BAB 3

Fantasy Completed 18480

AKU tidak tahu apakah situasi itu sehinggakan aku dengan perempuan itu bergaduh besar. Aku lihat ada dua orang perempuan berdiri di belakang perempuan yang sedang bertengkar dengan aku. Aku mahu menjelaskan kepada perempuan itu tentang hal yang sudah di salah anggap olehnya tapi dia langsung tidak mahu memberi aku kesempatan untuk membuka mulut. Dia terus menerus memaki hamun aku di depan dua orang perempuan yang berdiri di belakangnya.

Aku menangis. Aku mahu membetulkan keadaan. Tapi, hal sebaliknya pula yang berlaku. Saat itu juga kepala aku dipukul dengan benda berat. Darah mengalir keluar dari kepala aku dan aku terus pengsan.

“Nurul Aqila!” Jerit aku. Terus aku bangkit dari pembaringan. Aku meliau mencari sesuatu. Pandangan aku menghala ke arah cermin yang tidak jauh daripada tempat aku.

Ya, itu memang wajah aku. Tapi, wajah ini masih kelihatan muda. Aku melihat dan meraba-raba pakaian yang aku pakai. Masih tidak berubah. Tidak mungkinlah! Aku masih lagi berada di tempat Indera Aurora.

“Seri Mawar! Seri! Seri sudah sedar, sayang. Ini umi. Umi Seri ini.”

Aku terkejut tapi tidak pula melarikan diri apabila dia mengusap lembut pipi aku. Wanita yang kelihatan agak berumur sedikit itu cuba untuk menenangkan diri aku ini. Wajahnya jelas mempamerkan riak risau kepada aku.

Aku tidak sangka yang aku dengan Seri Mawar memiliki wajah yang sama. Cuma kami berdua dari dunia yang berbeza dan kemungkinan besar jarak umur antara kami berdua juga jauh. Ah, tidak mungkinlah cerita seperti di dalam drama televisyen itu berlaku pada diri aku pula. Mustahil.

“Apa yang dah terjadi ni?” Tanya aku sambil memerhatikan ruangan sekeliling. Tengok sahaja dinding kayu yang berwarna coklat tua itu aku sudah tahu keberadaan aku sekarang ini. Aku pasti berada di dalam sebuah rumah kayu dan sekarang aku duduk di dalam bilik yang aku sendiri tidak tahu siapa pemiliknya. Semua benda-benda yang ada di dalam bilik ini disusun dengan cantik dan kemas. Hiasan bunga ros berwarna kuning dan juga merah jambu yang segar di atas meja tulis itu menarik perhatian aku. Mesti bilik ini kepunyaan seorang perempuan.

Aku menyentuh kepala yang tiba-tiba terasa berat. Tadi, aku bermimpi pelik. Mimpi itu seolah-olah pernah terjadi sebelum ini. Aku kenal perempuan yang ada dalam mimpi aku itu. Dia ialah Nurul Aqila, bukan teman aku tapi teman kepada kawan baik aku Ardina.

“Saya... Saya...” Aku merebahkan semula tubuh aku. Pening masih lagi terasa. Aku mengharapkan apabila aku tersedar tadi aku sudah berada di tempat asal tetapi harapan aku hampa. Aku masih lagi terkunci di dalam tubuh perempuan ini.

“Saya tak tahu saya kat mana sekarang ni? Apa sebenarnya yang dah terjadi dekat saya ni, hah?” Tanya aku lemah.

Berkerut-kerut wanita itu memandang aku.

“Seri pengsan tadi. Abang Seri yang bawa Seri pulang. Umi risau sungguh dengan Seri, tahu. Seri hilang sejak pagi tadi. Seri larikan diri sebab Seri tidak mahu berkahwin dengan Tengku Ryan Arjuna.” Wanita yang menggelarkan dirinya umi kepada aku itu menjelaskan hal yang telah berlaku sebelum ini.

“Tengku Ryan Arjuna? Siapa dia tu?” Aku memandang wanita itu.

“Tidak mungkinlah Seri tidak kenal dengan lelaki bangsawan itu? Nama Tengku Ryan Arjuna cukup dikenali di Kota Indera Aurora ini. Apatah lagi di kampung ini. Ramai anak dara yang tergila-gilakan dengan Tengku Ryan Arjuna.”

“Hah?!” Giliran aku pula yang mengerutkan dahi. Aku langsung tidak kenal dengan lelaki yang diperkatakan oleh wanita ini. Mungkin Seri Mawar yang...

Aku menekup mulut. Hesy, si Seri Mawar ini! Kalau ya pun bertukar badan bagilah nota pesan untuk aku. Ini tidak. Bangun-bangun sahaja aku pula yang kena hadap masalah dia ini.

“Tengku Ryan Arjuna itu kawan baik abang Seri. Dia anak kepada Tengku Bahaman dan juga Tengku Ayusha. Mereka itu berketurunan bangsawan. keluarga kaya-raya tahu. Keluarga yang punya banyak harta dan tersohor di Kota Indera Aurora ini." Beritahunya.

“Keluarga Tengku Ryan Arjuna itu baik-baik orangnya. Lagipun, umi dengan walid kenal mereka. Umi dengan walid banyak bantu mereka sewaktu kami muda-muda dulu. Sekarang ini, mereka mahu Seri Mawar jadi menantu mereka pula.” Sambung wanita itu lagi.

Aku diam. Tengku? Rugi betullah si Seri Mawar ini tolak tuah kahwin dengan orang bangsawan. Aku mengiring ke sebelah. Tubuhku membelakangi wanita itu.

Kenapa pula lelaki itu mahu kahwin dengan dia? Kenapa Seri Mawar menolak perkahwinan itu pula? Hmmm... Seri Mawar ini mesti ada sebab dia sendiri tidak mahu berkahwin dengan lelaki bangsawan itu. Tiba-tiba tekak aku terasa kering. Aku berpaling memandang wanita itu dengan senyuman kecil.

“Saya nak air. Saya hauslah.”

Wanita itu mengerutkan dahi. Aku tersilap cakapkah?

“Abang! Abang Adi! Nadim! Suri! Mari sini, lekas!” Laungan wanita itu mengejutkan aku. Terus aku bangkit semula dan memandangnya dengan wajah berkerut. Tidak sampai seminit, orang-orang yang dipanggil sudah muncul di muka pintu.

“Mengapa Intan?” Tanya lelaki yang agak sebaya dengan wanita itu. Mungkin suaminya.

“Abang Adi, tengoklah anak kita ini? Sejak dia sedar tadi, semua pertuturan dia sudah jadi pelik. Dia tidak membahaskan dirinya dengan nama.” Luah wanita itu. Wajahnya cemas.

Aku telan liur. Silap aku. Aku tidak perasan langsung dengan tutur bicara mereka. Aku beralih pandang apabila seorang remaja perempuan duduk di sebelah aku. Dia tersenyum memandang aku. Kening aku terangkat sebelah.

“Kakak Mawar, ini Surilah. Kakak tidak ingat dengan Surikah?” Dia buat muka kesian. Aku tidak tahu hendak beri jawapan apa.

“Tengoklah, abang Adi. Dia langsung tidak mahu jawab soalan adik dia sendiri.” Wanita itu mendekati aku semula. Dia menyentuh tangan aku. Kemudian tangannya naik menyentuh pipi dan dahi aku.

“Seri, baik-baik saja, kan? Seri tidak rasa sakitkah di bahagian mana-mana anggota tubuh badan Seri?”

Aku geleng kepala. Aku cuma pening sahaja.

“Umi. Walid. Abang Nadim. Biarkan Suri yang jaga kakak dulu. Suri hendak cakap sesuatu dekat kakak Mawar, bolehkan?”

Mereka bertiga saling berpandangan sebelum memandang semula remaja perempuan yang bernama Suri itu. Suri bangun daripada tempat beradu aku. Dia mendekati mereka bertiga. Wanita itu memandangnya dengan wajah yang serba salah.

“Tapi, Suri...”

“Kalau umi tidak bagi pun, Suri tetap mahu bercakap dengan kakak Mawar.” Tegasnya. Tanpa menunggu balasan daripada mereka bertiga, Suri terus menolak mereka keluar daripada bilik ini.

“Budak ini. Pantang sungguh nampak kakak dia, dia terus mahu melekat.” Perli abang Nadim. Mereka semua turutkan saja kehendak remaja perempuan itu.

Pintu ditutup rapat dan dikunci. Hanya tinggal kami berdua lagi di dalam bilik ini. Aku memandang Suri yang berdiri tidak jauh daripada aku. Remaja perempuan itu memakai baju kurung kain kapas yang berwarna kelabu. Rambutnya hanya di tocang dua dan ada hiasan bunga-bunga kecil di tocang tersebut. Comel dan ayu sahaja wajah dan penampilannya di mata aku.

Suri melangkah seribu. Aku terkesima bila dia berdiri dekat dengan aku. Remaja perempuan itu kemudiannya mendekatkan wajahnya ke wajah aku. Matanya dibesarkan dan langsung tidak berkedip. Aku jadi tidak keruan apabila dia membuat aku seperti begitu.

Lama kami berpandangan. Perbuatannya itu membuatkan aku cuak. Aku mengedipkan mata beberapa kali sambil berdeham. Sedari perbuatan aku itu, dia terus melarikan pandangannya. Dia mengundur ke belakang menjauhkan diri daripada aku seiring dengan renungan tajam yang dia berikan kepada aku. Aku menyentuh dada. Aku rasa tidak sedap hati apabila melihat wajahnya yang tegang.

“Suri cuma mahu ingatkan kakak Mawar saja.” Dia bersuara setelah beberapa minit berdiam.

“Ingatkan kakak tentang apa?” Wajahku berkerut.

“Kakak Mawar sukakan abang Mail bukan dengan kawan abang Nadim itu. Abang Mail dengan kakak Mawar bercinta dan saling mencintai. Hubungan kakak Mawar dengan abang Mail hanya Suri saja yang tahu. Umi, walid dan abang Nadim tidak tahu tentang hal ini.”

Mulutku melopong. Mail. Lelaki itulah yang tegur kami sebelum aku jatuh pengsan tadi. Patutlah dia senyum-senyum dekat aku. Orangnya pun prihatin juga. Rupanya dia dengan Seri Mawar tengah bercinta dan tiada siapa yang tahu kecuali remaja perempuan ini. Melati juga tidak tahulah tentang ini, kan?

“Kakak Mawar tidak pernah berahsia dengan Suri. Segala perasaan suka dan duka pasti kakak Mawar akan menceritakan kepada Suri. Hanya kakak Mawar dengan Suri saja yang tahu.”

Aku hanya mendengar. Suri masih meneruskan bicaranya tentang Seri Mawar. Cara dia bercakap itu seolah-olah dia tahu yang aku ini bukan Seri Mawar. Siapa sebenarnya budak ini? Aku rasa dia ini bukanlah remaja perempuan yang biasa-biasa.

“Kakak Mawar kalau dengan orang lain kakak akan bahaskan diri akak dengan panggilan pertama nama kakak. Begitu juga dengan umi dan juga walid. Kakak hanya bahaskan nama kedua kakak bila dengan Suri dengan abang Nadim saja.”

Dia menuju ke arah aku semula. Aku masih menunggu bicaranya yang seterusnya. Tiba-tiba dia menyentuh tangan aku. Matanya tajam memandang anak mataku. Pandangan kami kejap.

“Hmmm... ada apa-apa lagi yang Suri hendak beritahu dengan kakak Mawar?” Berhati-hati aku menyusun ayat menyoal remaja perempuan ini.

Suri tersenyum sinis. Dia menjarakkan sedikit kedudukan kami berdua. Pandangannya masih tidak lepas daripada aku.

“Jaga tingkah laku. Jaga cara kakak Mawar bertutur dan yang paling penting jangan dekat dengan kakak Melati. Kakak Melati itu kawan baik kakak Mawar tetapi dia ada niat yang tidak baik dengan kakak Mawar.”

Aku terkesima. Betulkah apa yang aku dengar ini? Boleh percayakah dengan kata-kata remaja perempuan di depan aku ini? Lama aku mendiamkan diri. Begitu juga dengan Suri.

“Suri,” panggil aku. Dia tidak membalas. Hanya diam memerhatikan aku.

“Kenapa Suri bercakap macam tu dengan kakak, huh? Cara Suri bercakap itu seperti Suri ragu dengan kakak saja.”

“Ya. Suri memang ragu dengan kakak Mawar. Dari cara tutur bicara kakak Mawar pun Suri sudah tahu.” Laju dia menjawab membuatkan aku sedikit cuak.

“Err...” Apa aku nak cakap ni. Cepat sangat rahsia aku ini terbongkar. Aku berfikir sejenak dan kemudian menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya kembali. Aku sudah buat keputusan. Aku rasa lebih baik aku berterus terang sahaja dengan Suri. Aku tahu dia ini bukan biasa-biasa orangnya dan aku yakin dia boleh simpan rahsia ini sehingga aku kembali ke tempat asal aku semula.

“Okeylah. Eh, silap.” Pantas aku menekup mulut sebelum tersengih kepadanya.

“O... Ok... Okey? Bahasa apakah itu?” Tanya Suri dengan dahi yang berlapis-lapis.

“Err... Nanti sajalah Suri ambil tahu pasal bahasa itu, ya. Ada lagi penting yang kakak mahu bicarakan dengan Suri sekarang.” Aku pusing ke belakang dan kemudian menghembuskan nafas lega. Aku berpaling ke arahnya semula.

“Kakak Mawar tahu Suri ini bukan perempuan yang biasa-biasa, kan? Kak Mawar boleh rasakan yang Suri ini ada kelebihan lain yang akak sendiri pun tidak tahu. Hanya Suri saja yang tahu kelebihan Suri itu.” Aku memancing reaksinya. Lagaknya tenang sahaja.

Aku tersenyum nipis.

“Ya. Suri ini bukanlah perempuan yang biasa-biasa. Suri tidak seperti remaja perempuan lain yang ada di dalam kampung Indera ini. Kakak ini bukanlah kakak Mawar yang sebenar. Kakak bukanlah Seri Mawar yang Suri kenal. Sejak kakak bangun daripada pengsan tadi Suri sudah boleh rasa yang kakak bukanlah kakak Suri.”

Seperti yang aku jangkakan. Aku mengulum senyuman. Aku menepuk-nepuk tilam meminta dia duduk di sebelah aku. Legalah hati aku kerana tidak payah lagi berlakon di depan dia ini. Cukuplah Suri seorang saja yang tahu rahsia ini.

“Sinilah, Suri. Suri tidak payah takut dengan kakak. Kakak ini orangnya baik.” Aku memujuknya lagi untuk duduk di sebelah aku. Bagaikan magnet dia terus ke tempat aku dan menghenyakkan punggungnya di sebelah aku. Kedudukan kami agak rapat. Aku mengukir senyuman.

“Di bilik ini hanya kita berdua saja. Jadi, biar kakak berterus terang saja dengan Suri. Tapi, Suri kena janji dengan kakak yang Suri tidak akan beritahu dengan siapa-siapa tentang ini dan kakak mahu Suri tolong kakak, boleh?” Aku membuat perjanjian dengannya sebelum meneruskan lagi sesi bual bicara kami.

Dia diam. Agaknya memikirkan tentang perjanjian aku itu.

“Boleh. Suri akan tolong kakak. Suri janji.” Ucapnya setelah lama berfikir. Aku tersenyum lega. Aku terus membuka cerita. Suri mendengar dengan teliti. Sekejap-kejap dia mencelah dan kemudian kembali fokus dengan cerita aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience