BAB 12

Fantasy Completed 18494

KATA-KATANYA bukan sekadar meniti di bibir. Abang Nadim betul-betul membawa kami masuk ke dalam hutan. Sudah sejam lebih kami berjalan dan langsung tiada rehat. Entah di manalah agaknya teman abang Nadim itu? Batang hidung teman abang Nadim langsung tidak kelihatan lagi.

“Abang Nadim, di mana sebenarnya abang Nadim hendak berjumpa dengan teman abang Nadim itu, hah? kita bertiga ini sudah jauh berjalan. Mawar sudah penatlah.” Rungut aku. Keringat mula memenuhi di bahagian tepi wajahku.

“Abang Nadim, kita rehatlah dulu. Kaki Suri lenguhlah.” Suri pula merungut.

“Sabarlah. Sekejap lagi kita akan bertemu dengan teman abang itu.” Katanya tanpa memandang kami yang berjalan di belakangnya.

Suri berpaling ke arah aku sambil membuat muka. Geram dengan abang dialah itu. Aku ketawa kecil. Ingatkan aku seorang saja yang tengah geram dengan abang Nadim, rupanya Suri pun sama.


“RAYYAN!!”

“Huh?” Bola mataku besar apabila mendengar nama tersebut. Aku mahu sangat suruh abang Nadim ulang semula nama yang disebut olehnya sebentar tadi. Ryankah? Rayyankah? Raihankah? Eh, Raihan itukan nama salah satu kumpulan nasyid.

Aku garu kepala. Janganlah Tengku Ryan Arjuna. Harap-haraplah lelaki lain. Nama sama tidak apa. Tapi, janganlah orangnya sama pula. Aku belum bersedia lagi hendak bertemu dengan lelaki itu. Lagipun, aku bukannya Seri Mawar. Aku hanya menumpang jasad saja.

Laju aku mencari kelibat lelaki itu. Aku berharap sangat itu bukan dia. Jantungku tiba-tiba saja berdegup kencang. Kalau betul dia macam mana? Tidak mungkin aku dapat melarikan diri lagi sebab abang Nadim ada di sini.

Bunyi ranting kayu yang dipijak kedengaran dari arah tepi sebelah kiri kami. Semua mata memandang ke arah yang sama. Kenapalah lambat sangat hero ini hendak muncul? Hero? Siapa? Si Tengku itukah? Wekk!! Aku tak nak dia jadi hero dalam cerita aku ini.

Aku seperti cacing kepanasan. Suri pula langsung tidak memandang ke arah aku. Dia sibuk memetik bunga-bunga kecil yang ada di depannya.

“Hoi, Tengku Rayyan Rehan! Keluarlah. Janganlah bersembunyi lagi. Kau ingat aku tidak tahukah yang kau ada di sebalik pokok besar itu.”

Aku telan liur. Bukan si tengku yang mahu kahwin dengan si Seri Mawar itu yang abang Nadim panggil tapi tengku lain. Ah, ada berapa juga keluarga tengku di kampung Indera Aurora ini?! Setahu aku, hanya keluarga Tengku Bahaman itu saja yang duduk di kampung ini.

Tiba-tiba kami terdengar suara orang ketawa. Aku meliau mencari arah ketawa itu. Melihat abang Nadim yang bergerak ke hadapan barulah aku tahu arah suara itu datangnya dari sebalik pokok besar yang berada di depan kami.

Suri berdiri lalu menuju ke arah aku dengan sengihan. Bunga-bunga yang dipetik olehnya tadi dibiarkan sahaja di atas rumput hijau itu.

“Mengapa Suri tersengih?” Tanya aku, hairan.

“Suri mohon maaf kakak Naura. Suri lupa hendak beritahu kakak Naura tentang Tengku Rayyan Rehan.” Katanya yang berbisik di telinga aku.

“Hah?!” Aku mula tidak keruan. Habislah aku kali ini.

“Siapa dia ini pula?” Laju aku menyoalnya. Sekali lagi dia tersengih. Sikapnya itu membuatkan aku bertambah geram. Boleh tahan juga Seri Mawar ini, sampaikan lelaki-lelaki yang bergelar tengku pun ada hati dengan dia. Entah, siapalah agaknya tengku yang akan muncul lagi selepas ini? Belum selesai satu masalah, masalah lain pula yang timbul. Yang, kena menghadapnya bukan si Seri Mawar itu tapi Naura Athifa. Itu aku!!

“Tengku Rayyan Rehan itu sepupu kepada Tengku Ryan Arjuna. Dia datang daripada sebelah selatan, Kota Puspaloka.”

“Kota Puspaloka? Jauhkah?”

Suri mengangguk.

“Seri Mawar, ya?”

Tersentak aku apabila suara garau itu menegur aku. Aku langsung tidak sedar dengan kehadirannya. Mungkin juga aku terlalu fokus dengan Suri.

“Kamukah Seri Mawar yang diceritakan oleh Ryan sebelum ini?” Sekali lagi dia bersuara. Aku pandang Suri dan kemudian memandangnya semula. Sempat mataku mengerling ke belakang. Abang Nadim sudah tidak ada bersama kami lagi. Ke mana pula abang Nadim ini menghilangkang diri?

“Seri Mawar?”

“No. Saya bukan Seri Mawar!” Laju aku menekup mulut. Aku sudah terlepas cakap. Aku salah guna bahasa. Matilah aku!

Wajahnya berkerut.

Suri pula jelas terkejut dengan apa yang baru sahaja didengarinya tadi. Renungannya tajam memandang aku.

“Kamu bukan Seri Mawar?” Dia mendekatkan jarak di antara kami. Aku sudah tidak keruan. Kenapalah aku celupar sangat tadi.

“Aduh!” Aku mengadu sakit. Suri mencubit pinggangku. Aku tahu dia mesti tengah marahkan aku.

“Err... Saya hanya bercanda saja tadi.” Aku tersengih sambil menggosok-gosok pinggang aku yang dicubit oleh Suri tadi.

Dia ketawa kecil. Mungkin lucu dengan apa yang aku katakan tadi. Ah, ada aku kisah. Aku mahu mengorak langkah mencari kelibat abang Nadim tapi dihalang oleh lelaki itu.

“Marilah kita berbual dulu. Biarkan saja abang kamu dengan sepupu saya.”

“Sepupu kamu?” Berkerut dahi aku memikirkan siapa sepupunya itu. Bagaimana sekiranya kalau betul lelaki itu adalah sepupu Tengku Rayyan Rehan ini? Aku tak nak! Hoi, Seri Mawar, baliklah. Aku tak nak duduk dalam jasad kau ni! Aku hanya mampu menjerit di dalam hati sahaja.

“Eh, tidak apalah abang Rayyan. Abang Rayyan boleh saja berbual-bual dengan Suri. Biarlah kakak Mawar pergi cari abang Nadim.” Laju Suri mencelah sambil menghalau aku dari situ. Kenapa dia berbuat seperti itu, ya?

“Apa yang Suri hendak bualkan dengan abang ini?” Dia ketawa. Aku tahu sebabnya dia ketawa begitu. Yalah, apa sajalah topik yang mahu dibualkan dengan remaja 16 tahun itu.

“Banyak benda yang Suri hendak tanyakan kepada abang Rayyan. Suri tahu abang Rayyan ini cerdik orangnya...”

Aku berpaling. Suri masih meneruskan perbualannya. Lebih baik aku cari abang Nadim dulu. Tapi, risau pula aku tinggalkan Suri dengan lelaki itu di situ.

Saat itu, pandangan aku menghala ke arah satu jalan. Jalan yang pernah aku lalui sebelum ini. Ketika itu juga kelibat abang Nadim dengan seorang lelaki muncul tidak jauh dari tempat aku berdiri. Mereka berdua nampaknya rancak berbual. Begitu juga dengan Suri dan juga Tengku Rayyan Rehan. Aku pula berada di tengah-tengah di antara mereka. Ini adalah peluang aku!

Aku masih statik berdiri di tengah-tengah antara mereka. Mujurlah, pokok di depan aku ini menghalang pandangan mereka kepada aku. Fikiran aku sekarang ini adalah mahu melarikan diri daripada mereka. Lebih baik aku pergi sekarang sebelum mereka semua perasan aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience