BAB 32

Fantasy Completed 18480

PETANG tadi semua berkumpul di ruang tamu. Umi Intan dan walid Adi mahu aku berterus terang dengan apa yang telah berlaku tengah hari tadi. Mahu atau tidak aku terpaksalah memberitahu mereka. Aku hanya memberitahu mereka tentang apa yang aku nampak dan apa yang dijelaskan oleh Melati tadi sahaja.

Wajah mereka jelas terkejut dengan penjelasan aku. Siapa yang tidak terkejut bila anaknya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain tanpa pengetahuan dan restu dari keluarga. Aku pun tidak menyangka yang Seri Mawar sebegini orangnya.

Daripada cerita-cerita orang luar dan juga Suri, Seri Mawar ini cantik di dalam dan juga di luar. Tapi, sikapnya yang satu ini sudah membuatkan aku berfikir panjang. Baik seperti apakah Seri Mawar ini? Mengapa dia mahu berahsia dengan keluarganya sendiri tentang hal ini? Padahal, umi Intan tidak kisah pun. Begitu juga dengan walid Adi. Cuma, mereka kesal kerana anak mereka ini tidak berterus terang dengan mereka dan menyebabkan mereka memaksanya untuk berkahwin dengan Tengku Ryan Arjuna.

“Mawar,”

Aku berpaling pada pintu yang separuh terbuka itu. Abang Nadim menghampiri aku yang duduk di birai katil.

“Sudahlah, Mawar. Lupakan saja lelaki tidak guna itu. Lagipun, Mawar akan berkahwin tidak lama lagi.” Dia menghenyakkan punggung dan mengusap belakang tubuhku.

“Tidurlah. Tidak baik tidur lewat begini. Tidak bagus untuk kesihatan Mawar.” Kata abang Nadim. Nadanya lembut sahaja.

“Abang Nadim marahkan Serikah?” Aku bertanya. Di antara mereka, abang Nadimlah yang paling marah dengan aku. Dia begitu sayangkan adik-adiknya dan sebab itulah dia berkelakuan seperti itu.

Abang Nadim mengosok-gosok kepalaku.

“Abang tidak marah. Tapi Mawar janganlah buat begini lagi. Tidak kasihankah Mawar dengan keluarga Mawar ini? Kami semua sayangkan Mawar.”

Aku menunduk.

“Abang hendak tahu juga, sudah berapa lamakah Mawar menjalinkan hubungan dengan Mail itu?” Soalannya membuatkan aku terdiam seketika. Aku juga sendiri tidak tahu berapa lama mereka berdua itu menjalinkan hubungan kekasih ini.

“Mawar tidak ingat.” Aku tidak tahu hendak beri jawapan apa dengan abang Nadim ini.

“Abang Nadim,” aku menyentuh tangannya. Dia memandang aku dengan riak bersahaja.

“Mawar janji Mawar tidak akan buat lagi.” Ujarku perlahan. Dia tersenyum.

“Baiklah, abang pegang dengan janji Mawar itu. Sekarang ini abang mahu Mawar tidur, rehatkan diri. Tenangkan perasaan dan fikiran Mawar itu, ya.”

Aku menurut kata. Aku berbaring dan dia membetulkan selimutku.

“Abang Nadim,”

Aku mematikan langkahnya yang mahu keluar daripada bilik tidur ini. Abang Nadim duduk semula di birai katil.

“Abang Nadim, bolehkah abang nyanyikan lagu untuk Mawar?”

“Eh, mengapa tiba-tiba saja Mawar mahu abang nyanyikan lagu ini, huh?” Dia ketawa kecil. Lucu agaknya mendengar permintaan aku ini. Aku memuncungkan mulut.

“Baiklah. Baiklah. Pelik-peliklah sekarang perangai adik abang yang seorang ini.” Katanya. Dia berdeham sebelum memulakan nyanyian. Aku langsung tidak tahu apakah tajuk lagu itu. Alunan melodinya indah dan suara abang Nadim ini merdu. Terbuai aku untuk seketika.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience