BAB 36

Fantasy Completed 18494

TEMPAT yang abang Nadim bawa ini terlalu jauh daripada perkampungan Indera. Kawasan ini juga bukan kawasan yang selalu kami pergi. Aku memandang Suri yang tercungap-cungap mengejar kami. Apa tidaknya, abang Nadim terlalu laju berjalan. Tangan aku pula masih berada dalam genggamannya.

“Aku nak kau jujur dengan aku sekarang juga!” Dia menarik aku ke hadapan dan menolak aku dengan kuat. Mujur aku sempat berpaut pada pokok yang ada di belakang aku ini.

“Abang Nadim! Mengapa abang buat kakak Mawar macam ini, hah?” Pantas dia menghampiri dan membantu aku bangun.

“Ah, kau pun sama saja Suri! Kau bohong dengan abang!” Tempiknya.

“Baik korang jujur dengan abang sebelum abang buat jahat dengan korang berdua ni.” Dia menunding jari ke arah kami. Suri merengus. Laju dia melangkah ke arah abang Nadim.

“Abang Nadim, mengapa abang tiba-tiba buat perangai, hah?!” Marah Suri.

Aku bingung. Apa yang sedang berlaku sekarang ini, huh? Aku memang tidak silap dengar, kan? Abang Nadim guna bahasa aku.

“Korang berdua ingat abang tak tahu ke, hah? Korang berahsia dengan abang, kan?”

Aku telan liur sebaik sahaja abang Nadim menghalakan pandangan maut ke arah aku.

“Abang belajar bahasa itu daripada siapa?” Tanya Suri yang baru perasan dengan tutur bicara abang Nadim.

“Suka hati abanglah hendak pakai bahasa apa dengan korang berdua. Sekarang ni abang mahu kamu berdua jujur dengan abang.” Suaranya tegang. Abang Nadim menolak Suri ke tepi. Jarinya menunding ke arah aku semula.

“Kau bukannya Seri Mawar. Kau Naura Athifa, kan? Cakap dengan aku sekarang ni. Macam mana kau boleh ke sini? Mana adik aku, hah?!” Terhinjut bahuku dengan pekikkannya.

Hati aku mula diserbu dengan rasa takut dan gelisah. Bagaimana abang Nadim tahu nama aku ini?

“Abang Nadim, janganlah buat kakak Mawar begini.” Suri memeluk aku. Namun pelukan itu hanya sekejap sahaja apabila abang Nadim menarik kasar tangan Suri dan menolaknya ke tepi.

“Bagitahu aku atau...”

“Abang Nadim!” Suara tinggi Suri membuatkan abang Nadim terdiam.

Aku tidak keruan melihat situasi ini. Serasa hendak lari dari sini. Tapi, kaki ini berat untuk berbuat begitu. Aiz Hafizi, kau di mana? Aku perlukan pertolongan kau sekarang.

Kami senyap apabila mendengar abang Nadim melepaskan amarahnya. Pokok di depannya itu menjadi mangsa tumbukkannya. Berkali-kali dia menggeram seiring dengan dengusan kasar yang dilepaskan. Abang Nadim seperti hilang kawalan ketika ini.

“Abang Nadim, sudahlah. Abang janganlah marah lagi.” Aku memujuknya.

“Bagaimana aku tak marah kalau korang berdua buat macam ni. Kamu tahu tak apa yang kamu berdua buat ini bahaya!” Tengkingnya. Sekali lagi terhinjut bahu aku dibuatnya. Begitu juga dengan Suri.

“Abang Nadim...” Aku menarik nafas sebelum meneruskan kata.

“Cara abang Nadim bercakap tu...”

“Ya, aku memang bercakap bahasa yang kau guna di dunia kau sekarang.”

Aku tergamam. “Tapi, bagaimana?”

“Ya, abang Nadim. Bagaimana abang boleh berbahasa sama seperti kakak Naura?” Suri juga terkejut apabila mengetahuinya.

Abang Nadim senyap. Lama dia begitu. Dia membuang pandang ke arah anak sungai yang ada di belakang kami.

“Abang belajar daripada seseorang.” Suaranya perlahan namun masih boleh di dengar oleh kami berdua.

“Sebenarnya, abang ada kenal seorang perempuan. Dia sama seperti kamu yang terperangkap dalam jiwa orang lain.” Suaranya kembali tenang.

Terbeliak mataku mendengarnya. Suri pula melopongkan mulutnya. Kami tidak sangka yang abang Nadim ada menyimpan rahsia sebegitu.

“Siapakah perempuan itu abang Nadim? Suri kenalkah?” Soal Suri.

“Tidak. Suri tidak mengenalinya, pun. Perempuan yang abang jumpa itu adalah Ayana Maisara. Jiwanya bertukar dengan seorang gadis dari Kota Puspaloka, Jelita namanya.”

Suri mengerutkan dahi. “Suri tidak pernah pun melihat abang Nadim bersama dengan perempuan itu. Di manakah abang Nadim menjumpainya?”

“Abang bertemu dengannya di sini. Dia ke sini bersama keluarganya. Mereka saja datang melawat Kota Indera Aurora ini,”

“Itu adalah kali pertama abang jatuh hati. Abang suka dia dan pernah meluahkan perasaan dengan dia. Tapi...”

“Tapi, dia tolak cinta abang Nadim, kan?” Duga aku. Suri memandang aku tanpa riak. Perlahan-lahan abang Nadim menganggukkan kepalanya.

“Bagaimana kakak Naura boleh mengagak jawapannya itu?”

“Dia dengan kakak mempunyai jawapan yang sama, Suri.”

Suri menekup mulut. Pandangannya beralih kepada abang Nadim. Ada riak sayu di wajah mudanya itu.

“Walaupun cinta abang ditolak tetapi kami masih lagi berkawan. Dia selalu ke sini untuk melihat barang-barang yang dijual di kota ini. Setiap kali dia datang ke sini abang pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berjumpa dengannya.” Terbit senyuman kecil di bibirnya. Namun, hanya sekejap sahaja. Air mukanya berubah.

“Perit rasanya hati ini bila hubungan itu setakat itu saja. Dalam hati ini hanya dia seorang saja yang abang cinta.” Perlahan suaranya meluahkan rasa di hati. Pandangannya sekali lagi jatuh pada air sungai yang mengalir dengan tenang itu.

Terkesima kami berdua melihat abang Nadim menangis.

“Hanya dia seorang saja yang dapat membuatkan abang bahagia. Abang benar-benar rindukannya,” tangannya laju mengesat air mata yang mengalir di wajahnya itu.

Walaupun tidak sepenuhnya cerita Ayana Maisara itu abang Nadim ceritakan tetapi aku faham apa yang dilalui oleh Ayana Maisara. Aku dapat rasakan perempuan itu juga mencinta abang Nadim tetapi dunia yang berbeza ini telah menjadi penghalang cinta mereka.

Keluhan berat aku lepaskan. Bukan mudah untuk mencintai manusia yang berada di alam lain. Kasihan abang Nadim menahan rindu yang begitu mendalam.

Sedari luahan abang Nadim itu aku mula terfikir sesuatu. Rindu? Bukankah meraka berdua selalu berjumpa? Laju aku menatap wajah basah itu.

“Abang Nadim tadi kata rindu dengan dia. Mengapa abang Nadim tidak saja berjumpa dengannya dan kenalkan dia kepada kami?”

Diam. Tiada balasan. Aku dengan Suri berpandangan.

“Abang Nadim, bawalah kami berdua berjumpa dengan dia. Banyak benda yang saya mahu tanyakan kepadanya.” Aku bersuara lagi. Aku mahu berjumpa dengan perempuan itu. Manalah tahu dia boleh membantu aku dan kami sama-sama boleh pulang ke dunia asal kami.

Dia masih menyepi. Aku rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan mereka berdua ini. Aku memberi isyarat kepada Suri agar dia bersuara.

Baru sahaja Suri mahu membuka mulut ada suara lain menegur kami. Terkejut aku melihat Aiz Hafizi muncul di depan kami. Tiba-tiba abang Nadim menarik aku dengan Suri ke belakang. Wajahnya berubah riak.

“Siapa gerangan dikau, hah?!” Abang Nadim mendepakan tangannya. Dia berbuat begitu untuk melindungi kami berdua yang berdiri di belakangnya.

“Aku Radin. Aku dari Kota Agis dan datang ke sini untuk berjumpa dengan Naura Athifa.” Ujarnya dengan tenang.

“Siapa Naura Athifa, hah? Aku langsung tidak kenal dengan nama itu.” Jelas sekali abang Nadim cuba untuk melindungi aku.

Aku mahu membuka mulut tapi takut pula jika dimarahi oleh abang Nadim lagi. Suri mencengkam hujung pakaian aku. Dia juga takut.

“Kamu tidak usah takut dengan saya. Saya berpihak kepada kamu bertiga. Saya tahu apa yang kamu bualkan tadi dan saya juga tahu apa yang berlaku sebelumnya.”

Suri melopong. Abang Nadim mengerutkan dahinya.

“Ayana Maisara dia dengan Naura Athifa datang dari tempat yang sama. Tapi, malangnya Ayana Maisara sudah kembali ke dunia asal dan Jelita pula sudah mati di tangan orang-orang Kota Agis.”

Bicaranya membuatkan kami semua terkesima terutama sekali abang Nadim. Perasaan risau mula bertandang di hati. Mengapa orang-orang Kota Agis mahu membunuhnya?

“Kau!” Abang Nadim mengetap bibir. Tangannya di kepal kuat.

“Baik kau cakap betul-betul. Mana Ayana Maisara?!”

“Apa yang aku cakap tadi itu adalah betul. Ayana sudah kembali ke tempat asal. Orang Agis sudah melepaskannya pergi. Jelita dan abangnya pula sudah mati dibunuh oleh mereka kerana mereka melanggar hukum Lokamaya ini. Bukan mereka berdua saja yang mati di tangan mereka bahkan keluarga Radin juga turut dibunuh oleh mereka.” Jelasnya.

Abang Nadim hampir terjatuh mendengar berita itu. “Ayana...”

Aku sempat menangkap nama perempuan itu disebut.

“Mereka dibunuh disebabkan melanggar hukum Lokamaya? Lokamaya apa pula ini?” Aku mengerutkan dahi.

“Lokamaya adalah dunia yang kita tinggal sekarang ini. Kehidupan di sini sama saja seperti di bumi. Apa yang membezakan orang-orang bumi dengan orang-orang Lokamaya ini adalah kelebihan yang mereka ada seperti orang-orang Kota Agis. Selain itu, mereka menggunakan nama-nama dahulu dan juga penggunaan bahasa. Di sini masih lagi mengekalkan bahasa baku.”

“Bagaimana pula dengan tahun? Hari? Sama ke dengan di bumi itu?” Baru sekarang aku terfikir.

“Ya, sama. Di sini adalah tahun 2017 dan sama juga dengan tahun di sana. Secara ringkasnya, kehidupan di bumi itu mencerminkan apa yang ada di sini.”

“Tadi, abang...”

“Radin. Itu nama si jasad ini. Jiwa yang ada di dalam jasad ini adalah Aiz Hafizi, teman kepada Naura Athifa.” Dia menyimpul senyuman buat Suri. Suri tersengih.

“Tadi, abang Aiz beritahu yang kakak Jelita dengan abang dia sudah melanggar hukum Lokamaya. Kesalahan yang bagaimana mereka berdua itu telah lakukan?”

Aiz Hafizi tersenyum.

“Abang akan ceritakan semuanya pada kamu tetapi bukan di sini.”

“Habis kau nak cerita dekat mana, huh?” Abang Nadim masih lagi dengan marahnya. Aiz Hafizi senyum sinis. Dia berpaling arah.

“Tenanglah, Nadim. Tempat yang aku pilih ini pun bukannya jauh dari sini.” Dia ketawa sinis.

“Ikut aku kalau kau nak dengar ceritanya.” Aiz Hafizi mengorak langkah.

Kami semua berpandangan sebelum mengikutnya ke suatu tempat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience