BAB 42

Fantasy Completed 18480

SERI MAWAR seorang yang cantik di dalam dan luar namun bukan seorang yang mudah mesra dengan kaum yang bernama lelaki. Di kampungnya, hampir semua teruna mahu memikatnya namun tiada satu pun yang berkenan di hati. Dirinya itu samalah seperti bunga mawar yang cantik, berbau harum dan berduri. Tapi, sayang sekali duri yang ada pada dirinya itu tidak bertahan dan telah menyebabkan dia jadi begini.

Tentang keluarga dan kehidupan seharian dia juga ada tertulis di dalam diari ini. Tentang empat orang pengacau itu juga ada diceritakan di dalam diari ini. Apabila mereka datang ke kedai makan Pak Ajis itu, pasti mereka akan mengusiknya. Lagi-lagi bila mereka tahu yang Seri Mawar ini pandai berpantun. Pasti ada sahaja pantun yang diberikan oleh empat orang pengacau itu. Mahu atau tidak Seri Mawar kena melayannya juga. Takut dia diapa-apakan pula oleh mereka itu. Tetapi, bukan itu yang aku mahu tahu. Aku menyelak dan terus menyelak lagi helaian kertas tersebut.

Helaian kertas seterusnya tertulis tentang pertemuan pertama kali Seri Mawar dengan kekasih hatinya, Esmail atau mesra dikenali dengan nama Mail. Ya, hal inilah yang aku mahu tahu.

Mereka berdua ditemukan oleh temannya sendiri iaitu Melati. Seri Mawar tahu hubungan Melati dengan Mail ketika itu hanya sebagai teman rapat yang sudah kenal sejak dari kecil dan mereka juga duduk berjiran.

Hatinya berbunga setiap kali bersua muka dengan Mail. Seri Mawar mengaku sendiri, lelaki itu adalah lelaki pertama yang telah membuka hatinya. Tambahan lagi Melati selalu sahaja mengenakan dia dengannya. Sedari itu, dirinya sudah mula menanam benih cinta buat lelaki itu. Mahu saja dia meluahkan rasa cintanya pada Mail tetapi dia tidak berani.

Pada masa yang sama, hubungannya dengan Tengku Ryan Arjuna amatlah tegang. Setiap hujung minggu lelaki itu akan bertandang ke rumahnya untuk berjumpa dengan abang Nadim.

Di dalam diari ini, Seri Mawar mengatakan yang dia tidak suka dengan Tengku Ryan Arjuna kerana lelaki itu selalu sahaja mencari pasal dengannya lagi-lagi apabila keluarga lelaki itu datang melawat keluarganya. Lagi teruk dia dikenakan oleh lelaki itu.

Berbalik kepada ceritanya dengan Mail, hubungan mereka semakin lama semakin rapat. Sehinggalah suatu hari, Mail mengajaknya keluar ke pekan Indera. Seharian Mail membawa Seri Mawar berjalan dan perhentian akhir mereka adalah di Taman Indera.

Petang yang indah dengan tiupan bayu lembut itu menambahkan lagi suasana romantik di antara mereka berdua. Tatkala itu jugalah Mail meluahkan rasa hatinya pada Seri Mawar.

Aku tersenyum sendiri apabila membaca diari Seri Mawar yang seterusnya. Banyak juga kejutan dan kenangan-kenangan manis yang Mail berikan kepada Seri Mawar. Salah satunya ketika Mail menangkap kelip-kelip dan kemudian memasukkannya ke dalam botol-botol kaca yang bersaiz kecil.

Malam itu Mail telah membuat kejutan dengan membawa Seri Mawar ke taman Indera. Seri Mawar terkesima dan terharu apabila melihat kejutan tersebut. Botol-botol yang ada kelip-kelip di dalamnya di susun menjadi simbol cinta. Mail membawa Seri Mawar ke tengah simbol cinta itu. Dengan bersaksikan cahaya dari rembulan dan juga kelip-kelip itu, Mail sekali lagi mengungkapkan kata-kata cintanya buat Seri Mawar. Lelaki itu juga sudah berjanji akan setia dengannya dan mahu menjadikan Seri Mawar suri hatinya dalam masa yang terdekat.

Namun, semua itu telah menghampakan Seri Mawar. Hancur hatinya apabila melihat kemesraan kekasih hatinya dengan teman baik sendiri. Dia tidak menyangka Melati akan menikamnya dari belakang. Bukan sekali dia ternampak Melati bersama dengan kekasih hatinya itu, tetapi, sudah banyak kali.

Pada awalnya dia hanya bersangka baik dengan mereka berdua. Tetapi, tingkah laku mereka itu semakin lama semakin mencurigakan hatinya. Sehinggalah dia mengekori mereka masuk ke dalam hutan untuk mencari kepastian.

Seri Mawar menangis dan teramat marah. Sakit hatinya apabila melihat adegan yang tidak sepatutnya itu. Berhari-hari jugalah dia mengurungkan diri di dalam bilik. Apabila keluarganya bertanya, dia hanya mendiamkan diri saja. Apa yang terjadi ketika itu tidak dia ceritakan kepada Suri. Cukuplah hanya dia seorang sahaja yang tahu.

“Suri sebenarnya sudah tahu perangai buruk Melati itu walaupun Seri Mawar merahsiakannya.” Aku melepaskan nafas berat.

Dia mahu melupakan kejadian tersebut namun tidak dapat. Kemesraan kedua-dua manusia itu asyik bermain di mindanya. Dia cuba berlagak tenang apabila Melati ada di depan mata. Dia cuba buat tidak tahu dengan perkara itu apabila bertemu dengan kekasihnya. Tapi, dia gagal. Perasaan amarah semakin membuak-buak.

Dia membuat keputusan untuk memutuskan sahaja hubungannya dengan mereka berdua itu tetapi hati kecil masih lagi menyimpan perasaan sayang terhada dua manusia itu. Sayangnya pada Melati kerana gadis itu satu-satunya teman baiknya dan Mail pula cinta matinya.

Perasaan yang bercampur baur itu hanya di pendam di benak kalbunya. Rasa sakit yang amat perit sudah semestinya dirasai olehnya. Dia cuba untuk membuang rasa cinta pada Mail tapi dia tidak boleh. Mail adalah satu-satunya lelaki yang buat dia rasa bahagia walaupun hatinya sudah luka dengan kejadian tersebut.

Setahun lebih dia terseksa dengan perasaannya sendiri. Dia pernah menyuarakan rasa hatinya pada Mail tentang hubungan mereka itu. Hampir sahaja dia mahu memutuskan hubungan kekasih itu namun, luahan itu tidak sempat diluahkan kerana Mail sendiri mengaku salah kepadanya. Lelaki itu mengaku curang kepada Seri Mawar. Tetapi dia tidak pula beritahu dengan siapa dia curang ketika itu.

Selepas mendengar penyesalan daripada Mail, hati Seri Mawar kembali tenang. Walaupun, Mail tidak sepenuhnya jujur kepadanya tetapi dia tetap gembira kerana Mail masih mencintainya. Lelaki itu berjanji kepadanya untuk memperisterikannya secepat yang mungkin.

Beberapa bulan berlalu dan lelaki itu masih lagi tidak menunaikan janjinya. Apa yang membuatkan hatinya bertambah panas apabila dirinya sekali lagi dicurangi oleh lelaki itu. Seri Mawar tidak sampai hati untuk memutuskan hubungan yang sudah terjalin lama itu. Jadi, dia mengambil keputusan untuk keluar dari Kota Indera Aurora mengikut abangnya ke Kota Puspaloka.

Tujuan abang Nadim ke Kota Puspaloka adalah untuk mencari benih buah-buahan untuk di tanam di kebun walid Adi. Kebetulan di sana, abang Nadim mempunyai kawan dan kawannya itulah yang membawanya melawat seluruh kota tersebut.

Sepanjang keberadaan Seri Mawar di Kota Puspaloka, kawan abang Nadim itu telah mengembalikan keceriaannya semula. Siapa lagi kalau bukan Tengku Rayyan Rehan, sepupu kepada Tengku Ryan Arjuna.

Dalam diari ini, Seri Mawar mengatakan yang Tengku Rayyan Rehan ini adalah orang yang baik dan mesra. Lebih baik daripada sepupunya, Tengku Ryan Arjuna itu. Ada sahaja hadiah yang diberikan oleh Tengku Rayyan Rehan kepadanya. Semua hadiah itu dia telah simpan di dalam kotak besar yang diletakkan di dalam almari pakaiannya.

“Kotak besar dalam almari?” Aku tidak perasan pula kotak besar tu.

Aku berdiri dan mengubah tempat posisi duduk. Dari katil aku ke kerusi rotan itu pula. Cuaca di luar agak mendung. Tapi, tidak apalah. Aku selamat duduk di dalam rumah kecil ini. Tiada siapa yang tahu aku berada di sini. Aku meneruskan pembacaan yang tergendala sebentar tadi.

Dua minggu lebih juga mereka berada di Kota Puspaloka itu. Padahal, sebelumnya itu abang Nadim sudah mengatakan kepadanya hanya empat hari sahaja mereka di situ. Bukan kemahuan abang Nadim untuk berlama-lama di kota itu tetapi atas permintaan keluarga Tengku Rayyan Rehan, terpaksalah mereka menangguhkan perjalanan pulang ke Kota Indera Aurora ini.

Sedikit sebanyak jugalah Seri Mawar ceritakan tentang dirinya kepada Tengku Rayyan Rehan. Begitu juga dengan lelaki itu. Sepanjang perkenalan mereka berdua Seri Mawar ada juga membandingkan Tengku Rayyan Rehan dengan Tengku Ryan Arjuna itu.

Apabila dia bersama dengan Tengku Rayyan Rehan, dia berasa tenang dan lelaki itu menjaganya dengan baik. Berbanding dengan sikap Tengku Ryan Arjuna yang selalu mencari masalah dengannya. Lelaki itu tidak pernah menegurnya dengan cara yang baik. Hanya kata-kata kesat sahaja yang keluar daripada mulut lelaki itu. Jika dibandingkan Tengku Ryan Arjuna dengan kekasih hatinya, dia lagi suka dengan sikap Mail walaupun cinta hatinya itu tidak jujur kepadanya.

Aku melepaskan keluhan kecil. “Apa yang Seri Mawar ceritakan itu betul tetapi itu dulu. Sekarang Tengku Ryan Arjuna sudah berubah. Aku membuang pandang ke luar tingkap. Hujan mula membasahi Kota Indera Aurora.

Tengku Ryan Arjuna sekarang ini sukakan aku. Tapi, aku bukanlah Seri Mawar. Bagaimana aku hendak beritahu dia? Aku tidak mahu dia terima aku sebagai Seri Mawar. Aku tidak mahu menipunya.

Mataku beralih pada diari milik Tengku Rayyan Rehan. Diari Seri Mawar aku tutup dan letak di atas meja kecil itu. Diari Tengku Rayyan Rehan aku ambil dan baca.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience