BAB 70

Fantasy Completed 18494

LEBIH SEMINGGU aku di kurung di dalam rumah ini. Mahu melarikan diri tetapi tidak boleh kerana semua tingkap di pasang dengan jerjak. Imah yang selalu datang memberi makan dan juga keperluan aku pun tidak dapat menolong aku keluar dari sini kerana dia juga di kawal oleh orang-orang Tengku Rayyan Rehan.

“Imah, tolonglah saya. Tolong pujuk Tengku Rayyan supaya lepaskan saya dari kurungan ini. Setidaknya pun bagilah saya benda tajam yang boleh potong besi-besi di tingkap itu.” Aku merayu, memujuk orang gajiku.

“Maafkan saya cik puan. Saya sudah cuba memujuk suami cik puan tetapi dia langsung tidak memberi sebarang reaksi. Malah saya dimarahi teruk olehnya.”

“Imah, lekaslah!” Jerit Adin di luar. Dia salah seorang pengawal Tengku Rayyan Rehan.

“Baik!” Balasnya.

“Cik puan, saya kena keluar dulu.”

“Imah...”

“Maafkan saya, cik puan. Saya kena pergi sekarang juga.” Dia melepaskan tangan aku dan terus keluar daripada rumah batu ini. Dari dalam aku dengar Adin mengunci pintu itu.

“Aku nak pulang!” Tangisan yang aku tahan tidak dapat bertahan lama. Aku menangis di birai katil.

SUASANA malam itu agak sunyi. Apa agaknya Tengku Rayyan Rehan buat di rumah itu? Sudah dua hari dia tidak menjenguk aku. Masih marahkah dia dengan aku?

Pada hari itu, dia naik angin kerana aku asyik membangkitkan hal abang Nadim dengan yang lain. Tengku Rayyan Rehan yang aku kenal sebelum ini bukan begitu orangnya. Sejak semuanya terbongkar perangainya sudah berubah. Berulang kali dia memberitahu aku yang dia tidak mahu aku pulang ke dunia asal aku. Cintanya bukan lagi pada Seri Mawar tetapi Naura Athifa. Aku!

“Abang Nadim tak cari aku ke? Macam mana dengan Suri dan juga Aiz Hafizi? Tengku Ryan Arjuna?” Disebabkan rancangan gagal, aku sampai ke hari ini asyik berfikir tentang mereka berempat. Apa yang mereka sedang rancangkan sekarang? Mereka tidak tahukah yang aku di kurung di dalam rumah ini?

TIDURKU terjaga apabila muncul cahaya di hadapan aku. Segera aku bangkit dan menggosok mata. Cahaya itu bertukar menjadi seorang manusia yang aku tidak kenal.

“Kau siapa?!” Tanyaku dalam ketakutan.

Dia tidak menjawab soalanku. Malah mendekatiku. Dia duduk di birai katil dengan wajah yang ketat.

“Naura Athifa.”

Aku tergamam. Bagaimana dia kenal aku?

“Siapa kau, hah?! Apa yang kau mahu dari aku?” Aku menarik selimut itu sehingga menutupi seluruh anggota tubuhku kecuali wajah dan tangan.

“Aku datang hendak menolong kau. Kalau kau mahu kembali ke dunia asal kau, kau kena ikut rancangan aku.”

Aku diam. “Tidak. Aku tidak akan terpedaya dengan kau. Kau penipu!”

“Buat apa aku hendak perdayakan kau, Naura. Aku ke sini memang mahu membantu kau kembali ke sana. Aku tdak mahu kau terseksa di sini. Cukuplah aku kehilangan Radin dan sekarang aku tidak mahu ada yang bersedih dengan kehilangan Seri Mawar pula.”

Wajahku berkerut. Dia tahu semua. “Kau... Kau beritahu dulu aku siapa kau?” Ini kali ketiga aku bertanyakan soalan yang sama kepadanya.

“Maji. Akulah yang akan menolong kau dengan yang lain.”

Maji? Nama itu pernah di sebut oleh Aiz Hafizi. Tapi, tadi dia ada cakap yang dia kehilangan Radin. Jadi...

Aku pandang dia dengan wajah tanda tanya.

“Radin sudah mati. Aiz hafizi sudah kembali ke tempat asalnya.”

“Hah?!” Dadaku berombak. Perutku mula terasa sakit.

“Macam mana...?”

“Ini semua angkara suami kamu. Dia mengurung kamu di sini dan menjalankan rancangannya. Dia memberitahu orang-orang Agis tentang Radin dan mereka berjaya menangkap dan membunuhnya. Aku tidak sangka pula akan jadi seperti ini. Padahal, ramalan masa depan yang aku lihat bukannya seperti ini.”

“Tidak mungkin! Aku tidak percaya Tengku Rayyan Rehan sanggup berbuat begitu.”

“Kerana cinta dia sanggup buat apa saja Naura. Batu fatamorgana Aurora yang ada bersama dia itu sudah diberkan semula kepada orang-orang Agis. Dia tidak mahu kau bertukar dengan Seri Mawar.”

Aku tercengang.

“Tengku Rayyan Rehan...” Aku mengetap bibir. Sanggup dia buat aku macam ini.

“Apa-apa pun kau kena tinggalkan tempat dunia ini. Kau tidak boleh tinggal di sini. Biarpun orang lain suka kau berada di sini tetapi tidak untuk orang-orang Agis. Mereka tidak suka jika ada sesuatu yang baru tinggal di dunia Lokamaya ini.”

“Bagaimana aku hendak pulang ke sana kalau batu itu sudah diberikan kepada orang-orang Agis?” Aku risau. Bukan setakat Seri Mawar sahaja yang akan mati nanti. Anak dalam kandungannya ini juga akan mati bersama dia.

“Itu kau tidak payah risau. Batu milik Radin sudah ada di tangan aku. Sekarang ini kita perlu keluar dari sini.”

“Kau tidak boleh bawa aku pergikah?”

“Aku tidak boleh bawa kau keluar dari kawasan ini kerana suami kau telah memasang pelindung yang kau sendiri tidak akan lepas.”

“Maksud kau apa?”

“Pelindung jiwa. Suami kau dapat benda itu daripada Kota Shir.”

“Hah?! Jadi bagaimana aku hendak keluar dari sini?” Aku semakin takut.

“Jangan takut, Naura. Aku dengan yang lain akan bantu kau. Kau kena sabar.”

Kepala aku bagai nak pecah.

“Aku kena pergi sekarang. Kita jumpa malam lusa nanti. Kau kena bersiap sedia. Tengku Ryan Arjuna akan sediakan kuda untuk kau nanti.”

“Tapi, kita hendak ke mana nanti?”

“Tempat yang mula-mula kau sedar dulu.” Beritahunya dan kemudian lesap begitu sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience