BAB 73

Fantasy Completed 18494

TENGKU RYAN ARJUNA memberi isyarat laju pada kudanya kerana orang-orang Agis telah berjaya mengesan kami. Aku menahan perutku yang terasa sakit.

“Dinda peluk kanda kuat-kuat!”

Aku menurut kata.

Aku menutup mata apabila melihat ada anak sungai di hadapan kami. Takut sahaja aku kalau kuda ini tidak dapat melaluinya. Lagipun, air sungai itu deras.

“Kanda, bolehkah kuda ini seberang anak sungai itu?” Tanyaku cemas.

“Dinda jangan khuatir. Dinda pejam mata dan peluk kanda.”

Aku mahu memejam mataku tetapi tidak jadi kerana kelibat orang-orang Agis sudah ada di depan mata. Jarak di antara kami dengan mereka tidak terlalu jauh.

“Kanda, mereka ada di belakang kita!”

Dia berpaling ke belakang dan kemudian memberi arahan lagi kepada kuda putihnya ini. Kelajuan pergerakan kuda ini bertambah. Aku memeluk erat Tengku Ryan Arjuna. Perutku terasa kejang tapi cuba ku tahan.

SRUPP!!

Aku tidak tahu apa benda yang muncul tadi dan tiba-tiba kami sudah berada di hadapan Maji dengan yang lain. Abang Nadim menahan kuda putih dan Tengku Ryan Arjuna menurunkan aku dari atas kuda ini.

Angin bertiup kencang di kawasan ini. Daun-daun luruh berterbangan di sana sini. Suri berlari ke arah aku dan memeluk lenganku erat.

“Kakak Naura, Suri rindu dengan kakak.” Dia memperkemaskan pelukan di lengan itu. Aku hanya menyimpul senyuman. Perutku kembali terasa sakit. Kesan daripada menunggang kuda tadi.

“Suri, kakak nak berehat.” Pintaku. Berkerut-kerut aku menahan sakit.

“Kakak Naura tidak apa-apakah?”

Aku geleng kepala. Janganlah bayi ini keluar dalam keadaan begini. Usia kandungan ini belum genap pun sembilan bulan.

“Dinda!” Tengku Ryan Arjuna memapah aku ke arah pokok rendang tempat Maji sedang berdiri. Abang Nadim turut membantu aku ke sana.

Aku duduk di atas batu sambil melihat Maji yang sedang fokus membaca mentera pada batu Fatamorgana Aurora milik Radin itu. Semakin laju mulutnya berkumat-kamit semakin kencang angin yang ada di sekelilingi kami. Aku dengan Suri berpelukan. Abang Nadim dan juga Tengku Ryan Arjuna masih setia berdiri di belakang kami.

Maji meletakkan tangannya ke depan. Tapak tangannya itu betul-betul di atas batu Fatamorgana Aurora. Kali ini dia menguatkan suaranya membaca mentera yang aku sendiri tidak faham.

Aku dengan Suri berdiri dan mengundur ke belakang sebaik sahaja batu itu mengeluarkan cahaya. Cahaya hijau kebiruan yang membentuk aurora memancar naik ke langit.

“Hentikan!!”

Kami berpaling kecuali Maji. Dia masih meneruskan bacaan menteranya.

“Aku kata berhenti!” Laju kakinya menuju ke arah kami tetapi sayangnya dia tidak dapat memasuki kawasan lindungan yang telah di buat oleh Maji. Mentera perlindung itu mengelilingi pokok rendang yang besar ini.

“Maji! Aku mahu kau hentikan semua ini. Kembalikan Naura kepada aku!”

Aku takut. Laju aku bersembunyi di belakang abang Nadim dengan Tengku Ryan Arjuna. Kasihan aku melihat Tengku Rayyan Rehan yang sudah seperti orang tidak betul. Dia cuba memecahkan dinding mentera ini tetapi tidak dapat kerana mentera yang digunakan oleh Maji ini sangat kuat.

“Dinda Naura! Jangan buat kanda begini. Tolonglah kembali kepada kanda.” Rayunya dengan tangisan.

Aku geleng kepala berkali-kali.

“Dinda Naura, maafkan kanda kalau kanda sudah sakitkan hati adinda. Kanda buat begitu kerana kanda cintakan adinda. Dinda Naura kembalilah pada kakanda.” Rayunya. Dia masih tidak berputus asa mahu mencuba memecahkan tembok mentera pelindung ini.

“Tengku Rayyan,” aku maju ke depan.

Abang Nadim menghalang aku.

“Abang Nadim, tidak apa.” Aku menepuk-nepuk tangannya agar dia melepaskan genggaman pada lenganku. Dia akur.

“Dinda...”

“Kanda Rayyan, adinda minta maaf untuk segalanya. Maafkan adinda kerana melukakan hati kakanda. Adinda buat semua ini sebab Seri Mawar. Dia menghilang kerana masalah cinta yang dia hadapai. Dia tidak tahu cara hendak selesaikannya. Dia cintakan kekasih pertamanya dan pada masa yang sama dia jatuh cinta dengan kanda.”

Aku tersenyum kecil. “Saya pernah terfikir yang Seri Mawar ini bodoh juga orangnya. Seorang perempuan mencintai dua orang lelaki. Yang seorang telah banyak buat salah kepadanya tetapi hatinya masih lagi mencintai lelaki itu. Bila dia bertemu dengan kanda dia dapat rasakan sesuatu pada dirinya. Dia cintakan kanda tetapi dia tidak boleh melepaskan kekasih pertamanya. Disebabkan hal itu dia buat perkara yang bukan-bukan. Menjadikan saya sebagai gantinya.”

“Dinda...”

“Kanda, adinda minta selepas ini lupakanlah Naura Athifa.” Aku memintasnya.

“Hanya Seri Mawar sahaja yang layak untuk kanda. Bukti cinta kanda dengan dia ada di dalam perut ini.” Sambungku lagi.

“Tidak... tidak! Dinda janganlah buat kanda begini.” Dia merenung aku dengan pandangan dalam.

“Naura!”

“Imah!” Dia berlari ke arahku.

“Maaf, aku tidak dapat menghalangnya.” Tercungap-cungap dia bersuara.

Aku tersenyum kecil. “Tidak apa. Lagipun, Tengku Rayyan Rehan tidak akan dapat mengapa-apakan aku kerana aku dalam kawasan mentera pelindung.” Beritahuku.

“Rayyan, kau dengarkan penjelasan dia tadi. Kau lepaskan sajalah Naura pergi. Kau kena terima hakikat ini.” Tiba-tiba Tengku Ryan Arjuna mencelah. Dia berdiri di sebelah aku.

Tengku Rayyan Rehan tersenyum sinis.

“Kau mahu aku lepaskan dia pergi begitu saja? Kau sudah gilakah? Ini isteri aku, Ryan!”

“Ya. Dia memang isteri Tengku Rayyan. Tetapi, jiwa yang ada di dalam itu bukan Seri Mawar. Tengku Rayyan kena lepaskan Naura pergi juga. Saya yakin yang Seri Mawar juga mahu kembali ke sini.” Imah pula mencelah.

“Benar kata dia ini. Kalau ikutkan hati aku ini aku tidak mahu Naura kembali ke sana tetapi dunia ini tidak sesuai untuk dia. Dunia kita dengan dunia dia jauh beza sekali Rayyan.”

“Kanda Rayyan, saya minta sangat lepas ini tolonglah lupakan Naura Athifa.”

“Tidak... tidak... Naura...”

“Naura! Cepat!” Maji memanggil aku.

Sebaik sahaja berpaling aku tergamam melihat diri aku muncul di dalam cahaya aurora itu.

“Dinda!”

Aku pandang Tengku Rayyan Rehan.

“Selamat tinggal Tengku Rayyan Rehan. Selamat tinggal Imah.” Ucapku dengan senyuman pahit. Aku melangkah ke arah Maji.

“Dinda! Dinda maafkan kanda! Maafkan kanda sebab kurung adinda. Maafkan kanda sebab menyuruh orang-orang Agis membunuh Radin. Maafkan...”

Aku menoleh dan tersenyum. “Saya maafkan. Selepas ini Tengku Rayyan lupakanlah saya.” Aku terus berjalan ke arah Maji. Tengku Ryan Arjuna membuntuti aku dari belakang.

“Sudah bersedia?” Soal Maji. Aku angguk.

“Kakak Naura,” Suri menarik tanganku. Dia memberi sesuatu kepada Tengku Ryan Arjuna dan menyuruhnya memberikan benda itu kepada aku.

“Dinda.” Dia memberikan aku seutas rantai bunga mawar.

Aku memandangnya. Sejak aku menerima lamaran Tengku Rayyan Rehan, rantai ini aku buka dan menyimpannya di dalam laci bilik. Tidak sangka pula Suri mengambil dan membawa rantai ini ke sini.

“Simpan sebagai kenangan kita. Terima kasih kerana hadir dalam hidup kanda.”

Aku menunduk, menggenggam erat rantai itu. “Terima kasih juga sebab beri kenangan yang dinda tidak pernah rasa sebelum ini. Kanda jaga diri. Teruskan hidup tanpa dinda.” Aku mengusap pipinya dan kemudian beralih pada Suri.

Aku memeluka Suri dengan erat sekali.

“Kakak Naura...” Dia menangis teresak-esak.

“Janganlah nangis Suri. Sekejap lagi Suri akan dapat semula kakak Suri. Lepas ini, Suri kenalah jaga kakak dan juga anak buah Suri ini baik-baik, ya?”

Dia angguk dan memperkemaskan lagi pelukan itu. Aku mengusap belakang tubuhnya.

“Abang Nadim,” aku mendongak memandang wajah sayu itu. Suri masih lagi menangis dalam pelukanku.

“Terima kasih kerana percayakan Naura. Terima kasih sebab jaga Naura dengan baik. Abang Nadim jagalah baik-baik umi dengan walid, ya?”

Dia tersenyum sambil mengusap kepalaku.

“Itu sudah menjadi tanggungjawab abang untuk menjaga mereka. Naura jaga diri bila di sana nanti.”

Aku angguk.

“Naura lebih baik kau bersedia sekarang sebelum jasad itu bangun. Kalau tidak susah kau hendak masuk ke dalam jasad itu.” Beritahu Maji.

Aku melepaskan pelukan. Satu-persatu wajah itu aku perhatikan. Orang-orang Agis mula muncul mengepung mentera pelindung ini.

“Cepat! Kau tidak usahlah risau kami di sini. Tahulah aku selesaikan semua ini.”

“Masuk dalam cahaya aurora ini.” Arahnya. Aku menurut kata.

Aku berdiri di sebelah bayangan diri aku. Jasad itu masih tidur. Aku pasti Seri Mawar ada di dalam jasad itu.

“Sedia?”

Aku memandang mereka buat kali terakhir. Sudah lama aku tinggal di sini dan terlalu banyak kenangan aku bersama mereka. Aku mengesat air mata yang mengalir. Nampaknya, sudah tiba masanya aku tinggalkan semua ini. Dapat juga aku pulang ke dunia asal aku. Tapi, sayangnya aku tidak pulang bersama Aiz Hafizi.

“Maji, aku sedia.”

“Baiklah.” Dia mula membaca mentera.

“Naura, tolong sampaikan salam rindu aku pada Azimah bila kau di sana nanti.”

“Azimah? Siapa dia itu?”

“Kau akan tahu juga nanti. Bersedia!” Dia meneruskan bacaan menteranya itu.

Aku menutup mata perlahan.

Angin semakin kencang. Pancaran cahaya aurora yang keluar daripada batu Fatamorgana Aurora ini semakin besar dan terang. Aku merasakan getaran pada diri ini. Seperti ada gelombang lain yang mahu memisah aku dari jasad ini. Aku harap bayi dalam kandungan ini tidak apa-apa. Jeritan mereka memanggil-manggil namaku itu semakin lama semakin hilang dari pendengaranku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience