cuma minta tolong Pak Ndak untuk datang tengok-tengokkan rumah ini bila ada kelapangan. Selepas itu dia menyimpan beg pakaian di tempat barang di bahagian belakang dan terus melolos masuk di bahagian pemandu. Kira pula sudah bersedia di tempat duduk penumpang hadapan bersama seatbelt di tubuh.

"Kita gerak" kata Kasturi. Kira angguk. Walaupun tidak selesa dengan pakaian di tubuh, Kira layankan sahaja. Kasturi menekan pedal lalu kereta bergerak meninggalkan kawasan halaman rumah. Kasturi tidak terus memandu memasuki lebuh raya sebaliknya dia singgah di pekan untuk mengisi minyak kereta dan dibelikan makanan dan minuman untuk Kira dan juga dirinya. Kemudian pemanduan diteruskan.

"Eh, kita nak ke mana? macam nak ke klinik hari tu je?" soal Kira sambil memandang ke arah Kasturi yang sedang memandu. Soalan Kira tidak dibalas sebaliknya kereta terus dihentikan sebaik sampai di hadapan klinik Dr. Hannah.

"Kira tunggu sekejap" kata Kasturi lalu dia keluar dari kereta dan terus masuk ke dalam klinik dan tidak lama Kasturi kembali bersama beg kertas di tangan. Laju dia melolos masuk dan beg kertas tadi diserahkan pada Kira. Kira kerut kening.

"Apa ni?" soal Kira sambil menyambut huluran Kasturi.

"Saya tahu Kira tak selesa. Ni ada pakaian baru untuk Kira. Kira masuk dan salin" kata Kasturi. Kira pandang beg kertas dan dilihat isi dalamnya. Ada blaus, seluar panjang, instant shawl, make up pun ada, betul pulak tu brand yang dia guna dan.. erk! pakaian dalam? memerah wajah Kira. Diperiksa saiz satu-satu, semuanya memang kena dengan saiznya. Kasturi dipandang lagi.

"Er.. macam mana awak tahu saiz saya?" soal Kira tersekat-sekat. Kasturi hanya pamer senyuman nipis.

"Dah, pergi tukar. Saya tunggu sini" kata Kasturi. Terkelip-kelip mata Kira. Daun pintu ditolak dan Kira keluar bersama beg kertas di tangan. Daun pintu ditutup lalu dia melangkah dan ditoleh sekali ke belakang. Kira pandang lagi pakaian di dalam beg, pandai pula pilih warna sedondon, pink belacan. Tersungging senyum nipis di bibir Kira.

"Kira.. get in" panggil Dr. Hannah apabila Kira melangkah masuk ke dalam kliniknya. Kira mengekori langkah Dr. Hannah. Lebih kurang tiga puluh minit Kira keluar dari tandas dan dia dapatkan Dr. Hannah yang berada di biliknya.

"Hannah. Thanks" kata Kira. Hannah senyum sambil tunjukkan tanda OK. Kira kemudian melangkah keluar dari klinik bersama beg kertas di tangan. Daun pintu kereta ditarik. Kasturi toleh memandang ke arah Kira. Terpegun dia. Sesuai pakaian tersebut pada tubuh Kira. Kira yang sudah melabuhkan duduk rasa tidak selesa. Rasa seperti Kasturi dapat memandangnya hingga menembusi pakaian dalamnya itu. Sudahlah pakaian dalam yang dipilih warnanya merah.

"Awak.. janganlah tengok saya macam tu" kata Kira segan. Beg kertas sudah dirapatkan di dada.

"Sorry" balas Kasturi. Terus pandangan dihala ke hadapan.

"Cantik" kata Kasturi sepatah. Hujung matanya memandang Kira.

"Terima kasih" ucap Kira pula.

"Sini, saya simpankan beg kertas" pinta Kasturi pada Kira. Kira hulurkan beg kertas pada Kasturi lalu Kasturi memusingkan tubuhnya ke tempat duduk belakang untuk meletakkan beg kertas. Hampir sekali tubuh Kasturi dengan tubuhnya hingga Kira terpaksa mengelakkan sedikit tubuhnya ke pintu.

"Erm.. wanginya.." terluah ayat tersebut dari bibir Kira. Kasturi yang sudah duduk tegak ke hadapan memandang Kira.

"Wangi?" soal Kasturi. Bulat mata Kira. Eh, dia tercakap kuat ke tadi? aduh..

"Hah!, mana ada cakap apa" laju Kira membalas. Ditoleh kepala ke luar. Gigi diketap kuat bersama mata yang terpejam.

Kasturi yang melihat bias riak wajah Kira pada cermin sisi tersenyum nipis. Bukan dia tidak dengar, sengaja mahu diusik Kira. Cantik bila Kira malu-malu begitu, rasa mahu dicium sahaja pipi merahnya itu. Edan.. kau dah kenapa nak cium pipi Kira pula ni.. rasa panas wajahnya tiba-tiba.

"Tak nak gerak lagi ke?" soal Kira. Seakan baru tersedar, Kasturi pantas masukkan gear dan pedal ditekan. Terus meluncur kereta pergi.

(07/02/2021 @ 1445hrs)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience