BAB 72

Fantasy Completed 18480

SUASANA masih dalam keadaan tenang. Bunyi cengkerik saling sahut menyahut di sekeliling kami. Kedengaran juga bunyi burung hantu di sebalik pokok-pokok besar itu. Aku memandang langit yang terang kerana disinari oleh cahaya bulan dan bertemankan bintang-bintang yang berkelipan. Kami berada di tengah-tengah hutan. Jauh daripada jalan utama ke Kota Indera Aurora.

“Adinda Naura,” Tengku Ryan Arjuna memecah keheningan.

“Ya.”

“Kalau ikutkan hati kanda ini, kanda tidak mahu berpisah dengan adinda. Selama adinda kahwin baru hari ini kanda berpeluang untuk berbicara dengan adinda.”

“Maafkan saya, Tengku Ryan. Saya tidak ada niat untuk menipu Tengku Ryan. Apa yang saya buat selama ini pun terpaksa.” Aku mahu menangis saat itu.

“Tidak ada apa-apa yang perlu dimaafkan dinda.” Ada getaran pada suara garaunya itu.

Aku memandangnya. Wajahnya tenang sahaja.

“Kanda faham. Maji dan Radin sudah terangkan kepada kanda semuanya. Adinda hanya mangsa keadaan.”

Aku terasa sebak. Walaupun dalam keadaan begini dia masih mampu tersenyum kepadaku. Air mata yang kutahan akhirnya mengalir juga. Cepat-cepat aku berpaling dan menyekanya. Senyumannya itu akan aku ingat sampai bila-bila.

“Mengapa dinda?” Serta merta Tengku Ryan Arjuna memberi isyarat berhenti kepada kudanya.

“Dinda sakit dekat mana? Kandungan dinda ada masalahkah?”

Sikapnya yang kalut ini buat aku ketawa kecil. Aku sungguh terharu. Keprihatinannya terhadap aku masih sama seperti sebelum ini.

“Saya baik saja, Tengku Ryan. Baik kita bergerak sekarang. Saya takut nanti orang-orang Agis dapat cari kita di sini.”

“Tapi, dinda baik-baik saja, kan?” Dia masih belum berpuas hati.

“Tengku Ryan usah khuatirkan saya. Kalau saya rasa tidak sedap badan saya akan beritahu Tengku Ryan juga.” Aku menyimpul senyuman manis.

MASING-MASING mendiamkan diri. Hanya beberapa batu sahaja lagi kami akan tiba di tempat yang aku mula-mula sedar. Saat inilah semua kenangan aku dengan dia bermain di kotak mindaku.

“Kanda Arjuna,” sudah lama aku tidak memanggilnya seperti itu. Perasaannya lain sekali apabila aku menyebut panggilan manis ini. Tidak sama sewaktu dia memaksa aku memanggilnya dengan panggilan ini dulu.

“Sudah lama kanda mahu mendengar panggilan ini dari mulut adinda. Tidak sangka pula adinda memanggil kanda begitu hari ini.”

“Dulu, dinda tidak ada perasaan langsung dengan kanda Arjuna. Berbeza dengan sekarang pula kerana adinda sudah jatuh cinta. Adinda cinta dengan kanda Arjuna. Tapi...”

Mengenangkan apa yang berlaku di antara aku dengan dia, kami tidak mungkin akan dapat bersama.

“maafkan adinda kerana terlambat membalas cinta kakanda. Apa yang adinda buat selama ini adalah untuk Seri Mawar.”

Dia ketawa kecil.

“Ada baiknya juga adinda tidak membalas cinta kakanda.”

Aku angkat kening sebelah. “Mengapa pula kanda berkata demikian?”

“Iyalah. Kalau adinda jatuh cinta dengan kanda pasti susah untuk kita berdua berpisah.”

“Benar juga kata kanda Arjuna itu.”

“Adinda percaya dengan takdir?”

“Percaya.”

“Dinda tahukan peribahasa pelanduk dua serupa?”

Aku angguk.

“Kanda yakin di sana pasti ada seseorang yang sama seperti kanda ini. Kalau takdir mempertemukan dia dengan adinda, apa yang adinda akan buat?”

Aku terdiam. Aku tidak terfikirkan pula akan hal ini.

“Entahlah. Adinda sebenarnya tidak terfikir pun sampai ke situ.” Jujur aku berkata.

Dia senyum segaris. “Kanda harap kalau adinda berjumpa dengan lelaki yang seiras kanda, adinda berkenalanlah dengan dia. Manalah tahu adinda jatuh cinta padanya.”

Aku ketawa. “Kanda ini pandai bergurau. Cukuplah kanda yang ada di hati adinda ini. Kalau ada pelanduk dua serupa belum tentu sikap lelaki itu sama seperti kanda.”

Dia mengusap pipiku. Senyuman masih menghiasi wajahnya.

“Dinda mahu tahu sesuatu?”

“Apa dia?”

“Naura Athifa. Nama adinda itu kanda pahatkan di hati kanda ini untuk selamanya. Tidak mungkin ada galang gantinya. Jujur kanda katakan, perwatakan adinda dengan Seri Mawar jauh beza sekali. Kalau dinda kembali ke sana...” diam. Dia tidak dapat meneruskan katanya. Aku mengangkat wajah dan tergamam melihat dia menangis.

“Kanda Arjuna, janganlah begini.” Aku menyeka air matanya. Pergerakan kuda tunggangan kami itu berhenti sekali lagi.

Wajahnya yang basah itu aku pandang lama.

“Kanda Arjuna,” aku menyentuh pipinya. Sebelah tangan menyeka air mata yang masih mengalir di wajah itu.

“Kanda tolong janji dengan adinda yang kanda mesti kuat, ya? Kanda kena teruskan kehidupan kanda.”

“Dinda...” dia memelukku erat. Aku tahu perasaan ini. Berat rasanya mahu melepaskan orang yang kita sayang ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience