BAB 47

Fantasy Completed 18494

KELIBAT Aiz Hafizi aku cari. Katanya hendak berjumpa dengan aku di sini. Tubuhku terasa penat. Pokok rendang menjadi tempat aku berteduh.

Aku memetik sekuntum bunga yang tidak jauh daripada tempat dudukku, kemudian mencabut satu-persatu kelopak bunga itu.

“Tengku Ryan Arjuna,”

“Tengku Rayyan Rehan,”

“Tengku Ryan Arjuna,”

“Tengku Ray...”

“Kahwin sajalah dengan Tengku Rayyan Rehan tu.”

Aku terkejut dan berpaling. Dia tersenyum kepadaku.

“Ish, kau ni, kan!” Aku terus membuang bunga itu jauh dariku. Sayang sekali kerana masih ada beberpa kelopak bunga yang tinggal. Ah, keputusan yang tergantung begitu sahaja. Aku menjuih bibir.

Dia ketawa.

“Nah,” dia memberikan aku sekotak susu segar dan juga sebakul buah-buahan yang pelbagai jenis.

“Untuk apa semua ini?”

“Untuk bayi dalam perut itulah.” Katanya dengan senyuman yang terukir di wajah. Aku mencebik, langsung tidak terkejut dengan bicaranya. Susu segar aku ambil dari tangannya. Buah-buahan itu pula aku suruh dia letak di atas rumput itu sahaja.

“Maaflah, aku bukan tak nak tolong kau. Tapi, aku memang tak boleh beritahu masa depan kau mahupun orang lain.”

“Ya, aku faham. Aku tak salahkan kau pun.” Aku meneguk minuman tersebut. Tidak lama selepas itu aku mengeluh.

“Aiz, apa yang harus aku buat sekarang ni?”

“Buat apa?”

Aku memukul kepalanya. Buat-buat tidak tahu pula lelaki ini.

Aiz Hafizi mentertawakan aku. Dengan sekelip mata dia lenyap dan muncul duduk di atas dahan pokok tempat aku berteduh.

“Kau ni, Naura. Kalau bukan kepala yang kau pukul, lengan ni yang kau cubit.” Adunya. Aku tersengih.

“Bukan kau tak suka sentuh lelaki ke?”

Aku menjeling tajam. “Aku bukan sengajalah. Kau turunlah sini.”

“Tak nak. Biar aku duduk dekat atas ni saja. Kau habiskan susu tu. Lepas tu makan buah-buahan tu. Makanan berkhasiat baik untuk kesihatan bayi kau.”

“Ish, ini bukan bayi akulah.”

“Aku tahu. Tapi, kau sekarang dalam tubuh Seri Mawar. Automatik bayi itu bayi kau juga.”

Aku mendengus. Aku mengambil buah epal yang ada di dalam bakul itu. Aku gigit dengan kasar, melepaskan geram pada buah tersebut.

“Aku saja suruh kau ke sini. Aku bosan. Tak ada kawan nak berbual.” Dia tersengih.

“Aku nak tanya kau. Kau ada ke masa kejadian kelmarin? Masa aku kena culik dengan orang-orang si Taji dengan bekas kekasih si Seri Mawar itu?”

“Ada.”

Bulat mata aku mendengar jawapannya. “Kau nampak tapi kau tak bantu aku pun.”

“Aku tak bantu sebab aku tahu si Tengku Rayyan itu akan datang selamatkan kau.” Ujarnya.

“Habis semua orang dia pengsankan. Panik juga aku tengok dia bawa kau ke rumah nenek tabib tu.” Sambungnya lagi.

“Aku sedar dia tak ada pun dekat sana. Sebaliknya, si Tengku Ryan pula yang muncul di situ. Kau tau Tengku Rayyan pergi mana?”

“Aku rasa kau dah tahu jawapannya.”

“Jawapan?” Aku berfikir sejenak.

“Dia dah terangkan pun dengan kau masa korang berdua di pulau tu.”

Mataku terbuka luas. “Jadi, apa yang dia cakap tu betullah? Dia pulang ke rumah dan jelaskan kepada keluarganya tentang semua yang berlaku di antara dia dengan aku?”

“Ya. Bila dia balik ke rumah nenek tabib tu, kau dah tak ada dekat situ.”

Aku mengelamun jauh, memikirkan masa depan aku. Tengku Rayyan Rehan nampaknya begitu serius mahu menjadikan aku suri hatinya.

Aku melunjurkan kaki ke depan sambil menarik nafas panjang. Susah betul orang yang banyak masalah ini. Macam akulah. Tak pasal-pasal aku yang kena selesaikan semua masalah si Seri Mawar ini.

Haih...

Jangan pula nanti empunya badan ini menyesal dengan apa yang aku lakukan sekarang. Dia juga yang buat hajat macam itu. Aku mencebik.

“Aiz, kau tahu tak orang-orang kampung sedang mengata aku sekarang ini?”

“Tahu. Itu semua kerja empat orang yang suka mengusik kau dan juga si Mail. Mereka buat begitu untuk balas dendam. Mereka marah, kalah dengan Tengku Rayyan Rehan. Sebagai balasannya, kau yang kena. Mereka buat onar buruk dekat kau.”

Aku menggeram. Aku tidak sangka si Mail itu begitu orangnya. Kalau sebelum ini baik dengan aku, tapi sekarang bukan main lagi dia jahat.

“Naura, lepas ini kau kena hati-hatilah. Keadaan kau sekarang bukan seperti sebelum ini lagi. Kau kena peka dengan keadaan sekeliling kau. Kalau ada apa-apa yang kau rasa pelik, kau terus bagitahu Nadim ataupun Suri. Lagipun hanya mereka berdua saja yang tahu hal sebenar, kan.” Dia menasihati aku.

“Pasal perkahwinan kau pula...”

Laju aku mendongak ke atas memandangnya. Dia tersenyum.

“Aku tahu kau mesti akan tanya pendapat aku, kan?” Dia melompat turun dari dahan pokok itu. Kini, dia berdiri di depan aku sambil berpeluk tubuh. Aku pula masih dalam posisi duduk.

“Kau batalkan saja perkahwinan kau dengan Tengku Ryan Arjuna. Cinta atau tidak kau kena juga kahwin dengan Tengku Rayyan Rehan. Ingat misi kita, Naura. Batu fatamorgana Aurora itu ada dengan Tengku Rayyan Rehan.”

Aku menepuk dahi. Aku sudah lupa tentang itu.

“Tapi...”

“Naura, aku tahu kau suka dengan Tengku Ryan Arjuna tu...”

“Mana ada! Aku tak suka dialah.” Laju aku memangkah seiring dengan dengusan kasar.

“Eleh, aku tahulah. Kau tak payahlah sembunyikan perasaan kau tu. Kalau kau tak suka kenapa kau masih pakai hadiah pemberian dia tu?”

“Huh?” Aku mengerutkan dahi. Hadiah apa?

Secara spontan tanganku menyentuh rantai yang terkalung di leher. Rantai ini belum pernah lagi aku tanggalkannya. Walhal, aku bukan suka sangat pun pakai rantai begini. Mungkin, ini adalah pemberian yang pertama aku terima daripada lelaki. Sebab itu aku menghargainya sangat. Yeke?

“Mengaku sajalah yang kau memang ada hati dekat si Ryan tu.”

Aku menjelingnya.

“Okey. Tak apa. Aku akan tunggu kau dekat sini lusa nanti. Aku bagi kau masa untuk berfikir tentang hati dan perasaan kau itu. Jangan lupa fikir pasal perasaan Seri Mawar juga. Perasaan dia lagi penting daripada perasaan kau, Naura.”

“Tapi...”

“Dah. Tak payah buka mulut lagi. Tu, hah.” Dia menyuruh aku berpaling ke sebelah tepi. Kelihatan dua manusia yang aku kenal sedang menghampiri kami.

“Korang berdua tolonglah jaga dia ni, ya. Naura ni lagi degil daripada Seri Mawar.” Pesannya sebaik sahaja mereka berdua berhenti di depan kami.

Aku merengus, tidak puas hati. Ikut suka hati dia saja nak kritik aku.

Abang Nadim mengulum senyuman kecil. “Tahulah aku nak jaga dia ni. Kau tak usahlah risau.”

Aiz Hafizi tersenyum lega.

“Kau macam mana pula? Baik-baik saja? Kau tinggal dekat mana sekarang ni?” Bertubi-tubi soalan yang diajukan oleh abang Nadim kepada Aiz hafizi.

“Buat masa ni aku baik-baik saja. Kalau ada apa-apa nanti aku akan cari korang juga.” Dia ketawa kecil.

“Hari dah nak senja ni. Baik korang pulang dulu. Nanti, saja kita jumpa lagi.”

“Baiklah. Kau pun hati-hatilah.” Pesan abang Nadim. Aiz Hafizi angguk kepala sebelum menghilangkan diri.

“Wah, abang Radin hilang begitu saja. Hebat!” Kagum seketika Suri dengan kelebihan yang ada pada Aiz Hafizi itu.

“Sudahlah, mari kita pulang. Nanti marah umi bertambah lagi kalau kita pulang lewat.” Kata abang Nadim sambil membantu aku bangun. Suri pula mengambil bakul buah-buahan itu dan kami bertiga beriringan pulang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience