BAB 16

Fantasy Completed 18480

BUNYI ayam berkokok mengganggu tidur lenaku. Aku bingkas bangun dan kemudian menggeliat. Rasa sakit pada belakang tubuh aku itu sudah tidak terasa lagi. Telingaku menangkap bunyi ketawa dari luar bilik aku ini. Aku segera keluar melihatnya.

“Pak Ajis? Melati?” Terkejut aku apabila melihat dua manusia yang aku kenal berada di ruang tamu rumah aku ini.

“Ada apa Pak Ajis dengan Melati datang ke sini?” Aku menyapa mereka.

“Saja. Lagipun, pak cik datang sini mahu meminta pertolongan daripada Seri.”

“Minta tolong apa Pak Ajis?” Tanya aku.

Dia tersenyum sebelum meneruskan katanya. Melati pula sudah ke dapur. Dia menolong umi Intan agaknya?

“Sebenarnya hari ini pak cik dengan keluarga pak cik hendak pergi ke kampung sebelah. Ada kenduri keluarga. Kalau boleh Seri tolonglah jagakan kedai makan pak cik untuk sementara waktu ini, ya.”

Aku tersenyum. Itu hal kecil saja. Aku mengangguk.

“Seri boleh saja tolong jagakan kedai makan Pak Ajis. Sekejap lagi Seri ke sana ya, Pak Ajis.”

“Terima kasih banyaklah Seri. Seri seorang saja yang boleh diharapkan. Kalau pekerja Pak Ajis yang lain itu mesti ada saja alasannya.” Terdengar keluhan halus dari Pak Ajis.

“Tidak apalah, Pak Ajis. Biarkan sajalah mereka. Yang penting Seri ada untuk tolong Pak Ajis.” Kami berdua sama-sama tersenyum.

Aku baru hendak beredar daripada situ, kemudian muncul pula walid Adi dengan abang Nadim. Umi Intan dengan Melati juga ada bersama membawa kopi panas dan juga roti bakar.

“Pak Ajis, jemputlah minum-minum dulu.” Pelawa umi Intan.

“Hah, Seri. Lekas pergi bersiap. Lepas itu, tolong Pak Ajis ini jaga kedai makan dia.”

Aku sekadar mengangguk. Kemudian pandangan aku beralih kepada Melati. Apa pula tujuan dia datang ke sini?

“Melati buat apa pula datang awal-awal pagi begini? Ada hal pentingkah?” Tanya aku.

“Tidak ada hal pentinglah. Saya cuma mahu mengajak Seri keluar berjalan. Tapi, nampaknya Seri sibuk hari ini.” Dia tersengih.

Keluar berjalan? Dia mahu bawa aku berjalan ke mana? Aku berfikir sejenak dan kemudian memandangnya kembali.

“Maaflah, Melati. Seri tidak dapat keluar berjalan dengan Melati hari ini.” Aku turut tersengih.

“Melati, kelmarin Melati ada pergi mana-manakah? Sebab Seri pergi rumah Melati petang kelmarin tetapi Melati tidak ada pula di rumah.”

“Err... Err... Kelmarin saya pergi rumah Delima. Saja mahu berbual dengan dia. Lepas itu, bapa Delima mengajak kami berdua ke kebunnya.”

Tipu! Dia tipu aku! Cara dia menjawab soalan aku itupun terketar-ketar. Aku nampak dengan mata aku sendirilah yang dia keluar bersama dengan Mail. Tidak mungkin selama ini dia menipu Seri Mawar? Jadi, betullah apa yang dikatakan oleh Suri yang dia ini talam dua muka?

“Seri,”

“Ya,”

“Seri tidak apa-apakah?” Tanyanya.

“Seri baik saja. Tidak apalah Melati. Seri mahu pergi bersiap-siap dulu.” Aku betul-betul kecewa dengan sikap Melati. Sanggup dia berbuat seperti itu kepada teman baik dia sendiri.

Aku melangkah lemah meninggalkan mereka. Ketika itu Suri muncul. Aku tidak melayannya sebaliknya terus menuju ke bilik tidur aku semula.


SUASANA di kedai makan Pak Ajis ini sama seperti hari pertama aku ke sini. Pelanggan tidak putus-putus datang untuk berkunjung di kedai makan Pak Ajis ini. Apa yang buatkan aku terkejut lagi adalah kedatangan empat orang lelaki muda yang sama yang mengusik aku tempoh hari. Tersenyum-senyum mereka memadang aku yang berdiri tidak jauh daripada mereka.

“Kakak Orked,” panggilku apabila dia lalu di depan aku.

“Mengapa Seri?” Tanyanya.

“Mengapa mereka berempat itu asyik pandang Seri saja? Ada apa-apa yang tidak kena dengan diri Seri inikah?” Soalku ingin tahu. Aku tidak mahu terus membuat andaian buruk tentang mereka itu.

“Alah, Seri ini macam tidak kenal dengan mereka berempat itu. Mereka itu sudah tentulah ada hati dengan Seri. Laju saja mereka berempat datang ke kedai makan Pak Ajis ini kalau ada Seri di sini tahu.” Tersenyum-senyum kakak Orked memberitahu aku.

“Seri, marilah sini berbual dengan kami.” Tiba-tiba salah seorang daripada mereka berempat memanggil aku ke sana. Aku pandang kakak Orked.

“Patutkah Seri pergi ke sana kakak Orked?” Aku meminta pandangan.

“Tidak payahlah Seri. Pedulikan saja mereka itu. Lebih baik Seri buat kerja Seri.” Kata kakak Orked lalu beredar ke bahagian dapur.

Aku ikut seperti apa yang kakak Orked katakan tadi. Aku mengemas meja yang baru saja ditinggalkan oleh pelanggan tadi. Kemudian, aku membetulkan pasu bunga yang ada di atas tempat pembayaran. Sesekali aku berbual mesra dengan pelanggan-pelanggan yang baru sahaja datang.

“Seri, mengapa kami berempat tidak di layan?” Lelaki berbaju hitam dengan kepala botaknya itu menyapa aku.

“Seri sibuk.” Ujarku ringkas.

Mereka berempat tiba-tiba mentertawakan aku.

“Sibuk tapi Seri layan pula pelanggan lain.” Sampuk seorang lagi. Lelaki yang berbaju kemeja coklat gelap, berwajah manis dan rambut depannya sedikit menutup matanya.

“Suka hati Serilah hendak layan siapa. Mengapa kamu berempat hendak kisah pula?” Aku mencebik. Aku mahu mengorak langkah namun langkahku mati apabila dia datang menghampiri aku dan menghalang pergerakkan ku.

Dia tersenyum sinis dan kemudian dengan suka hatinya dia menarik tangan aku lalu didekatkan ke wajahnya. Aku cuba menarik kembali tanganku itu namun dia mengetatkan lagi genggaman tersebut.

“Lepaskanlah!” Marah aku. Aku cuba menarik kembali namun genggamannya terlalu kuat. Terkejut aku apabila dia mencium tanganku. Wajahku membahang. Geram dan marah bercampur satu. Aku terus menampar wajahnya. Dia terpana dengan tindakan aku itu dan melepaskan tanganku.

“Hoi, Dika! Berani kau sentuh Seri!!” Kakak Orked datang menyelamatkan aku. Aku di tarik ke belakang. Wajah kakak Orked begitu bengis. Marah sungguh dia dengan lelaki itu. Pelanggan-pelanggan lain pula sudah memakukan pandangan mereka ke arah kami.

“Kau tahukan yang Seri ini akan menjadi milik orang tidak lama lagi. Mengapa kau dengan orang-orang kau masih mahu mengacau dia lagi, hah?!” Marahnya.

Lelaki yang bernama Dika itu tersenyum sinis kepada kami.

“Aku dengan orang-orang aku sudah lama ada hati dengan dia. Kalau kami tidak dapat hati Seri Mawar sekurang-kurangnya dia layanlah kami macam pelanggan lain.” Balasnya dengan riak yang tidak puas hati.

“Bagaimana Seri hendak melayan kamu berempat dengan perangai busuk kamu itu? Pelanggan lain pun tidak berperangai seperti kamu berempatlah.” Bidas kakak Orked.
Seorang lagi berdiri dan menghampiri kami.

“Saudari yang manis jelita, bolehkah saudari jangan masuk campur dalam hal kami berempat dengan Seri?” Lembut dia memujuk kakak Orked. Aku yang berada di belakangnya hanya menjadi pemerhati sahaja.

“Kau, Taji.” Kakak Orked mengetap bibirnya dengan jari telunjuk menunding ke arah lelaki botak itu.

“Kau jangan naikkan darah aku lagi. Sudahlah datang sini tidak berduit. Ada hati hendak mengacau Seri Mawar.” Kakak Orked merengus. Aku mengusap belakang tubuhnya agar dia bertenang.

“Kakak Orked, sudahlah. Biarkan sajalah mereka ini.” Kataku lembut. Aku tidak mahu perkara buruk pula berlaku di kedai makan Pak Ajis ini.

Kakak Orked menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya semula. Sempat dia menjeling tajam dua lelaki di depan kami ini sebelum menarik aku ke bahagian belakang.

Baru beberapa langkah dan kami terdengar mereka mentertawakan kami berdua. Kakak Orked berpaling tajam ke arah mereka seiring dengan dengusan kasarnya.

“Lebih baik kamu berempat pergi daripada sini sebelum aku mengamuk!” Kakak Orked cuba untuk menahan amarahnya. Tetapi sia-sia sahaja apabila mereka berempat makin galak mentertawakannya.

“Seri minta tolong sangat dengan kamu berempat. Tolonglah tinggalkan kedai makan ini. Seri tidak mahu pelanggan-pelanggan lain terganggu dengan tingkah laku buruk kamu berempat.” Aku merayu. Dika tersenyum sinis. Baru sahaja dia mahu mendekati aku tapi ada suara lain yang menghalang perbuatannya itu.

“Saudara, ini bukannya tempat untuk saudara dengan orang-orang saudara buat kacau. Saya minta saudara-saudara sekalian tolong pergi dari sini.” Nadanya lembut tapi tegas.

Aku tersenyum. Itu Tengku Rayyan Rehan.

Dika dan Taji memandang Tengku Rayyan Rehan dengan bengis. Taji mendengus. Dua orang teman mereka yang masih duduk itu terus berdiri mendekati mereka berdua.

“Hoi, Taji. Marilah kita pergi daripada sini.” Kata lelaki yang berwajah hitam manis itu.

“Gila kau, Rimba. Aku belum mahu pergi dari sinilah. Aku belum puas mahu mengusik si Seri Mawar ini lagi tahu.”

“Hoi, Rimba. Usin. Kalau kamu berdua mahu pergi daripada sini, pergilah. Aku dengan Taji mahu bermain dengan Seri Mawar lagi.” Kata Dika pula seiring dengan tawanya.

“Kamu berdua tidak tahukah dengan siapa yang kamu berdua berdepan sekarang ini?”

Makin besar tawa Dika dengan Taji. Mereka memandang Tengku Rayyan Rehan dengan pandangan sinis.

“Kalau kau tahu sangat Usin, siapa lelaki ini, hah?” Taji ketawa mengejek temannya si Usin itu. Sempat dia mengerling sinis Tengku Rayyan Rehan yang berada di tepi mereka.

“Dia ini darah bangsawan dari Kota Puspaloka, Tengku Rayyan Rehan. Dia ini sepupu kepada Tengku Ryan Arjuna tahu. Tengku Rayyan Rehan, pemuda yang hebat memanah dan disegani di kotanya.” Beritahu Usin, serius. Dika dan Taji saling berpandangan sebelum mereka berdua meledakkan tawa.

“Kau ingat aku takutkah, hah?!” Taji meledakkan tawanya sekali lagi. Tengku Rayyan Rehan yang dari tadinya hanya bersabar dengan kerenah mereka berdua terus mencengkam kuat leher baju Taji. Tajam pandangan Tengku Rayyan Rehan kepada lelaki itu.

Aku memeluk lengan kakak Orked. Takut pula aku tengok apabila lelaki-lelaki itu mula mahu bergaduh.

“Daripada tadi lagi saya bersabar dengan kamu berempat. Lebih baik kamu pergi daripada sini sebelum panah saya ini membunuh kamu berempat.” Amaran Tengku Rayyan Rehan itu membuatkan mereka berempat cuak. Seperti lipas kudung sahaja mereka berempat itu berlari meninggalkan kedai makan Pak Ajis ini. Aku dengan kakak Orked tersenyum lega.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience