BAB 45

Fantasy Completed 18480

SEKEMBALINYA aku di rumah, aku terkejut melihat Tengku Ryan Arjuna berdiri sambil berpeluk tubuh di anjung rumah dengan renungan tajam. Aku memanjat anak-anak tangga itu dengan wajah yang menunduk. Takut aku melihat renungan itu.

“Dinda Naura!”

Langkahku mati. Suaranya tegas memanggilku.

“Pandang kanda.” Arahnya.

Aku tarik nafas dalam sebelum memandangnya. Aku mengangkat wajah dan dia terus menarik tangan aku keluar daripada kawasan rumah. Aku tergamam.

“Tengku Ryan hendak bawa Seri ke mana ini?” Marah aku.

“Ikut saja.”


TENGKU RYAN ARJUNA menyuruh aku duduk di batu besar dekat dengan pokok besar. Tempat yang dia bawa aku ini adalah kawasan anak-anak sungai.

“Buku apakah itu dinda?” Dia perasan aku bawa diari ini. Aku tidak sempat menyimpan diari ini di bilik tadi. Apa tidaknya, dia tergesa-gesa membawa aku ke sini.

“Buku kosong.” Jawabku dengan yakin.

“Tipu. Bagi sini. Biar kanda tengok isi di dalam buku itu.” Hampir sahaja dia mahu menarik diari ini dari tangan aku. Cepat-cepat aku menyelitkan diari itu di bawah punggung aku.

“Ambillah kalau Tengku Ryan berani.” Puas hati. Aku tahu dia tidak akan berani menyentuh aku.

Dia menggeram. Aku menahan ketawa.

“Baiklah. Lupakan pasal buku kosong itu. Sekarang beritahu kanda, apa yang dinda bincangkan dengan Tengku Rayyan Rehan di pulau itu?”

Aku seperti terkena renjatan elektrik. Dia tahu aku ke situ?

“Tengku Rayyan Rehan datang selepas dinda melarikan diri dari kanda di rumah nenek tabib itu. Kanda beritahu dia yang dinda sudah tahu tentang kandungan dinda dan dia terus pergi begitu saja. Hati kanda yakin mengatakan yang dia pasti akan mencari dinda.” Jelasnya.

Aku diam, cuba untuk menyusun kata.

“Tengku Ryan, tentang perkahwinan kita...”

“Dinda mahu batalkannya?” Tebaknya. Aku angguk perlahan.

“Dinda Naura. Dinda tahukan kanda cintakan dinda. Tidakkah dinda punya perasaan terhadap kakanda?”

Susah untuk aku menjawab soalan itu. Aku juga tidak faham dengan perasaan yang bermain di hati aku ini.

“Tengku Ryan, Seri minta maaf. Seri tidak dapat menjawab soalan itu.” Aku berterus terang.

“Tengku Ryan baliklah. Seri hendak rehat. Seri mahu tenangkan fikiran. Seri masih belum dapat terima apa yang berlaku terhadap diri Seri ini.” Perlahan dan lemah nadaku. Aku malas hendak bertekak dengannya.

“Dinda Naura...”

“Tengku Ryan, tolonglah. Buat masa ini tolong jangan paksa Seri. Tengku Ryan tidak kasihankan Serikah dengan apa yang telah terjadi sekarang ini. Lepas Seri tahu yang Seri ini berisi, Tengku Ryan pula datang cakap pasal kahwin. Seri betul-betul perlukan masa untuk berfikir, Tengku Ryan. Tolonglah faham Seri,” aku sedikit merengus.

“Seri janji akan beri jawapannya. Tapi, bukan sekarang. Bagi Seri rehat dulu. Seri penat.” Marahku lalu meninggalkannya.

Aku tergelincir tetapi sempat disambut oleh seseorang. Abang Nadim.

“Mawar. Mawar. Kalau berjalan itu hati-hatilah.” Tegurnya.

“Apa abang Nadim buat dekat sini?” Tanya aku. Sempat aku mengerling Tengku Ryan Arjuna yang sedang kecewa itu.

“Abang ikut Mawarlah. Pergi balik. Abang mahu berbicara dengan Ryan dulu.” Ujarnya. Aku baru mahu buka mulut tetapi dia sudah memberi isyarat untuk aku pergi dari sini. Aku turutkan sahaja kata abang Nadim.

“Nadim, kau tahukah adik kau hendak batalkan perkahwinan kami?”

Langkahku mati. Cepat-cepat aku bersembunyi di sebalik pokok besar.

“Mengapa Mawar hendak batalkan perkahwinan kamu berdua pula?” Tanya abang Nadim.

“Dia sudah tahu, Nadim. Dia tahu diri dia sedang berisi sekarang.”

“Hah?!” Abang Nadim berpaling ke belakang. Lagi tepat ke arah tempat yang aku lalu tadi. Nasib baiklah dia tidak nampak aku yang sedang bersembunyi ini.

“Jadi, pasal Tengku Rayyan Rehan...”

“Dia tahu. Aku yakin dia sudah tahu semuanya.” Pintasnya.

Aku yang mendengar perbualan mereka di sebalik pokok ini terus melangkah pergi. Lebih baik aku pulang, rehatkan diri. Pening kepala datang lagi.


KOTAK besar yang dikatakan oleh Seri Mawar itu aku cari di dalam almari pakaian. Rupanya, kotak itu ditutup dengan kain batik dan ditindih dengan pakaian-pakaiannya di atas kotak itu. Sebab itulah aku tidak perasan. Aku mengalihkan pakaian-pakaian tersebut dan membawa keluar kotak itu dari situ.

Aku terkedu melihat isi di dalam kotak terebut. Hadiah-hadiah yang disebut dalam diari Seri Mawar itu semuanya ada di sini. Banyak sungguh pemberian Tengku Rayyan Rehan kepadanya. Selendang berwarna biru, gelang tangan dan bermacam-macam lagi hadiah yang ada di dalam kotak ini. Sedang aku ralit memerhatikan setiap hadiah tersebut, mataku tertarik pula untuk membuka kotak yang seperti kotak kasut itu.

Aku terkesima. Tergamam seketika melihat isi di dalam kotak tersebut. Dalam kotak ini penuh dengan kelopak bunga mawar yang sudah kering. Tangkai-tangkai bunga mawar masih tersusun kemas di tepi kotak tersebut. Aku tidak sangka pula Seri Mawar ini begini orangnya. Bunga mawar yang sudah kering dan sudah tidak berbau harum ini pun masih lagi disimpannya.

“Mawar,”

Aku tersentak. Laju tanganku menutup semula kotak-kotak tersebut dan menyimpannya di bawah katil.

“Apa itu?”

“Err... Kotak. Kotak kosong saja.” Tipuku. Dia angkat kening.

“Kosong? Sungguhpun Naura bukannya Mawar, tetapi, perangai kamu berdua tak banyak berbeza pun.” Dia tersenyum sungging. Nasib baik pintu bilik tertutup. Suka hati sahaja abang Nadim ini memanggil nama aku. Macam mana kalau umi Intan dan walid Adi dengar?

“Bagi abang kotak tu. Abang nak tengok.”

“Eh, mana boleh.” Aku menarik semula kotak yang berjaya diambil olehnya.

“Naura, jangan degil.” Abang Nadim menarik kuat kotak besar dari pegangan aku. Dia meletakkan kotak itu di meja sudut katil dan membuka penutupnya.

“Apa semua ini Naura? Benda-benda ini semua siapa yang beri?”

“Itu bukan Naura yang punya. Semua benda-benda yang ada di dalam kotak besar itu Seri Mawar yang punya.” Aku memberitahunya.

“Siapa yang bagi? Atau... ini semua dari lelaki tidak guna itu.”

Aku berdiri dan menghampirinya. “Bukan Mail yang beri semua ini. Benda-benda ini semua hadiah pemberian daripada teman abang sendiri.”

“Teman? Kawan abang? Siapa?”

“Tengku Rayyan Rehan.”

“Rayyan?! Bi... bila masa pula dia bagi semua benda-benda ni?” Abang Nadim sudah tidak senang duduk. Wajahnya merah menahan marah.

“Sejak abang bawa Seri Mawar ke Kota Puspaloka. Masa tu abang cari benih buah-buahan.”

Dia diam sejenak, cuba untuk mengingat memori itu.

“Hadiah-hadiah ni... Mawar... Dia...”

“Sebenarnya, abang Nadim... masa tu...” Aku buka cerita. Diari Seri Mawar yang aku letak di atas meja solek aku ambil dan berikan kepada abang Nadim. Sambil dia membaca diari tersebut sambil aku bercerita. Aku ceritakan semula apa yang ada di dalam diari itu dan tidak lupa juga aku beritahu abang Nadim tentang isi di dalam diari milik Tengku Rayyan Rehan. Biarlah dia tahu segala-galanya. Ringanlah sikit masalah aku ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience