BAB 67

Fantasy Completed 18480

“DIMANAKAH kita sekarang ini, Tengku Ryan?” Tanyaku sambil membetulkan pernafasanku.

“Ini tempat persembunyian yang tidak ada sesiapa pun tahu. Kanda sudah lama membuat rumah ini. Bila saja kanda ke kota ini kanda pasti akan ke sini.” Beritahunya.

Rumah batu ini serba lengkap di dalamnya. Apa yang membuatkan aku tertarik lagi apabila Tengku Ryan Arjuna membuat kolam kecil di dalam rumah ini. Dia menyambungkan saluran air dari sungai belakang rumah ini masuk ke dalam kolam ikan tersebut dan kemudian mengalir keluar ke sungai itu semula.

“Dinda minumlah air ini.” Dia memberikan aku segelas air kosong. Aku meneguk dengan rakus sekali.

“Dinda selamat untuk masa ini. Apa-apa nanti orang-orang kanda akan khabarkan berita tentang mereka.”

Laju aku menolehnya. Dia mengambil gelas kosong dari tangan aku dan kemudian menuju ke dapur. Ada sesuatu yang bermain di fikiran aku sekarang ini.

“Tengku Ryan,” panggilku sebaik sahaja dia keluar daripada dapur.

“Mengapa Tengku Ryan tolong Seri tadi?”

“Dinda tidak perlulah berpura-pura dengan kanda lagi. Kanda sudah tahu segala-galanya.”

Aku melopong. “Tahu apa?” Aku rasa gementar.

“Tidak sangka nama yang kanda suka itu adalah nama adinda sendiri. Naura. Naura Athifa.” Dia mendekati aku dengan senyuman yang aku sendiri tidak mengerti.

“Radin sudah memberitahu kakanda tentang semuanya. Siapa adinda yang sebenarnya dan begitu juga dengan diri Radin itu.”

Aku tidak tahu hendak kata apa ketika ini. Rahsia yang selama ini aku simpan sudah diketahui olehnya. Aku tertunduk menahan perasaan yang aku sendiri tidak mengerti saat ini.

“Tengku Ryan... saya...” Aku tidak tahu hendak mula dari mana. Walaupun Aiz Hafizi sudah menerangkannya tapi aku masih mahu bicarakan tentang hal itu. Tentang diri aku. Tentang cinta aku padanya.

“Tengku Ryan Arjuna, saya minta maaf kalau saya sudah membohongi tengku.”

Lama dia memdiamkan diri. Dia berpaling dan menuju ke arah tingkap yang terbuka. Cuaca di luar sudah bertukar suram. Hujan lebat tiada henti. Bersabung kilat dan panahan petir.

“Tidak usahlah dinda minta maaf dari kanda.” Dia mendekati aku dan duduk di sebelah aku. Daguku di angkat supaya memandangnya.

Sungguh aku terasa sayu melihat keadaannya. Dulunya berisi sekarang tubuhnya sudah susut. Wajahnya tumbuh jambang.

“Dulu, kanda pelik juga dengan adinda yang tiba-tiba saja bertukar perangai. Selalunya kita bergaduh bila berjumpa tetapi saat kanda mengenali diri adinda ini kanda jadi suka. Kanda sendiri tidak tahu bila cinta itu datang.”

“Tengku Ryan tahukan saya bukan dari sini? Tengku Ryan tidak sepatutnya jatuh cinta dengan saya.” Aku mengingatkannya semula.

“Ya. Tapi, sudah terlambat untuk dinda berkata begitu.” Dia tersenyum memandangku.

Aku terpaku seketika dengan pandangan tersebut. Wajah kami semakin mendekat namun terhenti apabila ada ketukan dari pintu utama.

“Tengku Ryan.” Aku diserbu dengan ketakutan. Suara-suara garau di luar sana membuatkan aku rasa gerun.

“Dinda bersembunyi di dalam almari itu.” Arahnya. Aku menurut kata.

Sebaik sahaja aku bersembunyi Tengku Ryan Arjuna terus membuka pintu. Kelihatan beberapa orang lelaki yang berpakaian jubah dengan kepala yang ditutupi hud itu berkumpul di depan Tengku Ryan Arjuna. Suasana gelap dengan hujan yang lebat itu menambahkan lagi rasa gerun aku saat ini.

“Kamu ada nampak perempuan lalu di sinikah?” Tegas lelaki itu bertanya.

“Perempuan? Rasanya, tidak ada. Lagipun hanya bunyi petir dan hujan saja yang kedengaran. Kelibat-kelibat manusia yang lalu di sini langsung tidak kelihatan.” Balas Tengku Ryan Arjuna dengan tenang.

“Sememangnya ada apa saudara sekalian mencari perempuan tengah hujan lebat begini?” Tanyanya pula.

“Kami diperintahkan untuk mencari seorang perempuan yang telah melarikan diri di kota ini.”

“Siapakah yang memerintah kamu semua untuk mencari perempuan itu?”

“Saudara tidak perlulah tahu pasal itu. Kami minta diri dulu.” Ujar lelaki itu dan kemudian membawa teman-temannya pergi dari situ.

Tengku Ryan Arjuna menutup dan menguci pintu. Langsir dan tingkap-tingkap juga di tutup rapat dan dikunci.

Aku menarik nafas lega. Perlahan-lahan aku melangkah keluar daripada almari, tempat persembunyian aku tadi. Aku duduk di bangku panjang sambil mengusap perut aku yang tiba-tiba terasa sakit.

“Mengapa dinda?” Laju Tengku Ryan Arjuna menerpa ke arah aku.

“Sakit. Perut saya sakit.” Beritahuku.

“Tengku Ryan, saya mahu rehat.”

“Mari kanda bawa adinda ke katil.” Tanpa menunggu balasan daripada aku, dia terus mencempung tubuhku dan meletakkan aku di atas katil. Selimut di tarik sehingga ke paras dada.

“Dinda boleh tahankah dengan sakit itu?” Tanyanya prihatin. Aku angguk perlahan sebelum menutup mata.

SEBAIK sahaja aku tersedar, aku dikejutkan dengan kedatangan tiga orang kesayanganku. Aku bangkit perlahan dibantu oleh Suri. Terharu aku apabila melihat mereka semua di depan mata.

“Bila lagi kamu semua ada di sini?” Tanyaku. Satu-persatu wajah itu aku lihat.

“Sewaktu kakak Mawar tidur lagi kami sudah ada di sini. Tengku Ryanlah yang bawa kami jumpa kakak Mawar. Dia tinggalkan kakak sekejap dan memanggil kami bertiga datang ke sini.” Beritahu Suri. Aku terharu. Laju aku memeluk tubuh genit Suri ini.

“Naura, situasi kita dalam bahaya sekarang ini. Semakin ramai orang-orang Agis berkeliaran mencari kita di luar sana.”

Aku memandang Aiz Hafizi. Aku tahu situasi kami dalam bahaya sekarang. Aku tidak mahu mati di dalam tangan mereka.

“Habis, apa yang perlu kita buat sekarang ini?”

“Naura tidak usah risau. Biar kami bertiga fikir untuk rancangan seterusnya.” Ujar abang Nadim.

Aku terus diam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience