BAB 17

Fantasy Completed 18494

TENGKU RAYYAN REHAN membawa aku keluar berjalan-jalan untuk seketika. Kedai makan Pak Ajis pula diuruskan oleh kakak Orked. Aku sebenarnya serba salah meninggalkan kedai makan Pak Ajis itu. Lagipun, aku sudah berjanji dengan Pak Ajis untuk menjaga kedai makannya hari ini. Tapi, kakak Orked mahu juga menyuruh aku menemani Tengku Rayyan Rehan ini berjalan-jalan sekejap.

Sesekali Tengku Rayyan Rehan membetulkan kedudukan kantung yang berisi anak-anak panah yang ada di belakangnya. Tangan kirinya pula masih setia memegang busur. Aku menjauh sedikit apabila setiap kali jarak kami mendekat. Terasa malu dan segan bila berdepan dengan orang yang bergelar tengku ini.

Aku perasan yang Tengku Rayyan Rehan ini asyik tersengih sahaja sejak dari tadi. Makin lama makin aku geramlah pula. Laju aku ke depan sambil mendepakan tangan.

“Berhenti, Tengku Rayyan Rehan!” Aku mematikan langkahnya. Wajahku ketat. Lelaki di depan aku ini masih lagi tersenyum sengih denganku.

“Mengapa sejak dari tadi Tengku Rayyan tersenyum-senyum macam kambing, hah?”

Mati terus senyumannya. Wajahnya berkerut.

“Kambing?”

Aku mengetap bibir. Bodohnya aku samakan Tengku Rayyan Rehan ini dengan haiwan kambing itu. Dalam tidak sedar aku mengetuk kepala aku sendiri.

“Mengapa Seri ketuk kepala sendiri? Tidak sakitkah?”

Aku tersengih. Laju aku menggelengkan kepala. Dia ketawa kecil. Aku terpegun seketika melihat senyuman manis itu. Penampilannya berpakaian baju layang yang berlengan tiga suku, berseluar pendek separas betis dengan sampingnya dan kantung anak-anak panah di belakang tubuh serta busur di tangannya itu sungguh bergaya sekali. Nampak sangat dia ini berketurunan bangsawan dan pahlawan. Aku tengok dia ini sudah seperti watak Legolas dalam cerita Lord of The Ring pula. Hehehe... Aku memang minat watak Legolas dalam filem itu.

Aku meneliti lagi wajahnya. Wajah yang kacak dengan gaya rambut short pomp tanpa tanjak di kepala itu menarik perhatian aku. Eh, aku tidak sangka pula tengku ini memotong gaya rambut seperti itu.

“Saudari yang lawa dan manis di depan saya ini, mengapa tersenyum-senyum seorang diri?”

Aku tersentak. Aku sudah mengelamun jauh rupanya. Tengku Rayyan Rehan ketawa sambil menggelengkan kepalanya.

“Seri ini peliklah. Sekejap ketuk kepala sendiri. Sekejap tersenyum-senyum. Seri ini baik-baik sajakah ataupun tidak?”

Aku tersengih.

“Maafkan, Seri. Lain kali Seri tidak buat lagi. Seri cuma terposana dengan penampilan Tengku Rayyan saja.” Jawabku jujur.

Dia meledakkan tawa. Aku tergamam. Kenapa dia tiba-tiba ketawakan aku?

Aku buat muka marah.

“Janganlah marah Seri. Saya bercanda saja. Saja mahu mengusik Seri.”

“Hesy, jahatlah Tengku Rayyan ini.” Aku berpeluk tubuh dan merengus kasar. Tengku Rayyan Rehan masih lagi dengan sisa tawanya.

“Baiklah. Saya minta maaf. Tapi...”

“Tapi, apa?” Aku memandangnya tajam.

“Bolehkah Seri tukar panggilan saya itu? Seri panggil saja saya ini Rayyan.”

Aku terdiam seketika. Tengku Rayyan Rehan ini mahu aku memanggilnya dengan panggilan biasa. Tapi, aku sendiri tidak tahu hendak panggil dia dengan nama apa.

“Seri lagi suka panggil Tengku Rayyan.”

“Hmmm... saya tidak sukalah. Cuba Seri panggil saya Rayyan saja.” Cadangnya.

“Rayyan? Kalau abang Rayyan?...”

“Boleh juga.” Laju dia memotong kata-kataku.

“Lagipun, saya ini sebaya dengan abang Seri.” Dia tersenyum lebar. Agaknya, dia suka dengan panggilan itu.

“Baiklah. Seri akan panggil Tengku Rayyan dengan panggilan abang Rayyan.”

Tengku Rayyan Rehan tersenyum angguk.

"Seri, pasal hari itu maaflah. Saya saja buat tidak kenal dengan Seri."

Aku diam. Dia dengan Seri Mawar sudah kenalkah sebelum ini?

Aku hanya membalas dengan sengihan.


KAMI berjalan-jalan di sekitar kawasan tasik. Sekejap tadi Tengku Rayyan berjaya memanah dua ekor burung puyuh tapi dia hanya membiarkan sahaja burung yang sudah mati itu di bawah pokok rendang. Puas aku memarahinya kerana memanah haiwan tanpa sebab. Kalau burung itu dipanah dan dibawa pulang untuk dimasak tidak apalah.

“Seri, Seri marah abang lagikah?”

Aku mendengus. Aku langsung tidak memandangnya. Aku berpeluk tubuh dan terus berjalan ke hadapan.

“Seri,” Tengku Rayyan Rehan mengejarku. Apabila dia berada di hadapan aku, aku berpatah balik ke belakang.

“Seri, sudahlah merajuk. Abang tahu abang salah.” Dia memujukku.

“Abang minta maaf, ya?” Laju dia mematikan langkahku. Aku mencebik.

“Abang Rayyan mesti janji dengan Seri. Selepas ini, abang Rayyan jangan buat lagi seperti ini, ya?” Aku memandangnya dengan pandangan dalam. Mengapa aku boleh selesa pula dengan dia ini, hah? Padahal, aku ini bukannya mudah pun mesra dengan lelaki. Siap merajuk lagi dengan dia ini. Apa sudah terjadi dengan diri aku ini, huh?
Dia ketawa kecil.

“Baiklah, abang berjanji. Seri janganlah merajuk lagi, ya.”

Aku tersenyum nipis. “Okey.”

Aku suka pula bila dia membahaskan dirinya abang.

“Okey? Apakah maksudnya itu?” Tanya Tengku Rayyan Rehan.

Aku menggigit bibir. Ah, sudah berapa kalilah aku ini tersasul perkataan! Habislah aku.

“O... okey... Okey itu maksudnya baik. Se... Seri dapat perkataan itu daripada mimpi Seri.” Aku terus membelakanginya dan menghembuskan nafas lega. Janganlah kantoi. Aku tidak mahu dicap sebagai makhluk asing di sini.

“Mimpi? Pelik sungguh mimpi Seri itu, ya. Sepanjang hidup abang ini, abang belum pernah lagi bermimpi perkataan yang pelik-pelik seperti itu.”

Aku mahu ketawa sahaja apabila Tengku Rayyan Rehan mempercayai kata-kataku itu.

“Abang Rayyan, manalah kita boleh jangka mimpi itu. Sudahlah, mari kita pulang. Seri risau pula dengan kedai makan Pak Ajis itu. Lagipun, Seri sudah berjanji dengan Pak Ajis untuk menjaga kedai makannya hari ini.” Hampir sahaja aku lupa dengan tanggungjawab aku yang satu ini. Kasihan pula aku dengan kakak Orked.

“Yalah. Lain kali sajalah kita keluar berjalan lagi.” Katanya. Aku tersenyum lega. Nasib baiklah Tengku Rayyan Rehan ini memahami aku. Bukan macam si Tengku Ryan Arjuna itu. Aku tiada niat pun hendak berkahwin dengan dia tetapi dia memaksa aku juga. Jadinya, aku kena bertunang pula dengan dia. Argh!!

Sepanjang perjalanan kami itu, kami berdua berbual tentang diri masing-masing. Mana yang aku tahu tentang Seri Mawar aku beritahulah dengan dia.

Bunyi ketawa di sebalik pokok-pokok besar itu menghentikan langkahku. Tengku Rayyan Rehan masih lagi meneruskan langkahnya. Aku meliau mencari arah ketawa tersebut. Suara tawa itu milik seorang lelaki dan juga seorang perempuan.

“Me... Melati? Mail?” Aku tergamam. Jelas sungguh wajah pasangan itu di mataku. Ini kali kedua aku nampak mereka bersama dan berjalan di dalam hutan ini. Mereka berdua itu hendak ke mana? Buat apa?

“Seri Mawar.”

Terkejut aku dengan suara milik Tengku Rayyan Rehan. Aku mengerutkan dahi. Bukankah dia sudah jauh meninggalkan aku tadi?

“Abang bercakap seorang-seorang saja tadi. Abang ingatkan Seri ada di belakang abang, rupanya Seri di sini pula.”

“Kaki Seri tadi kena gigit serangga. Sebab itulah Seri berhenti sekejap.” Tipuku.

“Sakitkah? Seri masih boleh berjalan? Mahu abang...”

“Seri baik-baik sajalah abang Rayyan. Abang Rayyan tidak payalah risau. Lekaslah kita pulang, ya.” Aku terus menarik hujung pakaiannya mengikuti langkahku. Lebih baik kami keluar dari sini dengan segera sebelum Melati dengan Mail perasan dengan kehadiran aku dengan Tengku Rayyan Rehan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience