BAB 26

Fantasy Completed 18480

MERIAH sungguh pesta Indera malam ini. Lampu-lampu neon yang menerangi pesta Indera ini ada di mana-mana sahaja. Aku tersenyum. Ramai pengunjung yang datang ke sini. Orang-orang kampung sebelah juga turut sama memeriahkan pesta ini. Aku berjalan beriringan dengan mereka bertiga.

Rambang mataku melihat pelbagai jenis barangan yang dijual oleh mereka. Aku melihat salah satu gerai yang menjual pelbagai jenis buah-buahan itu. Tadi, baru sahaja aku menghabiskan sebiji buah mangga dan kemudian menyambung semula makan buah-buahan lain. Jadi, sekarang aku sudah tidak peduli lagi dengan gerai yang namanya buah-buahan.

Aku bergerak ke depan lagi. Gerai ini membuatkan aku tersenyum lebar. Gerai perhiasan wanita. Bermacam-macam jenis perhiasan wanita yang ada dijual di sini. Tapi...

“Mak cik,” aku perasan wajah mak cik itu sayu saja.

“Ya, saudari. Ada apa-apa yang boleh mak cik tolongkah?” Cepat-cepat dia berubah riak. Aku berpaling seketika melihat abang Nadim yang berada di gerai seberang sana. Dia bersama-sama dengan Suri dan juga Melati. Aku kemudiannya memandang semula pemilik gerai perhiasan wanita ini.

“Err... Mak cik sepertinya tidak gembira. Boleh saya tahu mengapa mak cik bersedih?” Aku terus dengan soalan utama aku. Aku tahu orang tua ini tersentak dengan pertanyaan aku. Aku mempamerkan senyuman manis buatnya.

“Mak cik... Mak cik sebenarnya susah hati. Tiada siapa yang mahu beli barang-barang ini semua. Lagipun, mak cik perlukan duit.” Sayu nadanya. Kasihan pula aku dengan mak cik ini.

Aku diam dan berfikir. Aku lihat perhiasan diri ini semuanya nampak baik sahaja. Cuma, rekaannya tidak menarik perhatian pelanggan langsung.

“Mak cikkah yang buat semua perhiasan diri ini?”

“Ya. Ada apa-apa masalahkah dengan jualan mak cik ini?”

Alamak, aku jadi serba salahlah pula kalau aku beritahu masalah jualan orang tua ini. Takut dia berkecil hati. Tidak apa. Aku akan bantu mak cik ini.

“Mak cik, bolehkah saya menolong mak cik? Saya boleh jualkan barang-barang ini semua. Itupun, kalau mak cik izinkanlah.” Kataku dengan sopan dan penuh yakin.

Orang tua itu sedikit terkejut dengan permintaan aku. Aku cuba untuk tersenyum. Mudah-mudahan mak cik ini menerima bantuan aku. Aku kesian melihat jualan mak cik ini. Nampak macam tiada perubahan. Aku yakin wajah sugulnya tadi itu pasti menunjukkan bahawa jualannya ini tidak berjalan dengan lancar.

“Benarkah? Benarkah saudari hendak menolong mak cik?” Wajahnya bertukar ceria. Aku tersenyum sambil mengangguk.

SEJAM yang lalu aku sudah berjaya menjual lebih daripada 20 jenis perhiasan wanita. Rata-rata mereka memuji dengan reka bentuk hiasan wanita yang aku buat ini.

“Terima kasih banyaklah Seri kerana membantu Mak Jasmin ini.”

“Tidak ada apa-apalah, Mak Jasmin. Ini semua perkara kecil saja bagi Seri.” Aku menyimpul senyuman. Syukurlah dapat juga aku lihat wajah ceria orang tua ini.

Mak Jasmin memberitahu aku bahawa anaknya sedang sakit dan perlukan rawatan segera. Tapi, orang tua ini tidak mempunyai duit yang banyak untuk membeli semua herba-herba yang diperlukan olehnya. Memandangkan hobi aku sama dengan Seri Mawar, aku mengubah hampir semua perhiasan diri itu dengan reka bentuk yang baru.

“Tidak sangka pula Seri ini pandai membuat perhiasan diri.”

“Seri suka buat semua ini Mak Jasmin.” Aku ketawa kecil. Mujurlah mereka bertiga tidak muncul lagi. Kalau tidak, tiadalah peluang aku untuk membantu Mak Jasmin ini.

“Mak Jasmin, nampaknya semuanya berjalan lancar. Semua perhiasan diri ini pun sudah Seri perbaiki. Kalau tiada apa-apa lagi, Seri minta diri dulu.”

“Sekali lagi Mak Jasmin berterima kasih dengan Seri, ya.”

“Tidak ada apa-apalah Mak Jasmin. Seri pergi dululah, ya.” Aku meminta diri. Baru setapak aku melangkah, Mak Jasmin memanggil aku semula.

“Nah, ini untuk Seri.” Dia memberikan seutas gelang tangan yang aku perbaiki tadi.

“Eh, tidak apalah Mak Jasmin. Seri ikhlas tolong Mak Jasmin.”

Dia tersenyum dan memaksa aku untuk mengambil juga gelang tangan tersebut.

“Hadiah untuk Seri. Mak Jasmin senang sekali kalau Seri terima pemberian Mak Jasmin ini.”

Mahu atau tidak aku kena juga terimanya. Aku mengambil dan memakai gelang tangan tersebut di tangan kiriku. Sempat aku mendoakan anaknya agar cepat sembuh sebelum beredar daripada situ.


SAMBIL aku mencari-cari kelibat mereka bertiga sambil aku melihat barang-barang yang dijual di depan mata. Semuanya menambat hati aku. Susah untuk aku membuat pilihan. Sekejap mata memandang ke tempat gerai pakaian. Sekejap mata memandang ke arah gerai kasut dan akhirnya pandangan aku memaku ke arah gadis-gadis yang sedang mempersembahkan tarian mereka di atas pentas kecil.

Sedang aku leka melihat tarian mereka, tiba-tiba aku terasa sesuatu pada bahagian leher aku. Pantas wajahku menunduk dan tercengang melihat seutas rantai bunga mawar terkalung di leherku. Laju aku berpaling ke belakang melihat gerangan yang memakaikan rantai bunga mawar ini kepada aku.

“Tengku Ryan Arjuna?!” Aku terkejut yang teramat.

“Apa yang...”

“Hadiah untuk Seri.”

“Tapi rantai ini...”

“Ya, ini rantai yang Seri buat tadi. Saya tidak sengaja terjumpa Seri di gerai perhiasan diri itu. Seri langsung tidak perasan dengan kewujudan saya di situ. Jadi, saya ambil keputusan untuk mengintip Seri dari jauh. Saya duduk di kedai makan yang berhadapan dengan gerai itu. Ramai juga yang memuji reka bentuk perhiasan diri yang Seri buat inikan.” Dia mengukir senyuman. Aku terpesona seketika melihat senyuman itu.

“Berbalik kepada panggilan Seri kepada saya. Saya mahu Seri panggil saya dengan panggilan itu sekarang juga.”

Mulalah si Tengku Ryan ini buat perangai. Aku ingatkan dia sudah lupa pasal panggilan itu. Aku mencebik dan kemudian kembali fokus dengan tarian di atas pentas kecil itu.

“Terima kasih, kanda Arjuna.” Ucapku dengan nada mendatar. Aku tidak mahu memandang wajah lelaki itu. Aku tahu dia sedang mentertawakan aku.

“Sama-sama, dinda Naura.”

Aku tercengang. Laju aku memandangnya. Mahu tercabut jantung aku mendengar nama tersebut. Dia... dia...

“Kanda suka dengan nama itu. Kalau kita sudah berkahwin dan mempunyai anak perempuan, kanda mahu anak perempuan kita itu namanya Naura.”

Aku melepaskan lega. Aku ingatkan identiti aku sudah terbongkar. Lebih baik aku pergi dari sini.

“Err... Tengku Ryan, Seri minta diri dulu, ya.” Aku terus meninggalkannya tanpa menunggu bicara lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience